Monday, 4 March 2013

Kesultanan Sulu - siapa sebenarnya sultan?

Kesultanan Sulu yang diasaskan oleh seorang pedagang/pendakwah Arab yang berhijrah ke kepulauan selatan Filipina itu dari Johor, kini menimbulkan masalah dan pertanyaan, walaupun pada hakikatnya kesultanan itu tidak wujud.

Isu tuntutan ke atas Sabah oleh apa yang didakwa sebagai waris sultan Sulu sebenarnya sudah basi dan tidak dapat diterima. Rakyat Sabah atau yang dirujuk sebagai "North Borneo" itu telahpun membuat keputusan kira-kira 50 tahun lalu untuk bersama-sama Persekutuan Malaysia. Nokhtah.

Keputusan yang dibuat oleh rakyat Sabah melalui 'pungutan suara' oleh Suruhanjaya Cobbold itu disah dan diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan diterima oleh pentadbiran Manila ketika itu. Ia tidak lagi berbangkit.

Ada beberapa dokumen yang dengan jelas dan nyata menyokong pendirian  Malaysia walaupun kerajaan membayar 'sagu hati' kepada waris kesultanan Sulu. Pembayaran itu dibuat berdasarkan satu perjanjian kuno dan sebagai kerajaan yang bertangungjawab, Putrajaya akur. Itu yang berlaku tetapi ia tidak bermakna yang Malaysia mengiktiraf atau menerima hak kesultanan Sulu ke atas Sabah, tidak sama sekali.  

Ekoran pencerobohan  oleh "askar kesultanan Sulu" di Lahad Datu dan serpihannya di Semporna, lapan nyawa anggota polis Malaysia menjadi korban. Mereka sebenarnya pengganas dan mesti diambil tindakan sewajarnya.  

Selepas tiga minggu "bertapak" di Lahad Datu dan  beberapa kali diberi peluang untuk meletak senjata dan pulang ke Sulu tetapi mereka enggan, maka kerajaan Malaysia tiada pilihan melainkan mengambil tindakan untuk menghapuskan mereka. Rakyat Malaysia menyokong penuh tindakan yang diambil oleh kerajaan. 

Satu persoalan yang timbul ialah siapa sebenarnya "sultan" Sulu? Jikapun wujud seorang "sultan" tetapi di mana "kesultanannya"?

Yang pasti "kesultanan" Sulu sudah berkubur. Tidak wujud sama seperti kesultanan Melayu Melaka, kesultanan Mempawa di Kalimantan, kesultanan Aceh dan kesultanan lain di Palembang,  Riau dan pulau Jawa.

Orang boleh mendakwa yang dia adalah waris kesultanan-kesultanan tersebut tetapi apa gunanya ada jawatan dan gelaran tetapi tiada takhta?

Merujuk kepada "kesultanan" Sulu, kita tahu ada lima orang yang mendakwa sebagai "sultan" yang sah.  Kita ingin tahu yang mana satu  sepatutnya mewarisi "kesultanan" yang tidak wujud itu?

Adakah "Sutan" Muedzul Lail Tan Kiram? atau Jamalul Kiram III? atau Datu Mohamad Akjan Datu Ali Muhammad? atau Datu Abdul Rajak Aliuddin? atau Datuk Seri Putra Eddy T. Sulaiman?

Kelima-lima mereka mengaku sebagai "sultan" Sulu yang sah. Persoalan ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa "kesultanan" Sulu sudah menjadi "sejarah" sama seperti kesultanan lain di Nusantara Melayu ini. 

Oleh itu, usah dilayan tuntutan mereka! 





PR ajak rakyat teguh mendokong pasukan keselamatan

Gabungan parti politik alternatif kepada Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR), hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, sama ada dari pihak polis atau tentera.

Dalam kenyataan media yang turut dihantar kepada penulis,  ketua umum KEADILAN Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden  PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan penasihat DAP Lim Kit Siang, berkata PR turut berdoa moga mereka (pasukan keselamatan)  kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman pencerooh.

Ketiga-tiga pemimpin itu turut merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka yang terkorban dan rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat.

Kenyataan ketiga-tiga pemimpin PR itu  nampaknya untuk cuba meredakan kemarahan rakyat atas kenyataan biadab salah seorang naib presiden KEADILAN yang juga ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang dengan angkuhnya menyatakan bahawa apa yang berlaku di Lahad Datu itu adalah satu sandiwara yang didalangi UMNO.

Kebiadaban Tian Chua tidak boleh dima'afkan walaupun kepimpinan PR mengeluarkan kenyataan media berkenaan.

Namun demikian kita menghormati hak PR untuk bersuara kerana apa yang berlaku di Lahad Datu, Semporna dan Kunak membabitkan  pengganas  Sulu yang mencerobohi wilayah Malaysia di Sabah dan membunuh lapan orang pegawai dan anggota polis kita, bukan soal politik tetapi keselamatan negara.

"Pakatan Rakyat sedar keadaan mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan kebimbangan, akan tetapi kita menyeru agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh menimbulkan keresahan," kata mereka dalam kenyataan itu.

Ketiga-tiga pemimpin PR itu juga menyatakan dengan jelasnya keyakinan mereka terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan keselamatan menjalankan tugas dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campur tangan politik. (Saya tidak pasti sama ada wujud campur tangan politik seperti yang didakwa itu)

Mereka seterusnya meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka menyatakan bahawa pimpinan negara gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum. (Dalam hubungan ini, ada kebenarannya kerana penceroboh boleh berada di bumi Sabah sebegitu lama dan mereka dengan mudah memasuki wilayah Malaysia dengan membawa senjata api)

"Pakatan Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini," tambah kenyataan itu. (Saya setuju persidangan khas Parlimen dipanggil segera untuk membincangkan isu ini kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar. Persidangan meja bulat tidak perlu sekiranya persidangan Parlimen diadakan).