Monday, 16 March 2015

DAKWAAN MYVI DAN ALZA BAHAYA DIJAWAB

Dakwaan bahawa Perodua Myvi dan Alza tidak selamat menjadi viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.


SHAH ALAM - Pengeluar kereta nasional, Perodua menafikan dakwaan seorang blogger bahawa kereta model Myvi dan Alza keluaran syarikat itu tidak selamat kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, tuduhan blogger menggunakan nama Wolf Vaupel bahawa penggunaan panel meter yang menyala sendiri di dalam Myvi dan Alza boleh membawa maut adalah tidak berasas.

"Menurut logik yang digunakan Vaupel, panel meter itu mengelirukan pengguna yang menyangka lampu hadapan mereka sudah menyala. Kami ingin menjelaskan bahawa berdasarkan pertanyaan yang dibuat kepada pihak berkuasa dan syarikat insurans, tiada sebarang kaitan antara panel meter boleh nyala sendiri itu dengan pelanggaran di jalan raya pada waktu malam," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam artikel di blognya bertarikh 10 Mac 2015, Vaupel yang dikatakan jurutera dari Jerman juga mendakwa ciri-ciri panel meter boleh menyala sendiri itu bercanggah dengan peraturan antarabangsa.

"Tetapi (Vaupel) gagal memberikan sebarang bukti terhadap kenyataannya itu. Tambahan pula, panel jenis itu turut digunakan dalam jenama kereta antarabangsa lain. Kami hairan mengapa serangan Vaupel hanya ditujukan kepada Perodua.

"Kami juga ingin sahkan kami telah membalas pertanyaan awal Vaupel mengenai perkara tersebut," kata Aminar Rashid.

Vaupel dalam tulisannya yang menjadi viral di media sosial sejak beberapa hari lalu, mendakwa melihat antara satu hingga lima kereta Perodua yang dipandu pada waktu malam tanpa menyalakan lampu hadapan, meningkatkan risiko kemalangan.

Dia turut mendakwa pengurusan Perodua, beberapa institusi lain bagi keselamatan jalan raya dan syarikat insurans 'tidak berani' membalas pertanyaannya berhubung perkara itu.

Sinarharian


No comments:

Post a Comment