Thursday, 11 February 2010

KTMB nak dinaikkan taraf tapi mesti menyeluruh

Usaha pihak berkuasa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mempertingkat dan memperbaiki perkhidmatan disambut baik oleh para pengguna.

Keretapi atau sekarang disebut tren adalah pengangkutan awam yang penting sama ada untuk perjalanan jauh atau antara bandar mahupun dalam bandar seperti Komuter, LRT dan Monorel.
Keretapi antara bandar seperti Ekspres Rakyat, Ekspres Wau mahupun Ekspres Langkawi turut menjadi pilihan para pelancong dalam dan dari luar negara.

(Keterangan gambar: sebuku roti berinti kacang yang diberi kepada penumpang Kelas Premier atau dahulunya Kelas 1)

Perjalanan dengan keretapi, walaupun mengambil masa berbanding dengan perkhidmatan bas ekspres melalui lebuh raya, namun ia membolehkan penumpang menikmati keindahan di kiri kanan landasan yang dilalui termasuk alam semula jadi.

Oleh kerana sebegitu lama, iaitu melampaui 30 tahun tidak menaiki keretapi, saya dan isteri begitu teringin untuk 'menikmati' perjalanan dari KL Sentral ke Butterworth, Pulau Pinang.

(Keterangan gambar: Notis dalam koc yang memaklumkan sistem AV tidak dapat berfungsi)

Selaku warga emas, saya mendapat diskaun dan hanya membayar RM38 dan isteri RM44 (harga pesara kerajaan) untuk menaiki Ekspres Rakyat (Premier Class) dari KL ke Butterworth pada 12 Disember 2009. Kami begitu ceria dan teruja untuk menaiki keretapi. Malangnya, apa yang diharap dan dijangka tidak menjadi.

Ekspres Rakyat (ER2) yang dijadual bertolak dari stesen KL Sentral pada pukul 2.29 petang, tidak muncul dan kami terpaksa menunggu hampir dua jam. Ini kerana penumpang diminta berada di stesen 30 minit sebelum jadual perjalanan. Kami sampai di KL Sentral pukul 1.50 petang.

(Keterangan gambar: Keadaan dalam koc "Premier Class" Ekspres Rakyat (ER2)

Pihak KTMB membuat tiga pengumuman memaklumkan kelewatan tren dari Singapura itu. Mula-mula diumumkan tren akan tiba pada pukul 3.45 petang, kemudian 4.00 petang. Akhirnya tren tiba pukul 3.50 petang dan bertolak ke Butterworth pukul 4.07 petang. Tiada alasan diberi mengenai kelewatan tersebut. Selain sebuku roti, kami diberi sebotol air minuman (air mineral). Untuk itu, terima kasih KTMB.

Apabila memasuki koc, kami dapati pekerja kontrak yang sebelum itu memasuki koc untuk kerja-kerja pembersihan semasa tren berhenti di stesen KL Sentral, menggantung dua bungkus teh susu pada penyangkut baju/langsir.

(Keterangan gambar: dua bungkus teh ditinggal tersangkut pada penyangkut baju/langsir dalam koc)

Bayangkan apa kata penumpang atau pelancong luar negara mengenai perbuatan menggantung bungkusan teh dalam koc! Mereka boleh membuat bermacam andaian mengenai sikap buruk rakyat Malaysia sedangkan perbuatan itu dilakukan oleh pekerja kontrak yang bukan rakyat Malaysia. Saya tidak perlu sebuat dari negara mana, saya sendiri melihat mereka menunggu tren untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

Pengurusan KTMB seharusnya peka dan semestinya memastikan yang perbuatan sedemikian tidak berulang demi menjaga bukan sahaja nama baik KTMB tetapi imej negara.

Seperkara lagi yang ingin saya ketengahkan ialah berkaitan penggunaan perkataan "ekspres" oleh KTMB. Ekspres lazimnya bermaksud segera, cepat atau pantas. Bagi bas atau keretapi, penggunaan perkataan ekspres bermakna perjalanan yang tidak singgah-menyinggah atau yang cepat tiba dalam perjalanan jauh.

Ianya tidak demikian apabila kami menaiki Ekspres Rakyat KTMB. Dalam perjalanan dari KL Sentral ke Butterworth, Ekspres Rakyat yang kami naiki berhenti atau singgah di lapan stesen iaitu Tanjong Malim (5.23 petang); Sungkai (5.55 ptg); Kampar (6.21 ptg); Ipoh (6.51 ptg); Kuala Kangsar (7.55 ptg); Taiping (8.40 mlm); Parit Buntar (9.37 mlm); dan Bukit Mertajam (10.15 mlm) sebelum tiba di Butterworth pada pukul 10.42 malam.

Perkhidmatan itu tidak seharusnya dinamakan Ekspres Rakyat kerana ia bukan satu perkhidmatan yang sedemikian rupa.

Oleh kerana melalui satu pengalaman yang amat mengecewakan itu, kami tidak mengguna atau menaiki Ekspres Langkawi (EL7) untuk perjalanan dari Butterworth ke KL Sentral walaupun telah menempah tiket untuk perjalanan pada 15 Disember 2009 pukul 9.00 malam. Sebaliknya kami menaiki bas ekspres Transnasional dari perhentian Sungai Nibong, Pulau Pinang ke Hentian Duta, Kuala Lumpur.

Adalah diharapkan KTMB dapat benar-benar memperbaiki dan mempertingkatkan perkhidmatan apabila landasan berkembar siap sepenuhnya dan apabila perkhidmatan keretapi elektrik beroperasi untuk perjalanan jauh.

Pengurusan KTMB juga harus mempastikan syarikat-syarikat yang diberi kontrak membersih atau membekal makanan/minuman menjalankan tugas dan amanah dengan sempurna. Kejadian menyangkut bungkusan teh dalam koc tidak boleh berulang dan kontraktor berkenaan seharusnya ditegur dan diberi amaran sewajarnya.



No comments:

Post a Comment