SOLAT ORANG MUNAFIQ
Bukan semua solat yang dikerjakan oleh orang kebanyakkan itu menghindarkan dirinya dari perbuatan mungkar. Kerana dikalangan orang yang solat juga terdapat orang munafiq. Iaitu orang yang berpura-pura dengan solatnya. Justeru itu tidak menghairankan bapa kepada orang munafiq iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul sendiri pernah solat di belakang baginda Rasulullah SAW.
Gambaran yang lebih jelas telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran. Bagaimana kita mampu mengenali ciri-ciri solat orang yang munafik. Di dalam surah al-Nisa’ ayat ke 142 Allah menyatakan bahawa :
“Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ ( dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali”
TANDA SOLAT MUNAFIQ IALAH SOLAT DENGAN MALAS
Sebab itu diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih dari Ibn Abbas bahawa dimakruhkan kita melaksanakan solat dalam keadaan malas. Namun hendaklah dikerjakan dalam keadaan wajah ceria, kemahuan yang tinggi dan begitu gembira. Ini kerana ia sedang bermunajat kepada Allah. Sesunggguhnya Allah di hadapannya, mengampuninya dan memperkenankannya jika ia memohon.
Dalam Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah sudah pasti tidak dapat ditipu oleh orang munafiq. Malah Allah mengetahui segala rahsia batin. Sebab itu dinyatakan tanda-tanda orang munafiq dalam melakukan ibadah solat. Antaranya ialah jika mereka melakukan solat, mereka akan melakukan dengan malas. Ini kerana di dalam hati mereka tidak mempunyai niat yang betul. Tidak memiliki iman. Malah tidak merasa takut dan tidak memahami maknanya.
Sebab itulah pada zaman Rasulullah SAW, orang-orang munafiq kerap kali kelihatan hanya pada waktu solat Zohor, Asar dan Maghrib. Namun keupayaan mereka tidak memungkinkan mereka untuk bangun dan berjemaah solat Subuh dan Isyak. Ini kerana apabila solat dilakukan bukan dengan kemahuan hati yang ikhlas, maka bila datangnya waktu yang malas, mereka meninggalkannya.
No comments:
Post a Comment