Kecuali mendiang Tan Sri Wong Pow Nee, setiap seorang ketua menteri Pulau Pinang tidak terlepas daripada dituduh 'anti-Melayu'.
Mendiang Pow Nee yang menerajui pentadbiran Negeri Pulau Pinang sejak Merdeka sehingga pilihan raya umum 1969, terlepas daripada tuduhan itu mungkin kerana sentimen orang Melayu tidak dipengaruhi politik perkauman yang tebal. Rakyat Pulau Pinang memilih Perikatan, iaitu kerjasama tiga buah parti politik yang mewakili kaum Melayu (UMNO), Cina (MCA) dan India (MIC) demi mengekal perpaduan dan kerjasama antara kaum.
Kehidupan orang Melayu ketika itu bukanlah senang dan mereka menghuni kampung-kampung tradisional bukan sahaja di Seberang Perai tetapi di bahagian pulau termasuk dalam kawasan bandar raya George Town. Kemiskinan bukan sahaja menimpa orang Melayu tetapi Cina dan India terutama dalam kawasan bandar dan pinggir kota.
Walaupun Perikatan menguasai pentadbiran negeri, pihak yang menguasai Majlis Bandar Raya George Town, iaitu pihak berkuasa tempatan tertua dan pertama di negara ini selepas pilihan raya tempatan diadakan, ialah gabungan dua buah parti politik berhaluan kiri, Partai Sosialis dan Partai Buruh yang membentuk Barisan Sosialis atau "Socialist Front".
Tiada banyak masalah yang timbul walaupun pentadbiran negeri dan pentadbiran kerajaan tempatan dipegang oleh dua buah gabungan parti politik yang berlainan ideologi. Pentadbiran negeri pimpinan Pow Nee menerajui negeri tanpa membawa banyak perubahan dalam bentuk pembangunan fizikal mahupun sumber manusia yang sekarang disebut sebagai pembangunan insan atau modal insan.
Pulau Pinang mula melihat dan merasai perubahan dalam pembangunan apabila pentadbiran Gerakan pimpinan mendiang Tun Dr Lim Chong Eu mengambil alih pada 1969. Atas daya usaha allahyarham Tun Abdul Razak, Gerakan membentuk kerajaan campuran dengan UMNO yang kemudiannya berkembang membentuk Barisan Nasional.
Chong Eu membawa perubahan besar kepada ekonomi Pulau Pinang apabila beliau berjaya membawa masuk industri elektronik terutama dari Amerika Syarikat dan Jerman. Zon Perdagangan Bebas dan Zon Industri Bebas wujud membuka beratus ribu peluang pekerjaan dan membawa rahmat bukan sahaja kepada rakyat Pulau Pinang tetapi negeri-negeri di utara Semananjung dan Pantai Timur.
Berpuluh ribu anak Melayu dari kampung dan desa di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terenggu dan Pahang berhijrah ke Pulau Pinang untuk bekerja di kilang-kilang elektronik selain anak watan Pulau Pinang.
Berkat usaha Chong Eu membawa masuk industri elektronik, ramai keluarga Melayu dapat dikeluarkan daripada takrif kemiskinan.
Selain industri elektronik, Chong Eu turut membangun semula industri pelancongan ekoran tindakan kerajaan persekutuan menarik balik taraf pelabuhan bebas Pulau Pinang untuk diberi kepada Langkawi. Penarikan taraf pelabuhan bebas itu dilihat sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik dan Chong Eu terpaksa bekerja keras untuk memulih industri pelancongan pulau peranginan yang digelar "Mutiara Timur" itu.
Pembangunan pusat-pusat peranginan dan hotel tepi pantai bertaraf antarabangsa berjaya memulih industri pelancongan walaupun Pulau Pinang bukan lagi 'syurga membeli belah' seperti yang wujud semasa bertaraf pelabuhan bebas.
Walaupun Chong Eu berjaya membawa keluar Pulau Pinang daripada kemurungan akibat penarikan balik taraf pelabuhan bebas dan secara tidak langsung membantu beratus ribu anak Melayu yang menganggur bekerja di kilang-kilang elektronik, beliau tidak terlepas daripada tuduhan 'anti-Melayu'.
Pengganti beliau, Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon juga tidak terlepas daripada tuduhan sedemikian walaupun beliau tidak sehebat Chong Eu tetapi sekadar meneruskan dasar pembangunan yang diletak asasnya oleh Chong Eu.
Sekarang, ketua menteri DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng pula menghadapi tuduhan 'anti-Melayu'. Tuduhan yang dihadapinya agak unik dan lebih teratur dan dirancang dengan teliti.
Guan Eng kurang bernasib baik berbanding Chong Eu dan Tsu Khoon kerana dia menghadapi 'bantahan' termasuk secara demonstrasi jalanan oleh kumpulan-kumpulan yang kononnya mewakili badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Penunggang motosikal yang kebanyakannya mewakili penunggang 'kapcai' turut berdemonstrasi menghentam pentadbiran Guan Eng dan mendesak diadakan trek lumba motosikal untuk mereka. Demonstrasi mat-mat motor itu sudah tentu diatur dan dirancang oleh pihak tertentu yang disokong oleh kepentingan politik. Bukan mudah untuk mengumpul sebegitu ramai penunggang motosikal berkumpul di satu tempat untuk bermotosikal ke satu tempat lain secara serentak jika tidak dirancang terlebih awal.
Kita ingin tanya penganjur demonstrasi mat motor itu sama ada mereka sedar atau tidak, negeri-negeri lain juga tiada trek lumba motosikal khusus untuk mat-mat motor atau yang disebut polis sebagai samseng jalan raya.
Selain penunggang motosikal, pengayuh beca pun dijadikan alat untuk golongan tertentu untuk membantah pentadbiran Guan Eng dengan bermacam tuduhan. Sekali lagi, kita lihat ada perancangan terlebih dahulu untuk mengumpul pengayuh beca berkenaan.
Sama seperti Chong Eu dan Tsu Khoon, Guan Eng juga dituduh 'anti-Melayu' dan tuduhan yang dihadapinya jauh lebih berat kerana ia membabitkan dalang yang mewakili parti politik yang ditolak oleh rakyat Pulau Pinang.
Orang Melayu Pulau Pinang harus sedar bahawa mereka akan terus ditadbir oleh seorang ketua menteri bukan Melayu kerana UMNO, melalui presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak, telah memberi jaminan bahawa UMNO tidak akan tuntut jawatan itu walaupun menang besar. Adakah orang Melayu Pulau Pinang akan mengulangi tuduhan 'anti-Melayu' kepada ketua-ketua menteri berikutnya?
Orang Melayu Pulau Pinang juga harus lihat kehidupan para pemimpin mereka yang sering memperalatkan golongan Melayu bawahan untuk membantah itu dan ini sedangkan mereka menghuni kediaman mewah, berkereta mewah dan saban tahun bercuti ke luar negara.
Penunggang motosikal dan pengayuh beca harus bertanya kepada kepimpinan Melayu Pulau Pinang apa yang mereka buat atau usahakan untuk membantu orang Melayu miskin, yang menganggur dan tiada kediaman tetap?
Jangan terlalu mudah menuduh orang lain sebagai 'anti-Melayu' sedangkan di kalangan orang Melayu sendiri wujud mereka yang tidak memperdulikan untung nasib bangsanya sendiri.
No comments:
Post a Comment