Tuesday, 26 May 2015

Intisari Ucapan Perbahasan RMK 11 oleh Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang



Intisari Ucapan Perbahasan RMK 11 oleh Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang;

1. Beliau memulakan ucapan dengan menyebut peripentingnya muhasabah dibuat terhadap kesemua RMK yang sudah dibentang sebelum ini bagi mengambil iktibar, bukan sahaja atas kejayaan yang dicapai tetapi termasuklah kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbaiki.
Muhasabah itu penting agar kita telah syukur nikmat kepada bumi tanah air kita ini dan bukannya kufur nikmat sehingga tenggelamlah semua tanpa disedari akibat mengulangi kesilapan sehingga menjadi lebih parah.

2. Segala indeks, angka dan statistik yang dibaca hendaklah berpijak di medan rakyat secara nyata, bukan atas kertas sahaja. Pendapatan tinggi yang tidak saksama dengan kadar inflasi adalah ukuran yang tidak tepat dan menipu diri sendiri. 

3. Adakah kita sudah mampu berdikari tanpa bantuan dan hutang atau kita masih berharap bantuan pihak lain dan dibebani sehingga tidak mampu diatasi..?
Kita masih meneruskan amalan riba yang telah merudumkan ekonomi liberal kapitalisme atau seperti negara bekas sosialis yang mengabdikan rakyat atas nama membela rakyat tertindas.

4. Masalah kemiskinan, penggangguran yang ditampung dengan pekerja asing bukan rakyat sendiri, bergantung kepada cukai yang membebankan seluruh rakyat, masih ada negeri, daerah, kampung,dan pedalaman yang terpinggir dari kemudahan asas, ini semua adalah perkara yang wajib dilihat dengan adil dan berterus-terang. Hubungan Pantai Timur dan Pantai Barat, Malaysia Timur dan Malaysia Barat memerlukan kecanggihan bagi merapatkan jurang antara satu-sama lain. 
Contohnya, Lebuhraya Simpang Pulai-Gua Musang-Terengganu, Lebuhraya Rompin-Negeri Sembilan, Lebuhraya Timur-Barat begitu juga hubungan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah-Sarawak yang perlu didekatkan agar hasilnya dapat digabungkan dan diseimbangkan.

5. Budaya bergantung selamanya kepada Kerajaan perlulah diubah. Masalah ini tidak selesai kerana budaya memberi ikan bukannya mata pancing. Cukai GST diperkenalkan bukti kegagalan menguruskan hasil tanpa cukai, pengurusan kewangan yang lemah akibat boros dan salahlaku.
Kebergantungan kerajaan kepada Government Link Company (GLC), bukannya cara yang baik kerana ia akan membantutkan perkembangan ekonomi rakyat disebabkan berlaku persaingan yang sentiasa memenangkan kerajaan berbanding rakyat. 

6. Ibnu Khaldun sudah pun menyebut 1000 tahun yang lalu: "penglibatan kerajaan dalam aktiviti ekonomi boleh membawa keburukan."
Campurtangan melampau kerajaan mengikut Teori Komunis dan Sosialis telah menghancurkan negara besar sehingga terpaksa melakukan pembaharuan berasaskan ekonomi bebas yang melahirkan pula tokoh kapitalis daripada pemimpin dahulunya pendokong Komunis dan Sosialis.

7. Tema RMK 11 "Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat" gagal tanpa kejayaan pembangunan insan kerana tidak mengikut acuan Allah. Agenda pembangunan insan adalah kunci kejayaan ummat dan negara, yang mengikut fitrahnya iaitu jasad, ruh dan akalnya. Keseluruhan teori ciptaan manusia hanya melihat aspek jasad,yang tidak seimbang dengan akal dan terpisah daripada ruh, menjadikan kebendaan adalah matlamat, bukannya alat bagi memakmurkan bumi maka manusia itu tenggelam menjadi hamba kepada kepentingan kebendaan. 
Ini adalah punca kejatuhan tamadun negara yang paling maju dalam lipatan sejarah hanya tinggal kenangan dan mewarisi peninggalan lambang kezaliman terhadap rakyat walaupun hebat bangunan dan kotanya., sumber manusianya mati ditelan bumi dihumban ke neraka serta dikutuk sejarahnya.

8. Ibnu Khaldun menyebut, "manusia makhluk bertamadun, masyarakat madani boleh menghasilkan pelbagai pekerjaan hasil daripada dirinya dan sumber sekeliling." Contohnya, daripada satu keperluan makanan, bukan sahaja memerlukan pertanian, bahkan mewajibkan adanya industri dan perdagangan, pengangkutan dan jentera yang akan menumbuhkan peluang pekerjaan dan memajukan di mana sahaja bumi kita berpijak dengan syarat diurus dengan bijak dan baik tanpa ada penyelewengan dan kebocoran. 
Golongan penasihat kerajaan mestilah ikhlas,berilmu, beriman dan budiman, bukannya hanya tahu mengampu dan memuji setiap masa.

9. Pelaburan asing yang tidak memberikan pulangan pindahan teknologi bagi mencapai negara maju, kerana pelabur yang bakhil ilmu tanpa meraikan tuan rumah, dan lebih mengundang tenaga asing daripada tenaga tempatan. Kita tidak boleh hanya menjadi pengkalan ekonomi bagi negara besar, dahulu kita pernah menjadi pengkalan keselamatan mereka ketika zaman penjajahan Perang Dunia ke 2 dahulu.
Dalam peperangan itu, 60 % yang menjadi mangsa adalah negara yang dijajah sedangkan rakyat negara penjajah hanya 40% yang menjadi mangsa. Itu dalam peperangan, dalam ekonomi kita juga akan menjadi mangsa jikalau tidak berwaspada. Lebih parah apabila kita dijemput menyertai gagasan mereka, sekadar menjadi khadam bagi memulihkan krisis yang dialami mereka. Kerjasama antara negara itu penting tetapi faedah yang diperoleh itu perlulah secara bersama bukannya sebelah pihak sahaja. 

10. Warisan penjajahan yang meminggirkan Pantai Timur dan Malaysia Timur hendaklah dihapuskan kerana negeri-negeri ini kaya sumber buminya tapi rakyatnya masih miskin dan dipinggirkan apabila dibandingkan dengan Pantai Barat dan Malaysia Barat. Hentikanlah permainan politik yang melampau, jadikan penyelesaian tanggungjawab secara holistik bukan hanya ketika pilihanraya umum dan pilihanraya kecil sahaja. 

11. Perdana Menteri ada menyebut ayat Quran ketika ucapan pembentangan RMK 11 bahawa Allah yang memiliki segala-galanya, dan Allah yang terbaik. Apabila disebut itu, maka kita perlu balik kepada acuan Allah iaitu pembangunan Insan. Tamadun Barat yang diciplak daripada Tamadun Islam itu kini sedang menuju kehancuran kerana mengabaikan aspek ruh. 

12. Peranan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu amat penting bagi menambahkan lagi sumber manusia. Penterjemahan ilmu kepada bahasa kebangsaan akan memberi kemudahan dan lebih cepat melahirkan ilmuan dalam pelbagai lapangan. Lihat contoh negara Jepun, Korea, China, Jerman yang bangkit dengan bahasa mereka sendiri sepertimana Tamadun Islam yang bangkit dengan Bahasa Arab.

13. Akhirnya, beliau mengulas isu antarabangsa iaitu pelarian Rohingya dan IS. Isu pelarian Rohingya bukanlah isu keagamaan semata-mata, tetapi ia adalah isu kemanusiaan. Dalam tahun 1970an dahulu, kita pernah membantu pelarian Vietnam yang datang ke perairan Pantai Timur. Walaupun majoriti penduduk di situ adalah beragama Islam tetapi mereka tetap membantu pelarian tersebut yang bukan beragama Islam yang telah menjadi mangsa kezaliman Perang Vietnam.
Kesannya, hari ini kita mempunyai hubungan yang baik dengan Vietnam.

14. Beliau turut mengingatkan agar tidak berulang lagi sejarah Perang Dunia Kedua. Peristiwa kelahiran ISIS di Asia Barat tidak lain adalah permainan kuasa besar dunia untuk melagakan antara sesama orang Islam di atas nama perbezaan mazhab, kaum, ekonomi dan lain-lain. Ada artikel yang mendedahkan pihak intelligence Barat meletakkan pelampau di kawasan ini bagi menimbulkan ketegangan yang mencetuskan peperangan secara proksi/wakil kepada kuasa besar yang memberi keuntungan daripada syarikat senjata dan syarikat minyak mereka.

*Seperti biasa, ucapan Tuan Guru Presiden PAS sarat dengan ilmu, fakta dan hujjah ilmiah. Beliau menyentuh RMK 11 ini secara kerangka dasar dan sudah pun menyebut di awal ucapan itu bahawa hal yang lebih terperinci dan cabang akan dibahaskan oleh wakil rakyat lain.
Walaupun Tuan Guru berkelulusan agama tetapi beliau berkebolehan dalam berbahas menyentuh hal ekonomi, pentadbiran negara, bahkan politik antarabangsa. Beliau mampu menerangkan sesuatu konsep realiti semasa hari ini dengan diperkukuhkan dalil Al Quran dan Hadis.

Catatan Oleh;
Syed Ahmad Fadhli 
Pusat Penyelidikan PAS (PPP)

No comments:

Post a Comment