Friday, 6 March 2015

Catatan Bersama Murabbi – sebuah laptop dan sebuah kenangan



Catatan Bersama Murabbi – sebuah laptop dan sebuah kenangan

9 Julai 2011 – Lapangan Terbang Jeddah, Arab Saudi. Pasport tok guru dan datin ada bersama saya. Salah faham dengan pemandu teksi yang membawa beliau dan datin menyebabkan tok guru dan datin diturunkan di terminal lain. Kami ahli rombongan umrah bersama beliau turun terlebih awal untuk menuju ke lapangan terbang. Bagi memberikan tokguru berehat dan tidak menunggu lama, kami mengambil keputusan tokguru dan datin turun lewat agar dapat berehat lebih lama di hotel. Pasport mereka saya bawa bersama untuk menyelesaikan urusan boarding terlebih dahulu di lapangan terbang.

Kami tiba di lapangan terbang agak lewat akibat kesesakan jalan raya. Saya bergegas turun dari bas dengan segera dan meninggalkan beg sandang yang mengandungi semua dokumen Malaysia (kad pengenalan, lesen memandu dan lain-lain), laptop, hard disk external yang mengandungi pelbagai maklumat dan segala macam alat-alat eletronik. 

Mereka yang menemani tokguru pula tidak dari kalangan yang mahir berbahasa arab. Talian telefon pula masih On Off bagi mengelakkan caj tinggi akibat roaming. Selesai urusan boarding, tidak kelihatan kelibat teksi yang sepatutya menghantar tokguru dan datin ke lapangan terbang. Masih tinggal sekitar 40 minit kapal terbang mahu bertolak, saya katakan kepada pengawal keselamatan yang menggesa saya agar terus masuk ke dalam, “Tunggulah sekejap, saya tunggu Wazir (menteri) datang..” Beliau membalas, “Di sini tiada wazir, semua tetamu Allah..!”

Kesemua ahi rombongan sudah masuk ke dalam. Tinggal saya berada di luar bersama pasport tokguru dan datin. Tanpa pasport tersebut mana mungkin mereka dapat pulang ke Malaysia. Jangan nanti akhbar menyiarkan berita Menteri Besar Kelantan masih belum pulang ke Malaysia akibat kegagalan menunjukkan pasport. 

Rupa-rupanya pemandu teksi menurunkan tokguru di terminal yang salah. Terminal untuk pulang dari umrah dan haji adalah terminal yang lain. Tempoh masa untuk bergerak ke terminal haji ini sekitar 20 minit, secara munasabah tokguru dan datin akan ditinggalkan oleh penerbangan.

Kalut ribut saya dan pengiring-pengiring tokguru berhubung dengan telefon. Mereka mencari teksi yang lain, menghulurkan telefon kepada saya, bercakap dalam situasi bateri telefon hampir kehabisan. Akhirnya berjaya didapatkan teksi yang sanggup memecut dengan masa lima minit. 

Pintu gate sudah ditutup, saya merayu kepada pengawal agar tunggu sedikit sahaja lagi. Hanya tinggal keseorangan di luar pintu pelepasan sedang rombongan lain sudah berada di dalam penerbangan. Tokguru tidak mungkin dapat berlari-lari seperti kami orang muda.

Alhamdulillah, kawan-kawan dari Kedutaan Malaysia yang sedia menunggu di terminal haji sedia membantu. Mereka sediakan kereta khusus mengambil dari pintu teksi terus ke pintu kapal terbang. Pasport tokguru dan datin bersama tiket berjaya diserahkan untuk urusan pengesahan. Hanya beberapa minit sahaja lagi penerbangan akan berlepas, tokguru dan datin sampai juga di atas kerusi penerbangan.

Beg saya, dan segala macam isi kandungannya, tertinggal di atas bas. Saya pasrah, kalau itu harganya, saya rela. Mana mungkin bas yang membawa pergi beg itu yang saya tidak kenal siapa pemandunya dapat dikesan semula. Maha suci Allah, ia kembali semula ke tangan saya dengan segala macam isi kandungannya beberapa minggu kemudian di Malaysia dengan bantuan rakan saya, Ustaz Abdul Rahman Hamzah yang membawanya pulang. Bagaimana beliau mengesan bas itu, wallahualam. Yang paling saya kagum ialah kejujuran si pemandu bas yang boleh mendapatkan tidak kurang USD1000 dollar dengan barang-barang tersebut.

Laptop yang tertinggal itu kini masih saya gunakan. Ia sudah tua, kelajuannya sudah berkurangan. Tapi saya bawa dia musafir ke mana-mana. Kini, di bumi Detroit, Amerika Syarikat, saya membawanya sebagai teman melakar kisah dan peristiwa.

Dato Mohd Amar yang bersama di dalam rombongan bertanya saya di atas penerbangan, “Kalau agak-agak tokguru tidak sempat naik lagu mana?” Saya jawab, “Ambo rela tak balik.....”

- 6 Mac 2015, Detroit, Michigan, Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment