Showing posts with label PENDAPAT. Show all posts
Showing posts with label PENDAPAT. Show all posts

Sunday, 17 May 2015

PAS BERKOCAK ANGKARA BEBERAPA EKOR ANAI-ANAI




Benar sekali. Pertembungan dalam PAS memang berlaku. Ia bukan sekadar pertembungan antara individu, jauh sekali antara blok Ulama dan Profesional seperti yang digembar gemburkan. Ada agamawan yang tidak memperjuangkan aspirasi Ulama lain, dan ada profesional lain yang mendokong aspirasi ulama.

Lalu apakah hakikat sebenar pertembungan yang berlaku dalam PAS ini?

Untuk memahami hakikat ini, kita perlu membelek kembali lipatan sejarah sedari penubuhan PAS. Penubuhan Parti Islam Semalaysia ( dahulunya Parti Islam Se-Tanah Melayu) adalah kesinambungan daripada gerakan-gerakan islam sebelumnya ditanah melayu seperti Sarekat Islam dan Hizbul Muslimin Malaya.

Gerakan-gerakan islam ini pula ditubuhkan bertujuan untuk menggalas peranan khilafah setelah pemerintahan Khilafah Uthmaniah Turki dilemahkan oleh kuasa imperialis barat. Walaupun kuasa politik islam hilang, tugas menjaga kepentingan umat islam seperti pendidikan, dakwah, amar makruf nahi mungkar, jihad, kebajikan dan sebagainya tidak berakhir begitu sahaja.

Ulama' mujaddidin waktu itu berijtihad bahawa untuk mengembalikan semula khilafah islamiah dan membawa gagasannya, tidak dapat tidak perlunya kepada kuasa politik, lalu mewajibkan gerakan islam mendaftarkan diri sebagai sebuah parti, maka tertubuhlah PAS.

Perlu disedari walaupun PAS itu adalah sebuah parti politik, ia bukan semata-mata berpolitik, tetapi hakikatnya sebuah 'gerakan islam' yang turut menggunapakai wasilah selain politik dalam usaha meneruskan kewajipan-kewajipan islam. Orientasi sebenar PAS adalah tarbiah (pendidikan), dakwah, dan siasah (politik).

Konflik awal telah berlaku dalam PAS yang terkeliru dengan nama PAS yang didahului dengan perkataan 'parti'. Tidak sedikit yang memahami perjuangan PAS adalah sekadar terlibat dalam bidang politik. Ramai juga yang beraliran kiri menyertai PAS sebagai proksi untuk menghapuskan aliran liberal bawaan british yang memonopoli kerajaan waktu itu.

Setelah beberapa dekad, usaha memurnikan pemikiran sebegini telah berhasil. Penubuhan Majlis Syura Ulama' hasil desakan kepimpinan Dewan Pemuda di zaman Dato' Mustafa Ali berjaya memahat wawasan pengasas PAS terdahulu dalam jiwa-jiwa ahli.

Zaman itulah kita boleh melihat agenda tarbiah merupakan makanan asasi bagi ahli. Cawangan subur dengan usrah. Masjid dan surau dimakmurkan. Institusi pendidikan daripada peringkat pra-sekolah hingga sarjana tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ahli-ahli sanggup berjalan melewati kilometer untuk mendengar amanat-amanat tuan guru dan ulama'. Prestasi ukhuwwah, pengorbanan, thiqah dan wala' berada tahap tertinggi yang pernah dicapai.

Aura ini tidak hanya berlaku dalam masyarakat biasa. Ia turut terbias ke universiti dalam dan luar negara. Mahasiswa begitu pro-aktif membawa kesedaran tarbiah walaupun bukan dalam aliran agama. Kegemilangan zaman ini telah melahirkan tokoh-tokoh politik negara yang ada sekarang. Di luar negara, mahasiswa Timur Tengah dan Barat juga tidak terkecuali.

Walaupun kesedaran islam ini begitu pesat, ia tidak dapat lari pertembungan pendapat. Selain daripada ahli PAS, kebanyakan mahasiswa dan pemikir berpendapat politik demokrasi Malaysia bukanlah ruang yang baik untuk islam. Bahkan ramai juga yang berpendapat menyertai politik adalah satu bidaah yang tidak diharuskan agama. Antara kumpulan yang tidak sependapat dengan ijtihad PAS ini diperingkat awalnya adalah ABIM, IRC dan kumpulan ekstremis yang mengamalkan pendekatan muwajahah bilquwwah.

Apabila generasi idealistik ini tamat pengajian dari kampus, mereka membaca suatu hakikat baru apabila menempuh medan masyarakat, iaitu perlunya pengaruh politik dalam menyebarkan idea mereka kepada umum.

Ringkas cerita merekapun membuat permohonan untuk menyertai PAS yang dahulunya dianggap 'musuh ketat' dari sudut fikrah. Kepimpinan PAS begitu mengenali individu-individu yang berada dalam jemaah yang bertembung dengan fahaman PAS ini, tetapi dasar keterbukaan PAS dalam menerima ahli membuatkan kepimpinan meluluskan jua permohonan ahli mereka. Kepimpinan waktu itu bersangka baik bahawa mereka akan mengikut sesi pentarbiahan PAS dari bawah kembali untuk memahami hakikat perjuangan gerakan tersebut.

Namun ia bukanlah seperti yang diharap. Mereka yang sebelum ini telah melalui percambahan fikrah dari anutan sebelumnya cukup payah menundukkan diri menerima konsep yang dibawa PAS. Pada mereka, PAS tidak lain melainkan sebuah parti yang berjuang demi kuasa politik sama seperti parti-parti yang lain. Mereka juga menghantar wakil untuk berada dalan parti-parti politik lain termasuk UMNO, dan terkini PKR.

Lalu perjuangan mereka didalam PAS tidak lain selain memastikan PAS berjaya di persada politik, secara tidak langsung mengepikan aspek tarbiah dan dakwah. Mereka seolah-olah meletakkan kuasa politik sebagai syarat utama sebelum dakwah dan tarbiah. Selagi kuasa belum diperoleh, kerja tarbiah dan dakwah kepada masyarkat tidak menjadi wajib selain kepada ahli mereka sendiri.

Apabila golongan ini berada dalam PAS, mereka sedaya upaya meraih sokongan ahli supaya diangkat menjadi pemimpin parti. Ditambah dengan sikap tawadhu' sesetengah pemimpin dari kalangan agamawan, kerja-kerja pendakian mereka untuk ke kemuncak jawatan bertambah mudah.

Bermulalah zaman malap bagi sebuah gerakan islam induk Malaysia. Tarbiah tidak lagi menjadi agenda wajib cawangan. Dakwah pada rakyat bukan lagi suatu kelaziman. Ceramah-ceramah umum tidak lagi bercakap soal iman, syurga neraka, ayat-ayat Quran hanya sekadar pembuka majlis, sirah-sirah anbiya' sudah dianggap suatu retorik yang membosankan. Core businessnya hanya bercakap soal strategi politik, pendedahan urus tadbir kerajaan, isu-isu semasa dan sewaktu dengannya.

Alhamdulillah, ada yang menyedari perkara ini. Gerakan memperbetulkan kembali allignment perjuangan mula dipergiat. suara-suara mengadu ketandusan tarbiah bergema dalam siri-siri muktamar dan ijtima negeri. Peranan ulama' kembali didamba bagi meniupkan angin kesedaran islam yang hampir menyembah bumi.

Bermulalah pertembungan apabila 'orang baru' dalam PAS itu tidak senang dengan kesedaran ini. Maka wujudlah program-program membawa dua fikrah berbeza ini kepada masyarakat terutamanya ahli PAS. Program semakin rancak menjelang pemilihan parti. Ada yang mengimport pemain-pemain luar parti untuk membantu merelevankan gagasan yang dibawa. Taktik kotor dan sabotaj juga terpilih menjadi senjata untuk bertahan dan menyerang.

Untuk kembali pada landasan asal, tarbiah adalah bengkelnya. Hidupkan kembali usrah, liqa fikr, tamrin, nadwah dan sewaktu dengannya. Itulah paksi syakhsiah muslim sejati.

Ada yang menafikan perkara ini. Mereka lihat realiti PAS semakin gagah mendaki ke puncak politik. Sokongan pihak luar semakin bertambah, keahlian berduyun-duyun. Kerusi-kerusi DUN bertambah setiap kali PRU walaupun diakui tarbiah semakin pupus. Bagi mereka tarbiah bukanlah faktor utama kekuatan PAS.

Benar, PAS akan tetap gagah sebagai sebuah parti politik tanah air. Tapi sebagai sebuah gerakan islam, PAS amat tenat. Aspirasi politik semakin utuh, tapi kesedaran islam semakin luruh. Peranan khalifah yang mati tidak lagi diwarisi. Yang diperjuangkan sekarang hanyalah kuasa, kuasa dan KUASA!

Jika tiada sebarang langkah untuk memandang cermin sisi dan belakang diambil, kemungkinan gerakan islam ini akan terus mati.

Justeru itu memahami susur pertembungan secara adil adalah perlu. Ia bukan melibatkan perbezaan profesion semata-mata. Ia adalah pertembungan fikrah! Antara fikrah sebuah gerakan, dan sebuah parti.

Disebelah pihak memang meletakkan ulama' sebagai pemuka hadapan, disamping tidak melupakan peranan profesional lain dibelakang. Di sebelah pihak yang lain juga melibatkan peranan ulama', tetapi lebih sekadar tempat bertanya apabila berhadapan pihak satu lagi.

Pertembungan ulama profesional hakikatnya tidak wujud. Ia hanya dicipta untuk memburukkan golongan yang ingin mengembalikan asolah dakwah, seolah-olah pendokong Ulama tamakkan jawatan. Sebelum pemilihan 2011, agamawan dan profesion bekerja secara kolektif di bawah kepimpinan yang satu. Tiada blok profesional yang tidak sebulu dengan ulama'. Pernah ketiga-tiga Naib Pres, bukan dikalangan ulama', tetapi itu tidak menjadi isu kerana yang bukan ulama' bersama membawa aspirasi asal.

(Alang Ibn Shukrimun)

Friday, 8 May 2015

Mahathir Ulas Isu Wang Tabung Haji



Daripada blog chedet

1. Tiada ada Negara yang begitu berjaya mengumpul wang dari orang Islam yang berhajat untuk mengerja haji dari Malaysia dengan Tabung Hajinya.

2. Wang yang ditabung sejak ditubuh Tabung Haji sudah meningkat sehingga ribuan juta Ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan dapat membantu pengurusan tabung haji dan subsidi kepada bakal haji.

3. Wang tabung haji adalah dari pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji.

4. Amatlah menyedihkan apabila wang ini diguna untuk bailout (pemulihan) hutang 1MDB.

5. Tanah Tun Razak Exchange seluas 70 ekar dibeli oleh 1MDB dengan harga RM194.1 million untuk 70 ekar.

6. Sekarang Tabung Haji membeli satu setengah ekar dengan harga 188.5 million Ringgit, hampir sama dengan harga 1MDB beli 70 ekar. Untung besarlah 1MDB. Sebenarnya tanah ini, asalnya untuk mengadakan pusat dagangan bumiputra. Tetapi 1MDB telah mengenepikan projek ini.

7. Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya. Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji diurus untuk kebaikan mereka tetapi wang ini diguna untuk menyelamatkan 1MDB yang telah hilangkan berbillion Ringgit.

8. Rancangan ini perlu dibatal sekarang juga.

9. Tunku Aziz berkata dia sedia menyiasat Jho Low dan Riza Aziz jika saya buat laporan. Sebenarnya laporan telah dibuat oleh pihak lain tetapi tidak ada siasatan yang dibuat oleh sesiapa. Sebaliknya pihak yang melapor dimufliskan dan rumahnya telah digeledah.

10. Jika Tunku Aziz begitu prihatin terhadap gejala rasuah, siasatlah dan laporlah kes-kes berkenaan. Buktikan juga yang saya lesap duit kerajaan!!

Jika tidak dapat diam sajalah.

Dr Mahathir Mohamed

Tuesday, 10 March 2015

1-MDB: ‘Rompakan’ Paling Dahsyat Kurun ini!

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Pada 17 November 2014, saya menulis satu makalah berjodol: “1MDB: Najib mangsa pertamanya?” (http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dzulkefly-ahmad/article/1mdb-najib-mangsa-pertamanya). Sejak itu, saya memerhatikan bahawa ‘nujum’ atau telahan itu semacam mahu menjadi kenyataan. Terkini, sebuah majalah ‘The Economist” menerbitkan satu penulisan mengungkapkan bahawa “Najib’s days are numbered” atau ‘Najib menghitung hari-hari akhirnya’.Itu juga satu telahan media Barat.
Mungkin sahaja semua telahan ini tersasar. Penguasa politik di Putrajaya sememang sedang giat melancarkan kempen keras untuk menangkis semua persepsi buruk yang media paparkan, terhadap orang nombor satu negara.
Pun begitu, tetap isu 1-Malaysia Development Berhad atau 1-MDB akan mengugat kedudukan Najib dan hanya pimpinan tertinggi Umno berserta ‘warlordsnya’ dan pimpinan bahagian dari 192 bahagian dari seluruh negara akan menentukan nasib Presidennya. Persidangan hari ini 8hb Mac Ahad, mungkin sahaja akan memberikan isyarat paling keras kepada Najib, meskipun sukar tradisi Umno untuk menyingkir Presiden mereka. Kita nantikan. (terkini, Umno mahukan semua baahgian bersolidariti dgn Presidennya).
Namun, apa yang jelas, kenyataan Putrajaya bahawa PM DS Najib Razak tidak terlibat dalam urusan 1-Malaysia-Development Berhad (1-MDB) sudah tidak lagi bererti. Beliau adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan terlibat langsung sejak awalnya, dalam penubuhan badan pelaburan berdaulat nasional kedua ini. Sementara itu juga beliau adalah Menteri Kewangan dan 1MDB adalah 100% milik Kementerian Kewangan (MOF). Kenyataan mutakhir Timbalannya semalam, DS Muhyuddin Yassin, yang mahukan 1-MDB ditangani Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah cukup memahamkan semua bahawa Najib tidak lagi wajar melindungi 1-MDB.
Laporan yang dibuat oleh sebuah badan ‘whistleblower’ iaitu ‘Sarawak Report’ bersekali dengan ‘LondonSunday Times’ tentang 1-MDB berjodol ‘Heist of the Century’ atau ‘Rompakan Terbesar Kurun ini’, bakal terus meletakkan negara di satu kedudukan yang semakin buruk dan tercalar di kacamata masyarakat pelabur.
Siasatan yang berjaya menggali dan membongkar ribuan dokumen dan komunikasi melalui emails tentang pelaburan dan tadbir-urus kewangan 1MDB, akhirnya menemui beberapa dapatan yang dicari untuk sekian lamanya ini terutamanya tentang projek usahasama (JV) dengan sebuah syarikat minyak ‘PetroSaudi International sejak 2009.
Sangat penting untuk pengetahuan umum (rakyat), disebalik acapkali penafian dibuat oleh pihak Jabatan Perdana Menteri bahawa rakan karib Perdana Menteri dan isteri beliau, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jhi Low, tidak punya kaitan dan penglibatan langsung dalam syarikat 1-MDB, seluruh projek JV 1-MDB-PetroSaudi yang bernilai US$2.5 bilion itu diilhamkan, diuruskan bahkan dipacu oleh Jho Low. Secara kronologi ringkas.
Syarikat Usahama (JV) 1-MDB dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd didaftarkan di Cayman Island pada 18 Sept 2009. Pada 28 Sept.2009, suah perjanjian JVditandatangani oleh kedua-dua pihak dan pada 30Sept, syarikat JV 1-MDB-PetroSaudi, mengeluarkan satu kenyataan akhbar, mengisytiharkan terbentuk satu era baru kerjasama Malaysia dan Saudi Arabia, seolah syarikat ini adalah milik kerajaan Saudi.
Sementara Petro-Saudi memegang 60% ekuiti atau saham syarikat JV itu, 1-MDB memilikki baki 40%. 1-MDB membayar ekuiti mereka dengan suntikan tunai US$1bilion. Apa yang tidak ketara dalam perjanjian ialah PetroSaudi tidak akan membuat apa-apa suntikan ‘cash’, sebaliknya akan membayar dengan menyuntik asset yang bernilai US1.5bilion. Aset-aset yang didakwa dimilikki PetroSaudi itu sekarang menjadi tandatanya apakah benar-benar dapat dipertanggungjawabkan. Ternyata sekarang telah boleh didedahkan sebagai ‘wayang’ mainan Jho Low kerana asset-aset yang ‘miliknya’, adalah sebenarnya milik Buried Hill, sebuah syarikat tenaga kanada (bernilai AS$1.5 bilion di medan minyak di Laut Caspian) yang usahama mereka (JV) gagal dimajukan sebaik sahaja perjanjian JV dibuat dengan –MDB.
Juga tidak dinyatakan bahawa dari suntikan yang dibuat oleh 1-MDB, US$700juta (RM2.5b) akan digunakan untuk membayar ‘hutang’ yang telah dimasukkan kedalam syarikat JV tersebut oleh PetroSaudi. Bagaimana pula, baru memulakan operasi telah berhutang? Sangat pelik.
Lebih mendetail lagi, siasatan mendapati bahawa syarikat JV ditubuhkan dan didaftarkan pada 18 Sept 2009, dan 7 hari kemudian, pada 25 Sept telah berhutang sebanyak US$700 dari rakan JVnya yakni SaudiPetro Holding sendiri. Seperti disebut tadi, perjanjian JV dibuat pada 28 Sept dan pada 29 Sept, PetroSaudi menulis surat kepada Syarikat JV untuk menuntut bayaran ‘hutang’ atau ‘loan repayment’ sebanyak US$700juta.
Persoalannya yang semua ingin tahu ialah ‘Apa perlu PetroSaudi memberi pinjaman kepada syarikat JV, secara tergesa-gesa, 3 hari sebelum perjanjian dimeteraikan (25 hb sebelum 28hb)?.
Paling mengejutkan, dokumen-dokumen tersebut mendapati bahawa dana sebanyak US$700million (RM2.5bilion) yang disebutkan sebagai ‘bayaran balik pinjaman’ kepada PetroSaudi Holding itu, telah disalurkan kepada satu akaun di ‘Swiss Bank’ di atas nama sebuah syarikat namanya “Good Star Limited’, yang dimilikki dan dikawal oleh Jho Low. Sangat licik dan cekap, segala ‘twists and turn’ cerita aliran dana’ ini atau ‘money trail’ untuk US$1bilion pertama 1-MDB ini jika kita halusi kemudian!.Cukup pendedahan itu dahulu sebagai ‘appetiser’ dalam episod ‘Rompakan Gergasi Dalam Abad ini’.
Benar, Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) Parlimen telah bersetuju untuk menginstitusikan siasatan dan pertanggungjawaban dalam waktu sesegera dan melibat Jabatan Audit Negara dan kalau boleh pihak berwibawa yang lain bagi melakukan ‘forensik auditing’ dan mengesahkan dakwaan ‘Pecah Amanah’ atau CBT (Seksyen 405 dibawah Akta Kesalahan Jenayah 574), serta pelbagai dakwaan tadbir-urus yang melanggar segala peraturan dan undang-undang negara termasuk BAFIA dsbnya.
Sebelum PM Najib selaku Menteri Kewangan di pertanggungjawabkan, kita mahu semua pemegang Lembaga Penasihat (Board of Advisors, BOA) dan Board of Directors (BOD), sejak 2009 serta pihak Pengurusan tertinggi (CEOs- cnth Dato Shahrol) mesti dibawa ke muka siatan dan pertanggungjawaban. Terlalu banyak penafaian dibuat dengan mudah-mudah.
Mengapakah BOD dan BOA telah mengizinkan pelbagai urusniaga ini 1-MDB yang kini telah dibariskan untuk ditanya?…Sebagai contohnya, benarkah wujud pinjaman PetroSaudi kpd Syarikat JV itu?….Benarkah US$700 dibayar kepada mereka atau kemanakah perginya dana itu?…..apakah pihak peguam telah mempastikan kesahihan terma-terma perjanjian sebelum dimeterai….Siapa yang membuat penilaian asset-aset PetroSaudi kepada syariakt JV?….Bila dan berapa jumlah penilaian?.Benarkah PetrSaudihanya sebuah ‘shell company’seperti banyak terdapat di pusat kewangan luar pesisir antarabangsa? (tidak punya signifikan aset&operasi). Apakah BOD dan BOA berperanan mempastikan kesemua perihal tadbir-urus dan urusniaga pelaburan ini. Isu ini hanya merupakan satu dari pelbaga urusniaga pelaburan dan perolehan yang dipertikaikan pihak analysts dan golongan yang celik tentang
Apakah akan menjadi kenyataan bahawa Najib akan bakal tersungkur dan menjadi mangsa pertama 1MDB? Jangan menghukum sebelum dibuat siasatan audit forensik yang terpernci.

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Friday, 6 March 2015

Catatan Bersama Murabbi – sebuah laptop dan sebuah kenangan



Catatan Bersama Murabbi – sebuah laptop dan sebuah kenangan

9 Julai 2011 – Lapangan Terbang Jeddah, Arab Saudi. Pasport tok guru dan datin ada bersama saya. Salah faham dengan pemandu teksi yang membawa beliau dan datin menyebabkan tok guru dan datin diturunkan di terminal lain. Kami ahli rombongan umrah bersama beliau turun terlebih awal untuk menuju ke lapangan terbang. Bagi memberikan tokguru berehat dan tidak menunggu lama, kami mengambil keputusan tokguru dan datin turun lewat agar dapat berehat lebih lama di hotel. Pasport mereka saya bawa bersama untuk menyelesaikan urusan boarding terlebih dahulu di lapangan terbang.

Kami tiba di lapangan terbang agak lewat akibat kesesakan jalan raya. Saya bergegas turun dari bas dengan segera dan meninggalkan beg sandang yang mengandungi semua dokumen Malaysia (kad pengenalan, lesen memandu dan lain-lain), laptop, hard disk external yang mengandungi pelbagai maklumat dan segala macam alat-alat eletronik. 

Mereka yang menemani tokguru pula tidak dari kalangan yang mahir berbahasa arab. Talian telefon pula masih On Off bagi mengelakkan caj tinggi akibat roaming. Selesai urusan boarding, tidak kelihatan kelibat teksi yang sepatutya menghantar tokguru dan datin ke lapangan terbang. Masih tinggal sekitar 40 minit kapal terbang mahu bertolak, saya katakan kepada pengawal keselamatan yang menggesa saya agar terus masuk ke dalam, “Tunggulah sekejap, saya tunggu Wazir (menteri) datang..” Beliau membalas, “Di sini tiada wazir, semua tetamu Allah..!”

Kesemua ahi rombongan sudah masuk ke dalam. Tinggal saya berada di luar bersama pasport tokguru dan datin. Tanpa pasport tersebut mana mungkin mereka dapat pulang ke Malaysia. Jangan nanti akhbar menyiarkan berita Menteri Besar Kelantan masih belum pulang ke Malaysia akibat kegagalan menunjukkan pasport. 

Rupa-rupanya pemandu teksi menurunkan tokguru di terminal yang salah. Terminal untuk pulang dari umrah dan haji adalah terminal yang lain. Tempoh masa untuk bergerak ke terminal haji ini sekitar 20 minit, secara munasabah tokguru dan datin akan ditinggalkan oleh penerbangan.

Kalut ribut saya dan pengiring-pengiring tokguru berhubung dengan telefon. Mereka mencari teksi yang lain, menghulurkan telefon kepada saya, bercakap dalam situasi bateri telefon hampir kehabisan. Akhirnya berjaya didapatkan teksi yang sanggup memecut dengan masa lima minit. 

Pintu gate sudah ditutup, saya merayu kepada pengawal agar tunggu sedikit sahaja lagi. Hanya tinggal keseorangan di luar pintu pelepasan sedang rombongan lain sudah berada di dalam penerbangan. Tokguru tidak mungkin dapat berlari-lari seperti kami orang muda.

Alhamdulillah, kawan-kawan dari Kedutaan Malaysia yang sedia menunggu di terminal haji sedia membantu. Mereka sediakan kereta khusus mengambil dari pintu teksi terus ke pintu kapal terbang. Pasport tokguru dan datin bersama tiket berjaya diserahkan untuk urusan pengesahan. Hanya beberapa minit sahaja lagi penerbangan akan berlepas, tokguru dan datin sampai juga di atas kerusi penerbangan.

Beg saya, dan segala macam isi kandungannya, tertinggal di atas bas. Saya pasrah, kalau itu harganya, saya rela. Mana mungkin bas yang membawa pergi beg itu yang saya tidak kenal siapa pemandunya dapat dikesan semula. Maha suci Allah, ia kembali semula ke tangan saya dengan segala macam isi kandungannya beberapa minggu kemudian di Malaysia dengan bantuan rakan saya, Ustaz Abdul Rahman Hamzah yang membawanya pulang. Bagaimana beliau mengesan bas itu, wallahualam. Yang paling saya kagum ialah kejujuran si pemandu bas yang boleh mendapatkan tidak kurang USD1000 dollar dengan barang-barang tersebut.

Laptop yang tertinggal itu kini masih saya gunakan. Ia sudah tua, kelajuannya sudah berkurangan. Tapi saya bawa dia musafir ke mana-mana. Kini, di bumi Detroit, Amerika Syarikat, saya membawanya sebagai teman melakar kisah dan peristiwa.

Dato Mohd Amar yang bersama di dalam rombongan bertanya saya di atas penerbangan, “Kalau agak-agak tokguru tidak sempat naik lagu mana?” Saya jawab, “Ambo rela tak balik.....”

- 6 Mac 2015, Detroit, Michigan, Amerika Syarikat.

Sunday, 1 March 2015

TEGURAN HORMAT BUAT USTAZ AHMAD AWANG

Pertamanya tahniah dan syabas diucap kepada Ustaz Ahmad Awang. Selepas lama menyepi dari arena politik dan tidak terlibat dalam aktiviti PAS, Ustaz muncul dengan sebuah tulisan yang menunjukkan kecaknaan terhadap PAS. Semoga ustaz terus menunjukkan komitmen dalam bahtera kita bersama ini, walau tanpa ditaklifkan apa-apa jawatan.

Kedua, berhubung tulisan ustaz yang bertajuk Multaqa ibarat menyimbah minyak ke atas api, suka saya untuk mengemukakan respon balas. Saya percaya ustaz yang sudah bergiat lama dalam dewan ulama amat terbuka untuk menerima apa-apa teguran yang baik dari ahli bawahan. Itulah sikap seorang muslim sejati.

Saya melihat teguran ustaz dibuat tanpa terlebih dahulu menghadiri multaqa. Mustahil rasanya ustaz tidak mengetahui penganjuran program besar ini sebelum dari tarikh. Jemputan juga telah disampaikan buat semua pihak terutama tenaga pengajar agama.

Mungkin ustaz punya keuzuran tertentu untuk hadir, tetapi membuat teguran tanpa mengetahui isi sebenar dan berjumpa sendiri dengan empunya badan adalah satu tindakan yang tidak kena. Besar kemungkinan teguran ustaz berpandukan kepada laporan-laporan media yang dipenuhi prasangka semata-mata. Tidakkah ustaz ingat kaedah alim ulama kita, hukum terhadap sesuatu adalah terhasil dari gambaran tepat ke atasnya. (الحكم على شيء فرع عن تصوره)

Teguran ustaz banyak berkisar mengenai sikap asatizah kita yang banyak menegur ahli-ahli PAS setelah dilihat lari dari dasar, akhlak dan matlamat perjuangan. Bagi ustaz, perbuatan tersebut dilihat tidak membantu menguatkan pakatan rakyat.

Sudah menjadi tugasan para alim ulama, untuk sentiasa menegur mana-mana pihak tidak kira kawan atau lawan supaya sentiasa bertindak mengikut lunas Al-Quran dan sunnah. Ulama sejati tidak akan bertindak mengikut kemahuan ramai, tidak tunduk pada desakan keadaan, dan tidak akan turuti tuntutan-tuntutan semasa sekiranya bercanggah dengan syariat Islam.

Kerana itulah Ulama akan dipandang serong sebagaimana Nabi-nabi terdahulu kerana tindakan mereka yang terkadang terpaksa menongkah arus. Kerana Ulama itu pewaris Nabi. Apa yang menimpa Nabi turut menimpa alim ulama hari ini. Kerana itu juga Nabi meninggalkan suatu pesanan yang amat inspiratif kepada kita supaya para ulama merasai kesinambungan perjuangan Islam:

بدأ الإسلام غريبا وسيعود غريبا كما بدأ فطوبى للغرباء
Islam itu bermula dalam keadaan pelik, dan akan kembali pelik seperti permulaannya.
Maka bergembiralah orang-orang yang pelik (dengan ganjaran besar dari Allah).

Ulama secara umumnya adalah orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Ada perkara yang mereka tahu dalam Islam melebihi orang-orang awam. Justeru itu dalam lapangan amar maaruf nahi mungkar, mereka dapat mengesan kepincangan-kepincangan pada diri dan jemaah umat Islam yang mungkin tidak dapat dikesan orang awam. Kerana itulah mereka akan bertindak menangani masalah tersebut dan orang awam haruslah meletakkan kepercayaan kepada mereka tanpa belah bahagi. Ini prinsip thiqah yang harus dibina pada setiap anggota gerakan.

Seperti juga doktor. Mereka dapat mengesan simpton penyakit pada seseorang walaupun orang lain melihat mereka normal. Doktor terkadang perlu menyuntik jarum walaupun menyakitkan. Sampai suatu tahap mereks terpaksa membelah tubuh dan memotong anggota pesakit untuk merawatnya walaupun dilihat kejam. Pesakit dan orang awam harus memberi kepercayaan kepada doktor menjalankan kerja mereka.

Antara perkara yang dilihat oleh Ulama pada hari ini telah terhakis pada umat Islam ialah kefahaman tentang perjuangan Islam. Krisis yang paling teruk adalah krisis wala', krisis ketaatan terhadap pimpinan dan krisis campuraduk pemikiran asing. Ini adalah penyakit yang amat dititik beratkan sarjana Islam zaman berzaman. Ianya perlu dirawat. Dan menerusi wasiat-wasiat nabawi, ulama secara adatnya tahu cara merawatnya, walaupun nampak kasar mengikut pandangan orang awam. Penentangan sebahagian orang awam itu lumrah. Kata ulama kita:
الإنسان عدو لما يجهل
Manusia itu amat memushi perkara yang mereka tidak tahu.

Sekiranya teguran ulama dalam multaqa adalah silap, maka ustaz sebenarnya telah mempertikaikan Sultanul Ulamak, Izzuddin Abdul Salam sebagai silap kerana sentiasa menegur khalifah walaupun orang awam tidak mendapatinya sikap khalifah bercanggah. Ustaz juga telah menafikan tindakan Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam Ahmad yang tegas tidak mempedulikan tuntutan keadaan dalam menyatakan kebenaran walaupun bagi orang biasa, ia hanya masalah remeh.

Resolusi Multaqa baru-baru ini adalah hasil perbahasan ratusan ulama seluruh Malaysia. Yang memutuskannya bukan ijtihad dua tiga orang. Dan Nabi sendiri memberi jaminan dengan sabdanya:
لا تجتمعوا أمتي على الضلالة
Umatku tidak sekali-kali berhimpin di atas kesesatan.

Justeru pandangan ustaz yang menyalahi pandangan ratusan ulama lain tidak boleh dikira lebih tepat. Bahkan tidak keterlaluan jika saya nyatakan, mungkin tulisan ustaz lebih tepat jika diibaratkan sebagai mencurah minyak. Teguran tersebut juga tidak membantu meredakan keadaan.

Ustaz juga mempertikaikan tindakan ulama mengemukakan masalah dalam PAS. Adakah Ustaz bermaksud ulama perlu menyembunyikan masalah dan berlagak semuanya beres, hanya kerana nak berlakon di hadapan musuh? Kata Imam Malik,
إذا سكت العالم تقية والجاهل ينطق فمتى يتبين الحق؟
Apabila orang alim berdiam diri kerana bimbang, dan orang jahil berbicara, maka bilakah akan zahirnya kebenaran?

Ustaz ada bertanya laporan kajian tahaluf siyasi. Tidakkah ustaz membaca secara teliti tentang resolusi multaqa lepas? Ianya adalah desakan dari ulama kepada pihak berautoriti. Suatu jawatankuasa yang merangkumi semua pihak dalam PAS perlu diwujudkan pihak atasan supaya semua mekanisme kajian lengkap diperolehi. Malangnya bukan setakat kàjian, mekanisme kajian pun masih gagal disediakan. Laporan postmortem PRU13 sampai sekarang masih belum dibentang oleh Pengarah Pilihanraya, Dr Hatta Ramli.

Tulisan ustaz menggambarkan kononnya asatizah kita mengadakan multaqa atas niat menjatuhkan pihak tertentu. Ini suatu kenyataan tidak berasas. Tiada seorangpun nama individu dipetik. Yang dibincang hanyalah bentuk pemikiran dan akhlak yang wajib dibendung.

Sekiranya ada individu berwatak demikian, mereka harus menerima teguran yang benar dan menyingkirkan pemikiran tersebut, bukan menyingkirkan diri sendiri. Allahumma kecualilah jika dia berdegil dengan sikapnya, maka ahli perlu korbankan satu dua individu tersebut demi maslahah menyelamatkan sebuah jemaah.

Sekiranya ustaz ikuti perbahasan dari awal hingga akhir, ustaz akan dapati ia turut melibatkan solusi kepada masalah ekonomi, politik dan sosial yang berlaku hari ini. Malah bukan dari multaqa sahaja, ustaz boleh melihat dalam web dewan ulama, blog Dr Takiri, facebook Ustaz Zaharuddin dan buku-buku terbitan ulama dalam PAS yang lain.

Tapi kerana sikap prejudis sesetengah media, hanya beberapa kerat perkataan yang dijadikan isu. Nampak sangat tulisan Ustaz hanya bersandar pada laporan akhbar semata-mata. Ustaz menyebut tabayyun, tapi adakah Ustaz jiga bertabayyun sebelum menegur?

Secara keseluruhannya saya melihat komen Ustaz banyak berbentuk persepsi semata-mata tanpa menteladani sirah jemaah Islam di zaman Nabi terdahulu. Ustaz tidak berjaya melihat kekacauan hari ini adalah ulang tayang bagi catatan perjuangan umat Islam zaman berzaman.

Akhirnya, saya memohon ribuan kemaafan seandainya tulisan ini dibaca dengan intonasi mengkritik dan menghina. Sehingga ke saat ini, hormat saya pada Ustaz selaku salah seorang berperwatakan Ulama masih tidak luntur. Saya harapkan Ustaz agar dapat kembali aktif seperti dulu, bersama sejemaah dengan para asatizah lain supaya maklumat yang lebih tepat diperolehi. Benarlah sabda Nabi SAW:

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ ، وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِد
Wajib ke atas kamu berjemaah. Jangan sekali-kali berpecah. Sesungguhnya syaitan bersama yang keseorangan.

Sekian dari saya bukan Ulama, bukan teknokrat. Saya hanya cintakan kebenaran.

(Alang Ibn Shukrimun)

Kenapa Umno Tak Masum PRK Chempaka?

DrAzman Ibrahim

Maaf, saya tak mampu lagi nak bersangka baik walaupun saya menghormati keputusan Umno tak letak calon PRK Chempaka.

Jam 12 tengah malam semalam, hati kecik saya berkata, Umno tak masuk PRK kerana...

1. Kerajaan BN memang bercadang nak naikkan harga minyak 1 Mac. Masuk PRK dan naikkan harga minyak dlm masa yg sama bukanlah percaturan politik yg bijak.

2. Majoriti kekalahan 6 ribu lebih bukan mudah nak diatasi.

3. Masuk PRK bermakna akan ada perebutan nak jadi calon. Perebutan bermakna perpecahan dalaman yg parah.

4. Memang kerajaan tak dok pitih nak buat projek-projek segera sempena PRK.

5. Memang BN tak mampu menafikan sentimen hormat rakyat Kelantan kepada Almarhum TGNA. Suka tak suka mereka perlu mengikut arus ini.

Saturday, 28 February 2015

YB Abe Uji Terbaik di Kuala Krai



Dengan wajah yang bersih dan sentiasa menguntumkan senyuman, YB Abe Uji kekal menjadi ikon anak anak muda di negeri ini khasnya Kuala Krai. Malahan rakyat marhaen dari setiap pelusuk kampung tidak kira lapisan umur, kaum dan fahaman kepartian, semuanya menghormati dan mengasihi Abe Uji atas sifat kesederhanaan dan 'mudah berkira' yang dipamerkan olehnya. 

Pada hemat kami, hampir tidak pernah rakyat yang berada di dalam kesusahan dan kesempitan, yang pulang hampa setelah berjumpa dengannya. Akan ada sahaja usaha dan bantuan yang akan dihulurkan oleh Abe Uji. Sikap ini menyebabkan rakyat menyayangi dan menjadikan beliau sebagai tempat mengadu nasib.

Sebut sahaja rakyat di Dun Guchil, Mengkebang, Dabong dan Dun Manek Urai sendiri yang diwakilinya kini, semuanya akan mengakui perkara ini. Turun ke padang dan menghulurkan bahu untuk dipaut oleh rakyat yang dalam kesusahan sudah menjadi perkara biasa padanya. Sudi mendengar apa jua permasalahan anak muda dan rakyat yang datang 'berjemok kiro' dengannya membuatkan orang Kuala Krai selesa dengan Abe Uji.

Atas sebab itulah, bukti paling nyata yang dapat kami sebutkan apabila keputusan PRU13 yang lalu, di saat Parti Islam SeMalaysia PAS tewas di satu kerusi, dan mengalami penurunan yang ketara bagi kerusi parlimen Kuala Krai dan Dun dun lain, di pihak PAS Manek Urai pula mereka cukup gembira apabila undi YB Abe Uji mencatatkan keputusan yang terbaik dan undi beliau berada pada paras yang tertinggi. Malahan undi bagi saluran anak muda, Abe Uji mendapat sokongan yang padu apabila muncul sebagai Adun yang mendapat undi anak muda tertinggi di dalam parlimen ini.

Kami coretkan jasa dan kehebatan YB Abe Uji atas beberapa sebab. Antaranya ramai anak anak perantau yang bertanyakan akaun Facebook Abe Uji kerana kurang liputan sepanjang tempoh bencana sebelum ini. Udara yang tidak kelihatan tidak bermakna ianya tiada. Ia tidak nampak namun boleh dirasa dan memberi manfaat yang cukup banyak kepada alam kehidupan.

YB Abe Uji sejak mulanya banjir hingga ke saat ini terus bertungkus lumus membantu rakyatnya. Markas PAS Manek Urai di Cabang Kuari itu menjadi rumahnya yang pertama. Membelah arus banjir dengan sampan menghantar makanan kepada rakyat di Kg Manek Urai Lama, Peria, Sg Sok dan banyak lagi. Tangisan rakyat menjadi tangisannya. Mereka berkongsi rasa hiba dan kesedihan yang sama. 

Dan, hingga ke hari ini, apabila ditanya sampai bilakah bilik operasi bencana banjir PAS Manek Urai akan ditamatkan, beliau akan sebut bahawa apabila setiap rakyat yang rumahnya musnah, dapat berlindung semula di rumah baru mereka, maka sehingga itu beliau dan sahabat sahabat di Manek Urai akan terus berjuang. Allahurabbi. Kami terdiam dan terkesima. 

Inilah dia pejuang sepenuh masa, yang paling dekat di hati rakyat jelata, yang rumahnya sendiri tenggelam, terputus hubungan dan talian komunikasi dengan isteri dan anak anak, tetapi terus cekal bersama dengan denyut nadi marhaen. 

Memang tidak aktif FB, tiada Twitter, tidak sempat ber WhatsApp serta tiada liputan meluas. Kerana dia cukup sibuk dengan urusan rakyat. Namun ketahuilah YB Abe Uji adalah yang terbaik dari sekalian kalangan yang ada saat ini. Kami Dewan Pemuda PAS Kuala Krai mengangkat tangan tanda tewas dan tidak mampu menyaingi kerja buat dan usaha gigih YB dalam menyantuni rakyat selama ini. 

Semoga YB Abe Uji terus cekal memimpin kami anak anak muda Kuala Krai dan rakyat keseluruhannya di daerah ini. Derap langkahmu akan kami turuti hingga ke akhirnya, insyaallah. 

Bersama kita bina semula semangat warga Kuala Krai selepas bencana besar ini. Kita kutip kembali sisa sisa dari segala keruntuhan dan bangkit semula meneruskan baki perjalanan hidup ini. 

Ayuh bangkitlah Kuala Krai ku. 

Nazman Che Iberahim
Ketua Pemuda PAS Kuala Krai

Thursday, 26 February 2015

"CADANGAN MEROBOH DAN MEMBINA SEMULA MERCU TANDA DI BUKIT BESAR."

Raja Kamarul Bahrin Shah

Saya rasa tidak wajar Kerajaan Terengganu merobohkan dan membina semula Mercu Tanda 'Allah Peliharakan Terengganu' di Bukit Besar. Mercu Tanda tersebut di bina masa Tan Sri Wan Moktar menjadi Menteri Besar dengan perbelanjaan di anggap besar buat masa itu.

Saya menulis sebagai salah saorang pengasas penubuhan Badan Warisan Malaysia pada tahun 1983 di bawah arwah Tan Sri Mubin Shepperd dan juga sebagai Wakil Rakyat Parlimen Kuala Terengganu. Definasi Mercu Tanda mempunyai unsur Warisan berserta dengan nilai sejarah tersendiri. Seperti "Eiffel Tower di Paris" yg agak lama dan kelihatan sedikit usang di makan zaman. Tetapi setelah di selenggara dengan baik sepanjang umur nya ia menjadi selamat dan berfungsi dengan baik. Sama juga dengan Mercu Tanda kita yg telah di jaga baik "maintenance" nya olih JKR. Mereka baru sahaja menjalankan kerja kerja penyelenggaraan yg rapi baru baru ini. Asalkan ianya berfungsi baik dan selamat seperti di akui olih JKR, tidak perlu ianya di roboh untuk di bina yg baru. Bukan saja nilai ke tulinan Warisan sebagai Mercu Tanda bersejarah akan hilang, tetapi pembaziran yg merugikan di kesali rakyat. Kalau perlu pun ubah suai apa yg perlu seperti pendekatan baik YAB Menteri Besar untuk Pasar Payang yg tidak di roboh tapi di ubahsuai sahaja.

Dalam masa rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, kenaikan lesen perniagaan dan GST yg akan bermula April ini, baik lah kerajaan berjimat cermat. Wang tersebut bolih di belanjakan untuk menaikkan taraf pembuangan sampah yg bermasalah, longkang awam yg tidak berfungsi dan ancaman Denggi yg mengancam nyawa di Kuala Terengganu. Harga minyak dunia telah pernah jatuh dari USD 110 sehingga kepada USD 44 baru ini dan perlu lah kita berwaspada. Banyak kepentingan asas lain perlu di beri perhatian. Dalam waktu sebegini keperluan asas perlu di dahulukan prioriti nya dari kecantikan pemandangan. 

Rakyat di minta berkorban dan kerajaan mestilah Memimpin Melalui Tauladan dan merasa perit bersama rakyat. Itu lah harapan rakyat jelata yang saya ingin sampaikan. Semoga di pertimbangkan dengan penuh bijaksana hendak nya.

Raja Bahrin. 
Ahli Parlimen K. Terengganu dan Pengerusi NGO-Nusantara-(Selamatkan Alam dan Warisan Kita).

Nak Pilih TG Haji Hadi Sebagai Mursyidul AM?



Ahmad Amzad Hashim

Berhubung cadangan taktikal bermulut manis mereka yg mahu jatuhkan DS TGHH dari terus memimpin PAS supaya DS TGHH dilantik menjadi Mursyidul Am maka saya cadang beginilah.

Pertama Mursyidul Am bukan dilantik oleh perwakilan. Tetapi oleh AJK Pusat yg akan dipilih oleh perwakilan yg diketuai oleh Presiden pilihan perwakilan di muktamar. Ini dengan penglibatan Dewan Ulama.

Presiden sentiasa merujuk kpd Mursyidul Am seperti yg diamalkan oleh DS TGHH sejak dulu dan jika bercanggah maka keputusan Mursyidul Am yg diutamakan seperti maksud Perlembagaan PAS.

Begitu jugalah contoh ditunjuk ketika DS TGHH menjadi Timbalan Presiden kepada Almarhum Ustaz Fadhil Noor. Beliau setia, taat dan bersungguh2 menjayakan keputusan2 Presiden. Seperti yg dimahukan Perlembagaan.

Beliau profesional dalam amalan berorganisasi.

Jika lihat pada peel perangai mereka yg gelojoh mahu jatuhkan Presiden ini dan tak sabar mahu jadi Presiden, adakah mereka akan ikut teladan yg ditunjuk oleh DS TGHH yg menghormati Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama? 

Contoh yg ditunjuk oleh manusia seperti Phahrolrazi hanya akan jadikan konflik berterusan jika dibuat ikutan.

Kalau mahu sangat DS TGHH menjadi Mursyidul Am, perwakilan perlu pastikan DS TGHH dilantik sbg Presiden dan mereka ini jika ada yg dilantik sebagai AJK Pusat sila lah cadangkan supaya DS TGHH juga mengepalai Majlis Syura. Itu pun jika dibenarkan perlembagaan.

Yang saya tengok, jika mereka yg PASMA atau mirip PASMA menjadi Presiden, mereka akan buat "ikut suka hati aku laa" sama ada nak terima atau tidak pandangan Mursyidul Am, Majlis Syura Ulama atau Dewan Ulama.

Kita mahu PAS jadi macam UMNO agaknya.

Wednesday, 25 February 2015

Najib umum Umno tak bertanding di Chempaka

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata Umno tidak akan bertanding di PRK DUN Chempaka kerana ingin menumpukan perhatian kepada kerja-kerja pemulihan banjir serta pembaikan yang masih berjalan. Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Umno tidak akan bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, keputusan yang dibuat selepas pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob semalam.

Najib yang juga Presiden Umno berkata beberapa faktor sudah dipertimbangkan yang menyebabkan mereka tidak bertanding dalam PRK tersebut.

"Majlis Tertinggi (Umno) mengambil keputusan untuk tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil N06 Chempaka," kata Najib pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas mempengerusikan mesyuarat Umno malam ini.

Najib menegaskan banjir besar yang melanda negeri Kelantan baru-baru ini juga sebagai faktor mereka tidak akan meletak calon di Chempaka.

"Kita ada beberapa sebab pokok mengapa kita ambil keputusan sedemikian, kita hendak tumpukan kepada kerja-kerja pemulihan banjir dan pembaikan di mana kerja tersebut masih sedang berjalan.

"Selain itu, masih banyak pihak yang perlu terima bantuan dan ini kita letak sebagai keutamaan," katanya.

Selain isu banjir, Najib juga menekankan perpaduan ummah sebagai faktor yang menyebabkan Umno tidak meletak calon di Chempaka.

"Kedua, kita fikir kita perlu lihat kepada usaha membawa perpaduan ummah walaupun kita ada perbezaan politik dan sebagainya, tetapi kita perlu berikan keutamaan kepada perpaduan ummah," katanya.

Menurut Najib, keputusan Umno tidak bertanding tidak perlu dipertikaikan, malah semasa pilihan raya Bukit Gelugor lalu, Barisan Nasional (BN) juga membuat keputusan untuk tidak bertanding.

Keputusan yang dibuat hari ini juga sudah mendapat persetujuan di peringkat akar umbi.

Kerusi DUN Chempaka kosong selepas penyandangnya bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 10 Februari lalu.

Ura-ura Umno tidak akan bertanding di Chempaka sebelum ini bertiup kencang, malah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed juga sendiri memberikan pandangan peribadi supaya tidak bertanding di kerusi tersebut.

Bagaimanapun, keputusan ini bakal mengundang kritikan daripada banyak pihak, bahkan kumpulan pendesak Melayu Perkasa sebelum ini juga bertindak mengecam Umno yang enggan bertanding di Chempaka.

Pengumuman ini juga menimbulkan satu lagi spekulasi mengenai kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS. – 25 Februari, 2015.

Tuesday, 24 February 2015

PEMBENTANGAN PINDAAN ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH II KELANTAN

KENYATAAN MEDIA

24 FEBRUARI 2015

PEMBENTANGAN PINDAAN ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH II KELANTAN :

REAKSI KEPADA KENYATAAN YB GOBIND SINGH DEO

Saya merujuk kepada kenyataan terkini yang dibuat oleh Ahli Parlimen Puchong, YB Gobind Singh Deo yang juga merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP yang telah dilaporkan secara meluas di dalam media massa.

Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa PAS tidak lagi dilihat sebagai sebahagian dari Pakatan Rakyat sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan di bawah PAS meneruskan hasrat untuk membentangkan pindaan ke atas Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan 1993 (lebih dikenali sebagai ‘Enakmen Hudud’) di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan pada 18 Mac 2015.

Dalam hal ini, saya ingin memperingatkan YB Gobind bahawa Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan yang ingin dipinda ini adalah sebuah undang-undang yang telah wujud lebih 20 tahun yang lalu, lama sebelum kewujudan Pakatan Rakyat itu sendiri. Manakala pindaan yang dicadangkan hanyalah untuk mengemaskini dan memperbaiki undang-undang tersebut terutama dari aspek teknikal yang tertentu. Ia belum dapat dilaksanakan sehinggalah mendapat kebenaran dan pindaan undang-undang di Parlimen.

Pindaan yang bakal dibentangkan juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian ahli Parlimen (Private Member’s Bill) di Dewan Rakyat yang berkait dengan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan atau Akta Mahkamah Syariah 1965 sebagaimana yang digemburkan oleh sesetengah pihak memandangkan tarikh pembentangannya pun belum ditetapkan lagi. Adapun PAS menggunakan jalan demokrasi dalam proses melaksanakan perkara ini yang mana ia memberikan pilihan kepada ahli parlimen untuk membentangkan.membahas,menyokong atau ,menolak rang undang-undang persendirian yang ingin dibawa itu.

Ahli Parlimen Puchong, YB Gobind Singh Deo bolehlah menggunakan ruang demokrasi tersebut untuk menyatakan pendirian bersama Ahli Parlimen DAP yang lain tanpa perlu membangkitkan isu berkenaan kedudukan parti lain di dalam Pakatan Rakyat. PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan akur dengan apa jua keputusan dan ketetapan yang akan diputuskan di Parlimen kelak samada menerima mahupun menolak rang undang-undang persendirian tersebut.

PAS juga menghormati keputusan yang telah disepakati bersama di dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang lalu. Oleh itu, PAS mendesak agar Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dapat diadakan segera agar pihak PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan dapat memberikan penjelasan butiran pindaan Enakmen Kanun Jenayah Shariah II Kelantan.


Yang benar,


YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS/
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

TG Haji Hadi Tiada Tokoh Kepimpinan?

Ahmad Amzad Hashim

DS Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dihormati diseluruh dunia bukan sekadar ilmunya. Beliau lebih dikenali sebagai seorang tokoh pemimpin.

Beliau dijemput sebagai tetamu di negara2 Islam atas ketokohan kepimpinannya untuk beri pandangan tentang kepimpinan, urusan ummah, masalah pergolakan dunia, menyelesaikan konflik antarabangsa.

Bukannya keluar masuk tv dipentas antarabangsa atas kapasiti sebagai tempat rujuk utk beri fatwa fatwa feqah dan akidah semata mata.

Dalam dunia Islam, beliau ikon kepimpinan. Selain ikon keilmuan.

Sangat jahil mereka yg berkata DS TGHH tiada tokoh kepimpinan. 

Seperti katak bawah tempurung yg mungkin tak pernah mengenal dunia luar yg lebih dikenali oleh DS TGHH yg terbang ke sana sini dgn undangan yg tak menang tangan utk dihadiri.

Spesifiknya yg ada hati nak langgar jadi Presiden parti.

Apa kamu fikir dah capai piawai murobbi ker kalau dilihat tunggangan dan jadi alat yg ditaja DAP ?

Atau kena bercakap bahasa baku, cakap orang putih, pakai kot, baju tie in baru ada tokoh pemimpin?

Monday, 23 February 2015

Antara inti pati perjumpaa MB Kelantan Dengan PM

Datuk Ahmad Yakob

Pada 23 Februari 2015, isnin saya telah mengadakan kunjung hormat kepada YAB Perdana Menteri Malaysia bagi perbincangan dua hala antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan dalam perkara:

1. Persiapan akhir migrasi air yang dijangka majlis menandatangani perjanjian akan di adakan pada Mac 2015 nanti.

2. Membincangkan tentang Jajaran 'Central Spine Road' sepanjang 417 km bermula dari Kota Bharu sehingga ke Simpang Pelangai di sempadan Pahang/Negeri Sembilan.

Kunjung hormat ini adalah tanggungjawab saya sebagaimana termaktub dalam jadual tahunan bagi menyatakan beberapa tuntutan serta memenuhi keperluan kesejahteraan Negeri Kelantan yang dicintai.

Turut bersama dalam perbincangan tersebut ialah Ketua Penolong Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Timbalan Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Doakan semoga Allah mempermudah segala usaha saya dan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan demi berkhidmat untuk rakyat.

USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Saturday, 21 February 2015

Pandangan Pembaca Kerabu Bersuara

Oleh: Ahmad hazman

Dengan UMNO kena sentiasa berhati hati sama ada ketika mereka keras dengan kita atau ketika mereka kelihatan buat baik dengan kita.

Berhati hati bukan maksud kena ajak 'balloh dan goccoh sokmo.'

Ada orang kita susah hati bila orang2 PAS tidak lagi benci orang UMNO. Susah hati bila orang PAS boleh bersalam, berkunjung ziarah dan senyum pada orang UMNO.

Susah hati bila ceramah2 kita tak lagi bernada kebencian.

Anda lupakah pesan Ulama, kita bermusuh dgn UMNO bukan kerana namanya UMNO?

Dalam keadaan masyarakat yg makin terpelajar, umat Islam semakin terdedah dgn ilmu agama, orang2 UMNO pun duk budaya kan kuliah, forum perdana untuk tunjuk mereka mahu hidup beragama juga, adakah cerdik atau bodoh kita tonjolkan ciri ciri paranoid dan schizoprenic kpd sesama Islam?

Beri peluru percuma kpd UMNO bhw mereka yg baik dan kita pula yg angkuh dan tidak berakhlak Islam.

Kita dah byk tengok permainan strategy dimenangi dalam keadaan senyum dan bukan melalui hentak meja bergusti lengan.

Kita kata ulama dan profesional, cerdik pandai, ramai yg bersama kita. Jadi ahli, penyokong diam atau terang.

PAS pernah dikhianat UMNO. Itu tahun2 70an. Ketika itu bila sebut PAS, maka sinonim dgn kelompok masyarakat melayu luarbandar, orang biasa2 dengan ulama dan ustaz yg memimpin. Jarang2 dengar ada lawyer, engineer, doktor dan pakar2 strategi dalam PAS.

Sekarang orang kata UMNO pula yg tinggal hanyalah melayu luar bandar dari tanah2 rancangan yg disekat maklumat. Dikata tak ramai lagi melayu profesional yg jadi tulang belakang.

Dengan segala sumber yg ada, mengapa PAS perlu bersikap begitu inferior seolah2 merasa boleh sentiasa dipermainkan2 oleh UMNO?

Seolah2 mcm jadikan pendirian bahawa PAS tidak bijak jadi pencatur. Kerana itu sentiasa memghulur tengkuk untuk dicatur orang lain.

Biarkan orang luar yg jadi pencatur. Orang lain yg jadi mastermind.

Sedangkan pemimpin sendiri DS TGHH bukan calang2 manusia, menjadi rujukan gerakan Islam diperingkat dunia.

Kena ingat, yg boleh khianat kpd kita, bukan UMNO sahaja.

Tok Guru...Kematian yang menghidupkan

ABD RAZAK MUTHALIB

"Enta dari mana?" "Ana dari UIA".

"Alhamdulilah…belajar bersungguh-sungguh. Jangan jemu. Buat kerja dakwah".

Begitulah lebih kurang antara dialog kami 14 tahun lepas. Kenangan pertemuan kali pertama di Masjid Pulau Melaka, selepas solat Asar itu kembali menggamit memori.

Saya ditemani sahabat saya, Amin Idris, bertolak dari Kuala Lumpur ke Kelantan semata-mata untuk menziarahi beliau.

Selama ini hanya menatap wajahnya dari kaca televisyen dan dada akhbar. Mendengar suaranya melalui kaset-kaset ceramah beliau. Petang itu, saya dapat bersalaman dan bersembang secara langsung dengan beliau.

Tanpa temu janji. Tanpa surat. Tanpa protokol. Tanpa pengawal. Selepas beliau mengimami solat Asar, berkain pelekat berbaju Melayu dan berkopiah putih, saya dapat bertemu Menteri Besar Kelantan, yang lebih mesra dipanggil Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Pertemuan terakhir

Tanggal 7 Januari 2015, adalah kali terakhir saya bertemu, menatap wajah dan bersalaman dengan beliau. Saya bersama Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan ditemani adinda Tok Guru, Nik Nasim berpeluang menziarahi beliau di Hospital USM.

Tatkala melangkah masuk ke bilik rawatan, perasaan sebak tidak mampu disembunyikan lagi. Melihat beliau yang terbaring keuzuran, memandang kami dengan wajah yang sayu, lemah mengangkat tangan mungkin tanda menyambut kedatangan kami.

Bibir ini tidak terungkap kata-kata. Saya hanya mengucapkan salam dan kami bersalaman. Tangan beliau saya kucup penuh kerinduan.

Mungkinkah ini kali terakhir saya bersalaman dengannya? Persoalan ini bermain di fikiran. Perasaan sebak semakin meluak-luak.

Sepanjang berada di bilik rawatan, saya hanya menatap wajah beliau sambil mulut memanjatkan doa agar disembuhkan dan dipermudahkan segala urusannya.


Berita hiba

12 Februari 2015, 9.40 malam, malam Jumaat, detik ini begitu hiba sekali. Berita kematian beliau begitu berasa. Selepas 84 tahun, Tok Guru pergi buat selama-lamanya bertemu Sang Pencipta, ALLAH SWT. Perpisahan ini amat berat sekali.

Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan, rakyat Malaysia bersedih atas kehilangan sebutir permata yang sukar untuk dicari ganti semula.

Kita kehilangan seorang ilmuwan yang disegani, pemimpin yang amanah, tokoh politik yang berprinsip, pejuang sunnah yang kental dan ahli zuhud lagi warak. Kita kehilangan murabbi ummah.

Seluruh kehidupannya disumbangkan kepada perjuangan dakwah menegakkan sunnah Rasulullah SAW, mentarbiahkan rakyat agar berasai hidup beragama, sentiasa mengajak supaya mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul-Nya dalam segenap aspek kehidupan termasuklah dalam urusan politik dan pemerintahan.

Jika diselusuri sejarah kehidupan beliau, tidak sedikit cabaran dan dugaan yang dihadapi. Dimaki, dicemuh, difitnah, dituduh sebagai kaum muda dan Wahabi, disekat, ditindas, dizalimi dan pelbagai lagi telah beliau rasai.

Itu semua tidak memadamkan semangat perjuangan beliau. Beliau terus berjuang sehingga ke hembusan nafas terakhir.

Namun, insan tetap tidak dapat lari dari hakikat insan. Tidak sempurna dan adanya kekurangan. Namun, kita dapat lihat, Tok Guru telah berusaha sehabis baik yang beliau mampu dalam memartabatkan Islam sepanjang hayat beliau sebelum dan semasa memegang tampuk kepimpinan Kelantan dan sebagai Mursyidul Am Pas.

Ramai yang sayang dengan Tok Guru. Ramai yang sedih dengan pemergian beliau. Lihatlah sahaja di hari kematiannya, puluhan ribu yang hadir untuk solat jenazah.

Belum dikira lagi yang solat jenazah ghaib dalam mahupun luar Malaysia. Ucapan takziah daripada pelbagai bangsa dan agama. Tanpa dibayar, tanpa diupah, tanpa dipaksa, mereka melakukan semua ini. Mudah-mudahan ini sebagai lambang ganjaran kebaikan yang diperoleh Tok Guru di sana.


Tiada talkin, kenduri tahlil?

Ada juga beberapa persoalan yang timbul apabila melihat pengurusan jenazah Tok Guru. Ada yang bertanya, mengapa tidak dibaca talkin selepas dikebumikan?

Mengapa tidak ditabur bunga dan disiram air atas kubur beliau?

Mengapa kawasan perkuburan tersebut tidak ada binaan kubur? Mengapa ahli keluarga beliau tidak mengadakan majlis tahlil dan kenduri arwah? Mengapa dan mengapa…

Ini bukanlah suatu yang pelik dan menghairankan. Sebenarnya inilah inti pati perjuangan dakwah beliau selama ini. Tok Guru sentiasa mengingatkan kita supaya memastikan akidah, ibadah, akhlak dan termasuk juga berpolitik berpandukan dalil yang sahih, bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW. Tok Guru mengajar kita semua supaya mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkan segala kesyirikan, khurafat, bidaah dan adat resam yang bercanggah dengan syariat.

Semasa hayatnya, beliau begitu memastikan agar urusan ibadah dan kehidupannya bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW, begitu juga beliau mahukan dalam urusan kematiannya. Alhamdulilah, ia dilaksanakan ahli keluarganya sekadar yang mampu.


Haram meratapi kematian

Contohnya, berdasarkan ajaran Rasulullah SAW, kita diharamkan untuk meratapi kematian (al-niyahah). Imam al-Zahabi di dalam al-Kabair menyenaraikannya sebagai dosa besar.

Hukum ini berdasarkan hadis yang melarang keras perbuatan ini. Antaranya ialah: "Dua perkara jika berlaku kepada manusia adalah kufur: mencela nasab keturunan dan meratapi ke atas mayat". (Riwayat Muslim, no 224)

Imam Al-Nawawi menghuraikan maksud hadis ini: 1) Kedua-dua perbuatan tersebut adalah amalan orang kafir dan merupakan akhlak jahiliah. 2) Perbuatan ini membawa kepada kufur. 3) Kufur (yang dimaksudkan ialah) kufur nikmat dan ihsan. 4) Jika ia mengharuskan perbuatan tersebut, maka ia menjadi kafir. (al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Beirut: Dar al-Ma’rifah, m/s 245)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya mayat diazab dalam kubur disebabkan ratapan ke atasnya". (Riwayat al-Bukhari, no 1292 & Muslim no 927)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani telah memberikan huraian yang panjang terhadap maksud hadis ini. Kesimpulannya, hal ini disebabkan si mati tidak mengajar dan berpesan kepada ahli keluarganya mengenai larangan ini. Maka keluarganya melanggar larangan ALLAH, lalu meratapi kematiannya. (Rujuk: Al-Asqalani, Fath al-Bari, Riyadh: Dar al-Salam, m/s 192-205)

Adat ahli keluarga mengadakan jamuan atau dikenali sebagai 'kenduri arwah atau majlis tahlil' termasuk dalam perkara meratapi kematian (al-niyahah).

Hal ini disebut sendiri oleh sahabat Rasulullah SAW; Jarir bin Abdullah al-Bajali: "Adalah kami menganggap berkumpul di rumah si mati dan menyediakan jamuan makanan adalah termasuk di dalam meratapi kematian". (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya (no.6905), Ibn Majah dalam Sunannya (2/2275). Disahihkan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (5/290). Di sahihkan juga oleh Syaikh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah (2/48).

Dalam ilmu hadis, jika mana-mana perkataan daripada sahabat Nabi Muhammad SAW yang menggunakan lafaz seperti "kami disuruh untuk melakukan sesuatu" atau "kami dilarang daripada sesuatu" atau "adalah kami mengatakan" atau "kami melakukan sesuatu" dan yang sama maksud dengan lafaz ini, perkataan tersebut dihukumkan sebagai hadis marfu’ (sanadnya sampai kepada Rasulullah).


ulama mazhab Syafie

Dalam hal ini, ulama Mazhab Syafie menyeru kepada perkara yang sama. Mereka melarang untuk diadakan majlis yang kita kenali sebagai kenduri arwah atau kenduri tahlil.

Sebagai contoh, Imam Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyebut: "Telah berkata pengarang kitab al-Syamil: Ada pun perbuatan ahli keluarga si mati yang menyediakan makanan dan menghimpunkan orang ramai (untuk jamuan tersebut), tidak pernah dinukilkan daripada Nabi SAW sedikit pun, dan ia adalah bidaah yang tidak disukai".

Ramai lagi ulama Mazhab Syafie yang menyebut perkara yang sama termasuk ulama Melayu Nusantara.

Contohnya, Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam Furu’ al-Masai’l menyebutkan: "…dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan apa yang demikian itu haram atau makruh atau harus (dijawabnya) adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak".

Apa pun, semua yang Tok Guru pesan kepada anaknya bagaimana untuk menguruskan jenazahnya, adalah manifestasi cinta dan sayang beliau kepada sunnah Rasulullah SAW.

Kematian Tok Guru menghidupkan banyak perkara. Menghidupkan kesedaran. Menghidupkan keinsafan. Menghidupkan erti perjuangan. Menghidupkan prinsip amanah dan keadilan. Menghidupkan erti zuhud dan ketakwaan. Menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang dipinggirkan.

Semoga Tok Guru diampuni, dirahmati dan diganjari syurga al-Firdaus.

*Penulis ialah mantan pensyarah Jabatan School of Social Science (Kolej Islam Antarabangsa). Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang ilmu wahyu, al-Quran dan Sunnah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sekarang bertugas sebagai perunding latihan dan motivasi di AITC.

Saturday, 7 February 2015

MENJAWAB KENYATAAN DATUK NOOR FARIDA ARIFFIN BERKAIT ISU HUDUD

Saya merujuk kenyataan Datuk Noor Farida Ariffin jurucakap G-25 berkait isu hudud.

1. Kenyataan beliau bahawa, "Pesalah laku seks kanak-kanak akan berkerumun di Kelantan kerana di sana mereka boleh rogol kanak-kanak atau orang dewasa."

Kenyataan ini sangat prejudis, menghina dan jauh daripada bersifat ilmiah. Sepatutnya beliau yang berucap mewakili golongan cendikiawan G-25 berhujah secara rasional dan bukan dengan sentimen yang penuh buruk sangkanya terhadap hudud. Rujukan beliau bahawa pesalah rogol akan mudah terlepas hukuman disebabkan hanya empat saksi diterima dan bukti saintifik ditolak, jauh menyimpang daripada maksud sebenar. Beliau memberi gambaran mudahnya perogol dibebaskan, sedangkan banyak peringkat hukuman lain seperti takzir yang akan dilalui oleh pesalah tersebut.

Saya keliru, kerana selama ini beliau mempromosikan Malaysia yang sederhana dan menolak tindakan ekstrim yang akan merosakkan masa depan Malaysia. Tetapi ucapan beliau tersebut menggambarkan beliau sendiri terjerumus kepada bersikap ekstrim, emosional dan berlaku tidak adil kepada pihak lain.

2. Kita juga menuntut Datuk Noor Farida kemukakan satu solusi penyelesaian kepada jenayah yang berleluasa dalam negara kita. Jika anda menolak hudud sebagai penyelesaiannya, adakah ada solusi yang lain yang boleh dikemukakan yang terbukti berkesan menjegah jenayah dan beri keadilan kepada semua pihak.

3. Pemuda PAS Malaysia juga menjemput Datuk Noor Farida Ariffin untuk berdialog berkenaan isu hudud ini untuk menjelaskan kekeliruan dalam hal ini. Harapan kami agar pelawaan ini diterima sejajar dengan perjuangan beliau untuk melihat Malaysia yang lebih sederhana, bebas ekstrimisme dan memberi keadilan untuk semua pihak.

Mohd Nasaie Ismail
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia

8.45pm
7 Februari 2015

Thursday, 15 January 2015

PASCA BANJIR : SEBULAN GAJI UNTUK KESUSAHAN RAKYAT!

Ketika Saidina Abu Bakar R.A menjadi Khalifah selama enam bulan, beliau masih tidak menggunakan duit Kerajaan untuk urusana kehidupannya sehinggalah para Sahabat mencadangkan beliau diberi gaji tetap, sekalipun begitu beliau banyak mengembalikannya semula kepada keperluan rakyat. Begitulah juga keadaan semasa pentadbiran Khalifah Umar Al-Khattab dan para Khulafa’ Al-Rasyidin.

Setelah Dr Mursi menjadi Presiden Mesir, beliau menyumbangkan semua gaji Presidennya untuk kebajikan rakyat. Apabila beliau menyelidiki kesusahan rakyat, setiap kali dijumpai kesusahan, beliau akan mengurangkan kemewahan di peringkat pentadbiran Kerajaan. Walaupun banyak lagi agenda lain yang dilakukan untuk kebajikan rakyat, akan tetapi inisiatif memulangkan gaji ini menjadi agenda kebajikan pemimpin berjiwa rakyat terdahulu dan masakini bagi menzahirkan keprihatinan serta kebersamaan pemimpin bersama rakyat.

Pasca bah kuning baru-baru ini, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan turut mengambil inisiatif menyumbang sebulan gaji beliau iaitu gaji januari 2015 kepada kesusahan mangsa banjir dan diminta Timbalan Menteri Besar, Ahli Exco, Speaker Kerajaan Negeri, ADUN, ADR, ADN turut menyumbang sebulan gaji/elaun kepada mangsa banjir melalui Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan mengikut kemampuan mereka masa kini. Pembayaran ini boleh juga dibuat berperingkat bagi mereka yang turut mengalami kesusahan akibat banjir.

Bagi YAB Ustaz Dato', apalah sangat nilai sebulan gaji jika dibandingkan dengan banyak kemusnahan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir. Sekalipun dikalangan Exco, ADUN sendiri ada yang menjadi mangsa banjir dan turut menanggung bebanan yang sama dengan rakyat, akan tetapi dengan tarbiyah pengorbanan ini yang dimulai dengan pemimpin sendiri, insya-Allah akan diberkati dan diredhai Allah SWT.

MOHD ASRI MAT DAUD
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 24 Rabiul Awwal 1436 / 15 Januari 2015

Wednesday, 14 January 2015

SIDANG MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN TABUNG AMANAH BENCANA BANJIR NEGERI KELANTAN

SIDANG MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN TABUNG AMANAH BENCANA BANJIR NEGERI KELANTAN

1. Majlis Pelancaran Tabung Amanah Bencana Banjir ini akan diadakan pada 18 Januari 2015 pada hari ahad bertempat di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Majlis akan bermula pada jam 4.30 petang hingga 6.00 petang.

2. Tabung Amanah Bencana Banjir ini pada asasnya telah ditubuhkan pada 29 Disember 2014 lepas dibawah subseksyen Akta Acara Kewangan 1957. Tabung ini bertujuan untuk mengumpul dana bantuan segera daripada pelbagai sumbangan kewangan seperti Kerajaan Persekutuan, Badan-Badan Berkanun, Syarikat-syarikat Swasta, NGO dan orang ramai. Hasil sumbangan ini akan digunakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir dari sudut bantuan segera berupa makanan, pakaian dan keperluan asas harian termasuklah bagi membina rumah yang telah rosak akibat banjir.

3. Majlis Pelancaran ini akan melibatkan semua termasuk Menteri Besar Kelantan, Timbalan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pengerusi BBC, Ahli-Ahli Dewan Rakyat, pimpinan Kerajaan Negeri dan seluruh pegawai tadbir Kerajan dan kita telah menghubungi lebih daripada 100 penderma yang terdiri daripada Syarikat GLC Kerajaan Persekutuan, GLC Kerajaan Negeri, Syarikat Pelaburan dan Pelabur-Pelabur dari Kelantan, Syarikat Telekomunikasi, Pihak-Pihak Bank dan Anak-anak Syarikat Negeri Kelantan. Kita juga turut membuka kepada semua dermawan-dermawan, orang perseorangan dalam dan luar negara yang ingin berbakti dan menghulurkan derma kepada mangsa banjir Kelantan.

4. Kita di peringkat Kerajaan Negeri telah bersetuju bahawa Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menyumbang sebulan gaji kepada Tabung Amanah Bencana Banjir ini dan juga semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri mereka akan menyumbang sebulan elaun mereka termasuklah Ahli Dewan Rakyat dari Kelantan, Ahli Dewan Negara dan YB Dato’ Speaker.

5. Disini, Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pelbagai bentuk bantuan serta bekalan kepada semua mangsa-mangsa banjir di Negeri ini. Penghargaan khas kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negara Thailand, Agensi-Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Pasukan Keselamatan, Tentera, Polis, Pertahanan Awam, Bomba, Rela, Pihak Hospital serta Pasukan Perubatan, Ahli-Ahli Korporat, Usahawan-Usahawan, Semua NGO, Pertubuhan-Pertubuhan Profesional, Jabatan Amal, Sukarelawan dari Palestin, Thailand, Singapura, Bangladesh, Emirates, Turki , Para Dermawan dari dalam dan luar Negeri dan juga Orang Perseorangan. 

6. Dan Kepada mana-mana pihak yang terus ingin berbakti dan menyumbang bagi pembangunan semula pasca banjir dan tidak sempat hadir bolehlah menyalurkannya ke:

TABUNG AMANAH BENCANA BANJIR NEGERI KELANTAN
Melalui akaun: Bank Islam Malaysia Berhad 03018010080024
Atas nama penerima: Tetuan Perbendaharaan Negeri Kelantan

USTAZ DATO' HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 23 Rabiul Awwal 1436/14 Januari 2015

Monday, 12 January 2015

Kenyataan Media: Penjelasan Menteri Dalam Negeri Masih Dinanti

Dato’ Mahfuz Omar

1. PAS masih menanti penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan surat yang ditulis beliau kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dalam kes warganegara Malaysia Paul Phua, yang didakwa seorang raja judi. Sehingga ke hari ini, beliau masih belum memperjelaskan kepada umum berkenaan tindakan mengutus surat kepada FBI itu.

2. Sungguh memusykilkan kita lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa kabinet sendiri tidak tahu menahu berkenaan surat tersebut. Timbul persoalan besar di sini, adakah tindakan berani Menteri Dalam Negeri itu masih berada di dalam ruang lingkup kuasanya sehingga mengatasi Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Peguam Negara sendiri..?

3. Teka-teki ini sungguh membingungkan masyarakat umum yang risau akan integriti dan ketelusan pemimpin kerajaan kerana perbuatan sebegitu boleh diibaratkan seperti bersekongkol dalam melindungi penjenayah besar yang berkepentingan.

4. PAS juga menuntut Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah perkhidmatan keselamatan yang telah diberikan oleh Paul Phua kepada kerajaan sepertimana yang dinyatakan di dalam surat menteri tersebut. Rakyat berhak untuk mendapatkan penjelasan tersebut kerana ia melibatkan isu keselamatan negara. Sesungguhnya suatu malapetaka dan musibah yang besar sekiranya benar pihak kerajaan sanggup berurusan dengan penjenayah kongsi gelap dalam hal membabitkan keselamatan negara.

5. Jikalau Menteri punya keberanian dalam mengutus surat kepada FBI maka, keberanian yang sama juga ditagih dalam memperjelaskan letakduduknya isu ini secara terang dan nyata kepada rakyat yang menantikan penjelasan beliau.


Dato’ Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS
13 Januari 2015

Monday, 22 December 2014

Jawapan 20 soalan tentang undang-undang jenayah syariah – Zulqarnain Lukman

Erik Paulsen daripada kumpulan Lawyers For Liberty menulis mengenai Hudud: 20 Soalan Untuk PAS dengan mengajukan 20 soalan yang paling kerap ditanya. Saya tidak menjawab bagi pihak PAS dan saya tiada mandat untuk berbuat demikian. Jawapan saya ini berdasarkan pemahaman saya kepada undang-undang syariah dan undang-undang sivil yang saya tekuni sejak lebih 20 tahun lepas.

Sebelum itu, harus difahami hudud bukan satu-satunya undang-undang jenayah Syariah yang terkandung dalam ajaran Islam. Selain hudud, qisas dan takzir juga menjadi sebahagian daripada undang-undang jenayah syariah yang menjadi perintah agama Islam.

Undang-undang jenayah Syariah boleh dilaksanakan dalam apa jua keadaan kerana ia bersifat universal. Ia kalis zaman dan tempat kerana mengandungi 3 bentuk: hudud, qisas dan takzir. Ketiga-tiganya saling melengkapi. Hukuman hudud dipindah kepada takzir. Jika berlaku apa-apa sebab yang membolehkan ianya digantung pelaksanaan maka ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Sumber yang lazim diambil adalah penggantungan pelaksanaan hukuman sariqah (mencuri) pada zaman Sayyidina Umar pada musim kemarau dan kebuluran. Dengan membawa persoalan sama ada boleh atau tidak undang-undang jenayah syariah dilaksanakan dalam keadaan wujud perbezaan besar antara orang kaya dan orang miskin adalah seolah-olahnya merendahkan dan menghina orang miskin itu lazimnya melakukan jenayah sariqah dan merendahkan martabat orang kaya kononnya orang kaya selalu dapat membeli pihak hakim dan pendakwa dengan wang ringgit mereka bagi mengelakkan hukuman tersebut. Dalam tradisi Islam, kemuliaan seseorang bergantung kepada sifat takwa yang dimilikinya, sebab itu yang lebih afdal untuk menjadi imam solat adalah seorang yang pandai dalam ilmu qiraat walaupun beliau seorang yang miskin atau berjawatan rendah.

Sebagai seorang peguam, seharusnya saudara lebih faham hukuman hanya dapat dijatuhkan apabila cukup bukti. Tiada statistik dikemukakan orang kaya dan berkuasa boleh terlepas daripada pelaksanaan undang-undang. Jika ada sekali pun, mungkin penulis itu merujuk kepada persepsi yang ada sekarang dalam pelaksanaan undang-undang sivil. Kerana itu, saya yakin jika undang-undang jenayah syariah ini dilaksanakan maka VVIP yang menduduki jawatan syarikat bir juga tidak terlepas daripada hukuman jika ianya memenuhi elemen kesalahan syurb (minum arak). Selain itu, hendaklah difahami berjudi tidak termasuk dalam kesalahan hudud seperti yang digambarkan dan ianya tertakluk kepada kesalahan takzir.

Undang-undang syariah tidak membezakan siapa sahaja yang berbuat kesalahan sama ada beliau orang berkuasa dan kaya atau orang itu miskin dan lemah atau pelancong yang beragama Islam. Sesiapa yang melakukan kesalahan di dalam wilayah yang berbidang kuasa hendaklah didakwa dan kehendak ini adalah jelas terkandung dalam Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan [“KJS”]. Para hakim dan pendakwa di dalam sistem Mahkamah Syariah dipandu bukan saja dengan peraturan yang ada bahkan mereka juga mempunyai nilai nurani yang tinggi dalam menjalankan tugasnya.

Berkaitan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak yang ditinggalkan suami) pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bertindak secara proaktif dengan menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk membantu ibu tunggal yang teraniaya ini. BSK ini akan membantu menyediakan kemudahan logistik kepada ibu tunggal ini dalam penguatkuasaan terhadap suami atau bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab nafkah ini.

Berkaitan kekhuatiran akan berlaku salah hukum seperti silap memotong tangan atau merejam adalah pandangan yang tersasar kerana ukuran itu dibuat menggunakan neraca pembuktian sistem jenayah sivil. Di dalam Hukum Syarak, pembuktian ke atas kesalahan hudud dan qisas hendaklah melampaui sebarang bayang-bayang keraguan (beyond any shadow of doubt) dan bukan setakat melampaui keraguan yang munasabah (beyond any reasonable doubt).

Menurut KJS juga, terdapat 2 peringkat perbicaraan yang mana terdapat 3 hakim membicarakan di peringkat Mahkamah Bicara Khas dan terdapat 5 hakim di peringkat Mahkamah Rayuan Khas. Komposisi hakim juga terdiri daripada ulama yang alim hukum fiqh dan prosedur jenayah dan bekas atau hakim Mahkamah Sivil yang setara dengan hakim Mahkamah Tinggi Malaya/ Borneo ke atas.

Oleh kerana begitu ketat kaedah pembuktian dan penelitian keterangan hakim yang berpengalaman maka mustahil untuk berlaku kesilapan. Bahkan, menurut tatacara yang terpakai, hukuman yang dikenakan itu masih boleh dibatalkan sejurus sebelum hukuman itu dilaksanakan jika ada sebarang keraguan baru ke atas sabitan kesalahan tersebut.

Undang-undang jenayah Syariah ini bersumberkan hukum agama Islam. Oleh itu, orang Islam akan terikat dengannya manakala orang bukan Islam mempunyai pilihan untuk memilih dihukum dengan hukuman ini atau di bawah hukuman sivil. Hal ini disebut secara nyata di dalam KJS.

Bagaimanapun, ianya masih tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan maka ianya adil kepada orang Islam kerana dengan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah ini maka ianya memenuhi keperluan beragama bagi orang Islam. Manakala, bagi orang bukan Islam sedikit pindaan kepada kerangka undang-undang yang ada akan membolehkan juga orang bukan Islam dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Undang-undang jenayah syariah ini adalah sebahagian daripada undang-undang Islam dan menurut Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal berkaitan undang-undang jenayah Syariah ini hanya boleh dilaksanakan di Mahkamah Syariah. Maka, Kelantan adalah perintis kepada perlaksanaan hukuman ini sebagaimana kehendak majoriti rakyat Kelantan. Jika ada negeri lain ingin melaksanakannya maka terpulang kepada rakyat negeri tersebut untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri yang mempunyai komitmen sama. Maka, itulah akhirnya yang berlaku dalam pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Yang tidak adil adalah jika kedua-dua pesalah itu ditangkap di Kelantan atas kesalahan sariqah, seorang dipotong tangan dan seorang lagi dihukum penjara.

Penulis mempersoalkan kenapa dalam kes sariqah seperti mencuri motosikal seorang itu dipotong tangan tetapi dalam kes pecah amanah seseorang itu hanya dihukum penjara. Ini salah tanggapan. Jika cukup elemen sariqah dalam kes pecah amanah maka tangan pesalah itu juga boleh dipotong juga menurut hukum Syarak. Namun, bukan semua kesalahan pecah amanah itu mempunyai elemen yang mencukupi bagi sabitan di bawah kesalahan sariqah.

Salah tanggapan untuk menyatakan kesalahan rogol dan zina adalah sama. Para ulama menyatakan rogol adalah kesalahan zina bil jabr. KJS pula hanya memperuntukkan kesalahan zina tanpa termasuk kesalahan rogol. Oleh kerana kerangka undang-undang sekarang mengecualikan orang bukan Islam daripada bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka orang bukan Islam itu tidak akan dihukum atas kesalahan zina. Bagi kesalahan rogol pula, orang bukan Islam atau orang Islam kedua-duanya akan dibicarakan di Mahkamah Sivil.

Salah tanggapan untuk menyatakan mangsa rogol akan terdedah kepada kesalahan qazaf (tuduhan palsu zina) kerana kesalahan rogol berada di luar bidang kuasa KJS. Begitu juga berkaitan kehamilan sebagai bukti zina. Saya percaya Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Istiadat Kelantan bersetuju memansuhkan peruntukan ini dan pindaan akan dibuat dalam sidang DUN Kelantan yang akan datang.

Undang-undang adalah adil dan saksama. Hukuman rejam ke atas pesalah zina yang muhson adalah sabit mengikut sunnah dan amalan sahabat. Inilah pandangan jumhur para ulama. Pensabitan jenayah zina amat ketat iaitu hendaklah disaksikan oleh tidak kurang 4 saksi lelaki adil yang menyaksikan sendiri jenayah zina itu berlaku seumpama seorang menyaksikan batang celak dimasukkan ke dalam bekas celak. Selain itu, sabitan juga boleh dibuat dengan pengakuan pesalah itu sendiri. Bagi sabitan atas pengakuan, ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa sebelum hukuman dilaksanakan. Maka tidak tepat untuk menyatakan hukuman zina muhsan itu tidak adil. Begitu juga adalah tersasar untuk membandingkan kesalahan zina dengan rogol kerana rogol berada di luar daripada bidang kuasa KJS.

Tidak adil semata-mata untuk membandingkan kesalahan pecah amanah atau rasuah dengan jenayah sariqah. Kesalahan itu pula mempunyai elemen berbeza yang perlu dibuktikan. KJS hanya memperuntukkan kesalahan yang bertentangan dengan 'precepts of Islam' sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di sisi hukum Syarak, hukuman yang dikenakan tidak berdasarkan besar atau kecil jumlah yang terlibat, tetapi berdasarkan jumlah minima harta yang terlibat dinamakan sebagai nisab. Kadar nisab yang ditetapkan ulama adalah jumlah yang senilai dengan harga emas semasa sebanyak 4.45 gram. Hukumannya pula hanya ada satu iaitu hukuman potong anggota badan jika berlaku sabitan tanpa diambil kira besar atau kecil jumlah. Mungkin ahli kriminalogis boleh mengkaji falsafahnya kenapakah ditetapkan sebegitu sama ada disebabkan kelakuan pencuri yang akan tetap mencuri tanpa mengira jumlahnya tetapi melihat kepada peluang untuk mencuri.

Perbezaan nilai keterangan saksi wanita dan bukan Islam berbanding kesaksian lelaki Islam itu adalah kehendak hukum syarak. Hikmahnya, para wanita dan orang bukan Islam tidak mempunyai liabiliti dan beban untuk menjadi saksi. Menjadi saksi bukanlah satu kelebihan (privillege) tetapi beban yang harus ditanggung. Tiada mana-mana saksi yang dapat bersenang-senang di dalam kandang saksi menghadapi soal balas yang bertubi-tubi daripada peguam. Oleh itu, Islam sebenarnya memuliakan wanita dengan mengangkat beban saksi daripada bahu mereka. Harus diingat juga, perbahasan ini adalah dalam konteks kes jenayah dan bukan kes mal (sivil) kerana kes mal mempunyai beban bukti dan keterangan yang lebih rendah berbanding dengan kes jenayah. Begitu juga tahap penerimaan kesaksian wanita dan bukan Islam juga adalah berbeza dalam kes mal dan jenayah.

Berkaitan bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Isu ini sebenarnya dijawab Hakim Gopal Sri Ram semasa membuat keputusan dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang didakwa rentetan kes liwat pertama bekas timbalan perdana menteri dahulu. Mahkamah menyatakan orang itu boleh didakwa di mana-mana mahkamah yang berbidang kuasa. Namun jika kedua-dua mahkamah itu mempunyai bidang kuasa maka suspek tersebut hanya boleh didakwa sekali saja. Inilah pemakaiannya bagi orang Islam. Bagi orang bukan Islam, KJS memberikan pilihan kepadanya sama ada ingin meneruskan kes di mahkamah syariah atau sivil. Namun, dalam kerangka Perlembagaan yang ada sekarang orang bukan Islam hanya tertakluk kepada kuasa mahkamah sivil. Justeru, usaha melobi boleh diteruskan supaya orang bukan Islam dapat memilih untuk dibicarakan di mahkamah Syariah.

Jika mangsa itu orang Islam dan suspek bukan Islam maka dalam kerangka Perlembagaan yang ada suspek akan dibicarakan di mahkamah sivil. Ini kerana bidang kuasa ditentukan berdasarkan si pesalah dan bukan si pengadu.

Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua bidang kuasa? Ini juga dinyatakan suspek hanya boleh didakwa sekali saja kerana jika didakwa dua kali, ianya akan menjadi 'double jeopardy'. Oleh itu, bergantung kepada pihak pendakwa untuk memutuskan di mahkamah mana suspek akan didakwa.

Hudud tetap akan berfungsi meskipun buat masa kini orang bukan Islam tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Saya sendiri pernah melihat orang bukan Islam memberikan keterangan dalam kandang saksi di Mahkamah Syariah. Tidak timbul soal keterangan mereka tidak bernilai kerana kesaksian mereka dianggap sebagai 'bayyinah'.

Orang bukan Islam yang bersubahat untuk melakukan jenayah tidak harus dilepaskan. Dalam konteks perundangan yang ada sekarang pun, pengusaha pusat judi diberikan panduan untuk tidak membenarkan orang Islam memasuki sebarang premis perjudian dan boleh diambil tindakan ke atas mereka melalui tindakan menarik balik lesen jika mereka melanggar peraturan tersebut. Begitu juga dalam konteks minum arak, peraturan boleh digubal untuk tidak membenarkan mana-mana pengusaha kedai arak menjualnya kepada orang Islam. Bagi orang Islam yang minum arak pastinya tertakluk kepada hukum Islam yang terpakai ke atasnya.

Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Jawabnya, pernahkah kita terfikir kesalahan yang dibuat itu juga sama primitif dengan hukumannya! Perbuatan zina, hirabah (rompakan menggunakan kekerasan), syurb (minum arak), sariqah (mencuri), qatl (membunuh) dan lain-lain adalah jenis kesalahan yang sudah dibuat penjenayah sejak berabad yang lampau.

Sekiranya kesalahan primitif ini tidak diubati dengan hukuman yang sama primitif, tentulah jenayah tersebut akan tetap berleluasa. Kita sering membaca keratan akhbar betapa seorang mencuri itu akan tetap mencuri setelah beliau keluar penjara. Sewaktu mengendalikan satu kes jenayah di mahkamah majistret beberapa tahun lalu, saya pernah mendengar permohonan mitigasi daripada seorang suspek yang mengaku salah atas kesalahan mencuri. Apabila pendakwa mengemukakan fakta sabitan lampau, saya amat terkejut kerana pesalah itu sudah mempunyai 9 sabitan lampau berkaitan kes curi dan secara langsung saya terfikir dalam Islam paling kerap seorang pesalah boleh mencuri hanyalah 3 kali kerana selepas itu beliau sudah kehilangan 2 tangan dan 1 kaki. Pada saya inilah hakikat perikemanusiaan sebenar. Manakala, bandingan dengan pelaksanaan undang- undang Taurat ke atas Palestin itu adalah sangat jauh? Bolehlah pula saudara Paulsen jelaskan apakah butiran undang-undang Taurat tersebut?

Pemotongan anggota badan akibat hukuman hudud atau qisas itu mempunyai kaedah ditetapkan dan akan dipantau pakar perubatan yang akan ditauliahkan sendiri oleh sultan. Kebanyakan komplikasi yang berlaku disebabkan jangkitan kuman, maka luka akibat itu perlu dipastikan tidak berlaku jangkitan kuman.

Mengikut kehendak syarak, hukuman itu perlu disaksikan orang ramai. Namun, berapakah jumlah orang ramai yang boleh menyaksikannya itu tertakluk kepada perintah mahkamah. Begitu juga tempat hukuman juga ditetapkan perintah mahkamah. Mengikut makluman, kerajaan Kelantan juga mendrafkan kaedah bertulis mengenai tatacara sebat, potong anggota badan, salib dan rejam. Yang akan melaksanakannya pula adalah profesional terlatih sebagaimana amalan sebat di penjara sivil sekarang yang dijalankan pegawai penjara yang dilatih – 22 Disember, 2014.

* Dr Zulqarnain Lukman ialah peguambela & peguamcara dan peguam syarie (Selangor dan Wilayah Persekutuan).