Wednesday, 25 February 2015

MELACUR DALAM SEMAK


SUNGAI PETANI – Seorang ibu muda yang mengaku janda antara yang ditahan di lokasi pelacuran dekat kawasan semak di Taman Kampian, Jalan Sekerat, jam 11 pagi semalam.

Turut ditahan dua wanita dan seorang lelaki yang berperwatakan seperti perempuan di port pelacuran yang hanya dilengkapi dengan khemah serta alatan lain dipercayai untuk aktiviti pelacuran.

Bagaimanapun, hasil soal selidik mendapati wanita berusia 22 tahun itu masih berstatus isteri orang dan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun.

Pemeriksaan ke sekitar lokasi pula mendapati ia seakan-akan lokasi perkhemahan dalam semak namun dipenuhi alatan kondom digunakan untuk pelacuran.


Kesemua mereka yang ditahan anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda itu dibawa ke pejabat untuk soal siasat selain memanggil waris untuk tindakan selanjutnya.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Osman berkata, dua perempuan ditahan mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 iaitu melacur manakala seorang lagi wanita bukan Islam dilepaskan selepas diberi khidmat moral.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Manakala seorang lelaki berperwatakan perempuan ditahan mengikut Seksyen 26 iaitu mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika bersalah, boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM1,000 denda atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Penguatkuasa MPSPK, Anil Aris manakala PAD diketuai Zaiferi Zainul Abidin.-Sinarharian


Najib umum Umno tak bertanding di Chempaka

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata Umno tidak akan bertanding di PRK DUN Chempaka kerana ingin menumpukan perhatian kepada kerja-kerja pemulihan banjir serta pembaikan yang masih berjalan. Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Umno tidak akan bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, keputusan yang dibuat selepas pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob semalam.

Najib yang juga Presiden Umno berkata beberapa faktor sudah dipertimbangkan yang menyebabkan mereka tidak bertanding dalam PRK tersebut.

"Majlis Tertinggi (Umno) mengambil keputusan untuk tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil N06 Chempaka," kata Najib pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas mempengerusikan mesyuarat Umno malam ini.

Najib menegaskan banjir besar yang melanda negeri Kelantan baru-baru ini juga sebagai faktor mereka tidak akan meletak calon di Chempaka.

"Kita ada beberapa sebab pokok mengapa kita ambil keputusan sedemikian, kita hendak tumpukan kepada kerja-kerja pemulihan banjir dan pembaikan di mana kerja tersebut masih sedang berjalan.

"Selain itu, masih banyak pihak yang perlu terima bantuan dan ini kita letak sebagai keutamaan," katanya.

Selain isu banjir, Najib juga menekankan perpaduan ummah sebagai faktor yang menyebabkan Umno tidak meletak calon di Chempaka.

"Kedua, kita fikir kita perlu lihat kepada usaha membawa perpaduan ummah walaupun kita ada perbezaan politik dan sebagainya, tetapi kita perlu berikan keutamaan kepada perpaduan ummah," katanya.

Menurut Najib, keputusan Umno tidak bertanding tidak perlu dipertikaikan, malah semasa pilihan raya Bukit Gelugor lalu, Barisan Nasional (BN) juga membuat keputusan untuk tidak bertanding.

Keputusan yang dibuat hari ini juga sudah mendapat persetujuan di peringkat akar umbi.

Kerusi DUN Chempaka kosong selepas penyandangnya bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 10 Februari lalu.

Ura-ura Umno tidak akan bertanding di Chempaka sebelum ini bertiup kencang, malah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed juga sendiri memberikan pandangan peribadi supaya tidak bertanding di kerusi tersebut.

Bagaimanapun, keputusan ini bakal mengundang kritikan daripada banyak pihak, bahkan kumpulan pendesak Melayu Perkasa sebelum ini juga bertindak mengecam Umno yang enggan bertanding di Chempaka.

Pengumuman ini juga menimbulkan satu lagi spekulasi mengenai kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS. – 25 Februari, 2015.