Wednesday, 16 March 2011

Arab Saudi kerah 1,000 anggota tentera bantu Raja Bahrain

Kerajaan Arab Saudi tidak menunggu lama untuk membantu pemerintah Bahrain yang menghadapi kebangkitan rakyat sama seperti yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman.

Raja Arab Saudi dari dinasti Saud menghantar 1,000 anggota tentera lengkap dengan kereta perisai dan kereta kebal menyeberangi tambak yang menghubung Arab Saudi dengan negara pulau itu.

Kononnya campur tangan tentera Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu atau UAE adalah atas permintaan Raja Bahrain.

Sebenarnya Raja Arab Saudi bimbang akan kebangkitan rakyatnya sendiri dan dengan itu dia tidak mahu melihat Raja Bahrain terpaksa turun takhta atau hilang kuasa pemerintahan mutlak kerana perkara yang sama akan menimpa keluarga 'diraja' al Saud.

Negara-negara Arab yang diperintah oleh keluarga raja menjalankan pemerintahan secara mutlak dengan melantik ahli keluarga untuk memegang jawatan penting kecuali di Oman dan Jordan. Oleh itu, sekiranya raja diguling atau hilang kuasa, maka seluruh keluarga akan merana.

Raja-raja Arab tidak mahu melihat rakan mereka hilang kuasa atau hilang tempat bergantung kerana ia akan turut melibatkan mereka.

Jika kerajaan Arab Saudi benar-benar berani dan ingin mempertahankan maruah bangsa Arab itu sendiri, kenapa tidak menghantar tenteranya itu untuk membantu membebaskan Palestin?

Malangnya, Arab Saudi dan negara-negara Arab Teluk seperti UAE melihat kepentingan Raja Bahrain jauh lebih utama dan mendesak daripada nasib yang menimpa rakyat Palestin. Atau mereka takut akan kekuatan tentera Yahudi yang disokong oleh Amerika Syarikat.

Semoga kuasa rakyat akan berjaya di semua negara Arab yang diperintah sama ada secara mutlak oleh keluarga raja atau secara autokrasi dan kuku besi oleh kepimpinan yang tidak dipilih secara bebas oleh rakyat.

No comments:

Post a Comment