Wednesday, 1 January 2014

Peguam Negara: Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail ada cerita disebaliknya

Isu menarik dalam tahun 2013  yang membabitkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak memeranjatkan saya. Ia hanya menunggu masa untuk 'meletup' dan ia sudahpun bermula.  

Lima orang Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat telah membuat laporan polis berhubung pendedahan mantan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim. Kita masih tidak dimaklumkan sama ada pihak polis telah memula atau membuka kertas siasatan. Kita tahu bahawa setiap laporan yang dibuat mesti disiasat. Dalam kes ini, ia membabitkan Peguam Negara dan laporan polis oleh Ahli Parlimen berdasarkan maklumat mantan pegawai kanan polis.

Kita ingin tahu sama ada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk Hadi Ho Abdullah, yang akan bersara tidak lama lagi, telah mengarah siasatan dilakukan atau hanya berdiam diri tanpa sebarang tindakan. Maklumlah ia membabitkan Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya.

Jika siasatan tidak dilakukan, maka rakyat boleh menyatakan bahawa wujud dwi-standard dalam siasatan. Tanggapan atau andaian sedemikian mesti dibuktikan tidak betul oleh pihak polis. Setakat ini, siasatan nampaknya belum dijalankan.

Saya masih ingat 'peristiwa' yang membawa kepada pelantikan Gani Patail selaku Peguam Negara kerana pada waktu itu saya bertugas di Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab keatas hal ehwal undang-undang. Jabatan Peguam Negara terletak dibawah seliaan atau tanggungjawab Menteri berkenaan.

Pelantikan Gani selaku Peguam Negara (AG) turut membabitkan latar belakang yang menarik dan seolah-olah  satu babak drama tv yang penuh dengan dendam kesumat, iri hati dan ampu-mengampu. Ia bukan satu kebetulan. 

Gani Patail adalah AG kelapan selepas Datuk Seri (kemudian Tan Sri) Ainum Mohamad Sa'aid, Tan Sri Mohtar Abdullah, Tan Sri Abu Talib Othman, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, Tan Sri Cecil M. Sheridan  dan Thomas Vernor Alexander Brodie.

Datuk Seri Ainum merupakan wanita pertama dilantik AG dan penyandang jawatan paling singkat dalam sejarah tanah air, iaitu selama setahun sahaja. Kenapa dan mengapa ianya berlaku boleh diibaratkan sebagai sebabak drama yang skripnya ditulis selari dengan perancangan. Saya kata ia boleh diibaratkan bukan babak drama sebenar. Harap pembaca faham akan maksudnya.  

Saya maklum  bahawa mantan AG Tan Sri Mohtar Abdullah, allahyarham,  telah memperakukan Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, iaitu Gani Patail, dilantik menggantikannya. Sebaliknya,  Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad)  memperakukan kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong supaya melantik Datuk Seri Ainum Mohamad Sa'aid. 

Pelantikan Ainum dibuat selaras dengan Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu: "Yang diPertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara Bagi Persekutuan."

Rupa-rupanya pelantikan Ainum kurang disenangi oleh segelintir pihak terutama yang berkhidmat dalam Jabatan Peguam Negara. Mereka mula berusaha untuk 'memaksa' Ainum 'keluar' dan bermulalah babak-babak  yang halus dan terancang rapi.

Datuk Seri Dr Rais Yatim (sekarang Tan Sri) selaku menteri bertanggungjawab, memilih untuk mencari calon paling sesuai bagi menggantikan Tan Sri Mohtar. Ini dilihat penting kerana beliau berpendapat bahawa Jabatan Peguam Negara memerlukan seorang ketua yang tegas dan pantas buat kerja. Umum mengetahui bahawa institusi udang-undang dan kehakiman ketika itu masih memperkatakan mengenai isu percutian mantan Ketua Hakim Negara Tun Eusof Chin dan Tan Sri Mohtar yang turut membabitkan seorang peguam yang dilihat sebagai 'berpengaruh'.  Oleh itu, Dr Rais ingin membawa pembaharuan ke dalam Jabatan Peguam Negara. Tindakan Dr Rais rupa-rupanya tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu termasuk mereka yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara.

Nama Ainum muncul setelah Dr Rais mengadakan rundingan dan perbincangan dengan banyak pihak termasuk dari institusi kehakiman dan beberapa orang peguam kanan. Dr Rais tidak membuat keputusan bersendirian untuk mencadangkan nama Ainum kepada  Dr Mahathir Mohamad. Itu cara dia buat kerja, berunding sebelum membuat keputusan.

Ainum ketika itu memegang jawatan timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti  dan sebelum itu, antara lain,  pengarah eksekutif Pengkalan Holdings Berhad, dan pengarah bukan eksekutif Sime UEP Properties Bhd.

Pelantikan Ainum sebagai Peguam Negara mengakibatkan beliau berhadapan dengan banyak aral serta rintangan. Beberapa pihak dalam Jabatan itu sendiri yang tidak senang dengan kemaraan beliau. Ini kerana Ainum, dalam jangka masa yang begitu singkat, memperlihatkan yang dia adalah seorang ketua yang penuh integriti dan kewibawaan. Tidak dinafikan ada pihak yang menaruh dendam dan marah terhadapnya.

Ada pegawai dalam Jabatan Peguam Negara tidak selesa dengan taktik serta pentadbiran Ainum yang tegas.

Pejabat Menteri sedar bahawa ada pegawai dari Bahagian Pendakwaan yang menyampaikan berbagai-bagai laporan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Samsudin Osman dan ada yang terus kepada Dr Mahathir. Mereka membelakangi Dr Rais selaku Menteri yang bertanggunggjawab atas hal ehwal undang-undang.

Ada pegawai yang terus berjumpa Dr Mahathir untuk melaporkan apa yang berlaku dari hari ke hari di Jabatan Peguam Negara. Dr Mahathir berjaya dipengaruhi untuk melantik pengganti Ainum.

Dalam tempoh setahun perkhidmatannya selaku Peguam Negara, kami di Pejabat Menteri dapat lihat perubahan pada wajah Ainum, dia jelas kelihatan letih seolah-olah mengalami gangguan kesihatan sedangkan pada awalnya dia begitu cergas dan bersemangat setiap kali ke Pejabat Menteri atas urusan tugas. Perubahan ini membuatkan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Ainum menjadi mangsa ilmu hitam. Saya tidak berani menyatakan sama ada ianya benar atau tidak walaupun ilmu hitam dan amalan-amalan yang dipengaruhi syaitan itu wujud.

Akhirnya, Ainum 'terpaksa mengalah' dan dia 'meletak jawatan' atas sebab kesihatan. Sama ada ianya sesuatu yang benar atau sebaliknya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tetapi yang jelas, kedudukan kesihatan Ainum sihat dan dia tetap cergas dan bertugas hingga sekarang.

Peletakan jawatan Ainum diganti oleh Gani Patail, secara efektif mulai 1 Januari 2002 dan apa yang saya tahu ia adalah kehendak Dr Mahathir sendiri.

Pelantikan Gani menimbulkan banyak kontroversi, terutama dari sektor guaman. Peranan beliau dalam kes  Dato' Seri Anwar Ibrahim dipertikai oleh Majlis Peguam dan beberapa parti pembangkang.  Tetapi, semuanya tidak memberi kesan kerana Gani telahpun dilantik atas perkenan Yang diPertuan Agong.

Sebagai seorang yang amat rapat dengan KSN ketika itu, Gani, dalam kebanyakan hal telah melangkaui Dr Rais yang sepatutnya dirundingi terlebih dahulu. Beliau lebih kerap berinteraksi dengan KSN. Ini jelas memperlihatkan kedudukan 'hubungan' antara Peguam Negara dan Menteri.

Dr Rais pernah menyatakan bahawa antara Gani dan Ainum macam bumi dengan langit. Ainum berdiplomasi tetapi tegas. Apa yang dijanjikan lantas dilaksanakan. Gani pula sentiasa menggambarkan autoriti dan diplomasi bukan satu sifat utama beliau.

Dr Rais menyifatkan Ainum sebagai seorang pegawai perundangan yang tegas dan dedikasi.  

Apakah benar Ainum menghadapi masalah kesihatan sehingga terpaksa meletak jawatan? Saya kurang yakin dan sukar untuk mempercayainya.

Jika benar dia sakit, masakan dia dilantik sejurus selepas itu sebagai Penasihat Undang-Undang Kumpulan, Corus Hotels Group United Kingdom dan kemudian menyertai Laura Ashley United Kingdom sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bersama?

Ainum juga dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Sime UEP Properties Berhad, ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad dan Pelaburan Hartanah Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad.

Sudah pasti syarikat-syarikat gergasi dan bertaraf antarabangsa itu tidak akan melantik seorang yang menghadapi masalah kesihatan jika dia benar-benar sakit. Itulah jawaban saya kepada pertanyaan sama ada saya yakin dan percaya dengan alasan yang diberi untuk dijadikan alasan kenapa Ainum meletak jawatan sebagai Peguam Negara.

Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail selaku Peguam Negara ada cerita disebaliknya dan apa yang sedang dihadapinya sekarangpun ada cerita, jika pihak polis 'berani' menyiasat laporan polis yang dibuat terhadapnya.


    

Monday, 30 December 2013

Adakah tahun baru ini boleh disifatkan sebagai "Happy New Year".....?

Salam sejahtera dan ucapan "selamat" menyambut tahun baru Era Lazim 2014. Ini adalah ucapan selamat yang terlalu lazim diucapkan apabila menyambut kedatangan tahun baru. Ia adalah kata-kata biasa saja dan dimana-mana saja. 

Bagi mereka yang lebih berhidung tinggi untuk mengucap selamat dalam bahasa Inggeris, mungkin ucapan lazim "Happy New Year" tidak berapa sesuai untuk tahun 2014. Sudah pasti ramai yang tidak akan "happy" apabila menghadapi kos belanja hidup yang semakin meninggi. Janji yang kononnya ditepati telah ditolak tepi!

Ramai yang akan hilang kerja. Macam mana nak "happy"?

Apabila kos pengangkutan naik ekoran daripada penarikan balik subsidi minyak, maka kesannya tidak boleh dikawal. Semua akan naik kecuali hujan yang akan terus mencurah-curah turun sehingga mengakibatkan banjir. 

Langkah 'kosmetik' yang diumumkan kerajaan bukan jawaban kerana ia tidak melibatkan kocek atau kantong rakyat. Rakyat yang berpendapatan sederhana ke bawah akan terus menghadapi pahit maung kehidupan sama ada di bandar, pinggir bandar mahupun desa. 

Rakyat pedih mata melihat anak menteri atau anak tiri Perdana Menteri membeli hartanah terlampau mewah sama ada di dalam atau di luar negara. Mereka bertanya dari mana si polan itu mendapat duit sebegitu banyak? Bermacam andaian akan dibuat dan kesannya sudah pasti menimpa kerajaan dan parti yang mentadbir negara.

Orang UMNOpun dah mula naik meluat dengan apa yang sedang berlaku. Lihat saja komen Saudara Saifudin Abdullah, YB Nur Jazlan dan beberapa kerat pemimpin pertengahan dan bawahan yang berani membuka mulut menegur perkara yang patut ditegur. Datuk Seri Najib Tun Razak semestinya peka dengan keadaan semasa. Usah dengar 'nasihat' kaki ampu yang sudah tentu tidak ikhlas dan jujur dan yang hanya mementingkan kemewahan diri. Rakyat dah muak dengan apa yang berlaku.

Oleh itu, saya tidak senang untuk mengucap selamat menyambut tahun baru 2014 kerana ia hanya akan menambah beban kos kehidupan kepada majoriti rakyat.