Setelah berakhirnya perhimpunan agung UMNO, orang kebanyakan terutama 'orang UMNO' masih memperkatakan mengenai pilihan raya umum ke-13 dan soal 'calon boleh menang' yang seharusnya diutamakan oleh parti.
Soal sama ada bila PRU-13 akan didakan bukan menjadi tajuk perbincangan utama tetapi soal calon parti yang boleh menang atau berdaya menang.
Bermacam andaian dan pendapat dibuat oleh sama ada pemerhati politik dari dunia akademik yang tidak semestinya pakar dan pengamat tidak profesional di warung-warung kopi dan gerai rakyat bawahan yang tidak pernah atau amat jarang menjejak kaki ke "Coffee House" hotel berbintang-bintang yang sering dijadikan tempat melepak 'orang UMNO' bergelar, berjawatan dan berpangkat.
Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan pengerusi badan perhubungan UMNO Kelantan yang juga mantan menteri kabinet, Tan Sri Anuar Musa yang saya dapati jauh lebih tepat dan kena dengan keberadaan politik semasa.
Anuar berpendapat bahawa soal calon boleh menang tidak dapat menjamin atau gerenti boleh menang sekiranya parti, iaitu UMNO, tidak diterima dan tidak boleh menang. Oleh itu, yang lebih penting ialah soal parti boleh menang, bukan calon boleh menang.
UMNO sepatutnya meninjau suasana dan penerimaan rakyat akar umbi sama ada mereka menerima kehadiran parti itu atau tidak, UMNO harus sedar bahawa bukan semua orang Melayu adalah 'orang UMNO" dan bukan semua 'orang UMNO' akan mengundi calon UMNO atas sebab-sebab tertentu termasuk soal calon.
UMNO juga harus sedar bahawa rakan-rakan kongsinya dalam Baisan Nasional, MCA, MIC dan Gerakan, belum tentu dapat menarik sokongan pengundi Cina dan India untuk menyokong calon BN dari UMNO. UMNO mesti sedar bahawa ia amat memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu untuk menang dan inilah salah satu fakta yang perlu ditangani segera jika parti itu ingin menang.
Jika dilihat pada senarai wakil rakyat UMNO yang berkhidmat sekarang, saya berani menyatakan bahawa lebih separuh daripada mereka bukan calon yang berdaya menang termasuk sebilangan besar anggota Kabinet.
Oleh itu, UMNO mesti serius mencari calon-calon 'muka baru' yang tidak semestinya dari kalangan 'orang muda' dari sama ada Pemuda atau Putri UMNO. Calon 'muka baru' berada di mana-mana sahaja termasuk di kalangan pengkhidmat awam, sektor korporat dan golongan profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Beranikah UMNO memilih mereka untuk bertanding pada PRU-13 dan mahukah 'orang UMNO' yang menerajui bahagian-bahagian parti menerimanya?
Budaya UMNO selama ini yang mengutamakan calon dari kalangan pemimpin peringkat bahagian - sama ada ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan, bendahari dan AJK - mesti diubah dan pemilihan calon seharusnya dibuat secara menyeluruh. Calon tidak semestinya menjadi ahli di bahagian berkenaan tetapi anak tempatan yang bermastautin di tempat lain. Sebagai contoh, calon yang dipilih untuk bertanding di Titiwangsa mungkin anak Kampung Baru yang menetap di Johor. Yang penting calon itu diterima dan boleh menang, asalkan UMNO boleh menang.
Masalah yang lazim menghantui UMNO ialah kepimpinan bahagian berkenaan yang terlalu mengidam untuk menjadi calon tetapi apabila tidak dipilih, dia enggan bekerjasama atau memberi sokongan sepenuhnya kepada calon yang dipilih.
Dalam hubungan ini, kenyataan Anuar Musa bahawa yang penting ialah parti boleh menang, bukan calon boleh menang mesti diutamakan. Jika parti boleh menang, soal calon tidak menjadi masalah tetapi jika calon dikatakan boleh menang tetapi parti ditolak rakyat, maka ia adalah satu masalah besar.
Seperti yang disebut oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka yang sudah lama menjadi wakil rakyat mesti undur untuk memberi peluang kepada muka baru yang boleh menang dan saya ingin menambah mereka yang menjadi 'beban' kepada parti seharusnya sedar dan undur.
Contoh yang dapat saya berikan ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Dia kini lebih merupakan 'beban' kepada UMNO dan dia harus sedar akan keadaan itu dan tidak semata-mata 'menyerah' kedudukannya kepada presiden parti untuk membuat keputusan. Mentimun dan pisau berada di tangan Shahrizat, bukan di tangan orang lain.
Kepada 'orang UMNO' yang berada dalam kedudukan sedemikian, mereka harus sedar bahawa hari sudah terang dan mereka tidak perlu lagi bersuluh.
No comments:
Post a Comment