Monday, 8 November 2010

Melayu PKR ada dua pilihan - UMNO atau PAS

Parti KeAdilan Rakyat atau PKR nampaknya sedang melalui episod yang boleh diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan.  Satu demi satu orang kuat ataupun mereka yang benar-benar serius untuk membawa pembaharuan dalam arena politik negara, meninggalkan parti itu atau lenyap begitu sahaja.

Terkini Datuk Zaid Ibrahim, mantan tokoh UMNO dan menteri kerajaan persekutuan, salah seorang tokoh yang dilihat mampu membawa pembaharuan dalam PKR.

Tindakan Zaid, mantan tuan punya firma guaman milik tempatan yang terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim and Co atau ZICO,  menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden dan meletak semua jawatan dalam parti, sudah pasti memberi kesan mendalam kepada PKR.

Saya kira  Zaid akan keluar PKR dan berkemungkinan besar menyertai sebuah parti lain, umpamanya PAS atau menubuh sebuah parti serpihan PKR. Saya juga tidak menolak kemungkinan Zaid akan bersara terus daripada akif dalam politik. 

Seperti tokoh politik lain yang berpengaruh, Zaid mempunyai pengikut dan penyokong dan sudah tentu sebilangan besar daripada mereka akan mengikuti jejak langkahnya.

Kedudukan PKR semakin tenat ekoran tindakan Zaid kerana dia mempunyai ramai penyokong dalam parti itu. 

PKR sebenarnya sebuah parti yang memperjuangkan masa depan politik Anwar Ibrahim. Nokhtah.

Untuk mencapai impiannya, Anwar dan panglima perangnya, Azmin Haji Ali sanggup melakukan apa saja untuk memastikan teraju parti berada sama ada di tangan mereka atau orang yang mereka percayai. Zaid Ibrahim bukan orangnya, oleh itu  kemaraannya dalam kepimpinan parti mesti disekat. Anwar tidak mahu orang lain menduduki kerusi nombor dua PKR selain Azmin, mantan setiausaha sulitnya semasa dia berada dalam kerajaan.

Kemasukan Zaid dalam PKR setelah keluar UMNO tidak lebih daripada satu strategi politik Anwar untuk mencapai cita-citanya tetapi Zaid terbukti bukan seorang yang begitu mudah mengikut telunjuk orang lain atau 'yes man' dan inilah yang tidak dapat diterima oleh sama ada Anwar atau Azmin.

Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail tidak mampu dan tidak boleh berbuat apa-apa kerana dia bukan pemimpin sebenar PKR. Umum mengathui bahawa orang yang 'berkuasa'  adalah Anwar. 

Orang Melayu yang pernah atau masih menganggotai PKR harus sedar akan perjuangan sebenar parti itu dan mereka mesti bertanya diri sendiri tujuan menyertainya, sama ada ia selari dengan hasrat dan harapan mereka atau mereka tidak lebih daripada angka yang digunakan semata-mata untuk menunjukkan bahawa orang Melayu menyokong PKR. 

Kepada orang Melayu yang masih berada dalam PKR dan yang masih ingin berjuang atas kepercayaan untuk menggalak politik yang progresif terutama di kalangan orang Melayu,  mereka harus diingatkan bahawa PKR  bukan wadahnya.

Orang Melayu PKR ada dua pilihan,  iaitu sama ada menyokong UMNO atau PAS. Kedua-dua parti ini perlu kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu/Islam dan terpulanglah kepada mereka untuk memilih yang mana satu tetapi yang pasti bukan PKR atau mana-mana parti lain yang terbukti gagal memperjuangkan kepentingan Melayu/Islam. Tepuk dada, tanya selera.



No comments:

Post a Comment