Sunday, 17 May 2015

PAS BERKOCAK ANGKARA BEBERAPA EKOR ANAI-ANAI




Benar sekali. Pertembungan dalam PAS memang berlaku. Ia bukan sekadar pertembungan antara individu, jauh sekali antara blok Ulama dan Profesional seperti yang digembar gemburkan. Ada agamawan yang tidak memperjuangkan aspirasi Ulama lain, dan ada profesional lain yang mendokong aspirasi ulama.

Lalu apakah hakikat sebenar pertembungan yang berlaku dalam PAS ini?

Untuk memahami hakikat ini, kita perlu membelek kembali lipatan sejarah sedari penubuhan PAS. Penubuhan Parti Islam Semalaysia ( dahulunya Parti Islam Se-Tanah Melayu) adalah kesinambungan daripada gerakan-gerakan islam sebelumnya ditanah melayu seperti Sarekat Islam dan Hizbul Muslimin Malaya.

Gerakan-gerakan islam ini pula ditubuhkan bertujuan untuk menggalas peranan khilafah setelah pemerintahan Khilafah Uthmaniah Turki dilemahkan oleh kuasa imperialis barat. Walaupun kuasa politik islam hilang, tugas menjaga kepentingan umat islam seperti pendidikan, dakwah, amar makruf nahi mungkar, jihad, kebajikan dan sebagainya tidak berakhir begitu sahaja.

Ulama' mujaddidin waktu itu berijtihad bahawa untuk mengembalikan semula khilafah islamiah dan membawa gagasannya, tidak dapat tidak perlunya kepada kuasa politik, lalu mewajibkan gerakan islam mendaftarkan diri sebagai sebuah parti, maka tertubuhlah PAS.

Perlu disedari walaupun PAS itu adalah sebuah parti politik, ia bukan semata-mata berpolitik, tetapi hakikatnya sebuah 'gerakan islam' yang turut menggunapakai wasilah selain politik dalam usaha meneruskan kewajipan-kewajipan islam. Orientasi sebenar PAS adalah tarbiah (pendidikan), dakwah, dan siasah (politik).

Konflik awal telah berlaku dalam PAS yang terkeliru dengan nama PAS yang didahului dengan perkataan 'parti'. Tidak sedikit yang memahami perjuangan PAS adalah sekadar terlibat dalam bidang politik. Ramai juga yang beraliran kiri menyertai PAS sebagai proksi untuk menghapuskan aliran liberal bawaan british yang memonopoli kerajaan waktu itu.

Setelah beberapa dekad, usaha memurnikan pemikiran sebegini telah berhasil. Penubuhan Majlis Syura Ulama' hasil desakan kepimpinan Dewan Pemuda di zaman Dato' Mustafa Ali berjaya memahat wawasan pengasas PAS terdahulu dalam jiwa-jiwa ahli.

Zaman itulah kita boleh melihat agenda tarbiah merupakan makanan asasi bagi ahli. Cawangan subur dengan usrah. Masjid dan surau dimakmurkan. Institusi pendidikan daripada peringkat pra-sekolah hingga sarjana tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ahli-ahli sanggup berjalan melewati kilometer untuk mendengar amanat-amanat tuan guru dan ulama'. Prestasi ukhuwwah, pengorbanan, thiqah dan wala' berada tahap tertinggi yang pernah dicapai.

Aura ini tidak hanya berlaku dalam masyarakat biasa. Ia turut terbias ke universiti dalam dan luar negara. Mahasiswa begitu pro-aktif membawa kesedaran tarbiah walaupun bukan dalam aliran agama. Kegemilangan zaman ini telah melahirkan tokoh-tokoh politik negara yang ada sekarang. Di luar negara, mahasiswa Timur Tengah dan Barat juga tidak terkecuali.

Walaupun kesedaran islam ini begitu pesat, ia tidak dapat lari pertembungan pendapat. Selain daripada ahli PAS, kebanyakan mahasiswa dan pemikir berpendapat politik demokrasi Malaysia bukanlah ruang yang baik untuk islam. Bahkan ramai juga yang berpendapat menyertai politik adalah satu bidaah yang tidak diharuskan agama. Antara kumpulan yang tidak sependapat dengan ijtihad PAS ini diperingkat awalnya adalah ABIM, IRC dan kumpulan ekstremis yang mengamalkan pendekatan muwajahah bilquwwah.

Apabila generasi idealistik ini tamat pengajian dari kampus, mereka membaca suatu hakikat baru apabila menempuh medan masyarakat, iaitu perlunya pengaruh politik dalam menyebarkan idea mereka kepada umum.

Ringkas cerita merekapun membuat permohonan untuk menyertai PAS yang dahulunya dianggap 'musuh ketat' dari sudut fikrah. Kepimpinan PAS begitu mengenali individu-individu yang berada dalam jemaah yang bertembung dengan fahaman PAS ini, tetapi dasar keterbukaan PAS dalam menerima ahli membuatkan kepimpinan meluluskan jua permohonan ahli mereka. Kepimpinan waktu itu bersangka baik bahawa mereka akan mengikut sesi pentarbiahan PAS dari bawah kembali untuk memahami hakikat perjuangan gerakan tersebut.

Namun ia bukanlah seperti yang diharap. Mereka yang sebelum ini telah melalui percambahan fikrah dari anutan sebelumnya cukup payah menundukkan diri menerima konsep yang dibawa PAS. Pada mereka, PAS tidak lain melainkan sebuah parti yang berjuang demi kuasa politik sama seperti parti-parti yang lain. Mereka juga menghantar wakil untuk berada dalan parti-parti politik lain termasuk UMNO, dan terkini PKR.

Lalu perjuangan mereka didalam PAS tidak lain selain memastikan PAS berjaya di persada politik, secara tidak langsung mengepikan aspek tarbiah dan dakwah. Mereka seolah-olah meletakkan kuasa politik sebagai syarat utama sebelum dakwah dan tarbiah. Selagi kuasa belum diperoleh, kerja tarbiah dan dakwah kepada masyarkat tidak menjadi wajib selain kepada ahli mereka sendiri.

Apabila golongan ini berada dalam PAS, mereka sedaya upaya meraih sokongan ahli supaya diangkat menjadi pemimpin parti. Ditambah dengan sikap tawadhu' sesetengah pemimpin dari kalangan agamawan, kerja-kerja pendakian mereka untuk ke kemuncak jawatan bertambah mudah.

Bermulalah zaman malap bagi sebuah gerakan islam induk Malaysia. Tarbiah tidak lagi menjadi agenda wajib cawangan. Dakwah pada rakyat bukan lagi suatu kelaziman. Ceramah-ceramah umum tidak lagi bercakap soal iman, syurga neraka, ayat-ayat Quran hanya sekadar pembuka majlis, sirah-sirah anbiya' sudah dianggap suatu retorik yang membosankan. Core businessnya hanya bercakap soal strategi politik, pendedahan urus tadbir kerajaan, isu-isu semasa dan sewaktu dengannya.

Alhamdulillah, ada yang menyedari perkara ini. Gerakan memperbetulkan kembali allignment perjuangan mula dipergiat. suara-suara mengadu ketandusan tarbiah bergema dalam siri-siri muktamar dan ijtima negeri. Peranan ulama' kembali didamba bagi meniupkan angin kesedaran islam yang hampir menyembah bumi.

Bermulalah pertembungan apabila 'orang baru' dalam PAS itu tidak senang dengan kesedaran ini. Maka wujudlah program-program membawa dua fikrah berbeza ini kepada masyarakat terutamanya ahli PAS. Program semakin rancak menjelang pemilihan parti. Ada yang mengimport pemain-pemain luar parti untuk membantu merelevankan gagasan yang dibawa. Taktik kotor dan sabotaj juga terpilih menjadi senjata untuk bertahan dan menyerang.

Untuk kembali pada landasan asal, tarbiah adalah bengkelnya. Hidupkan kembali usrah, liqa fikr, tamrin, nadwah dan sewaktu dengannya. Itulah paksi syakhsiah muslim sejati.

Ada yang menafikan perkara ini. Mereka lihat realiti PAS semakin gagah mendaki ke puncak politik. Sokongan pihak luar semakin bertambah, keahlian berduyun-duyun. Kerusi-kerusi DUN bertambah setiap kali PRU walaupun diakui tarbiah semakin pupus. Bagi mereka tarbiah bukanlah faktor utama kekuatan PAS.

Benar, PAS akan tetap gagah sebagai sebuah parti politik tanah air. Tapi sebagai sebuah gerakan islam, PAS amat tenat. Aspirasi politik semakin utuh, tapi kesedaran islam semakin luruh. Peranan khalifah yang mati tidak lagi diwarisi. Yang diperjuangkan sekarang hanyalah kuasa, kuasa dan KUASA!

Jika tiada sebarang langkah untuk memandang cermin sisi dan belakang diambil, kemungkinan gerakan islam ini akan terus mati.

Justeru itu memahami susur pertembungan secara adil adalah perlu. Ia bukan melibatkan perbezaan profesion semata-mata. Ia adalah pertembungan fikrah! Antara fikrah sebuah gerakan, dan sebuah parti.

Disebelah pihak memang meletakkan ulama' sebagai pemuka hadapan, disamping tidak melupakan peranan profesional lain dibelakang. Di sebelah pihak yang lain juga melibatkan peranan ulama', tetapi lebih sekadar tempat bertanya apabila berhadapan pihak satu lagi.

Pertembungan ulama profesional hakikatnya tidak wujud. Ia hanya dicipta untuk memburukkan golongan yang ingin mengembalikan asolah dakwah, seolah-olah pendokong Ulama tamakkan jawatan. Sebelum pemilihan 2011, agamawan dan profesion bekerja secara kolektif di bawah kepimpinan yang satu. Tiada blok profesional yang tidak sebulu dengan ulama'. Pernah ketiga-tiga Naib Pres, bukan dikalangan ulama', tetapi itu tidak menjadi isu kerana yang bukan ulama' bersama membawa aspirasi asal.

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment