Tuesday, 27 October 2009

Perpaduan Melayu perlu keikhlasan

Soal perpaduan di kalangan orang Melayu masih belum tercapai dan terus menjadi isu politik tanpa garisan penamat. Terkini, apa yang kelihatan jelas, iaitu tiada kata sepakat dalam PAS yang mungkin membawa kepada perpecahan parti itu buat kali ketiga dalam sejarah penubuhannya.

Kenapa orang Melayu begitu payah untuk bersatu sedangkan kekuatan sesuatu bangsa itu bergantung kepada perpaduan.

Pemimpin parti politik mesti ikhlas dan bersedia untuk bersatu dan elak perpecahan kerana hanya itu sajalah yang dapat menjamin kelangsungan hidup dan kekuatan bangsa.

Perpecahan yang berlaku akibat perbezaan fahaman politik, lambat laun, akan membawa padah kepada bangsa Melayu, khasnya, dan negara amnya. Kita tidak ingin perkara ini berlaku sama ada dalam tempoh masa terdekat ini atau pada masa-masa akan datang.

Keruntuhan Empayar Soviet, contohnya, berlaku kerana kepimpinan negara lupa akan faktor kesatuan bangsa sebagai satu kekuatan. Walaupun Kesatuan Soviet merupakan satu daripada dua kuasa ketenteraan dunia, ia akhirnya runtuh.

Orang Melayu tidak mampu lagi untuk berpecah-belah. Kita harus pelajari dan jadikan sejarah sebagai iktibar. Kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, kemudian diikuti oleh penjajahan Belanda, Inggeris dan Jepun selama 446 tahun, sudah cukup dan tidak boleh berulang dalam apa jua bentuk.

Perpaduan bangsa adalah tuntutan utama keutuhan negara. Itulah realiti politik yang harus diterima oleh kepimpinan politik Melayu dalam UMNO, PAS dan Pakatan Rakyat serta parti-parti serpihan lain.

Pertelagahan, sama ada sesama sendiri, antara kumpulan yang bertentangan dalam sebuah pertubuhan politik atau antara parti-parti politik, seboleh-bolehnya dielakkan. Carilah jalan penyelesaian yang boleh membawa kepada perpaduan, bukan mencari helah untuk terjun ke dalam kancah kehancuran.

Wednesday, 21 October 2009

Apabila kambing jantan bersekepala

Sudah menjadi lumrah kehidupan sang kambing mahupun sang haiwan lain, iaitu apabila bertemu, terutama di kalangan sang jantan, maka akan berlakulah perebutan sama ada kawasan atau hak untuk menjadi ketua dan "memiliki" sang betina.

Saya tertarik dengan apa yang berlaku di sebuah kampung dekat Chendering, Terengganu yang sempat saya rakamkan. Peristiwa itu berlaku beberapa tahun lepas dan saya bangkitknnya semula ekoran daripada apa yang telah dan sedang berlaku dalam gelanggang politik tanah air.

Walaupun ia tidak sama dari sudut kejadian, tetapi ia boleh diibaratkan dari sudut pengertian, iaitu perebutan kuasa dan kedudukan.



Foto ini menunjukkan dua ekor kambing jantan sedang berlaga kepala sama ada untuk membuktikan siapa yang lebih gagah atau untuk menguasai kawanan kambing yang ada di situ. Perbalahan antara dua ekor kambing jantan itu menarik perhatian seekor lagi kambing jantan.


Kambing ketiga mungkin cuba campur "kepala" atau ingin menjadi "kambing tengah" bertujuan meleraikan perbalahan. Ia adalah satu kemungkinan kerana niat kambing ketiga mungkin untuk mengambil kesempatan dan muncul juara.


Usaha kambing ketiga mungkin gagal dan akhirnya dia turut sama berlaga kepala dengan salah seekor kambing jantan yang bertelagah. Sementara kambing ketiga berlaga kepala, kambing jantan yang pada mulanya berlaga kepala berundur dan melihat apa yang sedang berlaku. Kambing berkenaan mungkin sedar bahawa dia telah bebas dripada perbalahan dan biarkan yang dua ekor itu berlaga kepala. Yang penting dia selamat dan berkemungkinan besar menjadi ketua dan hak untuk mengawal semua kambing betina di situ.



Apa yang berlaku antara tiga ekor kaming jantan di Chendering itu boleh dikaitkan secara ibarat dengan apa yang berlaku dalam kepimpinan MCA.

Pada mulanya perbalahan adalah antara presiden dengan timbalannya dan pokok pangkal adalah isu kepimpinan dan kuasa. Apabila keadaan menjadi semakin genting dan menuju ke tahap luar kawalan, maka muncul kuasa ketiga yang tidak menyokong sama ada presiden ataupun timbalan presiden tetapi mementingkn kelangsungan parti.

Dalam kes MCA kedua-dua pemimpin yang bersengketa kalah - presiden hilang kepercayaan majoriti ahli parti manakla timbalan presiden hilang jawatan. Pihak ketiga pun belum tentu menang kerana masalah belum selesai.

Kisah tiga ekor kambing jantan itu boleh juga diibaratkan dengan ketidaksepakatan di kalangan tiga parti politik yang bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Dua ekor kambing jantan yang bertelagah boleh diibaratkan sebagai mewakili PAS dan DAP manakala kambing ketiga adalah Parti KeAdilan Rakyat. PAS dan DAP sering bertelagah terutama berkaitan soal Negara Islam manakala PKR cuba mententeramkan keadaan dan sesekali terlibat sama dalam sengketa.

Dalam episod MCA mahupun Pakatan, pokok pangkal adalah kuasa dan jawatan. Kambing jantan berlaga kepala juga untuk berebut kuasa dan hak ke atas kambing betina. Manusia dan haiwan sanggup beradu tenaga semata-mata untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan.

Wednesday, 14 October 2009

Pemuda minta jawatan Senator; Wanita minta kuota

Perjuangan politik sebenarnya untuk apa? Ada yang akan berkata untuk agama, bangsa dan negara, sedap bunyinya dan sungguh enak didengar. Ada pula yang berkata untuk memperjuangkan nasib anak bangsa agar masa depan mereka terjamin dan ada juga yang akan berkata untuk mempertahan dan mengisi kemerdekaan.

Semua jawapan itu betul sekiranya ia datang dari hati dan jiwa yang tulus dan ikhlas tetapi dalam persekitaran sekarang jawapan sedemikian mungkin sekadar untuk menyedap telinga.

Saya sengaja membangkitkan perkara ini kerana pada hari ini, ketiga-tiga sayap UMNO - Wanita, Pemuda dan Putri - mengadakan persidangan masing-masing sempena Perhimpunan Agung Khas UMNO.

Seperti yang dijangkakan, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan berapi-api dan antara mangsa sasarannya mantan timbalan Presiden UMNO yang kini ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Tetapi, ucapan itu tidak menarik minat saya, yang membuat saya tertanya-tanya adalah ucapan seorang wakil Pemuda UMNO yang meminta jawatan Ahli Dewan Negara atau Senator diperuntukkan kepada wakil Pemuda.

Apakah itu matlamat dan tujuan perjuangan pemuda UMNO? Apakah jawatan mengatasi segala-galanya dalam perjuangan politik?

Dalam sistem Parlimen yang diasaskan mengikut sistem di Great Britain, Parlimen mengandungi dua entiti - Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ahli Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya manakala Ahli Dewan Negara yang bergelar Senator dilantik sama ada melalui Dewan Undangan Negeri atau oleh Yang di Pertuan Agong (atas nasihat Perdana Menteri).

Perdana Menteri dimestikan dipilih daripada kalangan ahli Dewan Rakyat dan tidak daripada ahli Dewan Negara manakala Jemaah Menteri atau Kabinet boleh dipilih oleh PM dan diperkenankan oleh Agong dari kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat atupun Dewan Negara. Itulah sistem yang diamalkan.

Ahli Dewan Negara atau Senator tidak semestinya dilantik daripada kalangan orang politik tetapi seboleh-bolehnya daripada kalangan golongan profesional, wakil kaum atau komuniti minoriti seperti Orang Asli, Bumiputera Sabah atau Sarawak, masyarakat Punjabi, Serani, Sinhala, Siam dan sebagainya.

Tetapi, majoriti Ahli Dewan Negara kini terdiri daripada orang politik. Ada yang dilantik kerana kalah dalam pilihan raya, ada yang dilantik kerana tidak dipilih untuk bertanding, ada yang dilantik kerana membalas budi atau sokongan kepada ketua dan ada yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri kerana mewakili parti tertentu.

Oleh kerana pengisian Dewan Negara telah lebih merupakan "pilihan politik" maka tujuan asal pewujudannya sudah semakin jauh. Orang politik, seperti yang dibuktikan oleh wakil Pemuda UMNO berkenaan, berebut-rebut untuk dilantik sebagai Senator.

Rakyat yang bergelar warga emas masih ingat pengisian Dewan Negara semasa zaman pentadbiran Perikatan tidak melambangkan politik kepartian walaupun ada beberapa orang yang berkaitan politik. Tidak seperti sekarang.

Apa yang dapat dilihat sekarang adalah pembabitan orang dalam politik kerana tujuan-tujuan tertentu seperti untuk mendapat jawatan, pangkat dan kedudukan, kontrak dan peluang perniagaan. Kita akui bukan semua tetapi kebanyakannya begitu.

Selain itu, kita juga tertarik dengan permintaan Wanita UMNO untuk diberi kuota dalam bidang-bidang tertentu termasuk pentadbiran dan urusan penggubalan dasar. Nampaknya perjuangan Wanita juga menjurus kepada pemberian jawatan sedangkan wanita di Malaysia jauh lebih baik daripada kebanyakan negara Barat dari sudut pengisian jawatan tinggi dalam sektor pentadbiran, perkhidmatan awam, politik dan institusi pengajian tinggi.

Wanita yang dilantik memegang jawatan tinggi sama ada di Bank Negara, universiti, jabatan kerajaan termasuk sebagai Ketua Setiausaha Kementerian, Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Duta dan bidang kepakaran dalam sektor perubatan dan kesihatan, kejuruteraan, sains dan teknologi dan sebagainya, tidak berasaskan kuota tetapi merit. Meraka yang dilantik adalah yang terbaik dalam bidang masing-masing.

Oleh itu, adakah perlu bagi Wanita UMNO meminta atau mendesak diwujudkan kuota untuk wanita sedangkan ianya tidak perlu sama sekali. Wanita semestinya bangga dengan kedudukan kaum sejenis mereka dalam semua bidang di negara ini. Wanita Malaysia terbukti tidak memerlukan kuota untuk mengisi sesuatu jawatan.

Walau bagaimanapun, apa yang disuarakan oleh wakil Pemuda UMNO dan Ketua Wanita UMNO adalah realiti perjuangan politik di Malaysia.

Monday, 12 October 2009

Amanat Presiden UMNO 1946-2009

Satu set enam buah buku yang menghimpunkan ucapan enam Presiden UMNO bermula daripada Dato' Onn Jaafar hingga ke Tun Abdullah Ahmad Badawi kini berada dalam pasaran hasil terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd.

Majlis pelancaran Siri Amanat Presiden UMNO - 1946 - 2009 - itu dilancarkan oleh Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Majlis pelancaran dihadiri oleh mantan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad dan waris almarhum Dato' Onn, almarhum Tunku Abdul Rahman, almarhum Tun Abdul Razak dan almarhum Tun Hussein Onn.

Mantan Presiden UMNO ke-enam, Tun Abdullah Ahmad (Pak Lah) tidak dapat hadir pada saat-saat akhir dan tiada pula sesiapa yang mewakilinya. Ketidak hadiran Pak Lah amat dirasai kerana ia membabitkan beliau secara langsung. Majlis pelancaran mungkin lebih meriah atau bersejarah jika Pak Lah hadir dan duduk semeja dengan Tun Mahathir sama seperti waris mantan presiden UMNO yang terdahulu.



Koleksi buku "Amanat Presiden UMNO" menghimpunkan amanat semua pemimpin tertinggi parti itu dari tahun 1946 hingga 2009 dan ia diyakini akan menjadi sumber rujukan bukan sahaja kepada ahli-ahli parti tetapi kepada rakyat keseluruhannya.



Tun Dr Mahathir yang tidak dijadualkan berucap bagaimanapun telah sudi naik ke pentas atas permintaan Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd Datuk A Kadir Jasin dan beliau sempat bercerita mengenai sumbangan penting semua mantan Presiden UMNO.

Sebanyak 13 pertubuhan dan agensi telah menempah beratus naskhah koleksi buku itu untuk diagih-agihkan kepada pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi tertentu untuk dijadikan bahan rujukan dan kajian.

Satu set enam buah buku koleksi amanat Presiden UMNO dijual pada harga RM200 dan boleh dibeli di pejabat Berita Publishing atau melalui pos kepada:

Buku Terbitan Berita Publishing,
Bahagian Pemasaran,
Berita Publishing Sdn Bhd.,
16-20 Jalan 4/109E, Desa Business Park,
Taman Desa, off Jalan Klang Lama,
58100 Kuala Lumpur.

Antara petikan penting ucapan atau amanat almarhum Tunku berbunyi: "Tanggungan kita sekarang ialah berdamping rapat dengan rakyat jelata di merata-rata ceruk dan kampung kerana kemajuan UMNO pada hari ini semata-mata dengan sokongan daripada rakyat jelata".

Kata-kata almarhum Tunku seharusnya dijadikan satu ingatan dan pengajaran berguna oleh mereka yang bergelar pemimpin UMNO, tak kira di peringkat mana, jandainya mereka ingin mendapat sokongan rakyat. Jika mereka gagal berbuat demikian, kepimpinan mereka tidak bermakna kerana akan ditolak oleh rakyat.

Sebab itulah Dato' Seri Najib memilik cogan kata "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" dan bukan pangkat didahulukan, kekayaan diutamakan.

Almarhum Tun Razak berpesan: "Pemimpin UMNO hari ini menyedari benar-benar bahawa parti memerlukan pemimpin-pemimpin yang jujur, bersih yang dedicated yang taat setianya tidak berbelah bagi kepada parti dan rakyat".

Adakah mereka benar-benar sedar mengenai apa yang diamanatkan oleh Tun Razak itu?

Atau sedarkah mereka akan pesanan almarhum Tun Hussein Onn: "Janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat untuk faedah dan kesenangan diri kita sendiri, kita mestilah ingat bahawa wang kerajaan adalah wang rakyat".

Setiap pemimpin UMNO di peringkat bahagian hendaklah memiliki koleksi Amanat Presiden UMNO dan baca dan amalkan apa yang diamanahkan oleh enam orang mantan Presiden UMNO. Janganlah jadikan koleksi buku itu hiasan dalam almari atau rak buku di pejabat mahupun di rumah.


Wednesday, 7 October 2009

Bangga sebagai rakyat Malaysia

Ketepikan soal politik mahupun ras, kita semestinya bangga sebagai rakyat Malaysia apabila melihat betapa waras dan bertangungjawabnya warga negara kita berdepan dengan tindakan sekumpulan bahlol (fools) dari negara jiran terhadap negara kita.

Perbuatan biadap kumpulan bahlol yang menuduh kita dan negara kita sebagai pencuri dan membakar bendera kebangsaan kita, Jalur Gemilang, serta melempar bermacam-macam tuduhan dan fitnah termasuk mahu berperang dengan kita.

Kumpulan bahlol itu mahu menyerang negara kita dengan menggunakan buluh runcing! Ini memperlihatkan sejauh mana bodohnya mereka dan betapa ceteknya pemikiran berkaitan isu hubungan antara negara dan hidup berjiran.

Jika benar mereka begitu bersemangat untuk berperang mempertahankan sesuatu, dalam hubungan ini kononnya nak membalas dendam atas "kezaliman" kita ke atas pembantu rumah warga negara mereka dan perbuatan kita "mencuri" budaya dan seni mereka termasuk tarian pendet yang majoriti rakyat kita tidak pernah lihat, kenapa mereka biarkan Timor Timur terlepas dengan begitu senang? Ke mana semangat juang mereka untuk mempertahankan hak dan wilayah mereka?

Kita tidak boleh pandang ringan ancaman kumpulan bahlol ini walaupun mereka adalah golongan kecil di kalangan rakyat negara mereka kerana orang bahlol begitu mudah melakukan sesuatu yang bodoh tanpa berfikir panjang. Kita yakin dan percaya pihak berkuasa negara mereka akan mengambil langkah dan tindakan sewajar sekiranya mereka melampaui batasan dalam hubungan dua hala antara dua negara yang merdeka dan berdaulat.

Kita bangga sebagai rakyat Malaysia kerana kita utamakan persahabatan dan keprihatinan terhadap musibah yang menimpa saudara kita di seberang Selat Melaka. Rakyat Malaysia memperlihat kewarasan dan belas kasihan terhadap saudara mereka di Sumatera Barat khususnya Padang yang ditimpa bencana gempa bumi.

Kita amat simpati dan mengambil berat terhadp kesengsaraan dan kesusahan yang dihadapi oleh saudara kita di bumi Minang. Kita tidak bermain politik atau sentimen kenegaraan tetapi bertindak sebagai insan yang insaf dan simpati atas musibah yang menimpa mereka.

Malaysia adalah antara negara yang awal menghulur bantuan dan kita terus membantu atas nama kemanusiaan. Bantuan bukan sahaja dihulurkan oleh pemerintah tetapi badan dan pertubuhan sukarela seperti Mercy Malaysia, Islamic Relief Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Rakyat Malaysia yang ke sana tidak mengira bangsa mahupun keturunan - Melayu, Cina, India dan Bumiputera dari Sarawak dan Sabah - yang ke sana atas nama negara Malaysia.

Rakyat Malaysia mewakili semua kaum terus memberi sumbangan kepada beberapa tabung bantuan yang ditubuhkan oleh media dan badan sukarela. Inilah semangat Malaysia yang sebenar.

Sebagai rakyat Malaysia, kita semesinya bangga dengan apa yang kita lakukan walaupun kita dihina, dicerca dan dilempar bermacam tuduhan termasuk apabila kita menghulurkan bantuan. Kita ketepikan semuanya itu atas nama kemanusiaan dan keprihatinan sejagat.

Semoga kewarasan kembali bertapak di kalangan mereka yang kurang waras.