Showing posts with label KENYATAAN. Show all posts
Showing posts with label KENYATAAN. Show all posts

Tuesday, 4 August 2015

Tuan Ibrahim: Membalas Rahman Dahlan

Pertama saya ucap terima kasih atas respon Dato Abdul Rahman Dahlan terhadap soalan 'remeh' yang saya kemukakan.

Sekurang-kurangnya ada maklum balas. Perdana Menteri masih berdiam diri meskipun rakyat sudah menanti lebih sebulan sehingga Tun Mahathir Mohamad pun naik angin.

Padahal bukan payah sangat untuk PM menjelaskan bahawa: "Ini sumbangan derma dari penderma perihatin." Peliknya mengapa PM tidak menjawab sedemikian ketika WSJ melakukan tuduhan ke atasnya. Mengapa PM menjawab ‘Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri’ dan bukannya terus menempelak WSJ dan berkata duit itu duit derma?

Setelah sebulan, akhirnya yang membuat kenyataan itu ialah SPRM.

Apakah kini PM yakin rakyat akan percaya wang itu dari sumbangan derma hanya kerana SPRM mengumumkan sedemikian?
Rakyat nak tahu ke mana hutang RM42 billion yang kini menjadi liabiliti kepada 1MDB dibelanjakan. Itu pun kerana yang menjamin hutang tersebut ialah rakyat. Kalau yang menjamin ialah besan PM di Kazathstan tak apalah pula.

Namun kini isu 1MDB ini merebak sehingga terdedahnya akaun PM pernah menerima dana RM2.6 bilion – di mana mengikut perkiraan matematik, 29 juta rakyat Malaysia perlu menderma sebanyak RM89 setiap seorang untuk mencapai jumlah ini.
Sebagai seorang yang menerima gaji daripada rakyat, PM perlu menjelaskan kepada bosnya – sumber RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya. Lebih elok kalau rakyat tahu siapa penderma tersebut bagi mengelak tuduhan dan kecurigaan apakah PM bekerja untuk penderma berkenaan atau untuk rakyat.

Pendedahan ini juga akan membantu LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) membuat kunjungan kepada dermawan tersebut dan mungkin Pusat Pungutan Zakat juga berminat untuk melawat dermawan ini.
Walaupun Rahman telah memberi penjelasan kepada soalan remeh-temeh, ini bukanlah bermakna isu ini selesai. Masih banyak lagi soalan remeh-temeh yang perlu dijawab.

Antaranya - apakah wajar bagi PM menggunakan akaun peribadi bagi menerima dana sebesar RM2.6 bilion yang menjadikan beliau memasuki carta 10 orang terkaya di Malaysi, sedangkan ia boleh mengundang pelbagai prasangka buruk kepada beliau?

Berapakah jumlah yang dibelanja oleh Umno-BN bagi menghadapi PRU 13 lalu? Apakah ia melepasi had yang ditentukan oleh Akta Pilihanraya? Jika ya, bukankah keputusan PRU13 yang lalu menjadi tidak sah?

Jika dana itu tidak habis digunakan untuk PRU13 yang lalu dan bukan untuk kegunaan peribadi, berapakah baki duit derma yang masih berada di akaun itu ketika akaun perbadi PM yang mengandungi RM2.6 bilion itu ditutup? Ke mana perginya baki itu? Apakah penyaluran dana sebenar ini ke akaun PM ini tidak tertakluk di bawah Akta Kewangan dan tidak terbau hidung LHDN untuk dikejar cukainya?

Saya percaya soalan-soalan yang dikemukakan hari ini juga sangat-sangat ditunggu jawapannya oleh rakyat marhaen, namun mungkin dipandang remeh-temeh kepada mereka yang berniat cuba menutup sesuatu daripada pandangan rakyat.
Sebagai seorang penerima gaji dari rakyat jelata, eloklah Rahman mengingati siapa bosnya yang sebenar.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 Ogos 2015

Tuan Ibrahim: Selamatkan Negara

Hanya lima tahun lagi, tahun 2020 akan menjelang tiba. Sepatutnya Malaysia akan mencapai status negara maju sejajar dengan gagasan wawasan 2020 yang dilaungkan sejak ianya dilancarkan oleh bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991.

Tiada ukuran dan penilaian dibuat terhadap sejauh mana keberkesanan belanjawan negara setiap tahun dan pembentangan Rancangan Malaysia 5 tahun. Oleh itu, tiada siapa yang dapat mencongak sejauh mana lagi Malaysia untuk mencapai cita-citanya.
Menilai keadaan negara hari ini, rakyat jelata merasakan cita-cita ini masih jauh. Cuma apa yang paling mengejutkan ialah keyakinan pemimpin BN khasnya PM bahawa negara masih berada pada landasan yang betul untuk mencapai matlamat wawasan tersebut.

Rakyat ramai termenung fana apakah ucapan pemimpin ini berada dalam khayalan atau masih bermimpi kerana realiti pembangunan negara masih terlalu jauh dengan apa yang dikatakan negara maju. Pelbagai kemudahan asas masih gagal disediakan. Pelbagai masalah alam sekitar masih menghantui rakyat.

Kini, pelbagai isu ekonomi dan politik yang melanda negara menyebabkan wawasan tersebut akan pasti menemui kegagalan.
Perubahan kabinet yang dilakukan oleh PM dan pendedahan RM2.6 bilion sebagai derma langsung tidak menampakkan memulihkan keyakinan pelabur sehingga nilai mata wang negara terus jatuh dan pasaran saham turut gagal dilonjakan. Ini bermakna perubahan kabinet yang dibuat ditolak oleh rakyat dan terus dipandang dengan penuh curiga, lebih-lebih lagi dengan cara kabinet baru cuba mempertahankan kisah derma RM2.6 bilion.

Negara kini memerlukan perubahan total. Bukan hanya perubahan perdana menteri atau beberapa orang menteri yang ditukar ganti. Seluruh kerajaan dan sistem perlu diganti.

Kini, masa yang paling penting semua parti pembangkang bersatu.

Inilah masa parti politik pembangkang duduk mencari titik persamaan dan mengecilkan titik perbezaan. Banyak formula baru boleh dicari.

Negara perlu diselamatkan. Ringgit sudah melepasi RM3.87 kepada 1USD. Rakyat marhaen perlukan pembelaan. Pegawai kerajaan yang kini menjadi mangsa memerlukan pembelaan. Bayangkan SPRM terpaksa buat solat hajat untuk selamatkan negara.

Saya bimbang bukan sahaja Wawasan 2020 akan hanya menjadi angan-angan, tetapi hasrat melihat berakhirnya pemerintahan BN juga akan turut gagal dijelmakan.
Rakyat bosan dan meluat melihat ahli politik bercakaran. Apakah tidak ada formula baru bagi membina persefahaman? Mari ketepikan perbezaan dan bersamalah selamatkan negara.

Akhir sekali, saya berdoa dan berharap Bank Negara dan Tan Sri Akhtar Zeti Aziz dapat terus bertahan dan istiqamah menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan berhadapan dengan tekanan yang bakal mendatang seperti yang dialami SPRM.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
4 Ogos 2015

Sunday, 12 July 2015

"KEKALKAN MUAFAKAT, ELAK PROVOKASI"

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
26 Ramadan 1436H / 13 Julai 2015

"KEKALKAN MUAFAKAT, ELAK PROVOKASI"

Oleh: Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.

Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa dukacita yang mendalam dan begitu perihatin terhadap kejadian pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yatt sejak semalam yang melibatkan anak-anak muda Malaysia yang berjiwa merdeka. Ia dalam apa jua keadaan pun begitu mencemari kemuliaan bulan Ramadhan yang mendidik kita kepada kejernihan, kesabaran, kasih sayang dan kesantunan yang tinggi.
Dengan harapan yang begitu tinggi, kami menyeru semua pihak agar bertenang dan bersama menyokong dan mendorong kepada usaha-usaha penjernihan dan permuafakatan.

Walaupun kita sedih dengan kes jenayah perniagaan yang samada berpunca daripada pihak peniaga atau pun pembeli, ia tidak boleh sama sekali mendorong kepada tindakan beremosi dan merajakan nafsu dalam proses mencapai jalan penyelesaian. Tindakan sedemikian pastinya akan menambahkan lagi kekusutan dan membawa akibat yang lebih buruk.
Justeru Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru anak muda Malaysia agar tidak mudah terpengaruh dengan suara-suara buruk yang bersifat perkauman dan permusuhan. Seperti pesan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dengan kedatangan Islam yang mulia, seruan perkauman dan rasis sudah menjadi bangkai jahiliyah yang ditinggalkan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyeru pihak kerajaan agar segera menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian yang berlaku dalam mengenal pasti punca sebenar dan membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan.

Adalah perlu untuk rakyat Malaysia melihat kejadian ini dalam kerangka fikir yang lebih besar. Kerajaan perlulah menjadi contoh dan teladan terbaik ke arah sifat amanah, telus dan benar di dalam menangani isu-isu jenayah perniagaan dan ekonomi yang melanda negara kita. Baik sesebuah kerajaan yang memerintah akan banyak membantu kepada baiknya kehidupan rakyat jelata.

Dewan Pemuda PAS juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada nasihat khas yang telah disampaikan oleh Saudara Afdlin Syauki (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10155779379060527&id=19005495526) yang menyeru semua pihak agar bertenang. Ia nasihat baik dan benar yang wajar diikuti.

Terima kasih.

“SEMUA PIHAK PERLU BERTENANG, ELAKKAN PROVOKASI”

Kenyataan Media Presiden PAS
Isnin 26 Ramadan 1436 / 13 Julai 2015
“SEMUA PIHAK PERLU BERTENANG, ELAKKAN PROVOKASI”

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sangat kesal dengan peristiwa kekecohan yang berlaku di kawasan tengah Bandaraya Kuala Lumpur dalam tempoh 12 jam yang lalu.
Sehubungan dengan itu, PAS ingin merayu dan meminta semua pihak yang ada dalam negara ini, terutamanya di kawasan sekitar titik panas Bukit Bintang Kuala Lumpur agar bertenang dan mengelakkan sebarang provokasi baharu yang boleh menghangatkan suasana.

Jangan kita cemari keharmonian pelbagai kaum yang ada dalam negara ini dengan insiden yang boleh melebarkan hubungan baik semua pihak yang sedia terjalin sejak zaman berzaman.

PAS meminta semua pihak agar menangani semua isu yang timbul, walau apapun puncanya, dengan jiwa terbuka dan penuh dengan kesabaran terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

KEPUTUSAN MSU PAS SIAPA SEBENARNYA HIPOKRIT

Roslan SMS Corner

KEPUTUSAN MSU PAS SIAPA SEBENARNYA HIPOKRIT

Sebagaimana kita semua sedia maklum Majlis Syura Ulamak PAS telah pun memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP “terbatal”. Namun dalam masa yang sama, PAS mengekalkan hubungan tahaluf siasi nya bersama PKR.
MSU turut memutuskan menyerahkan perlaksanaan keputusan itu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dilaksanakan menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa.

Ahli-ahli PAS rata-rata terikat dengan keputusan ini dan seterusnya akan menunggu pengarahan dari Presiden dan JK Kerja Pusat, tentang bagaimana keputusan MSU itu nanti mahu dilaksanakan.

Malah diperingkat ini, semua ahli PAS sedar, betapa tindak-tanduk dan sikap DAP selama ini telah memaksa PAS untuk bertindak-balas dan mengambil keputusan yang sangat drastik itu. Apa pun yang penting keputusan MSU menekankan bahawa hubungan tahaluf siasi antara PAS dan PKR terus kekal.

Ini bermakna selepas daripada keputusan MSU ini, dan menantikan pengarahan dari PAS Pusat, PAS akan kekal berkerjasama dengan PKR manakala sebarang kerjsama politik PAS dan DAP yang berkaitan dengan ikatan tahaluf siasi adalah terbatal.

Di Pulau Pinang, sebagaimana kita semua juga maklum,belum pun MSU mengeluarkan keputusan, kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, telah mendesak agar semua wakil PAS yang dilantik ke dalam kerajaan negeri agar melepaskan jawatan masing-masing. Dan yang anehnya dua bekas pemimpin PAS, iaitu Hj Muhammad Sabu dan ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa telah mengisytiharkan meletakkan jawatan lantikkan politik masing-masing.
Tindakan mendahului keputusan parti itu sangat dikesali malah meletakkan PAS dalam serba kerumitan dalam mendepani masalah komplek ini. Ternyata kedua-dua pemimpin berkenaan sudah hilang minat pada PAS dan kebelakangan ini kelihatan lebih tergiur dan ghairah mahu membawa haluan sendiri, meninggalkan bahtera PAS yang barangkali dilihat telah usang dan lapuk.

Sepatutnya dari segi adab, pemegang-pemegang jawatan lantikkan parti di dalam kerajaan hendaklah terus amanah memegang jawatan masing-masing sehinggalah parti membuat keputusan sebaliknya. Mereka memegang jawatan atas lantikkan parti maka jika berlaku sebarang perkembangan wajarlah parti juga yang memutuskan status jawatan mereka.
Kerana itulah tindakan dua bekas pemimpin PAS di atas, sangatlah tidak beradab dan malah dilihat sebagai satu tindakan sabotaj terhadap parti.

Berbalik kepada keputusan MSU di atas, kini banyak pihak kelihatan cuba mencetuskan konflik pula di Selangor. DAP memang bernafsu mahu memaksa pengaruhnya ke atas PKR, agar wakil-wakil PAS dikeluarkan dari kerajaan negeri Selangor pimpinan Dato Menteri Besar Azmin Ali. Mereka telah bergerak menunut MB berbuat demikian.namun setakat ini tiada diambil serius oleh MB.

Namun setakat ini dari pemahaman kita terhadap keputusan MSU itu, keperluan untuk berbuat demikian tidak berbangkit. PAS memegang amanah untuk terus kekal sebagai wakil dalam kerajaan negeri Selangor pimpinan Azmin. PKR dan PAS tidak pernah bermasalah. Lantas tindakan untuk terus menyokong kerajaan negeri dilihat sebagai suatu tindakan yang wajar dan logik.

Jika DAP berasa tidak selesa atas apa sebab sekalipun, DAP lah yang sewajarnya bertindak angkat kaki buaknnya PAS.
Tetapi selagi Menteri Besar sendiri tidak melihat kehadiran PAS dalam kerajaan Selangor sebagai satu masalah, maka PAS wajar kekal memikul amanah yang diberikan oleh rakyat Selangor.

Saya agak terperanjat apabila seorang lagi bekas pemimpin PAS Pusat mengeluarkan kenyataan bahawa PAS akan dilihat “hipokrit” jika kekal dalam kerajaan Selangor selepas jeputusan MSU ini. Menurut Datuk Mahfoz Omar, ahli parlimen Pokok Sena, dengan keputusan MSU ini PAS seharusnya tidak lagi berkerjasama dengan DAP dalam kerajaan Selangor. Dan jika PAS kekal kata beliau rakyat akan melihat PAS sebagai hipkokirt.
Benarkah begitu?

Tidakkah kenyataan Mahfoz itu bertentangan dengan arahan MSU berkenaan? Kerana keputusan itu menyebut perlaksanaan keputusan MSU itu diserahkan kepada PAS Pusat untuk memutuskan menurut kesesuaian dan keperlua politik semasa.

Sejak bila Mahfoz mewakili PAS Pusat? Atau adakah beliau lupa beliau bukan lagi Ketua Penerangan PAS Pusat?

Saya sedikit pun tidak percaya bahawa rakyat Selangor akan menganggap PAS hipokrit jika kekal duduk dalam kerajaan negeri walaupun dengan keputusan MSU ini, kerana saya yakin rakyat Selangor boleh faham maksud keputusan MSU itu.
Malah rakyat Selangor yakin dengan kebijaksanaan Menteri Besar mereka dan keikhlasan serta kemampuan pimpinan PAS Selangor di bawah EXCO Kanan dan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd Samad.
Rakyat Selangor mahu kerajaan ini kekal, kerana ianya diketuai Azmin dan bukannya Guan Eng seperti di Pulau Pinang, Di Selangor PAS, PKR dan malah DAP mempunyai bilangan kerusi yang cukup bagi mereka membentuk kerajaan, pihak istana telah pun memberikan perkenan, dan rakyat telah pun memberikan mandat. Sebarang tindakan sebaliknya bermakna menolak keputusan istana dan rakyat.
Keputusan MSU itu melibatkan hubungan politik PAS dan DAP dan tidak sekali-kali kena mengena dengan hubungan baik PAS dan PKR.

Mengapa Mahfoz mahu anggap mengekalkan status quo sebagai suatu tindakan hipokrit?

Sesungguhnya hipokrit itu adalah apabila kita terus kekal dalam PAS tetapi tidak menerima dan akur akan keputusan parti, itu hipokrit. Kita mahu tubuh parti baru tetapi sementara nak menunggu parti tubuh kita menumpang teduh bawah PAS, itu hipokrit. Kita anggap kita demokrat dan progresif tetapi apabila kita kecundang dalam proses pemilihan parti, kita bangkit memberontak dan mahu bakar jambatan itu hipokrit.

PAS Selangor punya amanah dan tanggungjawab terhadap rakyat Selangor dan selagi tiada pihak samada istana ataupun Menteri Besar yang mengarahkan agar PAS keluar dari kerajaan, saya fikir kehadiran PAS adalah suatu yang wajar.

Tuesday, 7 July 2015

Kenyataan Media Berhubung Siasatan Pasukan Petugas Khas Berkenaan Dakwaan Dana Disalurkan Ke Akaun Perdana Menteri

Kenyataan Media Berhubung Siasatan Pasukan Petugas Khas Berkenaan Dakwaan Dana Disalurkan Ke Akaun Perdana Menteri

Susulan kepada kenyataan media bertarikh 4 Julai 2015, Pasukan Petugas Khas ingin memaklumkan kemajuan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh Pasukan ini sehingga kini.

Perintah pembekuan enam akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes ini telah pun dikeluarkan pada 6 Julai 2015.

Selain itu, Pasukan Petugas Khas telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu siasatan.

Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit.

Siasatan masih berjalan. Justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.

TAN SRI ABDUL GANI PATAIL
Peguam Negara Malaysia

TAN SRI ZETI AKHTAR AZIZ
Gabenor Bank Negara Malaysia

TAN SRI KHALID ABU BAKAR
Ketua Polis Negara Malaysia

TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED
Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

7 Julai 2015

Friday, 3 July 2015

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

DAKWAAN terbaharu kononnya Datuk Seri Najib Razak menggunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi, dianggap sebagai satu lagi pembohongan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjatuhkan kerajaan. Justeru, Perdana Menteri memberi amaran, pihak yang terus menggunakan taktik sedemikian bakal berdepan tindakan undang-undang. Berikut adalah kenyataan penuh Najib yang dikeluarkan malam ini.

1. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai tuduhan - semuanya tidak berasas dan kebanyakannya mengarut - dilakukan terhadap saya dan keluarga.

2. Serangan bermula apabila saya enggan melaksanakan tuntutan peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya enggan kerana berasa adalah tidak wajar bagi Malaysia ditadbir secara proksi.

3. Tun kemudian mencipta krisis apabila tanpa usul periksa mendakwa RM42 bilion hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan hakikatnya ia adalah hutang yang diaudit dan disokong oleh aset diaudit bernilai RM51 bilion.

4. Dakwaan terbaharu ialah kononnya saya mengambil dana berkaitan kerajaan untuk kepentingan peribadi. Saya percaya Tun berada di belakang pembohongan ini, berganding bahu dengan pihak asing termasuk blog politik Sarawak Report yang semakin diragui kredibilitinya.

5. Saya ingin berterus terang: Saya tidak pernah mengambil dana demi kepentingan peribadi seperti didakwa seteru politik - baik daripada 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti mana disahkan oleh semua syarikat terbabit.

6. Jelas sekali, tuduhan palsu seperti ini adalah sebahagian daripada kempen terancang sabotaj politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi.

7. Mereka yang membuat dakwaan itu tidak pernah mengetengahkan sebarang bukti. Apa yang kita dengar hanyalah dakwaan berasaskan kebocoran dokumen dan penyiasat tanpa nama. Tiada sekali pun sumber dokumen ini ditampilkan, manakala dokumen berkenaan juga tidak pernah dikemukakan untuk pengesahan pihak berkuasa.

8. Seperti diketahui, beberapa dokumen yang menjadi asas dakwaan kebelakangan ini dilaporkan telah diubah. Individu yang membocorkan dokumen ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di luar negara kerana cuba memeras ugut bekas majikannya. Hakikat ini besar kesannya terhadap kesahihan dokumen berkenaan dan mereka yang menggunakannya untuk memburuk-burukkan kerajaan serta negara kita.

9. Mereka yang terus melancarkan serangan ini perlu bersedia untuk berdepan tindakan berikutan perbuatan mereka. Taktik kotor - termasuk taktik jenayah dalam beberapa keadaan - untuk menumbangkan kerajaan akan gagal. Dalam beberapa keadaan, mereka bakal berdepan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

10. Malang sekali serangan palsu bertubi-tubi yang didorong kepentingan peribadi ini berlaku pada ketika Malaysia memiliki pelbagai kelebihan unik - kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan status negara maju yang semakin hampir dicapai. Saya kekal dengan fokus untuk membangunkan negara demi rakyat.

Wednesday, 17 June 2015

SAMBUTLAH RAMADHAN DENGAN SEPENUH KETAQWAAN

30 Syaaban 1436 / 17 Jun 2015
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah : Ayat 183)

Seluruh ummat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadat puasa sebulan di Ramadhan bermula esok. Maka dengan ini, saya mengambil kesempatan yang ada ini untuk berpesan kepada diri saya , ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia supaya mengambil kesempatan yang ada untuk kita mengejar redha Allah SWT dengan Islam yang sempurna ini.

Kita berharap kepada Allah SWT, semoga Ramadhan yang akan kita tempuhi bersama tahun ini menghasilkan natijah yang baik untuk kita semua. Bulan yang berkat dan mulia ini, yang diturunkannya Al-Quran dan adanya malam yang yang lebih baik daripada 1000 bulan, iaitulah Lailatul Qadar mampu mengembalikan keimanan dan ketaqwaan kita kepada kemuncak yang diredhai Allah SWT.

Dalam suasana kita mengharungi Ramadhan ini, jangan kita lupa nasib agama kita, saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik di seluruh dunia seperti nasib Dr Muhammad Morsi yang dihukum oleh regim zalim As-Sisi, nasib saudara kita di Palestin yang ditindas oleh zionis israel, nasib saudara kita yang dibiarkan tanpa tanah air di bumi Arakan, Myanmar dan lain-lain lagi.

Semoga lembaran Ramadhan kali ini juga, berjaya mengembalikan semangat kita membuat perubahan kepada diri kita, masyarakat kita dan seterusnya negara kita ke arah yang diredhai Allah SWT. Kita perlu berusaha dan terus berjuang supaya Islam tertegak dengan hak-hak yang ditetapkan oleh Allah dan mengambil semangat ramadhan yang ada, yang pernah mendatangkan kejayaan gemilang kepada saudara-saudara seaqidah kita yang terdahulu.

Justeru, marilah kita bersama-sama menempuh ramadhan tahun ini dengan harapan kita berjaya menjadi manusia-manusia bertaqwa seperti yang disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran apabila menyebut tentang pensyariatan puasa di bulan Ramadhan.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Kenyataan Media Presiden PKR

KENYATAAN MEDIA
Pakatan Rakyat ditubuhkan pasca Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008 atas initiatif Sdr Anwar Ibrahim bersama pimpinan utama dengan membawa tiga parti pembangkang terbesar dalam negara sebagai bergabung menentang Barisan Nasional.

KEADILAN yakin bahawa sokongan padu kepada Pakatan Rakyat (KEADILAN, DAP dan PAS) selama ini dipacu oleh arus rakyat yang benar-benar dahagakan perubahan. Satu harapan yang besar digalaskan kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional.
Harapan rakyat itu berpaksikan kepada prinsip-prinsip bersama yang dipersetujui dan diperjuangkan bersama oleh Pakatan Rakyat selama ini seperti yang dimeterai di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat, termasuklah:

1. Keterangkuman semua kaum, kumpulan dan setiap rakyat dalam membina Persekutuan Malaysia yang adil dan sejahtera;

2. Mempertahankan kedudukan agama Islam, kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputra, institusi raja-raja dan bahasa Melayu mengikut peruntukan Perlembagaan dengan menjamin hak kaum dan agama lain;

3. Menyuburkan sebuah negara bertatakelola baik dan berlandaskan prinsip demokrasi dan keluhuran undang-undang;

4. Mensejahterakan ekonomi negara yang berkepedulian rakyat, berdaya saing dengan membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

KEADILAN sangat menghargai permuafakatan yang digembleng bersama dengan PAS dan DAP sebelum ini dan dukungan padu rakyat yang melonjakkan Pakatan Rakyat sehingga mendapat sokongan 52% pengundi dalam PRU13.

Mengambil kira perkembangan terkini Biro Politik KEADILAN yang bermesyuarat pada 16 Jun 2015 telah memutuskan:

1. Menyatakan rasa kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61 dan berikutnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah mengumumkan penamatan riwayat Pakatan Rakyat yang kami anggap tindakan tergesa-gesa. Ekoran dari itu, gabungan politik PR tidak lagi berfungsi secara formal;

2. Namun, kami bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana semangat dan permuafakatan Pakatan Rakyat di Selangor di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar Sdr Azmin Ali, dan di bawah pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Lim Guan Eng terus kekal. Dan dalam semangat yang sama, dan tertakluk kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, KEADILAN akan terus memberikan sokongan kepada Dato’ Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob;

3. KEADILAN akan terus merintis usaha-usaha membina permuafakatan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan-kumpulan rakyat dan tokoh-tokoh berpengaruh untuk menumbangkan Barisan Nasional.
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
17 Jun 2015

Saturday, 13 June 2015

“BANTAH CADANGAN KENAIKAN TOL”

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

13 Jun 2015 | 26 Sya’ban 1436


“BANTAH CADANGAN KENAIKAN TOL”

Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian semalam (12 Jun 2015, muka surat 7), Kementerian Kerja Raya akan membawa cadangan kenaikan kadar tol bagi 16 lebuh raya utama di seluruh negara. Kenaikan tersebut dijangka akan naik antara 20 sen sehingga RM 1 dan ia akan mula berkuatkuasa Ogos ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan tegas membantah cadangan kenaikan kadar tol tersebut dan ia disifatkan sangat melampau. Kami juga meminta supaya pihak kerajaan berunding semula dengan pihak konsesi bagi mengelakkan pembayaran pampasan membabitkan ratusan juta sekiranya penangguhan kenaikan kadar tersebut dilakukan pada tahun ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia akan berusaha melakukan pelbagai usaha antaranya berunding dengan pihak Kementerian Kerja Raya, pihak konsesi dan juga menggerakkan bantahan rakyat sekiranya cadangan kenaikan ini diterima oleh kerajaan. Difahamkan, kenaikan tersebut sepatutnya berlaku pada November tahun lalu, namun ia telah ditangguhkan.

Contoh cadangan kenaikan kadar tol bagi beberapa lebuhraya utama di Lembah Klang adalah seperti berikut;

a. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Besraya adalah sebanyak 70 sen (dari RM 1.30 kepada RM 2.00).

b. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Pantai Baharu adalah sebanyak 60 sen (dari RM 1.60 kepada RM 2.20).

c. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Duta - Ulu Kelang adalah sebanyak 50 sen (dari RM 2.00 kepada RM 2.50)

Kerajaan sewajarnya mengambil kira keuntungan yang diraih oleh pihak konsesi dan keadaan semasa sosio ekonomi rakyat sebelum mencadangkan apa-apa kenaikan kadar tol. Rakyat kini sudah dihambat dengan kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (6%) bermula 1 April yang lalu dan kenaikan petrol dan diesel sejak 1 Jun 2015.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,


IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tuesday, 26 May 2015

PERINGATAN PRESIDEN PAS

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.


Firman Allah dalam Surah Attaubah ayat 122 :


(وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ)
[Surah At-Tawbah ayat 122]

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

من يرد الله به خيرا يفقهه فى الدين

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim


Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasul ullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.


Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud :

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).


Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

( Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Khadam Perjuangan Islam

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

Monday, 25 May 2015

TOK GURU KEPADA TUAN GURU



Pintu pagar tertutup rapat. Garaj kereta kosong. Hanya sebuah lampu yang bernyala. Gelapnya seolah rumah tidak berpenghuni.

Saya cuba dapatkan kepastian apakah rumah itu benar-benar tiada orang. Berkali-kali pintu diketuk, loceng ditekan, dan salam diberi. Namun masih tiada reaksi. Nampaknya semacam memang kosong. Saya berpatah balik hampa.

Sedang saya menolak pagar untuk keluar, nampak kelibat seorang wanita bertudung dari dalam pintu kaca rumah tersebut.

"Alhamdulillah. Ada orang rupanya." getus hati. Dengan gembira, cepat-cepat saya pusing mendapatkannya.

Tidak lama selepas wanita itu masuk ke dalam kembali, muncul pula sebatang tubuh yang uzur, menolak lembar langsir dengan kerusi rodanya. Tersenyum beliau menyambut salam yang saya hulur. Saya turut membalas senyumnya.

Orang itu ialah Dr Muhammad, pengamal perubatan Homeopati dari Kg Bukit Tok Beng. Saya adalah pelanggan setianya sejak anak pertama saya, Miyaz dilahirkan.

Homeopati adalah rawatan alternatif yang merangsang sistem antibodi tubuh untuk melawan penyakit. Prosesnya penyembuhannya agak lama tidak seperti rawatan konvensional/ allopathy, namun ia lebih bersifat semulajadi dan tidak melibatkan bendasing/ unsur bukan makanan dalam ubatannya.

Prinsip yang saya pegang, sebaik-baik ubat adalah makanan, dan sebaik-baik makanan adalah ubat.

خير الدواء ما كان غذاء وخير الغذاء ما كان دواء.

Sejurus bersalaman dan bertanya khabar ringkas, saya terus melabuhkan punggung di kerusi usang berhadapan rak buku Dr Mat. Melihat susunan buku-bukunya, nyata sosok tua itu bukan calang-calang orangnya. Dia guru perubatan, dia guru tasauf, guru politik dan juga guru haraki. Selerakan buku dalam berbagai genre dan bahasa di hadapan saya itu sudah cukup untuk membuktikannya.

Hampir semua buku-buku itu bertanda pada muka surat tertentu. Setiap kali saya datang, buku yang ada di meja kopi pasti bertukar lain. Kadang-kadang timbunan buku tasauf, kadang-kadang buku perubatan, kadang-kadang buku berbahasa Inggeris yang saya sendiri juling untuk mengejanya. Ini menunjukkan dia benar-benar baca, bukan seperti sebahagian orang yang hanya jadikan kitab sebagai alat perhiasan.

"Agak-agak apa pula lepas Azmin jadi MB ni?" Dr Mat bertanya memulakan bicara sambil menyiapkan ubat yang saya pesan. Memang Dr Mat selalu ambil peluang berkongsi pandangan politik setiap kali saya berkunjung. Walaupun dia sudah tidak mampu bergerak jauh, dia tidak pernah lupa mengambil tahu masalah semasa masyarakat. Mindanya terus menjelajah tanpa mempedulikan kudrat empat keratnya.

"Sepatutnya PAS dah boleh relaks. Tengok lah apa pula jadi pada PKR nanti." jawab saya ringkas sebagai mukaddimah. Biasanya saya tidak menjawab sebegini bila ditanya berkait isu Selangor.

Memandangkan soalan pertama pun berbeza dari soalan masyarakat kebanyakan yang saya pernah terima, saya kongsikan banyak pendapat dengannya, samada yang pernah saya tulis di alam maya mahupun yang masih saya pendam. Ternyata Dr Mat menumpukan sepenuh perhatian pada setiap titik yang meniti di bibir ini.

Saya terus luah segala isi hati yang terbuku sejak Anwar umum isterinya sebagai MB. Dr Mat seorang yang berilmu luas. Sudah tentu dia dapat menangkap apa sahaja yang saya maksudkan.

Dari peranan sultan, penglibatan Anwar, pemilihan Azmin seterusnya gelagat Wan Azizah sehinggalah pada penegasan Tuan Guru Ayah Chik, semua topik kami kupas bersama.

Berbeza dengan orang lain, ramai yang saya jumpa memang tidak puas hati dengan sikap Anwar. Mereka sudah cukup selesa dengan cara tadbir TSKI di Selangor. Bila mereka minta saya ulas, saya akan jawab mudah;
"Biasalah adat berpakat. Pemimpin kita lebih tahu kenapa mereka buat keputusan demikian."

Sebelum saya ke rumah Dr Mat pun, masih ada ahli jemaah surau tempat saya berkuliah bertanya soal yang sama . Dengan kesempatan yang singkat sebegitu, saya tidak mahu bicara tentang prinsip dan maqasid jemaah. Risiko mereka salah faham adalah tinggi. Menerang dalam suasana lepak-lepak hanya boleh menukat maqasid jadi mafasid.

Kefahaman tentang maqasid perlu difahami berperingkat dan bermanhaj. Usrah, Liqa Fikr, Daurah, Nadwah dan Tamrin berkala adalah cara yang sepatutnya untuk memahami dengan jelas.

"Ayah Chik tu sibuk. Kurang seminggu sebelum muktamar, beliau terbang ke Indon menemui pimpinan gerakan Islam di sana. Selepas itu, beliau bersidang pula dengan tetamu-tetamu muktamar dari gerakan Islam lain di Johor. Esoknya menyertai muktamar dengan penuh jiwa raga. Selesai sahaja muktamar, beliau terus ke Qatar untuk mesyuarat Kesatuan Ulama Dunia. Semalam balik dari Qatar, hari ini terus ke Sidang Dewan Negeri. Petang itu ke Pengkalan Kubur pula. Lepas PRK ini tak tahulah ke mana pula." Saya membilang jadualnya bimbang tentang kesihatan Ayah Chik.

Dr Mat kan pengamal perubatan. Mungkin dia boleh bagi sikit nasihat untuk saya sampaikan pada Ayah Chik yang masih dalam 'tempoh berpantang' selepas serangan jantung ketika Sidang Gerakan Islam sedunia di Turki dua bulan lepas. Sepatutnya dia masih perlu berehat panjang dari sebarang aktiviti luar.

Ternyata tokoh dunia itu tidak senang untuk duduk berehat tanpa berbuat apa-apa untuk Islam. Kehulu hilir membawa mesej Islam di kotak fikirannya adalah lebih selesa baginya, tanpa menghiraukan kondisi kesihatannya.

"Saya juga hairan dengan Ayah Chik tu. Dari mana beliau dapat 'kuasa' sampai boleh bertahan gagah sampai hari ini. Dulu saya pernah merawatnya. 20 tahun lepas, kesihatan dirinya sudah membimbangkan. Macam-macam penyakit kritikal ada padanya." Balas Dr Mat pula.

"Rasanya kalau orang biasa tu memang dah tak 'cakak' nak ke sana ke mari macam dia tu. Dengar ucapan penangguhan dalam muktamar baru ni pun saya terkejut. Sangat bertenaga macam zaman mudanya."

"Saya rasa kekuatan itu bukan dari dirinya. Itu Maunah Allah. Kalau nak kata karamahpun saya percaya." Tambahnya lagi penuh taajub.

Walaupun Dr Mat lulusan sains perubatan yang biasanya berfikir bersandarkan bukti dan kajian saintifik, beliau tidak pernah menafikan pengaruh unsur metafizik dan spiritual dalam kehidupan. 

Inilah ciri-ciri iman yang dituntut. Yakin kepada takdir kekuasaan Allah tanpa mengenepikan asbab musabbab.

Saya mulai perasan memang Ayah Chik berubah mendadak sejak balik dari persidangan Turki tempoh hari. Sebelum-sebelum ini beliau banyak berehat dan letih. Ucapannya pun perlahan dan pendek. Dia jarang berdiri lama seperti ucapan penangguhan muktamar baru-baru ini.

Menurut Dr Samsuri (SetPol Presiden PAS), antara sebab beliau diserang sakit pun kerana sebelum itu beliau telah memaksa diri berucap dengan nada yang agak keras, demi menegur sikap kebanyakan pemimpin gerakan arab yang masih termakan dengan sentimen sunni-syiah.

Sebelum ini juga pendirian Ayah Chik agak lunak dengan dua tiga orang pemimpin bermasalah dalam jemaah. Sudah banyak aduan yang disampaikan pada Ayah Chik mengenai orang-orang tersebut. Ayah Chik sendiri turut berhadapan dengan mereka, tapi Ayah Chik tetap dengan pendekatan damai, tidak bertegas dan banyak beri muka.

Tapi sejak pulang dari menerima rawatan ini beliau memang lain. Bukan saya sahaja yang perasan. Kawan-kawan yang lebih rapat dengan Ayah Chik pun nampak perbezaannya. Kali ini beliau lebih tegas. Seolah ada satu semangat baru yang dibawa pulang dari tanah constantinople, persis semangat Sultan Al-Fatih dalam perjuangan membuka kota sejarah itu. Tempoh rehat beliau di Hospital Istanbul seperti disuntik 'ubat juang' baru dalam tubuhnya. Nampak sungguh semangat beliau macam orang muda.

Beliau juga lebih ceria kini. Selalu ketawa, suka buat kelakar dan lebih mesra jika dibandingkan dua tiga menjak yang lepas. Semakin lama berjuang semakin kental semangatnya.

Satu perubahan yang menggembirakan!

Masakan tidak. Sejak usia muda lagi, Ayah Chik sudah mewakafkan diri kepada Islam dengan terlibat langsung dalam politik tanahari dan antarabangsa. Pulang dari pengajian, beliau bertugas menjadi pegawai di Yayasan Islam semasa PAS dalam kerajaan campuran. Beliau kerap dihantar oleh Presiden-presiden PAS sebelumnya menghadiri sidang-sidang antarabangsa, selain menangani krisis yang berlaku di peringkat mahasiswa luar negara. Beliau juga antara orang penting dalam merangka manhaj pentarbiyahan PAS yang telah melahirkan ramai graduan berwibawa dan berjasa untuk Islam.

Bahkan sebelum beliau tamat belajar lagi, kerajaan Saudi di zaman Mufti Abdul Aziz Ben Baz telah mengarahkan Ayah Chik berkuliah di Masjidil Haram kepada jemaah haji. Ketokohan beliau telah menawan hati pimpinan ABIM supaya beliau mengepalai ABIM bagi negeri Terengganu, walaupun pada waktu itu beliau telah mencurah komitmen sebagai AJK PAS. Itu belum cerita lagi keajaiban beliau mengarang berpuluh judul buku dalam kepadatan jadualnya.

"Saya pernah mengajar Ayah Chik dulu. Masa dia belajar di Sekolah Menengah Arab Marang kemudian Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, kedua sekolah itu saya mengajarnya." Dr Mat tambah mengimbau perjalanan hidup Ayah Chik.

"Masa sekolah dulu lagi dia sudah berbakat. Waktu saya jadi pengerusi badan khitobah (pidato) di SMASZA, saya lantik beliau jadi setiausahanya walaupun dia masih seorang pelajar." Ujarnya.

Rupanya inilah pendidik Tuan Guru. Sungguh tidak disangka. Orangnya tenang, suaranya perlahan, tempo bicaranya juga perlahan, tapi siapa tahu dialah pencungkil bakat terpendam Ayah Chik selama ini. Besar sekali jasanya melahirkan seorang ulama antarabangsa. 
Dialah 'Tok Guru kepada Tuan Guru'.

Hebat. Patutlah beliau nampak sangat relaks. Rupanya beliau sudah boleh goyang kaki dengan hasil sentuhannya lama dulu. Setiap amalan yang Tuan Guru lakukan hari ini hasil didikan beliau pasti akan mengalir pahala kepadanya jua. Ini yang diajar Nabi: Orang yang menunjuk ajar kebaikan, pahalanya sama seperti yang melakukannya.

الدال على الخير كفاعله.

Sebut pidato, teringat pula cerita arwah Tuan Guru Harun Taib masa mereka belajar di Mesir dulu. Ayah Chik selalu berlatih pidato tak kira masa. Tengah masak, basuh pinggan, menghadap cermin, lidah beliau kerap memperdengarkan pidato-pidato tegas dan lantang. Tidak hairanlah sebuah majalah antarabangsa menobatkan beliau antara tokoh paling petah berpidato di Asia suatu ketika dahulu. 'Fenomena Haji Hadi' zaman awal 80-an dulu adalah suatu catatan sejarah yang perlu dikaji.

Kini Dr Mat sudah berusia 74 tahun. Dia sudah tidak boleh berdiri lama. Hanya kerusi roda peneman setia. Tapi saya suka berkunjung ke rumahnya. Walaupun luas, halamannya sangat bersih. Walaupun cucunya ramai, bingit teriakan dan hilai tawa mereka tidak mengganggu ketenangan itu. Setiap kali saya datang di petang hari, biasanya beliau sedang menyapu halaman rumahnya.

Selain saya, orang tempatan lain juga ramai mendapatkan khidmatnya. Kakak ipar saya dari Pulau Pinang akan memborong ubat-ubatan berpuluh botol apabila pulang ke Terengganu. Menurutnya, sudah banyak klinik homeopati yang dikunjungi namun lebih berpuashati dengan rawatan Dr Mat.

Saya amat terkilan apabila rawatan homeopati seolah dianaktirikan oleh kerajaan Malaysia. Kerajaan lebih mengamalkan perubatan bermodelkan sistem kapitalis. Sepatutnya mereka mengambil langkah proaktif membangunkan perubatan yang hebat ini dari terus ditelan zaman.

Ia bukanlah rawatan tradisional. Ia juga sebahagian rawatan moden, cuma lebih neutral.

Pengasas homeopati adalah seorang doktor dari Jerman kerana tidak berpuashati dengan cara perawatan moden, yang didakwanya banyak 'menyembunyikan penyakit', bukan menyembuhkan.

Dakwanya lagi, ubatan moden/allopathy bermatlamatkan keuntungan semata-mata kerana ianya sebahagian dari projek kapitalis supaya manusia hidup bergantung kepada ubatan yang mereka cipta. Kesan ubat sesuatu penyakit boleh mencipta satu lagi penyakit baru. Kapitalis mahu mencari 'pelanggan tetap' ubatannya.

Wallahualam. Saya bukan pakar kesihatan. Tapi dari pengalaman dan hasil perkongsian orang ramai, ia seolah mengiyakan dakwaan tersebut.

Pengasas homeopati Malaysia pula adalah Dr Burhanudin Helmi, bekas Yang Dipertua PAS tahun 60an yang mati setelah mendekam lama di penjara rejim. Mungkin juga ianya salah satu sebab kerajaan mengenepikan perubatan yang hebat ini sampai sekarang.

Saya belum ceritakan pertemuan ini pada Ayah Chik. Kalau dia tahu, barangkali Ayah Chik mahu ziarahi orang banyak berjasa padanya itu. Mungkin Ayah Chik tidak tahu, dia selalu melintasi rumah Dr Mat sebelum merantau jauh, sebab rumah Dr Mat terletak hanya kira-kira 2km dari lapangan terbang Terengganu. Biasanya Ayah Chik akan cari peluang ziarah kenalannya. Mungkin masa belum mengizinkan.

Setelah hampir 20 minit bersembang, saya minta diri dahulu kerana malam semakin lanjut. Bimbang juga waktu rehatnya terganggu walaupun riak wajahnya masih belum puas bercerita. Lagipun ada beberapa urusan lagi perlu diselesaikan malam itu.

Kepulangan saya diiringi senyuman manisnya. Masih tersusun kemas gigi asli putih melepak. Dengan senyuman itu, saya juga tumpang gembira andai ada anak didik saya yang berjaya seperti Ayah Chik.

(Alang Ibn Shukrimun)
23/9/2014

Sunday, 24 May 2015

Hentikan serangan terhadap PAS dan Presiden PAS

Serangan bertali arus DAP terhadap PAS telah menimbulkan satu keadaan yang sangat tidak selesa dalam hubungan Pakatan Rakyat. Bukan itu sahaja, tindakan DAP ini telah memberikan nafas baru kepada Umno-BN yang semakin lemas dengan isu penipuan 1MDB dan kos sara hidup yang meningkat kerana GST.

Saya telah membuat teguran dan ingatan beberapa kali terhadap sikap pimpinan DAP sebelum ini. Semua pihak melihat Pakatan Rakyat salah satu wadah terbaik bagi menumbangkan BN. Namun, wadah ini perlu memperkasakan ketiga-tiga rakan tahaluf dan bukannya melemahkan mana-mana parti yang menjadi rakan tahaluf. Sepakat pada perkara yang dipersetujui bersama dan jangan mencabuli dasar parti rakan tahaluf dalam perkara berbeza. Semua parti perlu kuat bagi mencapai kemenangan dalam PRU akan datang. Serangan sesama sendiri hanya menguntungkan Umno-BN.

DAP berkali-kali berkata mereka mementingkan Pakatan Rakyat. Tapi tindakan mereka menyerang PAS dan Presiden PAS bertubi-tubi pula membuktikan sebaliknya. Tindakan DAP ini sedang menolak Pakatan Rakyat ke ambang perpecahan.

Isu serangan bertali arus DAP terhadap PAS amat meluatkan akar umbi PAS. Perkara ini dijangka membawa kesan pada muktamar PAS ke 61 yang bakal menjelang. Maruah PAS sebagai parti berwibawa perlu dibela.

Jika benar DAP sayangkan Pakatan Rakyat, hentilah menyerang PAS. Lupakanlah dan jauhilah sifat bermusuh, hormatilah perbezaan dan berusahalah untuk mendiamkan diri jika tiada apa yang baik untuk disebut mengenai rakan tahaluf.

Jika tidak, jangan salahkan PAS seandainya tahaluf dengan DAP ini terungkai kerana ahli PAS akan tetap pertahankan prinsip perjuangan parti lebih-lebih lagi selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Aziz.

Betul kata Lim Kit Siang, Allahyarham TGNA sangat sayangkan Pakatan Rakyat. Namun begitu, percayalah beliau tidak akan sesekali menggadaikan prinsip parti demi memenuhi tuntutan rakan tahaluf yang mengharapkan PAS melupakan cita-cita Islamnya.

Di sini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa tuduhan PAS akan bergabung dengan Umno hanyalah fitnah. Majlis Shura PAS telah menegaskan perkara ini baru-baru ini. Soalan saya masih sama, berapakah kerusikah yang Umno sanggup beri ke PAS sekiranya betul gabungan politik ini berlaku? 40? Hujah ini sahaja sudah cukup untuk mematahkan fitnah ini daripada berterusan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
25 Mei 2015

Wednesday, 20 May 2015

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN "BAWA ISU PELARIAN ROHINGYA KE PARLIMEN"

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN

"BAWA ISU PELARIAN ROHINGYA KE PARLIMEN"

Isu kegawatan pelarian Rohingya yang terkandas dan kelaparan dilautan adalah isu kemanusiaan sejagat. Umat Islam seluruh dunia khasnya negara-negara umat Islam perlu bertegas dan memainkan peranan mendesak kerajaan Myanmar agar menghentikan segera pembunuhan dan kezaliman keatas etnik muslim Rohingya.

Gambar-gambar yang terpampang didada akhbar dan media sosial yang sangat menyayat hati membuktikan bahawa satu jenayah perang besar keatas umat Islam Rohingya sedang dilancarkan sekarang. Saya menggesa kerajaan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN agar membawa usul khas bagi membincangkan isu ini serta membuat ketetapan penyelesaian di persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang. Saya telahpun menghantar surat rasmi kepada YAB Perdana Menteri pada petang semalam bagi menyatakan hasrat tersebut.

Umat Islam di Malaysia wajib mendoakan keamanan bagi saudara seakidah kita dan mereka yang dizalimi di Rohingya serta wajib menghulurkan bantuan yang sepatutnya sama ada dari sudut perubatan, pakaian dan makanan kepada pelarian melalui badan-badan yang dipertanggungjawabkan.

YAB USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 3 Sya’ban 1436H / 21 Mei 2015M

Tuesday, 19 May 2015

ULAMA VS PROFESIONAL KINI PRO-PR VS PRO-UG



Sekiranya kita sedar, dahulu laungan Ulama VS Profesional didendangkan sebahagian manusia dalam dan luar PAS. Projek ini adalah untuk menggambarkan persepsi buruk bahawa kepimpinan PAS dari kalangan agamawan pada waktu tersebut adalah anti-profesional. Kononnya kepimpinan PAS jumud kerana hanya memilih agamawan di barisan hadapan.

Laungan tersebut sedikit sebanyak menggoncang PAS. Sejak laungan itu, banyak tampuk kepimpinan yang beralih tangan. Budaya bertanding merebut jawatan dalam PAS mula disuburkan. Sikap sebahagian ulama yang mudah melepaskan pencalonan sekiranya ada pencabar memudahkan perkembangan projek ini. Secara senyap dan terancang, kepimpinan utama berjaya ditawan.

Namun, projek tersebut tidak mampu lagi pergi jauh. Ahli PAS sudah mula menyedari bahawa pertembungan tersebut sebenarnya tidak berlaku. Realitinya ramai profesional yang bersama ulama, tidak kurang juga ulama yang menentang ulama sendiri. Dari awal penubuhan lagi pas diwarnai dengan variasi latar belakang kepimpinan. Bahkan yang mengemukakan Usul Kepimpinan Ulama tahun 80an sendiri adalah pemuda dari golongan profesional.

Dengan penerangan dari para pemimpin, ahli PAS sejati tidak lagi termakan dengan dakyah tersebut. Kalau adapun, hanyalah mereka-mereka yang baru dalam PAS dan tidak mengenali realiti sebenar.

Selepas berakhir validiti projek tersebut, sebuah lagi projek menabur bibit perpecahan didendangkan, iaitu laungan PRO-PR vs PRO-UG. Kononnya PAS hari ini terpecah kepada dua golongan utama; sebelah pihak memperjuangkan kebersamaan dalam PR, dan sebelah pihak lagi digambarkan sebagai anti PR dan mesra BN.

Ternyata tuduhan ini juga berniat jahat. Menggambarkan sebelah pihak yang mempertahankan keaslian PAS dan bersikap kritis terhadap rakan PR sebagai mesra BN dan anti PR adalah keterlaluan. Dakyah ini bertujuan supaya ahli melihat ada pihak yang sayangkan BN dan mahu bersama BN dengan melupakan semua perjuangan kepimpinan terdahulu.

Dengan fitnah sebegini, ramai ahli yang terpedaya dan mula benci terhadap beberapa tokoh. Kebanyakannya adalah ahli-ahli baru yang tidak begitu mengenali batang tubuh tokoh-tokoh dalam PAS. Lebih parah apabila projek kali ini bertujuan menjatuhkan presiden sedia ada. Perkataan UG yang pernah disebut TGHH dijadikan modal evergreen untuk mempalitkan bahawa beliau juga anti-PR dan mesra BN.

Walaupun sudah berkali-kali dijelaskan oleh TGHH dan pimpinan lain bahawa cadangan itu sudah berakhir dan PAS masih bersama PR, tetapi sehingga ke hari ini lafaz itu masih diratib. Program-program membincangkan masadepan PR giat diadakan bagi menimbulkan kononny memang ada usaha penyatuan PAS-UMNO. Soal dosa pahala memfitnah dan melempar persepsi buruk tidak lagi menjadi pertimbangan.

Laungan ini juga sedikit sebanyak menggoncang keharmonian PAS. Mereka yang termakan dengan dakyah sehingga hari ini masih percaya PAS mahu bersama BN. Walaupun rakan PR juga ada menyatakan perkara sama seperti Konsensus Nasional dan Save Malaysia, semua itu dibutakan dari dilaporkan.

Hakikatnya, laungan-laungan di atas adalah roadmap panjang mereka, bertujuan merampas bahtera PAS oleh lanun-lanun politik. Projek tersebut sudah diatur lama dan rapi sebagaimana perancangan Zionis untuk menjatuhkan Khilafah Othmaniah.

Siapakah kepala bana yang merancang perpecahan dalam PAS selama ini? Saya serahkan kepada pembaca untuk mengkaji.

(Alang Ibn Shukrimun)

DIAM LAH LIM GUANG ENG!

Kenyataan Media: Lim Guan Eng Usah Berlagak Sangat, Belajarlah Menghormati Orang

1. Saya selaku Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, menegur Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guan Eng yang mengatakan Presiden PAS sebagai penghalang utama bagi membentuk kabinet bayangan Pakatan Rakyat. Sebagai pemimpin utama di dalam parti demokratik, tidak sewajarnya beliau meneruskan serangan peribadi kepada pemimpin tertinggi parti rakan dalam PR.

2. Pakatan Rakyat dibina atas semangat toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain, di samping tidak meleburkan dasar perjuangan parti masing-masing. Pada hari ini kesemua Ketua Whip DAP, PKR dan PAS telah bermesyuarat bersama Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Wan Azizah dan berjaya mencapai kata sepakat iaitu isu kabinet bayangan PR tidak berbangkit atas faktor keutamaan perlu diberikan kepada proses mereformasikan institusi Parlimen. Setiap parti akan menghantar 2 orang wakil untuk menyertai jawatankuasa tersebut. Ahli Parlimen PR turut menubuhkan Jawatankuasa untuk menilai,mengkaji dan menganalisa Rancangan Malaysia ke 11 yang akan dibentangkan oleh PM Najib pada Khamis ini.

3. Justeru, lebih baik Lim Guan Eng merujuk kepada Ketua Whip DAP, YB Loke Siew Fook dalam hal kabinet bayangan sebelum begitu sibuk menyerang orang lain. 

Saya berharap Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat berhenti mengeluarkan kenyataan yang menyerang antara satu sama lain kerana ia bukan sahaja akan mengeruhkan lagi ikatan hubungan PR bahkan akan memeningkan kepala rakyat yang begitu berharap akan wujudnya kerajaan baru pengganti BN-UMNO pada PRU 14 kelak. Semua pimpinan PR perlu kembali ke meja rundingan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dengan suasana damai dan harmoni.

4. PAS juga sudah membahagikan kesemua 21 orang Ahli Parlimen PAS mengikut portfolio Kementerian supaya dapat dipantau isu berkaitan dengan lebih dekat.

5. Semoga dengan tertubuhnya Jawatankuasa Reformasi Parlimen oleh Pakatan Rakyat akan menjadi medium yang terbaik untuk menambahbaik peranan institusi Parlimen Malaysia agar lebih bebas, efektif dan dihormati.

YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
19 Mei 2015

GERAKAN ISLAM ANTARA WALA DAN TAKSUB



Islam mengajar umatnya supaya tajarrud ataupun membebaskan diri dari segala ideologi yang bertentangan dengan ajaran islam. Tidak boleh mencampur adukkan islam dengan ajaran lain apatah lagi mengambil sebahagian ajaran islam dan menolak sebahagian lain. Islam sudah cukup sempurna kerana ia adalah ciptaan Tuhan Maha Sempurna, bukan ciptaan mana-mana manusia yang bersifat lemah.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya cara hidup yang diterima oleh Allah hanyalah islam.

Pun begitu, islam tidak mengajar umatnya supaya menolak sebarang pembaharuan dan idea-idea baru yang bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan islam walaupun tidak pernah diamal nabi, sahabat, ulama atau nenek moyang kita sebelum ini. Nabi banyak menggunapakai kehebatan tamadun lain untuk manfaat umat islam seperi matawang dinar dirham, strategi parit (khandaq), cop mohor dan pakaian-pakaian rekaan fesyen Parsi dan Rom. Sirah baginda menceritakan segalanya.

Sabda Nabi:
Kebijaksanaan adalah barangan tercicir milik orang islam. Dimana sahaja yang dia temui, maka dialah yang lebih berhak untuk mengambilnya.

Bahkan, islam mencela pula kita meniru buta amalan dan cara orang-orang dulu tanpa menilai terlebih dahulu dengan ilmu dan realiti semasa. Ia adalah amalan umat-umat dahulu yang enggan menerima dakwah pemulihan dan pembaharuan yang dibawa nabi-nabi mereka sehingga menerima laknat dari Allah.

Saidina Abu Bakar RA memerangi golongan yang enggan bayar zakat. Amirul Mukminin Umar RA banyak memperbaharui sistem pentadbiran pemerintahan islam. Khalifah Uthman pula memusatkan rujukan al-Quran kepada 5 mushaf sahaja dan Imam Ali RA buat pertama kalinya menubuhkan suruhanjaya bebas mengkaji semula jawatan khalifahnya.

Semua contoh ini adalah perkara baru yang belum dibuat di zaman nabi. Generasi islam terdahulu amat mengerti konsep islah dan tajdid.

Sebenarnya tarbiyyah islamiah melahirkan umat yang wala' bukan taksub, kritis bukan ingkar, idealistik juga realistik, terbuka tanpa terbabas, dan berprinsip bukan rigid.

Muhasabah ialah salah satu bentuk check and balance terbaik untuk islam sentiasa bergerak maju kehadapan. Secanggih manapun kereta yang dicipta, tetap dipasang cermin sisi dan cermin pandang belakang. Walaupun kita mungkin tidak mampu untuk meniru cara umat islam dahulu, tapi kita mungkin boleh lakukan yang lebih baik dari mereka.

GERAKAN ISLAM

Sesuai dengan namanya sebagai sebuah 'gerakan', perlu sentiasa bergerak dari satu pendekatan ke satu pendekatan, dari satu strategi ke strategi yang lain, menyusun misi dari tangga pertama hinggalah sampai ke matlamat tertingginya. Kekal dengan tradisi semata-mata adalah siatu bidaah besar. Kata Syeikh Ali An-Nadwi: Menggabungjalinkan antara tradisi lama yang baik dengan penemuan baru yang bermanfaat.

Pendokong islam tidak boleh statik dengan cara kerja orang-orang dahulu sahaja. Perlu difahami cara kerja mereka adalah sesuai dengan keadaan persekitaran mereka di zaman kegemilangan mereka. Ianya perlu sentiasa dimuhasabah dan disegarkan dengan langkah seterusnya. Setiap anak tangga yang didaki memerlukan booster tersendiri, yang mungkin berbeza dengan sebelumnya kerana setiap anak tangga itu punya halangan musuh yang berbeza-beza.

Kata Imam al-Qurafi: Jumud/rigid dengan hanya mengikut kata-kata orang terdahulu selama-lamanya adalah satu kesesatan dan kejahilan terhadap maksud ulama-ulama dan orang terdahulu itu sendiri.

Kalaulah tokoh yang kita sanjungi itu hidup pada zaman kita, pasti mereka akan baharui prinsip lama yang mereka perkenalkan demi tuntutan massa. Nabi Muhammad SAW yang diutus lewat abad ke tujuh tidak lagi bulat-bulat membawa ajaran umat dahulu. Nabi Isa AS juga yang bakal turun akhir zaman nanti tidak lagi membawa ajaran Kitab Injilnya, tetapi menjunjung syariat hari ini. Imam Syafie sendiri terkenal dengan mazhab lama dan mazhab baru demi memenuhi dua latar yang berbeza.

Islam tidak sama dengan mana-mana ajaran yang memuja bapa ideologinya seperti Karl Marx oleh Komunis, Adolf Hitler oleh Nazi, Mahatma Gandhi oleh anti-kasta ataupun Nelson Mandela oleh anti-apartied. Sebarang pujaan melambung terhadap beberapa tokoh dalam islam adalah diluar norma agama. Bahkan mendewa-dewakan batang tubuh Rasulullah SAW sendiri ditegah oleh islam supaya tidak terjadi sepertimana Kristian yang mendewakan Nabi Isa AS.

Merubah strategi pentadbiran, strategi dan cara kerja bukan bermakna kita ingkar terhadap kepimpinan sebelum ini, tetapi itulah makna kita wala' terhadap tarbiyyah yang mereka ajarkan selama ini. Wala' diletak bukan kepada batang tubuh pimpinan dan tokoh semata-mata, tetapi untuk agama Allah jua.

Ibnu Qayyim apabila dikritik kerana menyalahi pendapat gurunya Imam Ibnu Taimiyah, beliau berkata: Aku menyayangi Ibnu Taimiyah, tetapi kebenaran itu lebih aku sayangi daripada Ibnu Taimiyah.

TAKSUB

Pimpinan sendiri sebenarnya rimas dengan anak buah yang tidak kritis yang hanya tahu mengampu dan memuja tanpa menuang idea-idea segar yang boleh membantu mereka memajukan gerakan. Itu bukan taat namanya tapi taksub.

Kadang-kadang mereka tertekan dengan sikap anak buah yang ikut bulat-bulat apa sahaja mereka kata tanpa komen dan istifsar. Seolah-olah membiarkan mereka sendirian memegang payung islam sedangkan yang lain hanya berlindung di balik payungannya. Letih.

Kata-kata seperti "sebelum ni buat macam ni" atau "ustaz tu suruh buat macam tu" atau "Orang dulu tak pernah buat macam ni" harus diminimakan dalam merencana sesuatu. Jika ingin nyatakan juga, datangkan illah dan sebab-sebabnya sekali bukan meniru buta. Belajar cara ulama mengkaji Tarikh Tasyrik sebelum meniru ijtihad terdahulu.

Kalau ianya hadis nabi sekalipun, ulama' tidak terus amalkan dengan zahir makna semata-mata. Asbab Wurudnya perlu dikaji, Nasikh Mansukhnya perlu dikaji, gaya bahasa arabnya perlu dikaji, dan waqi'nya juga perlu dikaji! Telusurilah disiplin Ulum Quran, Ulum Hadis dan Usul Fiqh sebelum berIstinbat.

Kata Imam Syatibi: Beramal dengan zahir nas secara terlampau mengikut sahaja adalah jauh dari maksud syariat. Sebaliknya tidak mempedulikannya juga adalah suatu kecuaian.

Revolusi dan inovasi adalah ajaran islam. Sabdanya:
Barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang baik, maka untuknya pahala dan untuknya juga pahala orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat.
Dan barang siapa yang mencetuskan suatu perkara baru yang tidak baik, maka untuknya dosa dan untuknya juga dosa orang lain yang meniru cetusannya sehingga hari kiamat.

WALA'

Dalam menjunjung aspirasi baru, 7 perkara perlu diambil kira:

1. Ikhlaskan niat sebelum berbicara. Jangan mengharap dari lontaran pendapat dan kritikan selain redha Allah dan kebaikan jemaah semata-mata bukan kerana kemasyhuran, kerana dibayar pihak tertentu atau kerana benci/marah/tidak puashati terhadap pihak lain

2. Al-Quran dan Hadis perlu menjadi pegangan utama agar tidak terbabas. Jangan rasa kita lebih bijak dari pencipta kita sendiri dan nabiNya. Hadis larangan mengada-adakan sesuatu yang bukan dari islam (bidaah) harus diteladani sekemasnya.

3. Pengalaman dan pendapat orang dahulu perlu diteliti supaya kita tahu dari titik mana kita harus bermula. Jangan sampai mengulang-ulang kajian yang sudah diterokai dan ditemui jawapannya sejak lama dahulu. Membazir masa dan kurang faedahnya.

4. Beradab dengan ulama'-ulama' lain yang lebih senior. Masing-masing bersungguh berijtihad untuk terus memajukan islam. Cara yang mereka guna adalah yang terbaik untuk zaman mereka. Alimnya kita hari ini pun kerana kesungguhan mereka memelihara agama supaya sampai ke generasi kita.

5. Berani mengakui kesilapan. Sebagaimana kita berani mengkritik, harus juga berani untuk dikritik. Jangan taksub pada pendapat sendiri kerana semua manusia tidak sempurna. Tawadhu adalah sikap terbaik kerana kita berpendapat untuk mencari benar bukan mencari menang. Tazkiyah Nafs adalah ubat untuk membuang ego diri.

6. Mentaati pimpinan selama tidak bercanggah dengan nas. Walaupun ruang perbincangan sentiasa dibuka, itu bukan bermaksud kita boleh menangguh arahan yang dikeluarkan kerana mudaratnya besar melebihi mudarat sekiranya ijtihad pimpinan itu salah. Bahkan, kesilapan sesebuah jemaah adalah hikmah terbesar dari Allah yang menginginkan sesuatu yang terbaik disebaliknya.

Ambil contoh Saidina Ali yang mulanya mempersoal kewajaran tahaluf siyasi antara muslimin dan musyrikin, tetapi akur setelah mengetahui bahawa ia adalah sebuah arahan. Lihat juga contoh Hubaib bin Munzir yang berbincang dengan baik arahan Nabi dalam perang Badr sehingga Nabi mengubah strategi asal untuk menuruti cadangan beliau. Fiqh Siasah harus dihadam rapi.

7. Mengakui bahawa khilaf dalam berpendapat adalah lumrah hidup. Masing-masing ada pendapat dan bukan semua pendapat boleh disatukan. Jalan terbaik ialah menghormati pendapat masing-masing dan akur apabila pandangan kita belum diterima. Walaupun terbukti pandangan Saidina Umar lebih baik, beliau akur dengan keputusan nabi yang memilih pendapat Saidina Abu Bakar dalam beberapa peristiwa. Jika keputusan itu adalah keputusan kepimpinan jemaah, ia adalah yang paling tepat. Fiqh Harakah juga perlu terisi di ruang minda.

Sebagai konklusi, binalah akal dengan tapak akidah, syariat dan akhlak yang mantap terlebih dahulu sebelum membina idea yang mencakar langit.

Muhasabah bersama demi menuju ke arah kebaikan.

(Alang Ibn Shukrimun)
20/4/2014

Rohingya: Selamatkan saudara seagama kita

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 19 Mei 2015.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) turut melahirkan rasa simpati serta bimbang saat ribuan rakyat Rohingya yang terkandas di lautan tanpa adanya bekalan makanan dan air yang baik, berpunca daripada penganiayaan kerajaan Myanmar ke atas mereka.

Penganiayaan tampuk kerajaan Myanmar ke atas rakyat Rohingya ini sudah menjadi satu krisis kemanusiaan dan pasti memerlukan bantuan serta tindakan Asean sendiri bagi menyelesaikannya.

PAS menggesa kepada tampuk kerajaan Malaysia yang juga merupakan pengerusi Asean bagi mengadakan perbincangan khas serta mendesak kerajaan Myanmar menghentikan penganiayaan tersebut.

Mereka yang berada pada tampuk kepimpinan Asean perlu lagi bertindak pantas bagi menyediakan bantuan kemanusiaan walaupun penyelesaiannya mengambil masa yang panjang.

Mesti bertindak segera, bukan hanya berbincang berpanjangan tanpa ada tindakan, krisis ini nyata melahirkan kesepakatan bumi serantau Asia bagi menangani konflik yang getir ini.

Justeru, PAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama bermunajat dan mengadakan solat hajat di kawasan masing-masing agar Allah SWT menyelamatkan saudara seagama kita di luar sana.

Pada masa yang sama PAS melalui lajnah dan unit berkaitan pula akan terus membantu dengan berbagai cara untuk meringankan bebanan pelarian Rohingya ini. - HARAKAHDAILY 19/5/2015

Presiden PAS
1 Syaaban 1436 / 19 Mei 2015

Sunday, 17 May 2015

PAS BERKOCAK ANGKARA BEBERAPA EKOR ANAI-ANAI




Benar sekali. Pertembungan dalam PAS memang berlaku. Ia bukan sekadar pertembungan antara individu, jauh sekali antara blok Ulama dan Profesional seperti yang digembar gemburkan. Ada agamawan yang tidak memperjuangkan aspirasi Ulama lain, dan ada profesional lain yang mendokong aspirasi ulama.

Lalu apakah hakikat sebenar pertembungan yang berlaku dalam PAS ini?

Untuk memahami hakikat ini, kita perlu membelek kembali lipatan sejarah sedari penubuhan PAS. Penubuhan Parti Islam Semalaysia ( dahulunya Parti Islam Se-Tanah Melayu) adalah kesinambungan daripada gerakan-gerakan islam sebelumnya ditanah melayu seperti Sarekat Islam dan Hizbul Muslimin Malaya.

Gerakan-gerakan islam ini pula ditubuhkan bertujuan untuk menggalas peranan khilafah setelah pemerintahan Khilafah Uthmaniah Turki dilemahkan oleh kuasa imperialis barat. Walaupun kuasa politik islam hilang, tugas menjaga kepentingan umat islam seperti pendidikan, dakwah, amar makruf nahi mungkar, jihad, kebajikan dan sebagainya tidak berakhir begitu sahaja.

Ulama' mujaddidin waktu itu berijtihad bahawa untuk mengembalikan semula khilafah islamiah dan membawa gagasannya, tidak dapat tidak perlunya kepada kuasa politik, lalu mewajibkan gerakan islam mendaftarkan diri sebagai sebuah parti, maka tertubuhlah PAS.

Perlu disedari walaupun PAS itu adalah sebuah parti politik, ia bukan semata-mata berpolitik, tetapi hakikatnya sebuah 'gerakan islam' yang turut menggunapakai wasilah selain politik dalam usaha meneruskan kewajipan-kewajipan islam. Orientasi sebenar PAS adalah tarbiah (pendidikan), dakwah, dan siasah (politik).

Konflik awal telah berlaku dalam PAS yang terkeliru dengan nama PAS yang didahului dengan perkataan 'parti'. Tidak sedikit yang memahami perjuangan PAS adalah sekadar terlibat dalam bidang politik. Ramai juga yang beraliran kiri menyertai PAS sebagai proksi untuk menghapuskan aliran liberal bawaan british yang memonopoli kerajaan waktu itu.

Setelah beberapa dekad, usaha memurnikan pemikiran sebegini telah berhasil. Penubuhan Majlis Syura Ulama' hasil desakan kepimpinan Dewan Pemuda di zaman Dato' Mustafa Ali berjaya memahat wawasan pengasas PAS terdahulu dalam jiwa-jiwa ahli.

Zaman itulah kita boleh melihat agenda tarbiah merupakan makanan asasi bagi ahli. Cawangan subur dengan usrah. Masjid dan surau dimakmurkan. Institusi pendidikan daripada peringkat pra-sekolah hingga sarjana tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ahli-ahli sanggup berjalan melewati kilometer untuk mendengar amanat-amanat tuan guru dan ulama'. Prestasi ukhuwwah, pengorbanan, thiqah dan wala' berada tahap tertinggi yang pernah dicapai.

Aura ini tidak hanya berlaku dalam masyarakat biasa. Ia turut terbias ke universiti dalam dan luar negara. Mahasiswa begitu pro-aktif membawa kesedaran tarbiah walaupun bukan dalam aliran agama. Kegemilangan zaman ini telah melahirkan tokoh-tokoh politik negara yang ada sekarang. Di luar negara, mahasiswa Timur Tengah dan Barat juga tidak terkecuali.

Walaupun kesedaran islam ini begitu pesat, ia tidak dapat lari pertembungan pendapat. Selain daripada ahli PAS, kebanyakan mahasiswa dan pemikir berpendapat politik demokrasi Malaysia bukanlah ruang yang baik untuk islam. Bahkan ramai juga yang berpendapat menyertai politik adalah satu bidaah yang tidak diharuskan agama. Antara kumpulan yang tidak sependapat dengan ijtihad PAS ini diperingkat awalnya adalah ABIM, IRC dan kumpulan ekstremis yang mengamalkan pendekatan muwajahah bilquwwah.

Apabila generasi idealistik ini tamat pengajian dari kampus, mereka membaca suatu hakikat baru apabila menempuh medan masyarakat, iaitu perlunya pengaruh politik dalam menyebarkan idea mereka kepada umum.

Ringkas cerita merekapun membuat permohonan untuk menyertai PAS yang dahulunya dianggap 'musuh ketat' dari sudut fikrah. Kepimpinan PAS begitu mengenali individu-individu yang berada dalam jemaah yang bertembung dengan fahaman PAS ini, tetapi dasar keterbukaan PAS dalam menerima ahli membuatkan kepimpinan meluluskan jua permohonan ahli mereka. Kepimpinan waktu itu bersangka baik bahawa mereka akan mengikut sesi pentarbiahan PAS dari bawah kembali untuk memahami hakikat perjuangan gerakan tersebut.

Namun ia bukanlah seperti yang diharap. Mereka yang sebelum ini telah melalui percambahan fikrah dari anutan sebelumnya cukup payah menundukkan diri menerima konsep yang dibawa PAS. Pada mereka, PAS tidak lain melainkan sebuah parti yang berjuang demi kuasa politik sama seperti parti-parti yang lain. Mereka juga menghantar wakil untuk berada dalan parti-parti politik lain termasuk UMNO, dan terkini PKR.

Lalu perjuangan mereka didalam PAS tidak lain selain memastikan PAS berjaya di persada politik, secara tidak langsung mengepikan aspek tarbiah dan dakwah. Mereka seolah-olah meletakkan kuasa politik sebagai syarat utama sebelum dakwah dan tarbiah. Selagi kuasa belum diperoleh, kerja tarbiah dan dakwah kepada masyarkat tidak menjadi wajib selain kepada ahli mereka sendiri.

Apabila golongan ini berada dalam PAS, mereka sedaya upaya meraih sokongan ahli supaya diangkat menjadi pemimpin parti. Ditambah dengan sikap tawadhu' sesetengah pemimpin dari kalangan agamawan, kerja-kerja pendakian mereka untuk ke kemuncak jawatan bertambah mudah.

Bermulalah zaman malap bagi sebuah gerakan islam induk Malaysia. Tarbiah tidak lagi menjadi agenda wajib cawangan. Dakwah pada rakyat bukan lagi suatu kelaziman. Ceramah-ceramah umum tidak lagi bercakap soal iman, syurga neraka, ayat-ayat Quran hanya sekadar pembuka majlis, sirah-sirah anbiya' sudah dianggap suatu retorik yang membosankan. Core businessnya hanya bercakap soal strategi politik, pendedahan urus tadbir kerajaan, isu-isu semasa dan sewaktu dengannya.

Alhamdulillah, ada yang menyedari perkara ini. Gerakan memperbetulkan kembali allignment perjuangan mula dipergiat. suara-suara mengadu ketandusan tarbiah bergema dalam siri-siri muktamar dan ijtima negeri. Peranan ulama' kembali didamba bagi meniupkan angin kesedaran islam yang hampir menyembah bumi.

Bermulalah pertembungan apabila 'orang baru' dalam PAS itu tidak senang dengan kesedaran ini. Maka wujudlah program-program membawa dua fikrah berbeza ini kepada masyarakat terutamanya ahli PAS. Program semakin rancak menjelang pemilihan parti. Ada yang mengimport pemain-pemain luar parti untuk membantu merelevankan gagasan yang dibawa. Taktik kotor dan sabotaj juga terpilih menjadi senjata untuk bertahan dan menyerang.

Untuk kembali pada landasan asal, tarbiah adalah bengkelnya. Hidupkan kembali usrah, liqa fikr, tamrin, nadwah dan sewaktu dengannya. Itulah paksi syakhsiah muslim sejati.

Ada yang menafikan perkara ini. Mereka lihat realiti PAS semakin gagah mendaki ke puncak politik. Sokongan pihak luar semakin bertambah, keahlian berduyun-duyun. Kerusi-kerusi DUN bertambah setiap kali PRU walaupun diakui tarbiah semakin pupus. Bagi mereka tarbiah bukanlah faktor utama kekuatan PAS.

Benar, PAS akan tetap gagah sebagai sebuah parti politik tanah air. Tapi sebagai sebuah gerakan islam, PAS amat tenat. Aspirasi politik semakin utuh, tapi kesedaran islam semakin luruh. Peranan khalifah yang mati tidak lagi diwarisi. Yang diperjuangkan sekarang hanyalah kuasa, kuasa dan KUASA!

Jika tiada sebarang langkah untuk memandang cermin sisi dan belakang diambil, kemungkinan gerakan islam ini akan terus mati.

Justeru itu memahami susur pertembungan secara adil adalah perlu. Ia bukan melibatkan perbezaan profesion semata-mata. Ia adalah pertembungan fikrah! Antara fikrah sebuah gerakan, dan sebuah parti.

Disebelah pihak memang meletakkan ulama' sebagai pemuka hadapan, disamping tidak melupakan peranan profesional lain dibelakang. Di sebelah pihak yang lain juga melibatkan peranan ulama', tetapi lebih sekadar tempat bertanya apabila berhadapan pihak satu lagi.

Pertembungan ulama profesional hakikatnya tidak wujud. Ia hanya dicipta untuk memburukkan golongan yang ingin mengembalikan asolah dakwah, seolah-olah pendokong Ulama tamakkan jawatan. Sebelum pemilihan 2011, agamawan dan profesion bekerja secara kolektif di bawah kepimpinan yang satu. Tiada blok profesional yang tidak sebulu dengan ulama'. Pernah ketiga-tiga Naib Pres, bukan dikalangan ulama', tetapi itu tidak menjadi isu kerana yang bukan ulama' bersama membawa aspirasi asal.

(Alang Ibn Shukrimun)

Monday, 11 May 2015

ULASAN TERKINI DARI TUN DR M, SERANGAN TERBARU



PILIHANRAYA KECIL

1. Apabila pilihanraya kecil bermula di Rompin dan Permatang Pauh, saya diberitahu oleh penyokong Najib bahawa PRK ini akan membuktikan sokongan kuat kepada Dato Sri. Dakwaan saya yang Najib tidak popular akan meleset.

2. BN akan menang besar di Rompin kerana ini kubu UMNO dan JJ amat popular. Lagipun calon PAS lemah dan PAS mempunyai masalah dalaman.

3. Di Permatang Pauh pula parti lawan berpecah kerana hudud PAS. PAS tidak akan sokong PKR. Azmin Ali pula berhasrat mengalahkan Wan Azizah. Ada kemungkinan BN boleh menang pun.

4. Kejayaan UMNO dan BN dalam kedua-dua PRK akan menunjuk bahawa dakwaan saya Najib tidak disukai ramai adalah salah. Dan Najib boleh dapat kemenangan dalam PRU 14.

5. Saya berada dalam keadaan serba salah. Sebagai ahli UMNO saya hendak BN menang. Tetapi kemenangan akan mengekalkan kepimpinan Najib dalam PRU

14. Dan saya yakin BN pimpinan Najib akan kalah PRU 14.

6. Keputusan PRK di kedua-dua kawasan menunjuk sangkaan penyokong Najib bahawa dakwaan saya yang Najib tidak dapat sokongan ramai lebih tepat dari harapan mereka.

7. Sesungguhnya saya menghadapi dilema sejurus selepas Dato Sri Najib mengambilalih tampuk Kerajaan dari Tun Abdullah. Harapan saya bahawa Najib akan betulkan kesalahan Abdullah tidak menjadi kenyataan.

8. Sebaliknya ia mengekalkan dasar dan tindakan Abdullah. Bukan sahaja jambatan dan landasan berkembar keretapi tidak dilaksana, ia mendokong kononnya liberalisme Abdullah.

9. Dasar luar negara juga ditukar dengan mengutamakan persahabatan dengan kuasa besar seperti AS dan Eropah.

10. Secara tersembunyi ia mengambil penasihat British dan mengguna pakar runding (consultant) luar.

11. Ia gemar mengadakan perhimpunan rakyat upahan yang menatang sepanduk kecil yang dibekal kepada mereka dengan tulisan “I love PM” dan menyanyi lagu “IM4U”. Mereka ini datang kerana dibawa dengan bas dari jauh, diberi makan dan upahan.

12. Untuk mendapat sokongan orang Cina, Najib membelakangkan DEB, mengurangkan tempat dan biasiswa bagi penuntut bumiputra di universiti, dan melayan segala tuntutan parti pembangkang. Dipercayai bahawa dengan slogan “Ah Jib Gor” abang Ajib, orang Cina akan sokongnya.

13. Najib juga percaya bahawa wang tunai adalah raja (cash is king). Jika wang diberi maka rakyat akan sokong dirinya. Maka diperkenalkan BR1M, wang percuma untuk rakyat.

14. Sebelum PRU 13 diarah supaya dikumpul 70,000 orang Cina di Kelang untuk mendengar kempennya. Tak sampai 15,000 yang datang. Mereka tidak hirau ucapan Najib. Najib kalah teruk di sini pada PRU 13.

15. Saya tidak percaya semua ini akan memulihkan sokongan kepada BN. Tetapi sangkaan saya ialah prestasinya dalam PRU 13 akan menjadi lebih baik dari Abdullah.

16. Harapan saya tidak menjadi kenyataan. Prestasi Najib lebih buruk dari Abdullah.

17. Saya harap Najib akan ambil iktibar dari PRU 13. Tetapi tidak. Ia meneruskan dengan pemberian wang. Ia masih mengekalkan penasihat Britishnya. Tingkat 4 diperbesarkan. Pejabat PM dipenuhi dengan ramai anggota yang diberi tugas-tugas ciptaan. Gaji yang diberi tidak mengikut system gaji pegawai Kerajaan.

18. Jawatan-jawatan bertaraf menteri diwujud untuk memberi tempat kepada yang bersara. Ditubuhkan badan bebas yang mengambilalih kerja dan tugas jabatan-jabatan Kerajaan seperti EPU. Mereka ini dibayar gaji yang tinggi, yang menyebabkan pegawai Kerajaan berasa kecewa.

19. Saya didatangi oleh ramai kumpulan-kumpulan dan individu yang mengadu terhadap kepimpinan Dato Sri Najib. Mereka datang berkali-kali dan meminta saya buat sesuatu supaya Najib berhentikan dasar dan pendekatannya.

20. Yang datang bukan sahaja orang Melayu dan ahli UMNO tetapi juga orang Cina. Mereka amat tidak senang dengan isteri Najib, dengan cara hidup mewahnya, dengan lagaknya seakan-akan ia Perdana Menteri.

21. Menerima desakan dari mereka ini saya cuba nasihat dan tegur Dato Sri. Tetapi tidak berkesan. Ia yakin caranya, pemberian wang olehnya akan memikat hati orang ramai. Dia percaya benar bahawa rakyat begitu sayang dengannya. Dia percaya walaupun UMNO dan BN tidak popular tetapi ia begitu disukai ramai dan ia akan jadikan dirinya sebagai idola dan ikon UMNO dan BN. Ia percaya perhimpunan-perhimpunan besar yang diadakan, dengan sepanduk I love PM membuktikan betapa rakyat suka kepadanya.

22. Desakan supaya saya membuat sesuatu untuk menyedarkan Najib akan kemerosotan sokongan kepadanya, dan kebencian kepada tindak-tanduknya serta cara hidup mewah isterinya datang bertalu-talu kepada saya.

23. Buatlah sesuatu, kata mereka. Saya jawab saya sudah buat tetapi tidak berkesan.

24. Tetapi, apabila saya mula mendengar berkenaan 1MDB, saya berasa keadaan sudah menjadi amat serius. Pada masa itu maklumat tidak banyak. Saya terpaksa buat keputusan untuk hantar kepada Najib surat menyatakan saya tidak sokongnya lagi.

25. Najib hanya mengarah orang berdekatan dengannya supaya saya tarik balik surat saya. Kerana ia tidak dedah penarikan sokongan saya, terpaksalah saya dedah sendiri.

26. Saya terima lebih banyak maklumat berkenaan 1MDB. Saya terkejut dengan jumlah hutang yang begitu tinggi. Kerajaan sendiri tidak pernah hutang begitu banyak. Hutang ini pula dibuat secara off-budget, iaitu tanpa mendapat kelulusan Kabinet atau Dewan Rakyat.

27. Saya tidak dapat terima pembelian stesen janakuasa dengan harga lebih tinggi dari harga pasaran. Ini bukan soal satu dua juta atau sepuluh duapuluh juta. Kelebihan harga mencecah ribuan juta sedang lesen operasi kilang sudah hampir tamat dan nilainya akan jatuh kepada ratusan ribu ringgit sahaja. Kenapa tidak tunggu sehingga tamat lesen.

28. Bila ditanya Najib berkata apabila nilai naik, kilang-kilang boleh dijual untuk mendapat untung. Ini bukan kerja Kerajaan – jual beli syarikat.

29. Saya tidak percaya 1MDB akan dapat untung dari penjualan kilang yang dibeli dengan harga begitu tinggi. Hari ini kita tahu yang syarikat kilang elektrik 1MDB tidak pun dapat disenarai di bursa.

30. Saya dapati penarikan sokongan saya kepada Najib tidak berkesan. Sementara itu masalah 1MDB semakin meruncing. 1MDB tidak dapat bayar faedah keatas hutang 42 billionRinggit. Wang yang kononnya dilabur di Cayman Islands tidak dapat dibawa balik.

31. Pelaburan dan JV dengan Petro Saudi kabur dan wang pelaburan tidak begitu jelas di mana berada.

32. Apabila lapuran polis dibuat berkenaan Jho Low dengan 1MDB, rumah pihak yang melapur dirampas dan dianya diisytihar muflis.

33. Pemberita yang melapur bahawa Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dengan hudud PAS telah ditangkap kerana kononnya menyalahi undang-undang hasutan. Kemudian hakim melepas mereka kerana ia bukan hasutan.

34. Tindakan ke atas pemberita disyaki untuk menakutkan orang ramai dari membuat apa-apa kenyataan anti-Kerajaan.

35. Saya berasa terdapat salahguna kuasa oleh Kerajaan. Agensi-agensi Kerajaan diguna untuk ugutan. Rakyat semakin tidak suka kepada Kerajaan. Saya lebih berkeyakinan BN akan kalah PRU 14 jika dipimpin oleh Najib.

36. Saya tidak dapat terima negara diperintah oleh Pakatan. Dasar-dasar dalam parti-parti dalam pakatan bertentangan antara satu dengan yang lain. DAP lebih utamakan kepentingan orang Cina. PAS mendakwa ia bukan Melayu, hanya Islam. Keislaman PAS hanyalah untuk politik bukan sebenarnya untuk Islam. Sebab itu PAS mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir tetapi kemudian PAS memeluk orang kafir. Parti Keadilan hanya untuk Anwar jadi Perdana Menteri.

37. Jika Pakatan menjadi Kerajaan, huru-hara akan berlaku. Kemajuan negara akan terjejas dan rakyat semua kaum akan menderita.

38. Saya sedar jika saya tidak sokong Najib parti lawan akan ambil kesempatan. Sebaliknya jika Najib pimpin BN dalam PRU 14, BN akan kalah. Luah mati mak, telan mati bapak.

39. Jika kepimpinan UMNO dan BN hendak ditukar, ia harus dibuat sebelum masa untuk pemulihan terlalu singkat sebelum PRU 14.

40. Akhirnya saya terpaksa dedah kesalahan Najib dalam 1MDB. Duit berbillion Ringgit sudah hilang dan tidak mungkin didapati balik. Secara langsung atau tidak langsung Najib bertanggungjawab terhadap kehilangan yang besar ini.

41. Kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini Najib tidak lagi layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.