Sunday, 30 September 2012

Jual aset: PAS Perak tuntut penjelasan Zambry


Berita ini menarik perhatian saya kerana ia membuatkan saya terkenang akan pertemuan dengan almarhum Sultan Idris Shah dan isteri baginda, Sharifah Salmah di rumah berkenaan.

Pada ketika itu, saya berkhidmat di pejabat biro Bernama, Lebuh Light, Pulau Pinang dan  mendapat panggilan telefon untuk ke 'Rumah Perak' kerana almarhum ingin membuat kenyataan media. Itulah kali pertama dalam kerjaya saya menerima panggilan daripada seorang sultan yang ingin membuat kenyataan media atau kenyataan akhbar.

Kenyataan media itu ada kaitan dengan 'masalah perhubungan' antara baginda dengan menteri besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi (allahyarham).

Saya dan rakan wartawan dari Berita Harian yang hadir di Rumah Perak 'terpegun' seketika melihat baginda yang menerima kehadiran kami dengan hanya berpakain kain pelikat dan singlet. Baginda meminta kami menunggu sebentar kerana sedang menaip sendiri kenyataan media berkenaan. Satu lagi 'kejutan' kepada kami.

Saya masih ingat hampir keseluruhan kenyataan baginda tidak dapat disiarkan oleh Bernama pada waktu itu kerana terlalu 'sensitif' dan membabitkan pentadbiran negeri dan 'kepimpinan politik.'

Rumah Perak meninggalkan kenangan dan jika benar ia telah atau hendak dijual oleh kerajaan negeri Perak seperti yang dilaporkan, maka ia sesuatu yang amat malang. Saya harap ia tidak benar.



Jual aset: PAS Perak tuntut penjelasan Zambry

Thursday, 20 September 2012

Apa yang sedang berlaku di Bernama?

Perkara seperti ini tidak berlaku sebelum ini.

Pihak pengurusan tertinggi termasuk Lembaga Pengelola mesti pandang serius kerana ia adalah sesuatu yang mengaibkan.

Cari puncanya tetapi mesti teliti dan telus agar tiada orang yang tidak bersalah menjadi mangsa.

Saturday, 8 September 2012

Istana Kampong Gelam kini Taman Warisan Melayu Singapura

Istana Kampong Gelam yang satu ketika dahulu menjadi singgahsana Sultan yang memerintah Singapura kini bertukar wajah dan peranan sebagai Taman Warisan Melayu Singapura.




Sebanyak 337 artifak yang ada kaitan dengan Kesultanan Melayu dan sejarah bangsa Melayu ditempatkan dalam Istana itu yang merupakan salah satu tarikan pelancongan di republik Singapura.

Saya berada di Singapura menghadiri majlis perkahwinan keluarga apabila Taman Warisan Melayu itu dirasmi semula oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2hb September.

Istana Kampong Gelam dijadikan taman berkenaan sejak 2005 tetapi setahun lalu ia ditutup untuk kerja-kerja mengubah suai dan mengubah elok oleh pemerintah Singapura dengan kos 3 juta dolar Singapura atau kira-kira RM7.5 juta.

Istana berusia 169 tahun itu merupakan tempat bersemayam Sultan yang memerintah Singapura sejak kurun ke-19 dan direka bentuk oleh George Coleman yang juga arkitek Bangunan Parlimen (lama) Singapura.  Ia menawarkan ruang peragaan dan pameran seluas 2,900 meter persegi.

Antara khazanah dan artifak yang dipamer ialah selaras senapang jenis Mark III yang diguna oleh Regimen Askar Melayu pimpinan Allahyarham Lt Adnan semasa mempertahan Singapura daripada serangan tentera Jepun. Senapang buatan British itu  ditemui tidak jauh dari kawasan Istana pada tahun 2003.

Turut dipamerkan ialah sebuah piano yang diguna oleh tokoh muzik terkenal Allahyarham Zubir Said yang dikatakan diguna oleh beliau untuk mengarang lagu kebangsaan Singapura "Majulah Singapura" dan bintang serta darjah kebesaran mantan presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak.

Apabila orang Melayu mengunjungi Taman Warisan Melayu di Kampong Gelam, mereka pasti akan merasa sayu dan hiba melihat kehebatan dan kedaulatan kesultanan Melayu hanya tinggal dalam bentuk sejarah ketara dan tidak ketara. 

Kita boleh meminjam dan mengubah sedikit  bait pantun lama Pulau Pinang untuk menggambarkan suasana yang serupa di Singapura, iaitu:-

Singapura bandar baharu,
Stamford Raffles menjadi raja,
Usah dikenang zaman dahulu,
Pasti menitis si air mata.

Saya yakin dan percaya orang Melayu Malaysia tidak ingin melihat istana raja-raja Melayu yang menjadi lambang kebesaran dan kedaulatan  nusa dan bangsa, bertukar wajah menjadi sama ada muzium atau premis untuk mengenang dan mengingat kembali peranan istana dan kesultanan Melayu. 

Kita tidak perlu menangisi apa yang berlaku di Singapura kerana ia sudahpun menjadi sejarah. Yang jauh lebih penting ialah bagi kita mempertahan kedaulatan dan kedudukan yang ada di tangan.  Kita mesti elak dan ketepikan perbalahan dan permusuhan sesama sendiri jika tidak mahu melihat sejarah hitam pulau Temasik berulang. 

Orang Melayu boleh berselisih faham dan  bertengkarah kerana itu adalah salah satu proses ketamadunan tetapi janganlah pula ia membawa kepada perpecahan dan permusuhan.  Orang Melayu semestinya berpegang kuat kepada kata-kata "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". 

Orang Melayu mampu bersatu sekiranya mereka mengutamakan kesatuan bangsa daripada perkara-perkara lain termasuk perbezaan ketara dalam gelanggang politik.  Ia bukan seruan berpaksikan perkauman tetapi demi kelangsungan hidup bangsa itu sendiri. 
   





Monday, 3 September 2012

Bendera adalah lambang kedaulatan negara

Setiap negara yang merdeka dan berdaulat memiliki sebidang bendera yang menjadi lambang kedaulatan  dan kebanggaan. Bendera mewakili bukan sahaja negara tetapi rakyat negara berkenaan. Oleh itu, bendera adalah sesuatu yang keramat bagi sesebuah negara.

Sama ada kita sokong atau tidak mana-mna pertubuhan atau parti politik, yang diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negara ataupun negeri-negeri yang bersekutu dalam sebuah persekutuan, kita mesti hormat dan sanjung bendera yang mewakili negara ataupun negeri.

Tiada tolak ansur dalam persolan ini.

Oleh itu, sesiapa yang tidak menghormati bendera negara adalah pengkhianat! Suka atau tidak, itulah perkataan yang dapat dirujuk dan dihamburkan kepada mereka yang berkelakuan seburuk dan sejijik itu.