Sunday 24 June 2012

Bahaya rasuah, tidak amanah dan salahguna kuasa

Rakyat Malaysia akan menghadapi pilihan raya umum tidak berapa lama lagi dan salah satu perkara yang harus diberi perhatian serius ialah amalan rasuah, tidak amanah dan salahguna kuasa, iaitu satu penyakit yang cukup bahaya dan boleh memufliskan negara.

Penyakit  ini bukanlah wabak baru tetapi sejenis pekung atau kanser yang belum dapat diubati atau dihapuskan kerana sifat manusia yang tamak kekayaan dan kuasa. Ia berlaku hampir di semua negara dan Malaysia tidak terkecuali, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan-Kerajaan Negeri,  termasuk yang ditadbir oleh parti yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.

Kita kerap dihidangkan dengan cerita dan berita mengenai penyakit berkenaan dari sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya termasuk yang melibatkan pembelian aset pertahanan dan keselamatan negara. 

Kita juga diberitakan mengenai pemimpin-pemimpin dari kedua-dua pihak yang memiliki kekayaan yang tidak setimpal dengan pendapatan dan ada yang memiliki berpuluh akaun bank di dalam dan luar negara sehingga ada yang berjumlah berbilion ringgit.

Cerita mengenai pemimpin yang mengutamakan kroni dan yang mengamalkan pilih kasih juga bukan perkara baru selain pelantikan 'penyokong' untuk menduduki kerusi lembaga pengarah atau mengetuai syarikat-syarikat berkaitan kerajaan walaupun mereka tidak layak dan tidak sepatutnya dilantik.

Skandal demi skandal membabitkan puluhan juta dan bilion ringgit didedahkan dan ada diantaranya yang telah dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Penyakit ini menjadi pemandangan yang kita lihat hampir setiap hari, ia menjadi wabak  yang  menjangkiti dan menyerang sendi-sendi kehidupan masyarakat. Ia bukan sekadar penyakit  di kalangan orang perseorangan atau kumpulan tertentu, tetapi seolah-olah menjadi satu wabak yang tiada penawar.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewarisi bidang tugas tanpa kuasa pendakwaan daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) nampaknya 'tidak menang tangan' untuk cuba mengubati dan menghapuskan penyakit tersebut. Ia bukan satu amanah yang mudah dan boleh dilaksanakan dengan cepat. Ia adalah satu penyakit yang sukar diubati tanpa kesungguhan dan sikap serta sifat amanah dan takut akan balasan hukuman sama ada di dunia ataupun di akhirat oleh mereka yang dijangkiti penyakit itu.

Bagi umat Islam, sikap amanah semestinya menjadi pegangan kuat terutama oleh mereka yang diberi kuasa dan mandat untuk mentadbir, sama ada  orang politik atau penjawat awam. 

" Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui." (al-Baqarah, ayat 188)

Apa yang dimaksudkan memakan harta benda dengan cara yang batil selain  mencuri termasuk melalui perbuatan rasuah dan tidak amanah.

" Barangsiapa menzalimi (mengambil) tanah orang satu jengkal, maka pada hari kiamat Allah akan menimpakan kepadanya tujuh kali ganda dari tanah yang diambilnya." (hadis riwayat Bukhari,  Muslim)

Perbuatan rasuah disebut juga sebagai perbuatan zalim kerana mereka yang melakukannya telah meletakkan sesuatu yang bukan pada tempatnya, umapamnya sesuatu yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat,  diguna untuk diri sendiri atau keluarga dan golongan tertentu termasuk kroni dan penyokong politik. 

Rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan amalan pilih kasih sebenarnya satu perbuatan khianat, orang yang melakukannya telah menyelewengkan amanah. Orang yang tidak amanah tidak layak dipilih sebagai pemimpin atau untuk mewakili kita sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan-Dewan Undangan Negeri. 




Thursday 21 June 2012

Budaya seharusnya jadi penyatu bukan pemisah

Saya tidak tahu sampai bila atau kata orang Indonesia kapan isu seni dan budaya masyarakat yang dikatakan serumpun di Nusantara Melayu, jangan pula ada yang membantah perkataan Melayu, akan terus dijadikan polimik politik sempit.

Seni dan budaya yang diamal di Indonesia dan Malaysia selain Singapura dan Brunei adalah sama atau hampir sama. Seni dan budaya itu milik masyarakat bukan negara. Sebab itu ia diamal sama ada secara meluas atau bermusim di negara-negara serantau.

Di Malaysia, umpamanya, wujud hampir semua suku kaum dan masyarakat yang menghuni Nusantara Melayu - ada masyarakat Jawa, Minang, Bugis, Aceh, Boyan, Iban atau Dayak dan Banjar, umpamanya.

Mereka berasal dari Nusantara bahagian Indonesia dan sudah lama menetap dan menjadikan Malaysia sebagai tanah tumpah darah masing-masing. Nenek moyang mereka ke Tanah Melayu dan pulau Borneo bukan sebatang karah atau sehelai sepinggang, mereka turut membawa seni dan budaya masing-masing dan mengamalkannya di bumi bertuah bernama Malaysia.

Seni dan budaya yang dibawa milik masyarakat atau suku kaum itu sendiri, bukan milik negara tertentu. Itulah kelebihan seni dan budaya yang melangkaui batas sempadan politik. Ia menjadi wadah penyatuan mereka yang dipelihara dan dilindungi zaman berzaman. 

Amat penting difahami bahawa seni dan budaya Nusantara tiada sempadan dan bebas diamalkan di negara-negara serantau yang dikatakan serumpun sehinggalah sempadan politik dibentuk apabila satu demi satu negara 'merdeka' daripada dijajah oleh bangsa Eropah. 

Apabila sempadan politik wujud maka dengan sendirinya wujud sekatan dan kawalan terutama kebebasan untuk keluar-masuk antara negara. Namun begitu, kebebasan untuk mengamal seni dan budaya masyarakat tidak dapat disekat atau dibatasi oleh sempadan politik.

Masyarakat Jawa, umpamanya, bebas mengamalkan seni dan budaya mereka walau di mana mereka berada. Oleh itu, seni dan budaya Jawa yang menetap di Malaysia ataupun Singapura dan yang kekal di pulau Jawa adalah sama dan menjadi hak dan warisan orang Jawa, bukan hak sama ada Indonesia mahupun Malaysia sebagai identiti politik. Begitu juga dengan seni dan budaya Minang, Bugis, Banjar ataupun Aceh.

Oleh itu, apa yang berlaku kebelakangan ini di Jakarta dimana kedutaan besar Malaysia menjadi sasaran penentangan segolongan manusia yang jahil mengenai asal-usul dan warisan seni dan budaya milik masyarakat serantau, amat dikesali. 

Seni dan budaya seharus dan semestinya dijadikan wadah dan alat penyatuan, bukan sumber penentangan dan permusuhan. 

Saya tidak setuju bagi sama ada Indonesia ataupun Malaysia mengisytihar seni dan budaya serumpun sebagai warisan negara masing-masing. Ia tidak betul kerana masyarakat di kedua-dua negara mengamalkan seni dan budaya yang sama. Seni dan budaya itu seharusnya diisytihar sebagai warisan Nusantara bukan warisan negara masing-masing.

Jadikan seni dan budaya wadah pengukuhan bangsa serumpun, itulah sewajarnya dilakukan oleh pemerintah Indonesia dan Malaysia.