Temasya sukan sekarang bukan seperti beberapa dekad lalu. Dulu semangat kesukanan begitu tinggi dan dihargai. Temasya sukan, sama ada peringkat serantau, benua atau dunia, dijadikan pelantar untuk menjalin hubungan bukan sahaja antara negara tetapi antara para peserta. Begitulah tingginya semangat kesukanan.
Sekarang, temasya sukan dijadikan sandaran untuk meraih nama dan imej. Lebih banyak pingat emas yang diperolehi, lebih megah dan sombongnya sedangkan semangat kesukanan tidak menjadi ukuran.
Negara yang begitu ghairah untuk menang sesuatu acara sukan akan melakukan apa saja yang dibolehkan, dan ada kalanya membabitkan penipuan dan muslihat tertentu, untuk mencapainya. Sukan tidak lagi dijadikan pelantar atau wadah untuk menjalin silatur-rahim dan setiakawan tetapi sebagai medan perang untuk menang.
Beberapa dekad lalu, dua buah negara di Amerika Selatan hampir berperang ekoran perbalahan membabitkan perlawanan bolasepak. Begitulah hebatnya sukan sehingga dua buah negara sanggup berperang. Walau bagaimanapun, kehebatan itu memperlihatkan kejanggalan dalam memahami apa itu semangat kesukanan dan kemenangan bukanlah segala-galanya.
Di kalangan negara Asia Tenggara, Sukan SEA menjadi kayu pengukur sejauh mana sesebuah negara itu jaguh dalam arena sukan. Setiap negara yang dipilih bergilir-gilir menjadi tuan rumah, akan mengadakan acara sukan yang mampu membawa kemenangan walaupun ianya tidak popular di negara lain. Yang penting ialah untuk mengumpul sebanyak yang boleh pingat emas.
Pada temasya Sukan SEA semasa di Palembang dan Jakarta, kita dapat lihat ketandusan semangat kesukanan di kalangan penyokong malah pegawai tuan rumah. Bagi mereka, Malaysia adalah 'musuh' utama dan di mana saja atlet Malaysia muncul, akan bergemalah ejekan, sindiran, kata-kata cacian dan penghinaan. Mereka tidak langsung menghormati bendera dan lagu kebangsaan kita. Kebiadaban yang diperlihatkan itu amat memalukan dan jelas tidak menghormati tetamu kerana kita dan negara ASEAN yang lain adalah tetamu mereka.
Apa yang amat menyedihkan ialah cara mereka melayani pasukan bolasepak kita. Keperitan yang dilalui oleh pasukan Harimau Muda tidak pernah dilalui oleh mana-mana pasukan kebangsaan. Mereka terpaksa berhimpit-himpit dalam kereta perisai milik polis republik itu, mereka dinafikan hak latihan di stadium, mereka di maki hamun dan diperlekehkan.
Namun demikian, segagah gelaran Harimau Muda, pasukan bolasepak bawah umur 23 tahun Malaysia itu memperlihatkan semangat juang yang tinggi dan tidak gentar menghadapi ancaman dan serangan sang Garuda. Bukan sekali tetapi dua kali Harimau Muda menjinakkan Garuda di gelanggang lawan. Bukan calang-calang pasukan yang mampu berbuat demikian.
Tahniah kepada Harimau Muda. Tahniah Ong Kim Swee atas kejayaan anda membawa kemenangan walaupun menghadapi 1001 macam dugaan, rintangan dan cemuhan.
Para atlet Malaysia memperlihatkan adab dan sopan santun yang tinggi walaupun tidak dilayan sewajarnya oleh tuan rumah. Atlet Malaysia menunjukkan bahawa budi bahasa adalah budaya kita. Bukan sebaliknya seperti yang dipertonton oleh penyokong dan sebilangan pegawai penganjur Sukan SEA Jakarta dan Palembang.
Teringat akan saya pepatah Cina yang bermaksud: "Sekeping emas terpelihara kemurniaannya walaupun dicairkan seratus kali. Seorang wira tidak boleh hilang pertimbangan walaupun menempuh bahaya dan kesukaran."
Itulah yang dilalui oleh para atlet Malaysia di Jakarta dan Palembang. Syabas.
No comments:
Post a Comment