Monday, 25 May 2015

TOK GURU KEPADA TUAN GURU



Pintu pagar tertutup rapat. Garaj kereta kosong. Hanya sebuah lampu yang bernyala. Gelapnya seolah rumah tidak berpenghuni.

Saya cuba dapatkan kepastian apakah rumah itu benar-benar tiada orang. Berkali-kali pintu diketuk, loceng ditekan, dan salam diberi. Namun masih tiada reaksi. Nampaknya semacam memang kosong. Saya berpatah balik hampa.

Sedang saya menolak pagar untuk keluar, nampak kelibat seorang wanita bertudung dari dalam pintu kaca rumah tersebut.

"Alhamdulillah. Ada orang rupanya." getus hati. Dengan gembira, cepat-cepat saya pusing mendapatkannya.

Tidak lama selepas wanita itu masuk ke dalam kembali, muncul pula sebatang tubuh yang uzur, menolak lembar langsir dengan kerusi rodanya. Tersenyum beliau menyambut salam yang saya hulur. Saya turut membalas senyumnya.

Orang itu ialah Dr Muhammad, pengamal perubatan Homeopati dari Kg Bukit Tok Beng. Saya adalah pelanggan setianya sejak anak pertama saya, Miyaz dilahirkan.

Homeopati adalah rawatan alternatif yang merangsang sistem antibodi tubuh untuk melawan penyakit. Prosesnya penyembuhannya agak lama tidak seperti rawatan konvensional/ allopathy, namun ia lebih bersifat semulajadi dan tidak melibatkan bendasing/ unsur bukan makanan dalam ubatannya.

Prinsip yang saya pegang, sebaik-baik ubat adalah makanan, dan sebaik-baik makanan adalah ubat.

خير الدواء ما كان غذاء وخير الغذاء ما كان دواء.

Sejurus bersalaman dan bertanya khabar ringkas, saya terus melabuhkan punggung di kerusi usang berhadapan rak buku Dr Mat. Melihat susunan buku-bukunya, nyata sosok tua itu bukan calang-calang orangnya. Dia guru perubatan, dia guru tasauf, guru politik dan juga guru haraki. Selerakan buku dalam berbagai genre dan bahasa di hadapan saya itu sudah cukup untuk membuktikannya.

Hampir semua buku-buku itu bertanda pada muka surat tertentu. Setiap kali saya datang, buku yang ada di meja kopi pasti bertukar lain. Kadang-kadang timbunan buku tasauf, kadang-kadang buku perubatan, kadang-kadang buku berbahasa Inggeris yang saya sendiri juling untuk mengejanya. Ini menunjukkan dia benar-benar baca, bukan seperti sebahagian orang yang hanya jadikan kitab sebagai alat perhiasan.

"Agak-agak apa pula lepas Azmin jadi MB ni?" Dr Mat bertanya memulakan bicara sambil menyiapkan ubat yang saya pesan. Memang Dr Mat selalu ambil peluang berkongsi pandangan politik setiap kali saya berkunjung. Walaupun dia sudah tidak mampu bergerak jauh, dia tidak pernah lupa mengambil tahu masalah semasa masyarakat. Mindanya terus menjelajah tanpa mempedulikan kudrat empat keratnya.

"Sepatutnya PAS dah boleh relaks. Tengok lah apa pula jadi pada PKR nanti." jawab saya ringkas sebagai mukaddimah. Biasanya saya tidak menjawab sebegini bila ditanya berkait isu Selangor.

Memandangkan soalan pertama pun berbeza dari soalan masyarakat kebanyakan yang saya pernah terima, saya kongsikan banyak pendapat dengannya, samada yang pernah saya tulis di alam maya mahupun yang masih saya pendam. Ternyata Dr Mat menumpukan sepenuh perhatian pada setiap titik yang meniti di bibir ini.

Saya terus luah segala isi hati yang terbuku sejak Anwar umum isterinya sebagai MB. Dr Mat seorang yang berilmu luas. Sudah tentu dia dapat menangkap apa sahaja yang saya maksudkan.

Dari peranan sultan, penglibatan Anwar, pemilihan Azmin seterusnya gelagat Wan Azizah sehinggalah pada penegasan Tuan Guru Ayah Chik, semua topik kami kupas bersama.

Berbeza dengan orang lain, ramai yang saya jumpa memang tidak puas hati dengan sikap Anwar. Mereka sudah cukup selesa dengan cara tadbir TSKI di Selangor. Bila mereka minta saya ulas, saya akan jawab mudah;
"Biasalah adat berpakat. Pemimpin kita lebih tahu kenapa mereka buat keputusan demikian."

Sebelum saya ke rumah Dr Mat pun, masih ada ahli jemaah surau tempat saya berkuliah bertanya soal yang sama . Dengan kesempatan yang singkat sebegitu, saya tidak mahu bicara tentang prinsip dan maqasid jemaah. Risiko mereka salah faham adalah tinggi. Menerang dalam suasana lepak-lepak hanya boleh menukat maqasid jadi mafasid.

Kefahaman tentang maqasid perlu difahami berperingkat dan bermanhaj. Usrah, Liqa Fikr, Daurah, Nadwah dan Tamrin berkala adalah cara yang sepatutnya untuk memahami dengan jelas.

"Ayah Chik tu sibuk. Kurang seminggu sebelum muktamar, beliau terbang ke Indon menemui pimpinan gerakan Islam di sana. Selepas itu, beliau bersidang pula dengan tetamu-tetamu muktamar dari gerakan Islam lain di Johor. Esoknya menyertai muktamar dengan penuh jiwa raga. Selesai sahaja muktamar, beliau terus ke Qatar untuk mesyuarat Kesatuan Ulama Dunia. Semalam balik dari Qatar, hari ini terus ke Sidang Dewan Negeri. Petang itu ke Pengkalan Kubur pula. Lepas PRK ini tak tahulah ke mana pula." Saya membilang jadualnya bimbang tentang kesihatan Ayah Chik.

Dr Mat kan pengamal perubatan. Mungkin dia boleh bagi sikit nasihat untuk saya sampaikan pada Ayah Chik yang masih dalam 'tempoh berpantang' selepas serangan jantung ketika Sidang Gerakan Islam sedunia di Turki dua bulan lepas. Sepatutnya dia masih perlu berehat panjang dari sebarang aktiviti luar.

Ternyata tokoh dunia itu tidak senang untuk duduk berehat tanpa berbuat apa-apa untuk Islam. Kehulu hilir membawa mesej Islam di kotak fikirannya adalah lebih selesa baginya, tanpa menghiraukan kondisi kesihatannya.

"Saya juga hairan dengan Ayah Chik tu. Dari mana beliau dapat 'kuasa' sampai boleh bertahan gagah sampai hari ini. Dulu saya pernah merawatnya. 20 tahun lepas, kesihatan dirinya sudah membimbangkan. Macam-macam penyakit kritikal ada padanya." Balas Dr Mat pula.

"Rasanya kalau orang biasa tu memang dah tak 'cakak' nak ke sana ke mari macam dia tu. Dengar ucapan penangguhan dalam muktamar baru ni pun saya terkejut. Sangat bertenaga macam zaman mudanya."

"Saya rasa kekuatan itu bukan dari dirinya. Itu Maunah Allah. Kalau nak kata karamahpun saya percaya." Tambahnya lagi penuh taajub.

Walaupun Dr Mat lulusan sains perubatan yang biasanya berfikir bersandarkan bukti dan kajian saintifik, beliau tidak pernah menafikan pengaruh unsur metafizik dan spiritual dalam kehidupan. 

Inilah ciri-ciri iman yang dituntut. Yakin kepada takdir kekuasaan Allah tanpa mengenepikan asbab musabbab.

Saya mulai perasan memang Ayah Chik berubah mendadak sejak balik dari persidangan Turki tempoh hari. Sebelum-sebelum ini beliau banyak berehat dan letih. Ucapannya pun perlahan dan pendek. Dia jarang berdiri lama seperti ucapan penangguhan muktamar baru-baru ini.

Menurut Dr Samsuri (SetPol Presiden PAS), antara sebab beliau diserang sakit pun kerana sebelum itu beliau telah memaksa diri berucap dengan nada yang agak keras, demi menegur sikap kebanyakan pemimpin gerakan arab yang masih termakan dengan sentimen sunni-syiah.

Sebelum ini juga pendirian Ayah Chik agak lunak dengan dua tiga orang pemimpin bermasalah dalam jemaah. Sudah banyak aduan yang disampaikan pada Ayah Chik mengenai orang-orang tersebut. Ayah Chik sendiri turut berhadapan dengan mereka, tapi Ayah Chik tetap dengan pendekatan damai, tidak bertegas dan banyak beri muka.

Tapi sejak pulang dari menerima rawatan ini beliau memang lain. Bukan saya sahaja yang perasan. Kawan-kawan yang lebih rapat dengan Ayah Chik pun nampak perbezaannya. Kali ini beliau lebih tegas. Seolah ada satu semangat baru yang dibawa pulang dari tanah constantinople, persis semangat Sultan Al-Fatih dalam perjuangan membuka kota sejarah itu. Tempoh rehat beliau di Hospital Istanbul seperti disuntik 'ubat juang' baru dalam tubuhnya. Nampak sungguh semangat beliau macam orang muda.

Beliau juga lebih ceria kini. Selalu ketawa, suka buat kelakar dan lebih mesra jika dibandingkan dua tiga menjak yang lepas. Semakin lama berjuang semakin kental semangatnya.

Satu perubahan yang menggembirakan!

Masakan tidak. Sejak usia muda lagi, Ayah Chik sudah mewakafkan diri kepada Islam dengan terlibat langsung dalam politik tanahari dan antarabangsa. Pulang dari pengajian, beliau bertugas menjadi pegawai di Yayasan Islam semasa PAS dalam kerajaan campuran. Beliau kerap dihantar oleh Presiden-presiden PAS sebelumnya menghadiri sidang-sidang antarabangsa, selain menangani krisis yang berlaku di peringkat mahasiswa luar negara. Beliau juga antara orang penting dalam merangka manhaj pentarbiyahan PAS yang telah melahirkan ramai graduan berwibawa dan berjasa untuk Islam.

Bahkan sebelum beliau tamat belajar lagi, kerajaan Saudi di zaman Mufti Abdul Aziz Ben Baz telah mengarahkan Ayah Chik berkuliah di Masjidil Haram kepada jemaah haji. Ketokohan beliau telah menawan hati pimpinan ABIM supaya beliau mengepalai ABIM bagi negeri Terengganu, walaupun pada waktu itu beliau telah mencurah komitmen sebagai AJK PAS. Itu belum cerita lagi keajaiban beliau mengarang berpuluh judul buku dalam kepadatan jadualnya.

"Saya pernah mengajar Ayah Chik dulu. Masa dia belajar di Sekolah Menengah Arab Marang kemudian Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, kedua sekolah itu saya mengajarnya." Dr Mat tambah mengimbau perjalanan hidup Ayah Chik.

"Masa sekolah dulu lagi dia sudah berbakat. Waktu saya jadi pengerusi badan khitobah (pidato) di SMASZA, saya lantik beliau jadi setiausahanya walaupun dia masih seorang pelajar." Ujarnya.

Rupanya inilah pendidik Tuan Guru. Sungguh tidak disangka. Orangnya tenang, suaranya perlahan, tempo bicaranya juga perlahan, tapi siapa tahu dialah pencungkil bakat terpendam Ayah Chik selama ini. Besar sekali jasanya melahirkan seorang ulama antarabangsa. 
Dialah 'Tok Guru kepada Tuan Guru'.

Hebat. Patutlah beliau nampak sangat relaks. Rupanya beliau sudah boleh goyang kaki dengan hasil sentuhannya lama dulu. Setiap amalan yang Tuan Guru lakukan hari ini hasil didikan beliau pasti akan mengalir pahala kepadanya jua. Ini yang diajar Nabi: Orang yang menunjuk ajar kebaikan, pahalanya sama seperti yang melakukannya.

الدال على الخير كفاعله.

Sebut pidato, teringat pula cerita arwah Tuan Guru Harun Taib masa mereka belajar di Mesir dulu. Ayah Chik selalu berlatih pidato tak kira masa. Tengah masak, basuh pinggan, menghadap cermin, lidah beliau kerap memperdengarkan pidato-pidato tegas dan lantang. Tidak hairanlah sebuah majalah antarabangsa menobatkan beliau antara tokoh paling petah berpidato di Asia suatu ketika dahulu. 'Fenomena Haji Hadi' zaman awal 80-an dulu adalah suatu catatan sejarah yang perlu dikaji.

Kini Dr Mat sudah berusia 74 tahun. Dia sudah tidak boleh berdiri lama. Hanya kerusi roda peneman setia. Tapi saya suka berkunjung ke rumahnya. Walaupun luas, halamannya sangat bersih. Walaupun cucunya ramai, bingit teriakan dan hilai tawa mereka tidak mengganggu ketenangan itu. Setiap kali saya datang di petang hari, biasanya beliau sedang menyapu halaman rumahnya.

Selain saya, orang tempatan lain juga ramai mendapatkan khidmatnya. Kakak ipar saya dari Pulau Pinang akan memborong ubat-ubatan berpuluh botol apabila pulang ke Terengganu. Menurutnya, sudah banyak klinik homeopati yang dikunjungi namun lebih berpuashati dengan rawatan Dr Mat.

Saya amat terkilan apabila rawatan homeopati seolah dianaktirikan oleh kerajaan Malaysia. Kerajaan lebih mengamalkan perubatan bermodelkan sistem kapitalis. Sepatutnya mereka mengambil langkah proaktif membangunkan perubatan yang hebat ini dari terus ditelan zaman.

Ia bukanlah rawatan tradisional. Ia juga sebahagian rawatan moden, cuma lebih neutral.

Pengasas homeopati adalah seorang doktor dari Jerman kerana tidak berpuashati dengan cara perawatan moden, yang didakwanya banyak 'menyembunyikan penyakit', bukan menyembuhkan.

Dakwanya lagi, ubatan moden/allopathy bermatlamatkan keuntungan semata-mata kerana ianya sebahagian dari projek kapitalis supaya manusia hidup bergantung kepada ubatan yang mereka cipta. Kesan ubat sesuatu penyakit boleh mencipta satu lagi penyakit baru. Kapitalis mahu mencari 'pelanggan tetap' ubatannya.

Wallahualam. Saya bukan pakar kesihatan. Tapi dari pengalaman dan hasil perkongsian orang ramai, ia seolah mengiyakan dakwaan tersebut.

Pengasas homeopati Malaysia pula adalah Dr Burhanudin Helmi, bekas Yang Dipertua PAS tahun 60an yang mati setelah mendekam lama di penjara rejim. Mungkin juga ianya salah satu sebab kerajaan mengenepikan perubatan yang hebat ini sampai sekarang.

Saya belum ceritakan pertemuan ini pada Ayah Chik. Kalau dia tahu, barangkali Ayah Chik mahu ziarahi orang banyak berjasa padanya itu. Mungkin Ayah Chik tidak tahu, dia selalu melintasi rumah Dr Mat sebelum merantau jauh, sebab rumah Dr Mat terletak hanya kira-kira 2km dari lapangan terbang Terengganu. Biasanya Ayah Chik akan cari peluang ziarah kenalannya. Mungkin masa belum mengizinkan.

Setelah hampir 20 minit bersembang, saya minta diri dahulu kerana malam semakin lanjut. Bimbang juga waktu rehatnya terganggu walaupun riak wajahnya masih belum puas bercerita. Lagipun ada beberapa urusan lagi perlu diselesaikan malam itu.

Kepulangan saya diiringi senyuman manisnya. Masih tersusun kemas gigi asli putih melepak. Dengan senyuman itu, saya juga tumpang gembira andai ada anak didik saya yang berjaya seperti Ayah Chik.

(Alang Ibn Shukrimun)
23/9/2014

No comments:

Post a Comment