Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama-1974 (KPPB) pada Jumaat 28 November telah memfailkan writ saman terhadap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Mahkamah Tinggi Malaya (Bahagian Sivil), Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Melalui writ saman itu, KPPB menuntut satu deklarasi (perisytiharan undang-undang) bahawa pemberhentian 13 orang pekerja oleh pengurusan Bernama adalah salah dan menyalahi undang-undang; menuntut gantirugi; menuntut faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh; menuntut kos atas dasar peguamcara anak guam; dan apa-apa relief lain dan selanjutnya sepertimana yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Writ saman itu difailkan oleh tetuan Abdul Aziz & Associates bagi pihak KPPB.
Selaku salah seorang veteran Bernama, saya agak terperanjat dengan writ saman itu kerana setahu saya KPPB belum pernah bertindak sedemikian kerana sebarang masalah atau pertikaian yang dihadapi dapat diselesaikan melalui rundingan dan secara baik.
Sebelum ini dan semasa saya berkhidmat hampir 27 tahun dengan Bernama, saya tahu bahawa KPPB selalunya bertindak mengikut rasional dan lebih suka berunding untuk menyelesaikan sebarang masalah. Setahu saya KPPB tidak mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh ahli-ahlinya dan sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang terutama yang berkaitan kesatuan sekerja.
Jadi, apabila KPPB, bagi pihak ahlinya yang juga pekerja Bernama menyaman majikannya sendiri, sudah tentu ada sebab yang kukuh kenapa mereka berbuat demikian.
Menurut dokumen yang menyokong writ saman itu, pada 21 Ogos 2003, Bernama (Defendan) mengeluarkan surat tawaran kepada 13 orang pekerja dari Unit Teknikal di bawah Jabatan Sumber Manusia dengan mengarahkan mereka untuk bekerja di Bernama Systems and Solution Advisor Sdn. Bhd. (BESSAR), iaitu anak syarikat milik penuh Bernama.
Pekerja-pekerja berkenaan diberi opsyen (pilihan) sama ada untuk menerima tawaran itu dengan syarat mereka mesti meletak jawatan secara serentak di Bernama ataupun jika mereka memilih untuk menolak tawaran tersebut, Defendan berhak untuk menukar mereka secara pinjaman BESSAR dan mereka akan terus kekal di bawah perkhidmatan Bernama tanpa perubahan kepada syarat-syarat dan terma-terma pelantikan asal.
Pekerja-pekerja tersebut memilih untuk menolak tawaran itu dan Defendan pada 26 September 2003 mengeluarkan surat pinjaman ke BESSAR berkuatkuasa pada 1 Oktober 2003 dan pekerja-pekerja berkenaan masih kekal sebagai kakitangan di bawah Skim Komersil Bernama dan tanpa perubahan kepada terma dan syarat-syarat asal.
Selepas itu, pada 5 Mac 2004 KPPB (Plaintif) menulis surat kepada Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran Defendan untuk memohon penjelasan mengenai status pinjaman pekerja-pekerja tersebut dan Defendan, melalui sepucuk surat bertarikh 26 Mac 2004, menjelaskan status pekerja-pekerja tersebut yang menjadi pertikaian oleh pihak Plaintif.
Pada 21 Mac 2006 BESSAR memaklumkan melalui sepucuk surat kepada pekerja-pekerja tersebut bahawa mereka telah dipulangkan semula kepada Defendan dan Defendan, melalui sepucuk Memo bertarikh 31 Mac 2006 memaklumkan bahawa perkhidmatan pekerja-pekerja tersebut di BESSAR telah ditamatkan berkuatkuasa 1 September 2006.
Di bawah peruntukan undang-undang, Bernama perlu dalam tempoh lapan hari selepas penyampaian writ saman berkenaan, untuk mengamil tindakan sewajarnya.
No comments:
Post a Comment