Monday, 12 November 2012

Friday, 2 November 2012

AES - Kong Cho Ha bermain wayang tongkol

Perdebatan di dalam dan luar Parlimen mengenai pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)  yang menurut Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha (MCA) telah dijadikan isu politik oleh parti pembangkang (Pakatan Rakyat) sebaliknya menunjukkan bahawa Cho Ha sendiri bermain 'wayang tongkol' atas pentas yang bakal roboh. 

Dakwaan atau tuduhan Cho Ha yang cuba mempersalahkan 'musuh politik' Barisan Nasional jelas jauh menyimpang daripada kebenaran.

Ini kerana agensi berita nasional, BERNAMA, yang terletak  bawah seliaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sendiri melaporkan rata-rata anggota Parlimen, saya ulang rata-rata anggota Parlimen,  bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya pelaksanaan AES ditangguhkan.

Mereka, iaitu anggota Parlimen, berpendapat kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sistem itu dilaksanakan.

Saya tak nampak di mana permainan politik parti pembangkang seperti yang dituduh  Cho Ha yang tidak hadir menjawab isu AES ketika dibangkitkan di Dewan Rakyat. Kenapa Cho Ha berbuat demikian hanya dia yang tahu, mungkin dia takut berhadapan dengan kenyataan.

Saya ingin mengutip laporan BERNAMA yang menyatakan bahawa Anggota Parlimen mewakili Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, seorang mantan anggota Kabinet,  berkata pelaksanaan AES dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.

Radzi mahu kerajaan meneliti semula pelaksanaan AES dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan. 

Saya ingin bertanya Cho Ha sama ada Radzi bermain politik atau menyata sesuatu yang ada kebenarannya?

Ketua Pemuda UMNO yang juga Anggota Parlimen mewakili Rembau, Khairy Jamaluddin telah menyarankan agar kerajaan menangguh pelaksanaan AES yang menurut beliau terdapat terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya. Khairy juga tidak bermain politik tetapi menyatakan sesuatu yang benar.

Datuk Bung Mokhtar Radin, Anggota Parlimen mewakili Kinabatangan yang terkenal dengan keceluparan hujahnya di Dewan Rakyat, berkata penangguhan AES perlu bagi membolehkan Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan sepenuhnya kepada rakyat berhubung kepentingan melaksanakannya. 

Parti GERAKAN yang merupakan sekutu dalam BN pula menuntut kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES dan menjalankan kajian lanjut memandangkan banyak aduan diterima daripada masyarakat. Mungkin Cho Ha dan rakan-rakannya dalam MCA tidak menerima aduan atau maklum balas daripada masyarakat.  

Seorang pemimpin akar umbi GERAKAN, Cheah Soon Hai memberitahu portal berita popular Malaysiakini bahawa AES mengalami banyak kecacatan dan ia tidak harus dilaksana tergesa-gesa walaupun sistem berkenaan bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan untuk terus melaksana AES merupakan langkah 'tidak popular' dan parti itu (GERAKAN) menerima banyak aduan daripada orang ramai.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung AES sehingga mendapat penjelasan daripada syarikat yang dipertangungjawabkan untuk melaksanakannya.

Beliau dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata bahawa "Selangor ada beberapa cadangan buat mereka (dua syarikat konsesi) untuk diteliti jika kami bersetuju dengan pelaksanaannya, bagi menunjukkan projek itu lebih adil bagi kedua belah pihak."

Adakah Khalid bermain politik seperti yang dituduh oleh Cho Ha?  Tentu tidak.

Umum sedia maklum bahawa negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat memutuskan untuk menangguh pelaksanaan AES. Mereka tidak bermain politik tetapi bertindak atas kepentingan awam sama seperti yang disuarakan oleh anggota-anggota Parlimen mewakili BN.

Yang bersandiwara dan bermain politik adalah Cho Ha dan MCA, sebuh parti yang ditolak oleh pengundi terutama  masyarakat Cina Malaysia pada pilihan raya lepas dan yang besar kemungkinan akan dikuburkan buat selama-lamanya pada pilihan raya ke-13 tidak lama lagi. 

MCA bukan lagi satu aset kepada BN tetapi satu beban kerana majoriti masyarakat Cina telah menolak parti itu sebagai wadah untuk menyuarakan kepentingan  mereka.

Cho Ha boleh terus 'berlakon' atas pentasnya yang bakal roboh itu.