Peter King, pengerusi jawatankuasa keselamatan dalam negeri Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, telah memanggil 'siasatan' atau disebut sebagai 'hearing' di Washington, terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada masyarakat Islam yang kononnya enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa, dan mengajar atau menanam pemikiran radikal di masjid-masjid di negara tersebut.
King menganggap ianya sebagai satu ancaman keselamatan ke atas Amerika Syarikat dengan menuduh bahawa fahaman Islam yang radikal adalah sebahagian daripada strategi atau muslihat al Qaeda untuk menyerang Amerika Syarikat.
Dengan mengaitkan Islam kepada fahaman atau pemikiran radikal, King secara terang-terangan menuduh Islam sebagai sebuah agama 'pelampau' yang dikaitkan dengan apa yang sering disebut oleh Barat sebagai 'pengganas dan keganasan' yang dikaitkan pula dengan al Qaeda.
Apa sahaja yang berlaku yang membabitkan bencana akibat letupan atau pembunuhan pasti dikaitkan dengan al Qaeda atau puak-puak radikal Islam yang ada kaitan dengan al Qaeda. Itulah alasan yang selalu diberikan oleh Barat, terutama Amerika Syarikat dan media yang dikawal dan dikuasai oleh mereka.
Ahli Kongres New York itu cuba mengukuhkan tuduhannya dengan mengambil beberapa contoh sedangkan ia tidak ada kaitan sama sekali dengan agama Islam tetapi tindakan beberapa orang individu yang secara kebetulan beragama Islam.
Kebencian terhadap Islam semakin menjadi-jadi di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun beberapa kejadian keganasan termasuk membunuh kanak-kanak sekolah beramai-ramai ataupun pelajar maktab di Amerika Syarikat dilakukan oleh bukan penganut Islam. Mereka tidak pula mempersalahkan puak pelampau Nasrani atau Yahudi, tetapi apabila orang Islam terlibat, dengan pantasnya mereka menuduh Islam itu sendiri. Inilah keadilan dan kesaksamaan yang diamalkan oleh Barat.
Jika nak memperkatakan mengenai puak-puak 'pelampau' atau golongan ekstremis, jangan hanya menuding jari kepada Islam kerana ianya wujud dalam semua agama dan fahaman kehidupan. Lihat saja di India, di Ireland Utara, di England, di Mesir, di Rusia, Nigeria, Ghana, di Indonesia dan Pakistan. Perbalahan antara agama dan di kalangan penganut agama yang sama bukan sesuatu yang baru, tetapi kita tidak boleh mempersalahkan agama itu sendiri kerana yang menimbulkan masalah adalah manusia.
Amerika Syarikat tidak layak dan tidak boleh menuduh Islam atau penganut Islam sebagai radikal mahupun pelampau atau pengganas kerana negara Uncle Sam itu sendiri adalah pengganas dunia. Hakikat ini harus disedari tetapi oleh kerana negara tersebut bertaraf 'kuasa besar dunia', maka ia boleh lakukan semuanya itu.
King dan sesiapa sahaja di Amerika Syarikat yang dengan senang-senang sahaja melemparkan tuduhan dan fitnah terhadap Islam dan umat Islam, harus sedar akan hakikat bahawa negara merekalah sebenarnya pengganas, penceroboh, penakluk, pemusnah dan kaki buli dunia.
Mereka harus disedarkan bahawa sejak Perang Dunia II, Amerika Syarikat menggugur bom pemusnah ke atas 23 buah negara, membunuh beratus ribu manusia dan memusnahkan sumber kehidupan.
Keganasan itu termasuk ke atas China antara tahun 1945-46, Korea 1950-53, China kali kedua 1950-53, Guatemala 1954, Indonesia 1958, Cuba 1959-60, Guatemala kali kedua 1960, Congo 1964, Peru 1965, Laos 1964-73, Vietnam 1961-73, Kemboja 1969-70, Guatemala kali ketiga 1967-69, Grenada 1983, Lubnan 1984, Libya 1986, El Salvador 1980-an, Nicaragua 1980-an, Panama 1989, Iraq 1991-99, Sudan 1998, Somalia 1990-an, Afghanistan 1998-sekarang, dan Yugoslavia 1999.
Untuk menyerang dan menakluk Iraq yang kaya dengan minyak, Amerika Syarikat mengadakan pembohongan besar apabila ia menuduh Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran atau WMD. Dunia mempercayai pembohongan tersebut dan akibatnya Iraq musnah dan rakyatnya menderita hingga ke hari ini.
Yang memiliki WMD di Timur Tengah bukan Iraq, Iran, Turki atau mana-mana negara Arab, tetapi negara Yahudi bernama Israel. Amerika menutup mata ke atas kenyataan tersebut kerana Israel adalah sekutunya untuk menyekat kebangkitan negara-negara Islam di Timur Tengah.
Dalam sejarah dunia, hanya sebuah negara, iaitu Amerika Syarikat yang menggunakan WMD apabila ia menggugur bom atom ke atas bandar Hiroshima dan Nagasaki. Kesan kemusnahannya masih wujud.
Selain menyerang dan mengebom negara lain, Amerika Syarikat juga terlibat dalam 20 rampasan kuasa di seluruh dunia, iaitu selepas Perang Dunia II semata-mata untuk meletakkan boneka mereka sebagai pemimpin di negara-negara tersebut. CIA, agensi perisikan pusat Amerika Syarikat, turut terlibat atau bertanggungjawab ke atas tidak kurang daripada enam pembunuhan pemimpin politik atau ketua kerajaan asing. Semuanya itu dilakukan semata-mata atas kepentingan Amerika Sayrikat temasuk kepentingan ideologi kapitalis dan perbadanan-perbadanan multinasionalnya.
Selepas hancurnya Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat memperkenalkan apa yang disebut sebagai order baru dunia, yang diketuai oleh Washington. Amerika Syarikat boleh bermaharajalela sebagai satu-satunya kuasa besar dunia dengan keupayaan untuk menentukan apa sahaja dengan memperalatkan kekuatan ketenteraan.
Amerika Syarikatlah sebenarnya pengganas dunia.
No comments:
Post a Comment