Friday 29 January 2010

Masalah politik PR Pulau Pinang sudah serius

Gah diperkatakan di kalangan pengamat politik termasuk di warung dan kedai kopi di Pulau Pinang bahawa Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain M Hashim akan mengetuai "segelintir" ahli dan penyokong Parti KeAdilan Rakyat (PKR) untuk keluar Pakatan Rakyat (PR).

Zahrain dan pengikutnya itu diikatakan akan menjadi "wakil rakyat mesra BN" atau melompat terus memasuki rumah mewah BN.

Geng Zahrain dikatakan tidak puas hati dan kecewa dengan sikap Ketua Menteri DAP/PR Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Wakil rakyat dan ahli majlis kerajaan tempatan PKR dikatakan sering terpaksa tunduk dan akur kepada DAP.

Ah! Siapa yang tidak kenal Zahrain. Mantan pengerusi PKR Pulau Pinang, dan mantan Ketua UMNO Bahagian Tanjong itu adalah penyokong kuat penasihat umum PKR Anwar Ibrahim. Dia keluar UMNO dan masuk PKR kerana ikut Anwar. Zahrain sanggup berbuat demikian kerana dia bukanlah orang susah yang mengharapkan sesuatu untuk kekal dalam UMNO.

Mungkin Zahrain dan pengikutnya tidak mendapat sesuatu yang dihajati kerana projek persekutuan dah tentu terlepas ke tangan orang BN manakala kerajaan negeri pimpinan Guan Eng tiada projek untuk diagih-agihkan.

Jadi, untuk terus beralih sokongan sebagai "wakil rakyat mesra BN" tanpa sebarang alasan kukuh agak rumit, oleh itu alasan munasabah seperti tidak mendapat kerjasama atau sokongan pentadbiran DAP boleh diterima.

Saya memang tidak suka melihat orang politik yang dipilih sebagai wakil rakyat melompat parti. Tak kira parti mana sekalipun kerana orang berkenaan sebenarnya mengkhianati sokongan rakyat yang mengundinya.

Saya tidak hormat wakil rakyat UMNO melompat ke pihak lawan, saya juga tidak hormat wakil rakyat PKR mahupun parti pembangkang lain melompat ke BN. Mereka yang berbuat demikian hanya mementingkan agenda peribadi bukan soal lain. Mereka mengkhianati rakyat yang mengundi mereka untuk menjadi wakil rakyat.

Rakyat, terutama pengundi, memilih wakil rakyat atas beberapa faktor termasuk parti, iaitu simbol yang dipangkahnya, bukan sepenuhnya atas sifat peribadi seseorang itu, walaupun faktor itu berperanan penting.

Jika seseorang wakil rakyat itu tidak puas hati atau kecewa atas apa alasan sekalipun, dia seharusnya meletak jawatan dan serahkan semula mandat kepada rakyat, bukan melompat parti atau mengubah sokongan, sama ada atas alasan "mesra" atau sebaliknya.

Dengan berbuat demikian, wakil rakyat berkenaan akan tahu sama ada kemenangannya pada pilihan raya lepas adalah atas kekuatan dirinya atau atas kekuatan simbol parti yang diwakilinya.

Dalam kes Zahrain, dia tidak mungkin menang sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru sekiranya tidak berlaku tsunami politik yang menyaksikan majoriti rakyat memilih untuk menolak BN yang gagal memperolehi majoriti dua pertiga. Itulah kenyataan yang harus diingati oleh Zahrain.

Kes Zahrain di Pulau Pinang juga mendedahkan ada yang tidak kena dalam Pakatan Rakyat. Ia berkemungkinan kerana mereka yang pernah menikmati kemewahan dan kuasa satu ketika dahulu kini dipinggir.

Tuesday 26 January 2010

Isu berkaitan agama perlu ditangani segera

Isu berkaitan agama nampaknya memasuki batasan amat serius dan genting apabila ia menular kepada perbuatan yang boleh mencetuskan kemarahan dan huru-hara jika tidak ditangani segera.

Selain perbuatan cuba membakar gereja dan kemudian surau, kini mereka yang tidak bertanggungjawab bertindak dengan lebih berani apabila melontar kepala babi ke dalam kawasan dua buah masjid di Petaling Jaya.

Dua kepala babi ditemui dalam kawasan Masjid Taman Dato' Harun dan Masjid Taman Seri Sentosa awal pagi ini.

Perbuatan tersebut, jika tidak ditangani segera oleh pihak berkuasa terutama polis, boleh mencetus tindak balas dan kemungkinan besar huru-hara. Inilah yang mesti dielakkan kerana majoriti rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama, ingin hidup dalam suasana aman, damai dan selamat.

Pihak polis semestinya memandang serius perbuatan jenayah yang membabitkan rumah-rumah ibadat tanpa mengira fahaman agama dan kita yakin akan kemampuan polis.

Perbuatan melaku musnah dan mencemar kesucian rumah-rumah ibadat jauh lebih berbahaya daripada perbuatan menghina sesuatu institusi tertentu oleh seseorang individu.

Jika polis sanggup menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani satu perbuatan yang mudah dikesan dan ditangani, seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Johor baru-baru ini, kita tidak nampak kenapa pasukan petugas khas Bukit Aman tidak boleh ditubuh untuk menangani isu yang jauh lebih serius yang melibatkan agama.

KPN Tan Sri Musa Hassan yang turut berada di salah sebuah masjid yang dilontar kepala babi, memberi perhatian serius dan kita percaya beliau akan bertindak segera sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

KPN Musa diminta segera menubuhkan sebuah pasukan petugas khas kerana isu ini sudahpun menular jauh dan mesti ditangani dalam kadar yang segera.