Saturday, 28 August 2010

MERDEKA

 

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KE-53 KEMERDEKAAN MALAYSIA.

300px-MalaysianParliament

Tuesday, 24 August 2010

Tindakan biadab segerombolan manusia tidak siuman di Jakarta

 Tindakan biadab dan tidak siuman oleh segerombolan warga Indonesia ke atas Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan perbuatan melampau memijak dan menodai bendera negara, Jalur Gemilang, menurut apa yang dilaporkan dalam wadah-wadah Internet dan media tempatan dalam talian, seperti Utusan Malaysia, sewajarnya dipandang serius.

Wisma Putra seharusnya mengirim nota bantahan kepada pihak Indonesia manakala pihak keselamatan negara itu mesti bertanggungjawab melindungi warga Malaysia di sana yang mungkin akan dijadikan sasaran oleh golongan manusia yang tidak siuman.

Apa nak dikata, tindakan manusia yang lupa bahawa lebih dua juta rakyat mereka menumpang hidup di bumi bertuah bernama Malaysia, yang saban bulan mengirim wang untuk membolehkan keluarga mereka menyambung hidup, yang jelas tidak erti akan perkataan terima kasih dan bersyukur kerana dengan wujudnya Malaysia, maka mereka boleh menyara kehidupan sanak saudara dan keluar daripada kepompong kepapaan. Mereka angkuh, sombong dan iri hati akan kemajuan dan kejayaan Malaysia.

Benar, bukan semua yang mencari nafkah hidup di Malaysia bersikap biadap seperti segerombolan yang wujud di Jakarta, tetapi perbuatan mereka itu bukan sahaja melampaui batas bahkan boleh menjejas pershabatan antara kedua-dua negara. Bayangkan keadaan seterusnya jika ada rakyat Malaysia yang berhimpun di hadapan Wisma Duta Indonesia di Kuala Lumpur, melempar najis dan memijak serta membakar  Sang Saka Merah Putih, apa perasaan mereka...

Gerombolan manusia kurang siuman yang mencemar dan memperlekeh negara kita di Jakarta harus ingat dan sedar akan musibah dek perbuatan biadab mereka. Jangan ingat yang mereka sahaja mempunyai perasaan dan semangat juang, jangan ingat yang mereka sudah gagah untuk berperang sedangkan mereka tidak mampu mempertahankan Timur Timor, nampaknya mereka mudah lupa.

Kita bangga dengan sikap rakyat Malaysia yang jauh lebih rasional dan tidak mengambil tindakan bodoh seperti mereka. Inilah sebabnya kita adalah majikan, bukan hamba atau babu yang terpaksa menyeberang lautan luas untuk bekerja di rumah orang, kita bukan buruh kasar atau kuli yang terpaksa berkelana ke negara orang untuk bekerja

Tidak hairanlah mereka begitu mencemburui kita. 



Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Klik untuk membaca laporan Utusan Malaysia

Tuesday, 17 August 2010

RTM dan 'goreng pisang' - sampai bila?

Petang 17 Ogos, saya menonton berita yang dipancarkan oleh  TV1 (RTM). Antara 'berita menarik' yang disiarkan adalah mengenai pasar Ramadhan, kali ini di Pulau Pinang. Nampaknya, cerita mengenai pasar Ramadhan menjadi satu kemestian dalam siaran berita RTM dan stesen-stesen tv swasta.

Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai cerita seorang Mamak yang menjual 'goreng pisang' istimewa di salah satu pasar Ramadhan di Pulau Pinang. Hebat sungguh juadah yang dijual itu.

Sebagai sebuah stesen penyiaran milik kerajaan, sudah tentunya RTM menggunakan istilah dan perkataan yang betul dalam laporannya. Perkara ini tidak boleh ditolak-ansur kerana RTM berperanan penting dalam penggunaan dan pendaulatan Bahasa Melayu selaku Bahasa Kebangsaan

Malangnya, ia tidak sedemikian apabila dalam laporan tersebut, pembaca atau penyampai berita merujuk kepada juadah tersebut sebagai 'goreng pisang'. Semua orang yang faham akan Bahasa Melayu tahu ianya salah. Yang betul ialah pisang goreng, bukan 'goreng pisang.'

Saya ingin bertanya  mana satu yang betul - nasi goreng atau goreng nasi, mi goreng atau goreng mi dan ayam goreng atau goreng ayam?

Saya yakin semua orang akan memberi jawapan yang betul iaitu nasi goreng, mi goreng dan ayam goreng.

Jadi, kenapa kepada pisang disebut goreng pisang?

Apa kata Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya yang juga seorang wartawan?
 

 

Monday, 16 August 2010

Sejak bila bendera kita berubah

Ini sudah melampau...Jalur Gemilang tidak boleh diubah sesuka hati tanpa dipinda Perlembagaan oleh Parlimen.
Kalau nak promosi 1Malaysia, iaitu satu slogan politik, janganlah sampai menodai Jalur Gemilang. Ia adalah satu perbuatan yang bukan sahaja menghina tetapi biadab!

Sejak bila bendera kita berubah

Wednesday, 11 August 2010

Perbezaan ketara antara dua buah kampung di Jelebu

Rancangan popular terbitan TV3, Aduan Rakyat, malam tadi memaparkan sesuatu yang menarik parhatian saya, iaitu berkaitan ketakseimbangan pembangunan di Jelebu, Negeri Sembilan, khususnya dalam Mukim Ulu Teriang.

Apa yang didedahkan oleh TV3 cukup menarik kerana ia membabitkan keperluan asas untuk hidup, iaitu air.

Aduan Rakyat membandingkan pembangunan dan kemudahan asas yang ada di Kampung Gagu dengan jirannya Kampung Durian Gasing. Perbezaannya amat ketara.



Kampung Gagu mempunyai prasarana yang lengkap - jalan yang berturap, bekalan air bersih dan semua penduduk perolehi bekalan elektrik dan terkini khidmat jalur lebar. Tempat saya di Ampang masih belum mempunyai perkhidmatan jalur lebar (kerja-kerja pemasangan masih dijalankan).

Di Kampung Durian Gasing, jiran Kampung Gagu, juga wujud prasarana asas tetapi 10 buah rumah masih belum menerima bekalan air bersih. Ada yang mengguna air perigi untuk semua urusan kehidupan.

Persoalannya kenapa penduduk Kampung Gagu seramai 349 orang, iaitu 70 peratus menjalankan kegiatan pertanian -  tanaman getah dan bersawah padi,  mendapat keperluan tersebut sedangkan jiran mereka masih ada yang belum menikmati bekalan air bersih.

Apakah perkhidmatan jalur lebar yang hanya memberi faedah kepada segelintir penduduk lebih penting dan terdesak daripada bekalan air bersih?

Mungkin itulah yang cuba diketengahkan oleh TV3 melalui rancangan Aduan Rakyat dan saya menghormati dan tabek spring kepada mereka kerana "berani" mendedahkan ketaksamarataan dalam pembanguann dan kemajuan antara dua buah kampung bersebelahan itu. Syabas TV3.

Oh ya, pada awal tadi saya menyatakan apa yang dibangkitkan oleh TV3 menarik minat saya kerana wakil rakyatnya yang juga seorang menteri Persekutuan, Dr Rais Yatim adalah mantan bos saya.

Selaku Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan beliau bertanggungjawab kepada sektor komunikasi yang merangkumi industri telekomunikasi dan jalur lebar beroptik fiber termasuk dalam kategori tersebut. Tidak tahu pula saya sama ada kemudahan jalur lebar diperkenalkan di Kampung Gagu atas faktor kedudukan wakil rakyatnya atau atas pertimbangan keperluan sebenar oleh Telekom Malaysia.

Pembaca boleh membuat tafsiran dan andaian sendiri.

Tuesday, 10 August 2010

SELAMAT MENYEMPURNAKAN IBADAH PUASA

Kepada umat Islam di mana saja anda berada, selamat melaksana dan menyempurnakan ibadah puasa. Rasulullah s.a.w. tidak mengakui puasa yang hanya meninggalkan makan dan minum tetapi masih mengeluarkan kata dusta, amalan sia-sia, perbuatan keji dan sebagainya. Hakikat ini tergambar jelas di dalam sabdanya, yang bermaksud:

"Bukanlah puasa (hanya menahan) dari makan dan minum, sesungguhnya puasa (juga menahan) dari perbuatan sia-sia dan perkataan lucah. (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, Al-Hakim)