Wednesday 10 December 2008

Tragedi Bkt Antarabangsa - berapa harga nyawa manusia?



Saya terperanjat mendengar kata-kata salah seorang mangsa tragedi Bukit Antarabangsa dalam satu temubual siaran berita salah sebuah stesen tv kita.

Lelaki yang masih muda itu (saya agak berumur bawah 40 tahun) dengan tegas menyatakan dia akan tetap tinggal di Bukit Antarabangsa walaupun menghadapi kemungkinan berulang tragedi tanah runtuh.

Alasan yang diberi oleh lelaki itu ialah sewa rumah di situ murah. Beliau berkata pangsapuri boleh disewa serendah RM200 manakala rumah teres RM600 sebulan. Murah. Cukup murah ikut piawaian Kuala Lumur/Ampang.

Kerana sewa yang murah, dia sanggup menggadai nyawa untuk terus menetap di Bukit Antarabangsa. Sekiranya lelaki itu berkeluarga, ini bermakna dia sanggup menggadai nyawa isteri dan anak-anaknya.

Saya tertanya-tanya sama ada nyawa manusia semurah itu kerana dia sanggup menghadapi malapetaka semata-mata kerana sewa kediaman yang murah.

Benar, ajal maut di tangan Tuhan. Tetapi manusia diajar untuk menolong diri sendiri, bertindak bijak dan waras untuk mengelak bencana dan malapetaka. Selepas melakukan sesuatu untuk itu, maka barulah kita berserah kepada Allah.

Sesungguhnya nayawa manusia tiada harga. Tidak boleh dinilai sama sekali. Hargailah nyawa kerana ia tidak boleh dijual beli.

Saturday 6 December 2008

Jaminan yang sama setiap kali bencana berlaku

Saya dan saya yakin majoriti rakyat sudah bosan mendengar jaminan dan pengakuan oleh pemimpin negara setiap kali berlaku bencana alam.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi apa yang selalunya diluahkan apabila berlaku bencana alam yang mengakibatkan kematian.

Kejadian tanah runtuh di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bukan perkara baru dan tragedi di Bukit Antarabangsa juga bukan perkara baru.


Apabila tragedi Highland Towers berlaku, kerajaan mengarahkan semua pembangunan di tanah tinggi dan lereng bukit dihentikan. Tetapi, setelah keadaan reda kita dapati puncak bukit dan lereng bukit terus digondol untuk pembangunan kediaman terutama yang bertaraf mewah.


Kerakusan pemaju dan ketidakpekaan pihak berkuasa tempatan adalah punca berlakunya bencana alam yang bukan dek alam semula jadi tetapi akibat perbuatan manusia mengusik dan mengubah struktur alam.


Inilah yang berlaku di Bukit Antarabangsa.


Tragedi itu tidak akan berlaku sekiranya manusia tidak mengusik kesempurnaan alam ciptaan Allah. Bukit dan hutan ada peranan dan akibat perbuatan manusia menebang pokok dan meratakan bukit atas nama pembangunan, dengan sendirinya tujuan kewujudan hutan dan bukit telah diusik dan akibatnya berlakulah bencana.


Jangan salahkan alam, jangan salahkan cuaca. Salahkan pihak berkuasa tempatan yang meluluskan projek-projek pembangunan di atas bukit (tanah tinggi) dan di lereng bukit.


Kerajaan pula janganlah asyik memberi amaran dan arahan yang kemudiannya tidak dihiraukan. Ketegasan nampaknya menjadi kelemahan yang akhirnya mengakibatkan kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa.