Tuesday 17 July 2012

Raja dan politik - saling perlu dan memerlukan

Kebelakangan ini ada saja cerita dan berita yang bersangkut-paut dengan Raja atau kerabat penghuni Istana. Ada yang positif dan ada yang negatif. Ini adalah sesuatu yang biasa kerana penghuni Istana adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelakuan baik dan buruk, dosa dan pahala.

Institusi Raja Melayu di Tanah Melayu telah diselamatkan daripada diturunkan taraf dan kedudukan oleh kebangkitan rakyat biasa, khususnya orang Melayu apabila pihak British nak tubuh Malayan Union. Jika orang Melayu tidak bangkit mempertahan Raja Melayu, sudah pasti taraf dan kedudukan penghuni istana tidak seperti yang ada sekarang.

Cadangan penubuhan Malayan Union disifatlkan sebagai satu 'malapetaka' kerana ia akan mengubah bentuk pentadbiran dan membuka taraf kerakyatan yang sama kepada semua penduduk Tanah Melayu dan menghapus kedaulatan Raja dan taraf Malaya sebagai negeri di bawah naungan kepada taraf tanah jajahan takluk British.

Mungkin kerana terhutang budi kepada jasa dan pengorbanan orang Melayu, maka pihak Istana memberi sokongan kuat kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan seterusnya menjadi sejarah penting dalam perhubungan antara pihak istana dengan politik.

Banyak hal dan perlakuan yang dilalui oleh kedua-dua pihak, bak kata orang ada naik dan turunnya tetapi walau apapun, orang Melayu masih mahu mempertahan dan mengekal institusi raja, terutama melalui kuasa politik.

Hubungan antara pentadbir dan Istana berjalan lancar di bawah pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman, Almarhum Tun Razak dan Almarhum Tun Hussein Onn tetapi tidak semasa  pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Mungkin kedudukan tiga Perdana Menteri awal yang begitu rapat dengan Istana menjadi tali pengikat keakraban antara mereka dengan pihak Istana, Almarhum Tunku juga dari Istana manakala Tun Razak dan Tun Hussein berasal dari golongan bangsawan yang ada hubungan rapat dengan Istana, Tun Mahathir pula tidak sedemikian. 

Dua krisis besar melibatkan pentadbiran Dr Mahathir dan pihak Istana berlaku yang mengakibatkan pindaan Perlembagaan dibuat. Namun, begitu Pentadbiran Mahathir masih mempertahan dan mengekalkan institusi Raja Melayu. Walaupun Mahathir mendapat sokongan padu daripada partinya, UMNO, dan majoriti orang Melayu semasa menghadapi krisis tersebut, dia tetap mahu mengekalkan institusi Raja Melayu atas kepentingan-kepentingan tertentu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mahathir sedar bahawa kewujudan Institusi Raja-Raja Melayu penting dalam pentadbiran negara dan walaupun mereka, iaitu Raja-Raja Melayu, tiada kuasa mentadbir, kedudukan mereka tetap diperlukan dalam urusan dan hal ehwal berkaitan agama Islam dan adat resam orang Melayu.

Pendek kata, pihak pentadbiran yang mewakili institusi politik dan Raja-Raja Melayu, saling perlu dan memerlukan. Tetapi, sesuatu perlu dibuat untuk memastikan undang-undang dan Perlembagaan dipatuhi dan dihormati oleh pihak Istana. Raja atau kerabat mereka tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hati kerana mereka tidak seharusnya berada di atas undang-undang. 

Untuk itu, satu usul  dibentang dan diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 10 Disember 1992.

Usul itu dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, YAB Abdul Ghafar Baba (Almarhum Tun Ghafar Baba).

Antara lain, Almarhum berkata kerajaan ingin menegaskan pendiriannya mahukan institusi Raja Berperlembagaan dikekalkan. Walau bagaimanapun, Kerjaan mempunyai tangungjawab sepenuhnya bagi menegur dan memperbetulkan apa-apa jua kesilapan yang didapati telah dilakukan oleh mana-mana Raja-Raja Melayu.

Beliau seterusnya berkata tindakan itu dibuat dengan ikhlas dan bertujuan untuk mempertahan dan mengekalkan institusi beraja sebelum rakyat jelata sendiri bertindak liar terhadap Raja-Raja yang mungkin tidak boleh dikawal lagi pada akhirnya.

"Malaysia mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi yang membawa erti bahawa kekuasaan dalam negeri ini adalah terletak di tangan rakyat. Kewujudan Parlimen dan institusi beraja adalah dengan kehendak rakyat sendiri. Tidak salah apabila dikatakan bahawa yang dikatakan berdaulat itu ialah rakyat jelata sendiri bukan Raja-Raja. Hakikat yang sebenar ialah tidak ada raja jika tidak ada rakyat," tegas beliau yang mendapat tepukan tanda sokongan para Ahli Dewan Rakyat.

Apa yang dilalui selama ini  seharusnya dijadikan iktibar oleh semua -  Istana, Pentadbiran dan rakyat jelata walaupun atas  kesedaran  tiada sesuatu yang kekal. Semuanya saling perlu dan memerlukan.

SELAMAT MENYAMBUT DAN MENUNAIKAN IBADAH PUASA. SEMOGA IBADAH KITA DITERIMA ALLAH.





Saturday 14 July 2012

Isu indeks kes jenayah, mantan IGP lawan arus

Apakah kedudukan sebenar kadar jenayah di Malaysia? Pihak kerajaan dan PDRM berkata ia telah menurun semenjak kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) melalui Unit Pencegahan Jenayah berkata, dalam langkahnya untuk mengurangkan kerisauan orang ramai, bahawa perangkaan kadar jenayah menurun sebanyak 10.1 peratus pada lima bulan pertama tahun ini. Dari 2010 sehingga tahun lalu, indeks jenayah turun sebanyak 11.1 peratus manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Tetapi, mantan Inspektor-Jeneral Polis Tan Sri Musa Hassan yang berkhidmat selama 40 tahun dan memimpin PDRM selama empat tahun mulai 2006, berkata kadar jenayah di Malaysia sememangnya meningkat.

Yang lebih menarik perhatian saya adalah apabila Musa berkata pihak berkuasa, iaitu kerajaan dan PDRM itu sendiri, tidak seharusnya 'menyorok' atau menyembunyi fakta kepada orang ramai.

"Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah," Musa memberitahu The Malaysian Insider.

Menurut Musa kadar jenayah pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan. 

"Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 'bodyguard'.

Sindiran Musa amat tajam dan pada saya ada kebenarannya.

Tetapi, KPN yang mengganti Musa, Tan Sri Ismail Omar berkata Musa tidak mempunyai maklumat terkini dan tidak tahu kedudukan sebenar. Untuk membuktikannya, Ismail 'turun padang' sebagai menandakan ianya selamat.

Ismail tidak pula memberitahu berapa ramai anggota polis tidak beruniform yang berada sekelilingnya semasa dia 'beramah mesra' dengan orang ramai.  Kepada mereka yang mengetahui, mereka tahu akan kehadiran detekif Cawangan Khas (SB) dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) di lapangan untuk memberi 'perlindungan keselamatan' kepada bos mereka itu. 

Saya menumpang hidup di sebuah taman perumahan yang turut didiami oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Hussein. Oleh itu, saya sering melihat 'rombongan' beliau keluar dan masuk untuk bekerja atau bertugas.

Jika keadaan selamat dan tidak membimbangkan, maka tidak perlulah bagi Hisham untuk diiringi oleh sekurang-kurangnya dua anggota UTK berjaket hitam dan  bermotosikal berkuasa tinggi, sebuah kereta peronda dan anggota trafik bermotosikal.

Rumah Hisham dan semua anggota kabinet  dikawal 24 jam oleh anggota battalion khas Pasukan Gerakan Am (PGA).

 Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Musa Hassan, "jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 'bodyguard'.

Rakyat amat menghargai khidmat bakti anggota keselamatan terutama PDRM, mereka sentiasa menjalankan tugas sebaik mungkin untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. Hakikat yang perlu diterima ialah PDRM tidak berkeupayaan berada di semua tempat untuk mencegah jenayah.  

Kadar jenayah di seluruh dunia meningkat ekoran kemerosotan ekonomi seperti yang dinyatakan oleh Musa Hassan. Malaysia tidak terlepas daripada hakikat tersebut.

Dunia tanpa sempadan turut membawa masuk penjenayah berprofil tinggi dari benua Afrika, Amerika Selatan dan Asia. Kepada mereka, Malaysia adalah 'lubuk' dimana mereka boleh meraih 'habuan' melalui kegiatan jenayah. 

Oleh itu, seperti yang disarankan oleh Musa Hassan, PDRM perlu membuat penambahbaikan dari segi mengubah teknik dalam memerangi jenayah terutama dari sudut perolehan risikan.

Penjenayah semakin cerdik dan canggih, PDRM mesti lebih cerdik dan lebih canggih untuk memerangi penjenayah.