Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi apa yang selalunya diluahkan apabila berlaku bencana alam yang mengakibatkan kematian.
Kejadian tanah runtuh di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bukan perkara baru dan tragedi di Bukit Antarabangsa juga bukan perkara baru.
Apabila tragedi Highland Towers berlaku, kerajaan mengarahkan semua pembangunan di tanah tinggi dan lereng bukit dihentikan. Tetapi, setelah keadaan reda kita dapati puncak bukit dan lereng bukit terus digondol untuk pembangunan kediaman terutama yang bertaraf mewah.
Kerakusan pemaju dan ketidakpekaan pihak berkuasa tempatan adalah punca berlakunya bencana alam yang bukan dek alam semula jadi tetapi akibat perbuatan manusia mengusik dan mengubah struktur alam.
Inilah yang berlaku di Bukit Antarabangsa.
Tragedi itu tidak akan berlaku sekiranya manusia tidak mengusik kesempurnaan alam ciptaan Allah. Bukit dan hutan ada peranan dan akibat perbuatan manusia menebang pokok dan meratakan bukit atas nama pembangunan, dengan sendirinya tujuan kewujudan hutan dan bukit telah diusik dan akibatnya berlakulah bencana.
Jangan salahkan alam, jangan salahkan cuaca. Salahkan pihak berkuasa tempatan yang meluluskan projek-projek pembangunan di atas bukit (tanah tinggi) dan di lereng bukit.
Kerajaan pula janganlah asyik memberi amaran dan arahan yang kemudiannya tidak dihiraukan. Ketegasan nampaknya menjadi kelemahan yang akhirnya mengakibatkan kehilangan nyawa orang yang tidak berdosa.
No comments:
Post a Comment