Monday, 25 May 2015

1MDB: SELURUH KABINET PERLU BERTANGGUNGJAWAB


Keseluruhan Kabinet patut dipertanggungjawabkan atas masalah yang dihadapi syarikat 1Malaysia Development Berhad, kata veteran Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini, dan menambah beban itu bukan di bahu perdana menteri seorang saja.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata jika ahli Kabinet tidak sedar mengenai isu 1MDB, mereka sepatutnya membuat siasatan, bukannya menuding jari ke arah orang lain.

“Semua di sana (dalam Kabinet) perlu bertanggungjawab secara kolektif terhadap masalah itu. Anda tidak boleh kata ia bukan masalah anda, bukan masalah saya,” kata bekas menteri kewangan itu kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.



“Selagi anda anggota Kabinet, sama ada anda tahu atau tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam kerajaan, anda sama dan turut bertanggungjawab,” katanya.
Tengku Razaleigh hari ini berkata tidak sewajarnya ahli Kabinet dakwa tidak tahu mengenai skandal itu, memandangkan sudah ramai yang bercakap mengenai 1MDB.

“Orang lain tahu, bagaimana ahli Kabinet tidak tahu? Sibuk dengan perkara lain?,” katanya yang juga ahli Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun, beliau enggan berkongsi pandangannya berhubung syarikat yang sedang sarat menanggung hutang itu, berkata beliau harap untuk mendapatkan “gambaran keseluruhan” terlebih dulu.

Katanya, 1MDB menjadi “buah mulut kerana ada sesuatu yang di luar kebiasaan dan di ambang penipuan”, tetapi menambah beliau akan menunggu sehingga laporan rasmi dikeluarkan.

“Kita hanya bergantung pada maklumat yang keluar cebisan demi cebisan daripada pelbagai sumber.

“Jadi mari kita lihat keseluruhan gambar. Pada masa ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sedang menyusun untuk bagaimana melihat masalah ini,” katanya.

Jawatankuasa dwi parti itu memulakan prosidingnya mengenai perkara itu pada Selasa lalu, selepas memutuskan untuk tidak menunggu siasatan ketua audit negara disiapkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan ketua audit negara menjalankan siasatan dan menyerahkan hasilnya kepada PAC untuk ketelusan. Tetapi, kritikan yang semakin banyak dan pendedahan dalam laman web Sarawak Report mendorong PAC memulakan pendengarannya lebih awal.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mengkritik cara kerajaan mengendalikan isu itu, dan berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberi penjelasan kepada rakyat mengenai masalah 1MDB, yang menanggung RM42 bilion hutang dalam hanya 6 tahun beroperasi. – 25 Mei, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/seluruh-kabinet-bertanggungjawab-atas-1mdb-kata-ku-li#sthash.z4EEM5FO.dpuf

TMI


Sunday, 24 May 2015

Hentikan serangan terhadap PAS dan Presiden PAS

Serangan bertali arus DAP terhadap PAS telah menimbulkan satu keadaan yang sangat tidak selesa dalam hubungan Pakatan Rakyat. Bukan itu sahaja, tindakan DAP ini telah memberikan nafas baru kepada Umno-BN yang semakin lemas dengan isu penipuan 1MDB dan kos sara hidup yang meningkat kerana GST.

Saya telah membuat teguran dan ingatan beberapa kali terhadap sikap pimpinan DAP sebelum ini. Semua pihak melihat Pakatan Rakyat salah satu wadah terbaik bagi menumbangkan BN. Namun, wadah ini perlu memperkasakan ketiga-tiga rakan tahaluf dan bukannya melemahkan mana-mana parti yang menjadi rakan tahaluf. Sepakat pada perkara yang dipersetujui bersama dan jangan mencabuli dasar parti rakan tahaluf dalam perkara berbeza. Semua parti perlu kuat bagi mencapai kemenangan dalam PRU akan datang. Serangan sesama sendiri hanya menguntungkan Umno-BN.

DAP berkali-kali berkata mereka mementingkan Pakatan Rakyat. Tapi tindakan mereka menyerang PAS dan Presiden PAS bertubi-tubi pula membuktikan sebaliknya. Tindakan DAP ini sedang menolak Pakatan Rakyat ke ambang perpecahan.

Isu serangan bertali arus DAP terhadap PAS amat meluatkan akar umbi PAS. Perkara ini dijangka membawa kesan pada muktamar PAS ke 61 yang bakal menjelang. Maruah PAS sebagai parti berwibawa perlu dibela.

Jika benar DAP sayangkan Pakatan Rakyat, hentilah menyerang PAS. Lupakanlah dan jauhilah sifat bermusuh, hormatilah perbezaan dan berusahalah untuk mendiamkan diri jika tiada apa yang baik untuk disebut mengenai rakan tahaluf.

Jika tidak, jangan salahkan PAS seandainya tahaluf dengan DAP ini terungkai kerana ahli PAS akan tetap pertahankan prinsip perjuangan parti lebih-lebih lagi selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Aziz.

Betul kata Lim Kit Siang, Allahyarham TGNA sangat sayangkan Pakatan Rakyat. Namun begitu, percayalah beliau tidak akan sesekali menggadaikan prinsip parti demi memenuhi tuntutan rakan tahaluf yang mengharapkan PAS melupakan cita-cita Islamnya.

Di sini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa tuduhan PAS akan bergabung dengan Umno hanyalah fitnah. Majlis Shura PAS telah menegaskan perkara ini baru-baru ini. Soalan saya masih sama, berapakah kerusikah yang Umno sanggup beri ke PAS sekiranya betul gabungan politik ini berlaku? 40? Hujah ini sahaja sudah cukup untuk mematahkan fitnah ini daripada berterusan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
25 Mei 2015