Saturday, 27 November 2010

Chong Eu yang saya kenali

Kematian mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu semestinya meninggalkan banyak kenangan, sama ada pahit mahupun manis, di kalangan banyak orang, khususnya orang politik dan warga Pulau Pinang.

Banyak pihak daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hinggalah kepada rakyat marhaen semua kaum, memperkatakan sesuatu mengenai mendiang pengasas Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan antara pengasas utama gabungan Barisan Nasional itu, hampir semuanya meluahkan kata-kata positif.

Saya tidak perlu mengulangi kejayaan dan taburan jasa dan bakti mendiang Chong Eu kepada negeri kelahirannya, Pulau Pinang dan kepada negara selaku Ahli Parlimen Tanjong dan gagasan BN. Tiada siapapun boleh menafikan apa yang dilakukan oleh mendiang untuk membangun dan memodenkan Pulau Pinang selepas taraf pelabuhan bebas ditarik balik untuk diberi kepada Langkawi.

Saya adalah antara wartawan yang rapat dengan mendiang semasa bertugas di Pulau Pinang, negeri kelahiran saya, pada era 1970-an. Mendiang mengenali keluarga saya yang tinggal di Kampung Syed, Kelawai terutama sekali bapa mertua saya.

Pada salah satu pilihan raya umum, saya ditugaskan oleh ketua biro Bernama Pulau Pinang, Khoo Boon Choo untuk meliputi kempen Chong Eu dan setiap pagi saya akan ke markas pilihan rayanya di sebuah banglo lama milik keluarga mendiang di Jalan Macalister. Dari situlah hubungan saya dengan mendiang menjadi rapat. Mendiang mempercayai saya kerana, tanpa kesedaran saya, dia pernah menguji sama ada saya boleh dipercayai atau tidak apabila dia menceritakan sesuatu dan meminta saya merahsiakannya. Hingga sekarang saya tidak membocor apa yang diceritakannya.

Kepercayaan Chong Eu terhadap saya membuatkannya menawar jawatan Pegawai Akhbar, satu jawatan yang hendak diwujudkannya kerana sebelum itu dia tidak mempunyai seorang pegawai yang khusus berkaitan akhbar atau media termasuk setiausaha akhbar.

Mendiang Chong Eu meminta saya melepaskan jawatan dengan Bernama untuk diambil sebagai Pegawai Akhbar Ketua Menteri, satu jawatan yang diletakkan di bawah pentadbiran negeri, bukan pentadbiran persekutuan.

Saya keberatan untuk meletak jawatan dan meminta kerajaan negeri memohon kepada Bernama meminjamkan saya kepada Pejabat Ketua Menteri atau dalam bahasa Inggeris disebuat sebagai 'secondment'. Saya menyangka pengurusan Bernama pasti meluluskannya kerana permohonan itu datangnya dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sangkaan saya jauh meleset kerana Bernama tidak setuju berbuat demikian. Lihat surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di bawah ini, yang menyatakan pendirian Bernama.



Mungkin saya melakukan kesilapan besar kerana tidak meletak jawatan untuk berkhidmat sebagai Pegawai Akhbar. Walau apapun, sesal kemudian tiada gunanya.

Saya tidak tahu yang Bernama begitu menghargai khidmat saya sehingga keberatan untuk melepaskan saya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedangkan selepas itu ada wartawan Bernama yang dipinjamkan kepada pejabat Menteri. Bernama, ketika itu lagi sudah mengamalkan dwi-standard.

Walaupun permohonannya untuk mendapatkan saya berkhidmat sebagai Pegawai Akhbar secara pinjaman ditolak oleh Bernama, beliau tetap rapat dengan saya dan beliau pernah menyatakan kepada orang kanannya dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa saya membesar di hadapannya, walaupun kenyataan itu tidak begitu tepat tetapi saya menganggapnya sebagai satu penghormatan.

Selepas beliau bersara setelah kalah pada pilihan raya umum di tangan Lim Kit Siang, mendiang masih ingat dan kenal saya. Inilah salah satu kelebihan mendiang, iaitu dia mempunyai daya ingatan yang tajam, dia mengenali setiap wartawan yang sering membuat liputan di Bangunan Tuanku Syed Putra, iaitu ibu pejabat Kerajaan Negeri ketika itu. Dia ingat nama dan di media mana wartawan berkenan bertugas.

Mendiang juga ketua kerajaan negeri yang pertama mengadakan sesi bersama media pada satu hari setiap minggu. Majlis pertemuan itu diadakan bukan untuk mendapat publisiti semata-mata tetapi lebih merupakan satu peluang untuk beliau mendapat maklum balas dari pihak media. Ia lebih merupakan pertemuan untuk bertukar-tukar fikiran dan selalunya, wartawan pulang ke pejabat dengan bahan berita yang menarik.

Golongan wartawan yang sering menghadiri pertemuan itu hampir semuanya sudah bersara dan tidak kurang pula yang telah meninggal dunia. Mereka yang meninggal dunia, iaitu mendahului mendiang Chong Eu dan yang saya tahu adalah, Nazar Abdul, Ghani Latiff, Yusof Bakar, Khamis Ahmad, K Ratnam, Gunn Chit Thuan, Nasaruddin dan AR Kamaluddin.

Semasa saya bertugas di Singapura dan ketika itu mendiang telah bersara, saya terperanjat apabila ditegur olehnya semasa menunggu ketibaan anak saya dari Pulau Pinang di lapangan terbang Changi. Mendiang masih ingat nama saya dan menegur saya dengan bertanya apa yang saya buat di Changi.

Mendiang meluangkan masa untuk borak dengan saya sebelum beredar untuk menghadiri satu majlis di republik itu. Itulah sikap mendiang yang tidak sombong dan sering merendah diri walaupun dia bertaraf orang kenamaan yang pernah diberi gelaran 'The Lion of Tanjong' atau Singa Tanjong semasa menjadi Ahli Parlimen Tanjong.

Mendiang juga banyak membantu masyarakat Melayu Pulau Pinang walaupun banyak pihak yang sering mencurigainya. Yang mendiang utamakan adalah kesungguhan dan kejujuran untuk melakukan sesuatu, bukan menginginkan sesuatu tanpa mahu berusaha atau bekerja untuk mendapatkannya. Mendiang akan membantu berdasarkan faktor tersebut.

Sebagai contoh, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang mencatat sejarah sebagai Dewan yang pertama di Malaysia mempunyai sebuah bangunan sendiri setinggi 12 tingkat, mendahlui dewan-dewan perniagaan Cina dan India. Kewujudan bangunan itu menjadi kenyataan kerana mendiang Chong Eu yakin dan percaya bahawa ia dapat dibangunkan oleh sahabat karibnya yang juga Presiden Dewan, almarhum Tan Sri Syed Abbas Alhabshee.

Bangunan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang berdiri megah di daerah perbankan dan pelabuhan, berhadapan menara jam bersejarah, bangunan Pejabat Imigresen, bangunan Pejabat Agama Islam dan berdekatan Dewan Undangan Negeri dan Bangunan Tuanku Syed Putra. Ia adalah tempat strategik yang tidak mungkin dimiliki oleh Dewan andai kata orang lain yang menjadi ketua menteri dan bukan mendiang Dr Lim Chong Eu. Itulah hakikatnya.

Walaupun mendiang dan almarhum Syed Abbas pernah menjadi musuh politik, tetapi atas faktor persahabatan dan kepercayaan akan kemampuan dan kebolehan almarhum untuk mendirikan bangunan yang menelan belanja berpuluh juta ringgit itu, mendiang meluluskan pemajakan tanah yang bernilai tinggi itu kepada Dewan dengan harga Rm1 sahaja.

Mendiang juga membantu Koperasi Melayu Pulau Pinang yang diketuai oleh almarhum Syed Abbas mendirikan empat blok rumah pangsa untuk ahli-ahli koperasi di Jalan Perak. Banyak pihak yang menuduh mendiang atau pentadbiran negeri sebagai tidak membantu orang Malayu pada hal faktor sebenar adalah sebaliknya. Golongan yang menentang pembinaan rumah pangsa tersebut adalah segelintir orang Melayu yang iri hati dan menyimpan perasaan hasad dan dengki. Mereka melakukan bermacam cara untuk menggagalkan projek tersebut.

Bagi saya, Tun Dr Lim Chong Eu, yang datangnya dari keluarga Cina Peranakan Pulau Pinang, adalah seorang insan yang terlalu banyak berjasa kepada negeri Pulau Pinang khususnya, dan Malaysia amnya.

Mendiang adalah seorang yang pintar dan salah satu kelebihannya yang tidak diketahui umum ialah kebolehannya mengarang sajak atau 'poem' dalam bahasa Inggeris. Saya tidak tahu sama ada himpunan sajaknya itu masih ada dalam simpanan keluarganya atau sebaliknya. Mantan setiausaha sulitnya yang kemudian dilantik Ahli Dewan Negara selama dua penggal, Gooi, saya tidak ingat nama penuhnya, mungkin ada jawapannya.

Rakyat Pulau Pinang sudah pasti akan mengenang jasa Tun Dr Lim Chong Eu.

Tanam pisang tanam ubi,
Ubi ditanam berbatas-batas,
Banyak sudah tuan berbudi,
Dalam ingatan tidak terbalas.

Monday, 22 November 2010

Tonto video cetak rompak lebih hebat daripada penguatkuasa

Malam tadi saya ke Batu Feringghi Pulau Pinang, kususnya ke pasar malam sepanjang jalan berhadapan hotel-hotel mewah. Pasar malam ini terkenal bukan sahaja di kalangan pelancong tempatan tetapi pelancong antarabangsa. Ia adalah sebahagian daripada tarikan pelancongan Pulau Pinang.

Saya ke situ kerana memenuhi permintaan seorang saudara dari Indonesia yang kepingin ke sana. Turut sama isteri, anak saudara dan cucu saya.

Walaupun bukan hujung minggu, pasar malam itu cukup meriah bermandikan cahaya dan dikunjungi ramai pelancong, terutama dari negara-negara Arab. Kesesakan jalan tetap berlaku termasuk beca roda tiga yang turut dihiasi lampu berwarna-warni. Suasana sememangnya ceria.

Dalam keghairahan orang ramai membeli-belah atau sekadar meninjau sepanjang pasar malam, tiba-tiba suasana bertukar menjadi kelam-kabut. Penjual barangan tiruan seperti tas tangan 'berjenama', pakaian 'berjenama' dan DVD atau CD cetak rompak begitu pantas menyimpan barangan tersebut.

Pada mulanya, saya menyangka mereka hendak menutup kedai tetapi setelah melihat seorang pemuda 'bersenjatakan walkie-talkie' memberi arahan dalam loghat Hokkien, barulah saya sedar apa yang sedang berlaku.

Pemuda berkenaan dan beberapa orang rakannya yang turut menggunakan 'walkie-talkie' adalah tonto. Tugas mereka memaklumkan kehadiran pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. 

Saya dapati sebuah van Bahagian Penguatkuasa kementerian berkenaan diekori oleh seorang tonto bermotosikal yang menyalur maklumat tentang kedudukan van tersebut kepada tonto lain melalui 'walkie-talkie'. Nampaknya kesiapsagaan tonto mengatasi operasi atau tugas para pegawai penguatkuasa kerana kehadiran mereka dihidu terlebih awal dan peniaga yang memperaga dan menjual barangan tiruan atau cetak rompak mudah terlepas daripada tindakan.

Apa yang jelas daripada episod malam tadi ialah pihak tonto jauh lebih hebat daripada pihak berkuasa atau penguatkuasa. Peniaga terlepas manakala penguatkuasa pulang dengan tangan kosong.

Episod itu juga memberi jawapan jelas kepada pihak penguatkuasa atau kementerian berkenaan iaitu bukan peniaga jalanan atau pasar malam yang mesti diperangi atau dijadikan sasaran tetapi pihak yang sama ada mengeluar atau mengedar barangan tersebut. Ia sama dengan usaha menangani masalah dadah, bukan penagih yang seharusnya dijadikan sasaran, tetapi pengedar dan mereka yag terlibat dalam memproses dadah termasuk narkotik sintetik.

Dalam usaha menghapus jualan barangan tiuruan atau cetak rompak dan dadah, puncanya mesti dimusnahkan.

Penjual hanyalah 'ikan bilis' yang  akan pupus jika sumber perolehannya yang merupakan  'jerung' dihapuskan terlebih dahulu.