Wednesday, 3 December 2008

Ke mana perginya pasir Malaysia? Tentulah ke ....



Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini dengan jelas mendedahkan perbuatan khianat yang amat sangat oleh pihak tertentu yang sanggup menggondol bumi Malaysia untuk tujuan tertentu.


Kita boleh agak bahawa pasir yang dikaut itu di eksport ke tanah seberang - lebih tepat ke sebuah negara pulau. Jika tidak ke sana ke mana?


Perbuatan menjual pasir secara "haram" ke Singapura bukan perkara baru. Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan kesedaran mengenainya pada tahun 2006.

Untuk rekod, Malaysia melarang pengeksportan pasir ke Singapura pada tahun 1997. Ekoran daripada itu, Singapura mengimport pasir dari kepuluan Riau, Indonesia. Tetapi, atas kesedaran nasional, Indonesia pun melarang pengeksportan pasir ke Singapura pada tahun 2007.

Akibat larangan oleh Indonesia, harga pasir untuk industri pembinaan di Singapura melambung sehingga 15 peratus. Singapura mengimport pasir bernilai antara RM145 juta dan RM330 juta setahun untuk menampung keperluan pembangunannya.

Saya masih ingat iaitu pada tahun 2006, ketua pembangkang di Parlimen Malaysia ketika itu, Lim Kit Siang pernah menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dakwaan Tun Dr Mahathir mengenai pembabitan pemimpin tertentu dalam pengeksportan pasir ke Singapura. Tidak tahu pula saya sama ada BPR berbuat demikian atau tidak. Besar kemungkinan tidak kerana sebab-sebab tertentu.

Untuk mengembalikan ingatan, Tun Dr Mahathir mendakwa pihak tertentu di Malaysia mempunyai rancangan untuk mengeksport pasir bernilai berbilion ringgit ke Singapura untuk satu tempoh menjangkau 20 tahun. Katanya, perbuatan itu merupakan satu percanggahan kepentingan pemimpin tertentu dan ada kaitan dengan isu pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

Tun Dr Mahathir mendakwa bahawa pasir berkenaan akan di ambil dari dasar laut seluas satu bilion meter persegi dan akibat yang akan diterima oleh Malaysia ialah kepupusan ikan dan kesengsaraan hidup untuk para nelayan.

Pendedahan yang dibuat oleh Utusan Malaysia membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena di Johor.

Kita asyik dengan pembangunan Iskandar Malaysia dan dalam keasyikan itu bumi kita digondoli untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Apa nak jadi dengan negara kita jika kerakusan dan kegelojohan terus menguasai pihak tertentu terutama yang bergelar pemimpin dan pentadbir.

Nak harapkan siapa untuk menyiasat?

Harapkan pagar, pagar makan padi.

No comments:

Post a Comment