Mitt Romney, calon presiden parti Republikan, dah pun mula melempar ancaman ke atas beberapa buah negara terutamanya Republik Islam Iran, jika dia memenangi pilihan raya Amerika Syarikat.
Romney juga menyokong penuh sekiranya negara Zionis Yahudi menyerang Iran dengan alasan untuk menyekat negara Islam itu daripada memiliki senjata nuklear. Selain itu, semasa di bumi Palestin khasnya di Baitulmaqdis, Romney dengan sombong dan bongkak menyatakan bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara Zionis Yahudi dan ia tidak boleh dipersoal oleh mana-mana negara.
Sikap dan pendirian Romney memperlihatkan ancaman besar kepada dunia khususnya negara-negara Islam kerana dia jelas seorang yang memusuhi Islam. Jika dia dipilih menjadi presiden Amerika Syarikat, bumi Palestin akan kekal sepenuhnya di bawah penguasaan Zionis Yahudi dan negara-negara Islam yang berjiran akan sama ada diserang atau diletak di bawah telunjuk Washington dan Tel Aviv.
Keterangan gambar: Romney bersalaman dengan pengganas Zionis Benjamin Netanyahu semasa mengunjungi Perdana Menteri negara haram itu di Baitulmaqdis baru-baru ini.
Sikap dan pendirian Romney merupakan ulangan sejarah mengenai tekanan dan ancaman oleh Amerika Syarikat ke atas dunia sejak pentadbiran presiden Woodrow Wilson yang bersekongkol dan membantu Britain dan Perancis menggarisi semula sempadan Eropah yang mengakibatkan perbalahan demi perbalahan sehinggalah konflik Bosnia dan Kosovo.
Antara tahun-tahun 1920-an dan 1930-an, beberapa orang presiden Amerika mengamalkan diplomasi kapal perang dengan negara-negara Amerika Selatan termasuk menyerang dan mencerobohi Nicaragua dan Honduras.
Presiden Harry Truman pula menyokong diktator atau pemimpin kuku besi di Asia dan Afrika melalui apa yang disebut sebagai "Doktrin Truman" dan untuk itu banyak tentara Amerika terbunuh semata-mata diarah mempertahankan rejim autokratik Syngman Rhee di Korea Selatan.
Dwight Eisenhower membenarkan agensi perisikan pusat Amerika, CIA, mengatur rampasan kuasa di Iran yang membolehkan Shah Iran yang pro-Barat berkuasa dan beliau meneruskan Doktrin Truman dengan berdiri bersama-sama diktator di Amerika Latin dan Asia. Eisenhower mula menempatkan bala tentera Amerika di negara-negara "sahabat dan sekutu" yang dengan sendirinya memperlihatkan kepada dunia bahawa Amerika adalah kuasa imperial dunia.
Presiden John F Kennedy pula menyerang Cuba, menghantar tentera ke Congo, menyokong diktator Vietnam Selatan, menyerang Laos dan menambah jumlah pangkalan tentera di seluruh dunia. Lyndon Johnson secara diam-diam mengarah pengeboman ke atas Kemboja manakala Ronald Reagan menghantar tentera ke Lubnan untuk mencampuri perang saudara dan menyerang sebuah negara kecil bernama Granada, mengebom Libya, menempatkan peluru berpandu di Eropah dan menyokong diktator di El Salvador dan Guatemala.
Geroge W Bush (si bapa) menyerang Panama dan Iraq dan melaksanakan sekatan dan melancar serangan udara yang membunuhn beratus ribu nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita. Bill Clinton meneruskan sekatan dan serangan udara ke atas Iraq, mengerah tentera untuk campur tangan di Bosnia dan Kosovo dan menggunakan kuasa ketenteraan untuk meletakkan diktator di Haiti.
George W Bush (si anak) menyerang Afghanistan dan meneruskan serangan ke atas Iraq mengakibatkan beratus ribu manusia yang tidak berdosa terbunuh. Dia juga terlibat dalam penggulingan kerajaan sah di Haiti.
Bush juga memberi amaran kepada dunia supaya menyokong Amerika atau menghadapi serangan dan pengeboman dengan alasan kononnya dia ingin membawa demokrasi dan kebebasan. Bush juga berkata bahawa dia mendapat arahan daripada "tuhan" untuk berbuat demikian.
Saya menurunkan apa yang dilakukan oleh beberapa orang presiden Amerika semata-mata untuk menunjukkan bahawa pengganas sebenar dunia bukanlah Al-Qaeda atau orang Islam tetapi Amerika Syarikat. Tiada negara lain yang bertindak atau melakukan apa yang dilakukan oleh Amerika.
Amerika mungkin memperhebatkan tindakannya itu sekiranya Mitt Romney dipilih sebagai presiden. Dia telahpun mengeluarkan amaran dan ancaman untuk berbuat demikian. Jika ianya berlaku, maka keamanan manusia sejagat akan musnah dan tidak mustahil perang nuklear akan berlaku yang akan membawa bencana yang amat dahsyat.
Dunia hanya mampu melihat dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana Amerika adalah satu-satunya kuasa ketenteraan besar dunia. Mungkin kerana itulah, banyak pemimpin dunia yang seolah-olah dicucuk hidung dan menurut saja apa yang diarah oleh Amerika termasuk menggelar beberapa negara Islam sebagai paksi kejahatan dan negara yang menyokong pengganas.
No comments:
Post a Comment