Saturday, 26 December 2009

Akibat pemandu terlelap, 10 nyawa melayang

Saya tidak dapat menahan kesedihan dan amat berdukacita apabila mendapat tahu bahawa pemandu bas ekspres yang kecelakaan di KM272.8 Lebuh Raya Utara Selatan mengakibat 10 orang penumpang terkorban, mengaku dia terlelap semasa memandu.


Amat malang bagi keluarga yang kehilangan orang tersayang kerana terpaksa berduka cita dan meratapi musibah itu semata-mata kerana si pemandu bas Sani Ekpress terlelap.


Jika mengantuk, kenapa tidak memberhentikan bas dan diganti oleh pemandu kedua? Mungkin persoalan ini tidak berkaitan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang kerana ia sudahpun berlaku dan ajal maut tak dapat ditahan atau ditangguh. Ia sudah ditentukan Yang Maha Berkuasa.


Saya mengenali Syed Harun Aljunid yang sekali gus menerima takdir kehilangan dua orang anak perempuannya, Sharifah Raheel Aljunid, 21, dan Sharifah Hasanah Aljunid, 15, dalam tragedi amat menyedihkan itu. Sharifah Hasanah baru saja memperolehi keputusan 6A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah atau PMR. Hanya mereka berdualah anak perempuan dalam keluarga Syed Harun.


Sebelum itu, 12 hari lalu saya menghadiri majlis walimatul-urus anak lelaki Syed Harun, iaitu abang kepada kedua-dua gadis malang itu, di rumah mereka di Taman Melor, Sungai Petani. Itulah kali terakhir saya menatapi wajah kedua-dua anak gadis itu.


Syed Harun, yang berasal dari Pulau Pinang, adalah pesara Jabatan Penyiaran (RTM) dan memilih untuk menetap di Sungai Petani, Kedah, iaitu negeri kelahiran isterinya.


Kecelakaan yang meragut 10 nyawa itu seharusnya membuka mata dan telinga pihak berkuasa, terutama Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan atau LPKP tentang waktu perjalanan bas ekspres.


Satu ketika yang tidak berapa lama dahulu, ada uru-ura nak melarang bas ekspres daripada beroperasi pada waktu menghampiri tengah malam. Ianya disuarakan berikutan satu tragedi di lebuh raya sama dekat Kuala Kangsar yang meragut 22 nyawa.


Ura-ura itu senyap begitu sahaja bak kata orang hangat-hangat tahi ayam. Di Malaysia, pihak-pihak tertentu memang cepat membuat janji dan seolah-olah akan segera bertindak apabila sesuatu nahas atau tragedi yang meragut banyak nyawa berlaku. Malangnya, selalunya ia senyap tanpa sebarang tindakan dan terus dilupakan.


Berapa banyak lagi tragedi yang perlu berlaku sebelum pihak berwajib nak bertindak, dan berapa banyak janji dan ikrar yang nak dibuat tetapi tidak akan dilaksanakan ...?


Seperti kata MB Perak Dr. Zambry Abdul Kadir....''Nyawa orang ramai adalah yang paling utama.''


Beliau mengulangi desakan kepada kerajaan persekutuan supaya mempertimbangkan agar tidak membenarkan lagi bas ekspres beroperasi pada waktu malam.

Ini bukan satu atau dua Malaysia, bukan soal BTN itu perkauman atau tidak bukan soal sidang PARLIMEN perlu dihadkan waktunya tetapi soal nyawa manusia dan soal keberkesanan pelaksanaan undang-undang dan peraturan.

No comments:

Post a Comment