Bekas ejen hartanah saman Jais, polis kerana dipukul ketika ditangkap khalwat
Bekas ejen hartanah, Hashim Mohd Said, 48, hari ini mengemukakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menggunakan kekerasan fizikal terhadapnya ketika ditangkat khalwat di kediamannya pada Disember 2006.
Hashim mendakwa, ketika ditangkap bersama pasangannya, yang ketika itu seorang mualaf, enam pegawai Jais bersama dua anggota polis menyerbu kediamannya di Apartmen Seri Tanjung, di USJ 16, Subang Jaya, kira-kira jam 4 pagi.
"Mereka menggunakan rotan untuk memukul saya ketika serbuan tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini.
Susulan daripada insiden tersebut, Hashim mengalami kecederaan di bahagian badan termasuk muka serta perlu membuat rawatan lanjut ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Sehingga hari ini saya terpaksa ke hospital setiap tiga bulan untuk membuat pemeriksaan," katanya.
Hashim menamakan Jais sebagai defendan pertama, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.
Hashim berkata, beliau mengambil keputusan untuk mengemukakan saman itu kerana Jais menggunakan kekerasan terhadapnya ketika serbuan berkenaan dan beliau ditahan selama 48 jam.
Katanya, selepas insiden itu, tiada dakwaan dikemukakan terhadapnya oleh pihak berkuasa agama Selangor itu.
Peguamnya, Noorazah Azizan, berkata defendan menuntut gantirugi lebih RM1 juta dan rawatan perubatan masa depan.
Beliau berkata, mahkamah bagaimanapun membenarkan polis untuk mengenepikan permohonan Hashim atas alasan teknikal.
Jais bagaimanapun katanya turut membuat permohonan sama.
"Mahkamah membenarkan permohonan untuk Timbalan Pendakwa Raya polis mengenepikan permohonan kami atas alasan teknikal.
"Jais pun buat permohonan sama seperti polis, tapi kami akan lawan," katanya.
"Sekarang terpulang kepada anak guam sama ada ingin untuk buat rayuan atau tidak," tambahnya lagi.
Hashim yang kini menetap di Songkhla, Thailand, berkata berikutan daripada insiden tersebut, beliau mengalami kecederaan yang tidak membolehkan beliau bekerja sebagai ejen hartanah, serta mengalami beberapa kecederaan lain.
"Saya cukup trauma. Kini saya menetap di Thailand sejak 2011 selepas ditinggalkan isteri yang membawa anak saya lari ke Sarawak.
"Apa yang mereka buat tidak ikut undang-undang. Mereka tidak boleh pukul dan tahan di lokap selama 48 jam.
"Sudah lebih enam tahun kes ini berlaku. Saya terpaksa membuat beberapa rawatan di HKL dan PPUM," katanya. - 6 Mac, 2014.
TMI
No comments:
Post a Comment