Monday 6 December 2010

Tahniah Datuk G Palanivel

Saya ambil peluang ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk G Palanivel yang dlantik oleh Jawatankuasa Pusat Kongres India Malaysia atau MIC selaku Presiden kelapan parti itu hari ini.

Palanivel adalah anak Pulau Pinang keempat dipilih menerajui sebuah parti politik bertaraf kebangsaan selepas mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang pernah memimpin MCA dan kemudian Gerakan, Tun Abdullah Ahmad yang pernah menerajui UMNO, Tan Sri Koh Tsu Koon yang kini memimpin Gerakan, walaupun dia dilahirkan di Medan, Indonesia tetapi dibesarkan di Pulau Pinang.

Yang lebih istimewa bagi diri saya ialah persahabtan dengan Datuk Palanivel yang lebih mesra dirujuk sebagai Palani, iaitu sejak zaman kanak-kanak sehinggalah sama-sama bertugas di Bernama.

Palani adalah jiran saya di Jalan Kelawai, Georgetown, Pulau Pinang. Walau bagaimanapun kedua-dua rumah keluarga kami sudah tiada kerana memenuhi keperluan pembangunan, kami masih berpeluang mengenang kembali kehidupan pada tahun-tahun 50-an dan 60-an. Rumah keluarga saya bertentangan dengan Jalan Jones dan berhadapan Sekolah Melayu Kelawai, kini menempatkan Menara Yayasan, manakala rumah keluarga Palani di simpang Jalan Kelawai-Lorong Burma.

Semasa berkhidmat dengan Bernama, Palani dan saya bersama-sama seorang lagi rakan, Abdul Rachman Yeop Norodin atau Roger, bertugas serentak sebagai Pengarang Berita atau sekarang disebut Penolong Editor di Meja Berita Dalam Negeri. Semasa berkhidmat selaku Pengarang Berita, Palani mendapat tawaran jawatan Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri S. Samy Velu dan bermulalah kerjaya politiknya dalam MIC.

Palani mengambil alih teraju kepimpinan MIC pada masa dan ketika yang agak mencabar. Beliau bukan sahaja akan menghadapi cabaran 'dalaman' parti tetapi perlu bekerja kuat untuk memulihkan sokongan masyarakat India Malaysia kepada MIC dan Barisan Nasional, satu tugas yang bukan senang. 

Sama ada Palani mampu memulih sokongan kepada MIC hanya akan diketahui apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan akan diadakan pertengahan tahun depan.

Kepada Datuk G Palanivel,  selamat menerajui MIC dan semoga saudara mampu membawa kejayaan kerana bukan mudah untuk memimpin sebuah parti yang diterajui sebegitu lama oleh Datuk Seri S. Samy Velu.


 

Sunday 5 December 2010

Khir Toyo dituduh rasuah

Akhirnya mantan Menteri Besar Selangor, pentadbiran Barisan Nasional, Dr Khir Toyo dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Kita tunggu dan lihat sama ada tuduhan itu akan disabitkan atau dilepaskan, iaitu dibebaskan, oleh mahkamah.

Tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM kerana berjaya membawa kes ini ke mahkamah. Kini terpulang kepada Pejabat Peguam Negara, iaitu pihak yang diberi kuasa untuk mendakwa, sama ada berjaya atau tidak untuk mensabitkan tuduhan rasuah. Andai kata gagal, SPRM tidak boleh dipersalahkan kerana tugas mereka hanyalah menyiasat dan menyediakan kertas siasatan untuk Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan selanjutnya.

Khir Toyo charged with graft