Showing posts with label KENYATAAN. Show all posts
Showing posts with label KENYATAAN. Show all posts

Sunday 12 October 2014

Kenyataan Majlis Syura Ulamak

Kenyataan Majlis Syura Ulamak

1. Majlis Syura Ulamak memantau dengan penuh prihatin beberapa tindak tanduk mutakhir ini yang dilihat boleh memecah belah ahli-ahli PAS seperti yang dilakukan oleh sebuah NGO yang dinamakan PASMA.

2. Selaras dengan peringatan Presiden PAS dalam penggulungan Muktamar PAS 2014 yang lalu supaya tidak berlaku adanya jamaah dalam jamaah, parti dalam parti, maka Majlis Syura Ulamak memberi nasihat kepada ahli-ahli PAS supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti PASMA.

3. Kawasan-kawasan dan Badan Perhubungan Negeri juga dinasihatkan membuat laporan bertulis kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak sekiranya tindak-tanduk seumpama itu juga berlaku di peringkat masing-masing untuk diambil tindakan lanjut.

4. Majlis Syura Ulamak juga memperingatkan ahli-ahli PAS tentang kewujudan perancangan antarabangsa yang bergerak aktif menerusi pelbagai medium untuk melemahkan gerakan Islam, membuang label politik Islam daripada parti-parti Islam, menjadikan parti Islam hanya memperjuangkan politik tanpa dakwah dan mengenepikan perjuangan menegakkan Syariat Islam yang luas merangkumi ekonomi, sosial, kebajikan dan undang-undang jenayah dengan dikecilkan kepada kebajikan yang sempit.

Dato' Haji Nik Muhammad Zawawi Saleh,
Setiausaha Majlis Syura Ulamak
17 Zulhijjah 1435 / 12 Oktober 2014

Monday 6 October 2014

KERAJAAN TERIMA DENGAN TERBUKA TEGURAN TUN M




KERAJAAN TERIMA DENGAN TERBUKA TEGURAN TUN M

Oct 7th, 2014 @ 08:21 am › Che Det

1. Saya gembira kerana Kerajaan terima dengan terbuka teguran saya.

2. Saya teringat akan perjanjian Raja-Raja Melayu dengan British. Disebut dalam perjanjian itu British akan menugas seorang pegawai mereka sebagai Penasihat (Adviser) dalam bahasa mereka, kepada Kerajaan negeri.

3. Tetapi dalam perjanjian itu disebut juga bahawa apabila Penasihat British memberi nasihat, Raja dan Kerajaan mesti terima. Penerimaan ini mengikut fahaman British bermakna mengikuti dan melaksana nasihat yang diberi.

4. Apabila nasihat mesti diterima dan dilaksana, ia bukan lagi nasihat. Ia sudah menjadi arahan atau “command” dalam bahasa Mat Salleh.


5. Demikian apabila British Resident (nama lain bagi adviser yang bermakna “penduduk”) mendapati seorang Raja Muda tidak sesuai untuk naik takhta apabila Raja mangkat, nasihat diberi supaya dianya tidak diberi hak untuk mengganti Raja. Dan Raja pun terpaksa terima kerana nasihat Resident mesti diterima dan dikuatkuasakan.

6. Raja-Raja Melayu biasanya mempunyai Majlis Penasihat. Tetapi Raja tidak perlu menerima nasihat mereka, jauh sekali daripada melaksana nasihat yang diberi.


7. Teguran saya bukanlah nasihat. Nak terima atau tidak adalah hak orang yang ditegur. Nak laksana atau tidak juga hak pihak yang ditegur.

8. Mungkin teguran tidak berasas. Tetapi berasas atau tidak boleh diketahui apabila diuji.

9. Dalam negara demokrasi ujian yang terbaik ialah apabila pilihanraya diadakan. Jikalau teguran tidak berasas, dan dasar serta pendekatan yang ditegur diteruskan juga, maka sudah tentu kemenangan yang besar akan diperolehi.

10. Sebaliknya jika prestasi dalam pilihanraya menjadi lebih buruk maka besar kemungkinan teguran yang dibuat berasas.

11. Perdana Menteri Kelima setelah menang besar dalam PRU 2004, kehilangan lima buah negeri, satu wilayah dan kemerosotan yang besar di Dewan Rakyat dalam PRU 12, 2008.

12. Sepatutnya pengganti memperoleh kemenangan yang lebih baik. Tetapi tidak. Pencapaian Perdana Menteri Ke-6 lebih buruk lagi dalam PRU13 setelah memberi wang Kerajaan kepada berjuta rakyat, membelakangkan Dasar Ekonomi Baru, melayan orang yang tidak hargai layanan, meningkatkan hutang Kerajaan, mendengar nasihat konsultan luar dan lain-lain lagi.

13. Dengan pencapaian yang buruk ini sepatutnya dikaji semula dasar dan amalan yang jelas tidak baik. Tetapi tidak. Pendekatan diteruskan. Teguran diterima tetapi tidak menukar apa-apa.

14. Penegur tidak ingin menjadi Penasihat British. Teguran bukan arahan. Tetapi mereka yang tidak mengambil iktibar dari pengalaman dahulu yang meneruskan juga pendekatan lama akan didera dengan pencapaian yang sama atau lebih buruk dimasa hadapan.

Friday 3 October 2014

Mari baca ayat menteri nak kelentong rakyat

Kenapa harga bahan api naik lepas p'raya kecil?
7:00PM Oct 3, 2014
Berikut adalah beberapa penerangan dan pencerahan oleh pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
mengenai persoalan yang timbul mengenai perlaksanaan rasionalisasi subsidi.

1. Kerajaan ni tak sebut naikkan harga minyak tapi harga dekat pam naik? Apa sebenarnya ni?

Kerajaan sebenarnya melaksanakan apa yang disebut sebagai rasionalisasi subsidi yang mana kerajaan mengurangkan hasil pemberian subsidi yang dibayar kepada syarikat minyak untuk memastikan harga bahan bakar di pam tetap pada harga tertentu. Apabila sebahagian subsidi ini ditarik balik hasilnya harga minyak di pam meningkat, sebab itu kita sebut kerajaan mengurangkan subsidi sebanyak 20 sen seliter maka impak dari keputusan ni ialah harga di pam meningkat kepada RM 2.30 untuk RON95 dan RM2.20 seliter untuk Diesel.

2. Kenapa rasionalisasi ini dilaksanakan?

Ini sebahagian dari langkah kerajaan untuk menangani defisit belanjawan negara serta menstabilkan kewangan negara dalam jangka masa panjang. Defisit bermaksud perbelanjaan kita melebihi dari pendapatan, sebelum ini kerajaan berbelanja lebih bertujuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara. Perbelanjaan disalurkan kepada projek pembangunan seperti pembinaan infrastuktur dan kepada beberapa pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi kita kekal teguh sewaktu pasaran dunia dilanda krisis. Sebab itu sewaktu krisis pinjaman perumahan di Amerika Syarikat yang berlaku beberapa tahun lepas Malaysia tidaklah menerima kesan yang begitu teruk. Kini apabila ekonomi kita stabil dan pasaran dunia juga tidak bergitu bergolak kerajaan mengambil keputusan untuk memperbetulkan kembali perbelanjaan negara.

Salah satu tempat yang paling banyak perbelanjaan dikeluarkan ialah dengan pemberian subsidi bahan bakar yang diberi secara pukal dan tidak bersasar, sebagai contoh kenderaan mewah akan lebih mendapat manfaat subsidi berbanding kenderaan ekonomi (motorsikal dan kereta kecil) yang biasanya digunakan oleh warga berpendapatan rendah. Kerajaan melihat perbelanjaan ini tidaklah begitu efisyen maka sebab itulah rasionalisasi dilakukan terhadap pemberian subsidi di sektor ini.

3. Kenapa rasionalisasi subsidi buat terhadap minyak je? Subsidi lain macam mana?

Di sini kerajaan mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada subsidi bahan bakar kerana dilihat pemberian subsidi ini yang dilakukan secara pukal dan tidak bersasar mempunyai banyak pembaziran dari segi penyeludupan dan ketirisan. Untuk pengetahuan, antara penerima subsidi besar yang lain adalah seperti perbelanjaan kesihatan, persekolahan, subsidi yuran pengajian tinggi dan sebagainya. Pemberian subsidi ini juga (kesihatan, sekolah dll) juga meningkat dari tahun ke tahun akibat dari pertumbuhan penduduk sama seperti perbelanjaan subsidi bahan bakar. Namun kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan bakar (Petrol dan Diesel) supaya kita tidak perlu menyentuh mahupun mengurangkan pemberian subsidi sektor ini yang kita kira jauh lebih penting untuk masa hadapan.

4. Harga minyak dunia turun? Kenapa harga kita naik? Ada berita negara lain siap turunkan harga minyak lagi baru-baru ni, apa cerita?

Berbeza dengan kebanyakan negara lain kita tidak mengapungkan harga bahan bakar akan tetapi kita tetapkan pada harga tertentu. Kebanyakan negara lain sama ada mengikut harga pasaran secara terus ataupun melaksanakan sistem subsidi terapung. Contohnya untuk setiap liter disubsidi sebanyak 30 sen maka kalau harga minyak dunia naik, naiklah harga di pam, kalau turun maka turunlah harga di pam. Sebab itu harga mereka turun apabila harga minyak dunia baru-baru ini turun. Apa yang sedang kita laksanakan ialah rasionalisasi subsidi, bermaksud kita mengurangkan perbelanjaan terhadap subsidi minyak dan kesan apabila melakukan rasionalisasi sewaktu harga minyak dunia rendah ialah penjimatan terhadap kewangan negara lebih berkesan berbanding sewaktu harga dunia tinggi.

5. Raya Haji dah nak dekat ni, harga minyak naik, kos pun akan beri kesan, macam mana?

Pertamanya kementerian sedar dan tahu ianya akan memberi kesan kepada rakyat, kami memberi komitmen bahawa kementerian akan berusaha untuk sekurang-kurangnya memastikan harga barangan asas terutama bahan makanan adalah dalam keadaan terkawal untuk musim perayaan ini. YB Menteri telah mengarahkan penguatkuasa untuk memastikan para peniaga untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Kami telah meningkatkan jumlah pemeriksaan dan operasi di kesemua pasar-pasar utama dan premis perniagaan. YB Menteri juga telah mengarahkan kementerian untuk berjumpa dengan para pembekal untuk memastikan tiada kekurangan dari segi bekalan.

Untuk makluman walaupun harga barangan tertakluk kepada hukum pasaran, KPDNKK masih mempunyai kuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Sekiranya terdapat aduan dan penguatkuasa kita mendapati ada kenaikan harga barangan yang melampau maka kita boleh mengarahkan peniaga memberi penjelasan sekiranya gagal kita boleh ambil tindakan.

6. Kenapa tak buat lepas raya haji?

Rasionalisasi Subsidi adalah satu tindakan yang tidak popular, ianya perlu dilakukan tetapi sangat tidak popular, jadi walau apa masa sekalipun yang dipilih kesannya tetap dirasai. Sebagai contoh kalau dilakukan selepas Hari Raya haji ada yang akan bertanya mengapa dibuat sebelum Deepavali pula, kalau selepas Deepavalli mungkin akan memberi kesan untuk perayaan Hari Natal. Apa pun kementerian faham bahawa rakyat akan menerima sedikit beban atas rasionalisasi subsidi ini dan seperti yang telah diterangkan sebelum ini kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan barangan asas seperti makanan terkawal harganya dan bekalan mencukupi untuk musim perayaan.

7. Bagaimana dari segi kos pengangkutan?

Penetapan harga tambang, kos pengangkutan adalah di luar bidang kuasa KPDNKK namun boleh dirujuk pada Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD). Akan tetapi sekiranya pengguna merasakan mereka ditipu atau diambil kesempatan oleh pengusaha yang tidak bertanggungjawab, bolehlah membuat laporan dan aduan kepada kami melalui hotline 1800 886 800.

8. Kesan terhadap harga barangan?

Kementerian akan memantau dari semasa ke semasa khususnya dari segi kesan 'cost past through' yakni kesan kenaikan harga minyak ini terhadap barangan. Kementerian akan mengawasi harga barangan asas dari semasa ke semasa dan kami akan memastikan kesan minima terhadap barangan asas seperti bahan makanan.

9. Kenapa buat lepas PRK Pengkalan Kubor? Nak menang pilihan raya ke?

Pelan rasionalisasi subsidi ini telah lama dirancang tanpa menjangkakan mana-mana pilihanraya kecil diadakan terlebih dahulu, sesungguhnya rasionalisasi subsidi ini kalau dibuat pada masa apa sekalipun ianya tetap tidak popular.

10. Mengapa tidak fokus kepada membasmi penyeludupan dan ketirisan berbanding mengurangkan subsidi?

Kita telah pun fokus kepada membasmi ketirisan melalui Ops Titik yang telah menunjukkan kejayaan dalam mengurangkan penyelewengan diesel bersubsidi. Namun untuk penyelesaian jangka masa panjang harga di pam tidak boleh terlalu ketara perbezaanya dengan harga pasaran. Lagipun fokus utama rasionalisasi subsidi ialah sebagai salah satu strategi untuk mengawal defisit belanjawan negara.

Tuesday 30 September 2014

Sidang Media Mazlan Aliman

Sidang Media isu penamatan Sdr Iszurie Ibrahim, Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pulai Pinang dari Jawatankuasa Tetap dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang di Dewan JKKK Batu Uban petang ini.

Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Halehwal Orang Asal PAS Pusat menggesa Ketua Menteri PP, YAB Lima Guan Eng campur tangan bagi menarik balik pemecatan tersebut.

Gesaan juga dibuat agar isu2 yang menyangkut kepentingan rakyat termasuk orang melayu jangan di salah anggap oleh Kerajaan Negeri. Isu ini rentetan dari zaman BN lagi. Di senaraikan di bawah ini antara kampung2 rakyat khususnya melayu yang telah lenyap angkara dasar kapitalis pro pemaju:-

1. Kg Permatang Tok Subuh
2. Kg Buah Pala
3. Kg Pokok Assam, Jelutong
4. Kg Dodol
5. Kg Binjal
6. Kg Batu Uban
7. Kg Tanjung Tokong
8. Kg Bagan Dalam
9. Kg Permatang Tepi Laut
10.Batu Maung
11.Kg Pulau Jelutong
12.Kg Lima Kongsi, Sungai Bakap
13. Kg Teluk Kumbar
14.Kg Dalca
15.Kg Sungai Nibong Kechil
16.Kg Tengah Jelutong
17.Kg Terang Balik Pulau
18.Kg Genting,Balik Pulau
19.Kg Pondok Upeh, Balik Pulau
20.Kg Padang Benggali, Permatang Pauh
21.Teluk Air Tawar
22.Kg Gagah, Bagan
23.Kg Nelayan, Teluk Kumbar
24.Kg Selut Sg Pinang
25.Kg Siam, Pulau Tikus.

Sidang Meja Bulat Isu Melayu Pulau Pinang akan diadakan pada 2 Nov ini untuk mengumpul lebih banyak input dari Ngo, Ahli Akademik, pengamal Undang2 dll mengenai polisi tanah yang lebih adil untuk seluruh rakyat. Resolusi dari Sidang Meja Bulat akan diserah kepada Ketua Menteri.

Ahli Parlimen PAS pula akan mengemukakan Usul di Parlimen Oktober ini untuk penambahbaikan mengenai Tanah Rezab Melayu dan pemuliharaan Kg Tradisi di bandar termasuk polisi Setinggan/Peneroka Bandar.

Majlis PR Pulau Pinang di saran mengadakan Konvensyen segera bagi menggarap isu tanah dan perumahan agar sebarang pembangunan mengambil kira kepentingan rakyat. Persaingan terbuka yang menyebabkan perkampungan tradisi di musnahkan oleh pemaju kapitalis atas nama pembangunan mesti di semak semula. Perkampungan melayu yang paling teruk menerima kesannya.

Akhirnya, orang melayu merempat di atas tanahair sendiri.

Friday 26 September 2014

DEWAN PEMUDA PAS PULAU PINANG KECAM TINDAKAN GANTUNG TUGAS AHLI MAJLIS PAS DALAM MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG (MPPP).

DEWAN PEMUDA PAS PULAU PINANG KECAM TINDAKAN GANTUNG TUGAS AHLI MAJLIS PAS DALAM MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG (MPPP).

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mengecam tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang difahamkan telah membuat keputusan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 25 September 2014 untuk mengeluarkan Sdr Iszuree Ibrahim (Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang - PAS) dari semua Jawatankuasa Tetap MPPP serta membekukan semua peruntukan beliau, meskipun beliau mempunyai 'track record' cemerlang sebagai Ahli Majlis.

Tindakan ini dipercayai susulan dari ucapan bernada teguran membina & memberi pandangan untuk menambah baik polisi pembangunan rakyat Pulau Pinang oleh Sdr Iszuree Ibrahim yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri (BPPN) P.Pinang sebagai pembahas yang dilantik mewakili PAS P.Pinang dalam Muktamar PAS yang berlangsung di Johor tempoh hari.

Hukuman 'gantung tugas' yang dikenakan terhadap beliau dengan berdasarkan laporan media yang disalah petik tanpa perbincangan secara bersemuka disifatkan sebagai keputusan yang tidak mencerminkan sikap demokratik, berat sebelah & tergesa-gesa.

Perlu diingatkan, perlantikan jawatan beliau bukanlah atas kapasiti individu, sebaliknya ia adalah atas kapasiti parti politik mewakili PAS. Maka sewajarnya pihak MMK turut mengambil kira pandangan & keputusan dari PAS P.Pinang sebelum membuat apa-apa keputusan, jika benar semangat kerjasama Pakatan Rakyat itu dihormati. Tindakan yang diambil ini dilihat seumpama merobek kembali luka yang baru hendak sembuh.

Bagi terus memelihara hubungan kerjasama Pakatan Rakyat, DPPN P.Pinang menggesa agar tindakan ini ditarik semula seberapa segera, sebelum timbul persepsi awam bahawa pemerintahan Kerajaan PR P.Pinang dilihat sama dengan Barisan Nasional dari sudut kebebasan bersuara.

Sidang mesyuarat Pakatan Rakyat yang tertangguh sejak selesai PRU13 perlu segera diadakan. PAS Pulau Pinang bersama Sdr Iszuree perlu diberi hak untuk memberi penjelasan penuh. Keputusan perlu diputuskan secara kolektif & bersama, andai PAS masih dianggap rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sepertimana kami boleh bersabar dengan perbezaan pandangan & terbuka menerima kritikan, kecaman, cemuhan, sehingga dituduh "pengkhianat di Selangor" dari rakan kami, maka kami juga meminta supaya rakan kami juga dapat berjiwa besar berbuat begitu.

Selaras dengan tema "Memperkukuh Muafakat" yang diketengahkan Ketua Pemuda PAS Malaysia & penegasan Presiden PAS supaya "Terus Beristiqamah" dalam muktamar kami yang lalu, kami desak supaya isu ini diselesaikan segera sebagai rakan, bukan sebagai lawan!


MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang
27 September 2014

Teks penuh titah ucapan Sultan Selangor

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana  dengan  limpah  dan  kurnianya pada hari ini,  Beta  dapat  mengadakan Pelantikan  Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) pada petang ini.  

Seperti yang kita sedia maklum pelantikan Exco yang baru ini adalah disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) tiada mempunyai keyakinan kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang menyandang Menteri Besar Selangor, yang dilantik selepas Pilihanraya Umum ke 13. Oleh itu seorang Menteri Besar yang baru dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan Negeri Selangor ini.

Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini bermula daripada Pakatan Rakyat membuat “Kajang Move”-Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk memburukkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Perkara  hasut  menghasut  dan  melempar tohmahan-tohmahan  terhadap  Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadhan, dimana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk membersihkan dosa dan maksiat. Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat Melayu beragama Islam di Negeri Selangor ini supaya di bulan Ramadhan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah.

Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan agenda mereka  walaupun  dalam  bulan  suci  Ramadhan dengan terus  menghina  dan  mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Di sini Beta  ingin  mengucapkan  terima  kasih kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang telah menjalankan tugas beliau dengan jaya dan sempurna sebagai Menteri Besar, yang mana hubungan Istana dengan beliau telah berjalan dengan baik dan lancar.

Krisis yang berlaku berkenaan dengan Menteri Besar Selangor ini telah membuka mata dan hati serta pandangan Beta terhadap politik di Negeri Selangor ini. Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada pilihanraya yang akan datang. Tetapi kedudukan Beta sebagai Sultan yang memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta.

Sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas Beta amatlah berat untuk memastikan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan Negeri yang sempurna. Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh Menteri Besar. Beta hanya menasihatkan Menteri Besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.

Beta ingin mengingatkan bahawa Sultan itu bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa Sultan adalah untuk melihat negeri dan rakyat Negeri Selangor ini hidup dalam keamanan dan maju jaya.

Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar Sultan, rakyat beranggapan Institusi Raja itu adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai  apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.

Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan Beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah di meterikan pada tahun 1959.

Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini aman dan makmur, bebas mengamalkan  agama masing-masing serta dapat hidup dalam tenteram dan harmoni.

Seterusnya Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang menyokong Beta dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di Negeri Selangor ini dan mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini. Beta sentiasa memikirkan ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini.

Tidak lupa juga Beta  mengucapkan terima kasih kepada pihak media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak Istana dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari Istana.

Disamping itu Beta mahukan orang Melayu Islam janganlah berpecah belah dan tidak extremis atau mengelirukan rakyat hingga mengikut ajaran agama sesat.

Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci antara sesama sendiri, hingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang mana Beta kuatiri suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan menuju kehancuran.

Kemanakah hala tuju, dan kemanakah perginya orang Melayu nanti. Beta sentiasa berdoa agar Allah Subhanahu Wata’ala membuka hati mereka supaya dapat melihat kebenaran dan seterusnya bersatu padu didalam memelihara dan mempertahankan tanah air kita yang dikasihi ini. Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai demi untuk kepentingan sendiri.

Kepada Ahli-Ahli Exco yang baru, Beta menyeru supaya memberi sokongan yang padu kepada Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru. Lupakan segala sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai wakil rakyat mereka. Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan kesengsaraan.

Beta berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga dengan pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini, parti-parti yang telah diberi mandat untuk memerintah Negeri Selangor  akan dapat berkerjasama untuk mentadbir Kerajaan Negeri dengan penuh jujur dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri Selangor. Rakyat  menaruh harapan supaya mereka dapat tinggal di Negeri Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran yang ada di dalamnya.

Beta sentiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Amin.

Sekian.

Tuesday 23 September 2014

Antara PRK Pengkalan Kubor dan PRK DUN Tenang: Dua dunia berbeza .

Kenyataan media:

Antara PRK Pengkalan Kubor dan PRK DUN Tenang: Dua dunia berbeza .

Kementerian Pendidikan Malaysia didesak agar menyiasat laporan bahawa isteri calon BN, Cikgu Khairos Bt.Husin yang didakwa berkempen membantu suami dalam PRK Pengkalan Kubor. Aktivitinya dipaparkan di media bercetak dan media elektronik secara terang-terangan malahan laporan media akhbar menyatakan selepas cuti sekolah seminggu , beliau akan menyambung cuti bagi membantu suaminya berkempen bagi memenangkan calon PRK UMNO Barisan Nasional,Mat Razi Mat Ali (mantan Penolong Pengarah PPD Tumpat bahagian Pengurusan Sekolah).Pn.Khairos Husin adalah guru di Sekolah Kebangsaan Simpangan Tumpat.

NGO Pendidik menerima banyak aduan terhadap kes ini kerana ternyata jika ianya benar, maka berlaku 'Double Standard' dalam melayan warga pendidik yang seharusnya mematuhi etika perkhidmatan profesionalisme perguruan dalam Buku Perintah Am.

Ketika PRK DUN Tenang, suami calon , Cikgu Maarof Abd.Mutalib yang menerima tekanan UMNO Barisan Nasional sehingga ditukarkan ke sekolah 500km pergi balik hanya kerana dakwaan yang belum terbukti bersalah dan hanya spekulasi media , blogger dan pimpinan UMNO Barisan Nasional.Bukan setakat itu sahaja beliau telah didakwa menipu cuti sakit sedangkan cuti diberikan oleh doktor bertauliah kerajaaan akibat simptom 'Stress Disorder' kerana menerima tekanan dan asakan hebat dari UMNO yang mencampur adukkan politik kepartian dengan pendidikan anak bangsa..Surat cuti yang merupakan dokumen sulit penjawat awam didedahkan oleh blogger upahan di dada akhbar, menerima tekanan psikologi surat tunjuk sebab 'Buang Kerja atau Turun Pangkat', Bonus tahun semasa. 2011 telah dinafikan dan menghadapi 2 pertukaran yang bukan atas 'redeployment' atau atas keperluan perkhidmatan dalam tempoh 6 bulan.

Bukan setakat itu sahaja, Pengarah Pendidikan Johor tahun 2011 , Tn.Hj.Markom Bin Giran turun berkempen pada hari ke 2 persekolahan sesi 2011 secara terang -terangan di SMK Tenang Stesen, tempat suami Calon PRK Tenang berkhidmat dan menyerahkan surat pertukaran suami kepada pihak sekolah secara 'by hand' dengan dakwaan laporan yang mengatakan kepada pengetua sekolah," saya tukarkan Cikgu Maarof bukan sebab prestasi dia tidak baik , tetapi sebab tak boleh kawal isteri terlalu aktif berpolitik". Sedangkan pada ketika itu Cikgu Mala telah pun meletakkan jawatan berkuatkuasa 28 Disember 2010 sedangkan tarikh pengistiharan calon ialah pada 16 Januari 2011.Hampir 80 orang guru dan staff sekolah begitu terkejut bagaimana seorang guru yang pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang dan banyak mengharumkan nama sekolah dalam bidang Hoki hingga ke peringkat negeri , tiba-tiba ditukarkan 24 jam tanpa sebab setelah berkhidmat hampir 13 tahun di SMK Tenang Stesen.

Arahan dipindahkan tanpa sebab dari SMK Tenang Stesen Segamat ke SMK Taman Daya , Johor Bahru, sejauh 150 km di hari ke 2 persekolahan sesi 2011 adalah tidak logik dan tidak masuk akal .Akhirnya surat perpindahan ditarik balik dalam tempoh 24 jam, setelah bantahan dibuat dan setelah pihak JPN Johor menerima berita suatu kenyataan laporan SPRM akan dibuat jika arahan itu diteruskan.UMNO telah memperalatkan pihak sekolah untuk mengikut telunjuk mereka , tetapi tidak berjaya .

Namun , kesan emosi yang mendalam akibat peristiwa itu telah menyebabkan suami calon PRK Tenang demam berpanjangan dan akhirnya setelah diagnosis dibuat oleh doktor akhirnya mendapati beliau mengalami 'Stress Disorder' yang menyebabkan doktor memberi cuti 14 hari dan diberi ubat anti kemurungan dan anti stress dengan nasihat jangan berada dalam keadaan kemurungan dan bersendirian sepanjang bercuti.Terapi yang paling baik , mengikut nasihat doktor ialah berada dalam keadaan di tengah khalayak ramai agar melupakan tekanan yang berlaku dan melakukan aktiviti yang menggembirakan . Itulah rupanya peluang UMNO Barisan Nasional dan pihak blogger upahan membuat spekulasi dan menfitnah yang akhirnya beliau menerima sekali lagi pertukaran di SMK Tanjung Pengelih, Pengerang yang mana surat diterima 2 hari sebelum Pengarah Pendidikan Johor , Markom Bin Giran bersara. Kezaliman dan dendam politik UMNO terserlah tanpa belas sedangkan merekalah yang melaungkan retorik politik semata-mata.

Ketika perletakan jawatan dibuat oleh Cikgu Mala pada tahun 2010, beliau sendiri pun tidak tahu siapa calon PRK DUN Tenang yang dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi parti dan Majlis Syura Ulama pada 16 Januari 2011, tetapi serangan psikologi yang telah dibuat kepada suami calon ternyata amat rapi sekali. Juga maruah guru yang dijaja dan difitnah di dada akhbar, media elektronik dan media bercetak tanpa belas kasihan dengan harapan agar dapat mengurangkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Inilah realiti salahguna kuasa yang berlaku, penggunaan premis pendidikan sekolah sebagai tempat berkempen, menggunakan warga pendidik dengan 'kalimat mandatori saya yang menurut perintah' dan memaksa guru hadir ke program Umno semakin berleluasa..Di Kelantan, telah ramai guru dipindahkan , ditukar dan ditendang seperti bola ke sana sini hanya kerana dianggap cenderung menyokong Pakatan Rakyat.Walaupun lebih 23 tahun menjadi kerajaan negeri, namun martabat guru yang dicengkam oleh kerajaan pusat dipimpin oleh UMNO Barisan Nasional tidak dibela oleh KPM.

Antara PRK DUN Tenang dan PRK Pengkalan Kubor..Pasangan warga pendidik dilayan secara tidak adil dan 'Double Standard'. Calon PRK tidak lagi berkhidmat dalam dunia pendidikan , tetapi pasangan mereka dilayan seperti antara 'dua dunia berbeza ' sedangkan masing -masing masih berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan Malaysia yang sama . Situasi mengiringi dan menemani adalah berbeza dengan berkempen secara terang -terangan membantu suami.

Justeru, NGO Pendidik mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) Kelantan , dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mengambil membuat siasatan dan tindakan sewajarnya atas apa yang berlaku. Jangan mengambil sikap berpilih dalam membuat tindakan. Adil dan jangan menzalimi warga pendidik. Inilah penegasan kami.

Salam hormat:

Pn.Normala Sudirman
Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan.
24 September 2014.

KENYATAAN MEDIA KENYATAAN SETIAUSAHA AGUNG DAP DIKESALI

KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN SETIAUSAHA AGUNG DAP DIKESALI

Saya merujuk kepada kenyataan media Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guan Eng bertarikh 22 September 2014. Bagi pihak PAS, saya ingin merakamkan rasa kesal di atas sikap Setiausaha Agung DAP yang menuduh 4 orang Exco Kerajaan Selangor dari PAS sebagai melakukan pengkhianatan terhadap prinsip solidariti dan setiakawan bersama dengan 6 lagi bekas Exco dari DAP dan PKR apabila 4 Exco tersebut mematuhi arahan PAS Pusat untuk tidak meletakkan jawatan sebagai Exco selepas Exco-Exco lain dipecat oleh Menteri Besar Selangor pada 12 Ogos 2014 yang lalu. Kepimpinan PAS sebelum ini telah beberapa kali memberikan penjelasan di atas tindakan tersebut yang dibuat, namun kelihatan Setiausaha Agung DAP memilih untuk terus menyerang PAS di khalayak ramai.

Setiausaha Agung DAP harus memahami bahawa tindakan PAS mengarahkan keempat anggota Exco tersebut supaya tidak meletakkan jawatan adalah dibuat di atas pertimbangan strategi untuk menyelamatkan Dewan Undangan Negeri Selangor daripada menghadapi risiko dibubarkan akibat ketiadaan sebuah majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk menjalankan fungsi eksekutif pemerintahan di negeri Selangor.

Saya percaya Setiausaha Agung DAP menyedari wujudnya peruntukan di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang mensyaratkan hendaklah terdapat minimum empat orang Exco bagi memastikan Kerajaan Negeri Selangor terus dapat berfungsi seperti biasa. Menuduh Exco PAS sebagai pengkhianat dalam keadaan mereka berusaha untuk menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor adalah suatu tindakan yang amat tidak wajar.

Dengan pelantikan YAB Azmin Ali sebagai Dato Menteri Besar Selangor yang turut disokong sepenuhnya oleh kesemua parti komponen Pakatan Rakyat, maka Kerajaan Negeri Selangor dan seluruh jentera Pakatan Rakyat wajib untuk bergerak kehadapan bagi memastikan agenda pembelaan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Hentikan segala serangan sesama sendiri yang tidak membawa faedah kepada sesiapa. Muafakat Pakatan Rakyat harus diperkukuh dan sebarang perbezaan dan persengketaan yang wujud terutama yang diakibatkan oleh kemelut politik Selangor mestilah diselesaikan menurut kaedah yang harmoni agar keyakinan rakyat tidak terus tergugat.

Yang benar,

YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS
23 September 2014

TAHNIAH YB AZMIN, TERIMA KASIH TAN SRI KHALID, SYUKUR PAKATAN RAKYAT MASIH MENTADBIR SELANGOR.

Kami mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kemelut politik yang melanda Negeri Selangor telah berakhir.

Kami juga mengucapkan tahniah kepada YAB Tuan Mohd Azmin Ali yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Mesyuarat PAS Pusat pada 17 Ogos lepas telah bersetuju untuk mencalonkan YAB Tuan Azmin sebagai salah seorang calon Menteri Besar Selangor.

Oleh yang demikian, PAS Selangor yakin kami akan dapat sama-sama bekerja dengan beliau demi kebaikan dan kemajuan rakyat negeri Selangor.

Kami berharap di bawah pentadbiran beliau, prestasi cemerlang yang dicapai di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim akan dapat diteruskan.

Semoga Allah SWT akan menganugerahkan beliau kekuatan dan petunjuk untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berat ini.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Khalid yang telah sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di tempat yang paling atas dan telah membawa banyak pembaharuan ke negeri ini.

Semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal kepada beliau.

Kami juga mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana Pakatan Rakyat masih mentadbir negeri Selangor.

Terdapat saat dan ketika sepanjang satu setengah bulan yang lepas di mana kerajaan negeri hampir tumbang.

Tetapi 4 orang Exco PAS di atas arahan PAS Pusat telah terus bersama di dalam kerajaan dan sekaligus telah berjaya menyelamatkan kerajaan negeri.

Pada hakikatnya 4 orang Exco ini telah menghalang dari berlakunya satu pilihan raya negeri.

Walaupun kesemua 4 Exco ini dari PAS tetapi mereka telah membawa semangat dan prinsip Pakatan Rakyat ke dalam kerajaan sepanjang tempoh tersebut.

Mereka juga telah mempertahankan kepentingan-kepentingan Pakatan Rakyat di dalam kerajaan.

Contohnya mereka telah memastikan perkhidmatan Ahli-Ahli Majlis PKR dan DAP diteruskan dan semua program-program yang dirancang oleh Exco yang diberhentikan perkhidmatan dapat berjalan dengan lancar.

4 orang Exco ini juga dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan UMNO apabila menyatakan akan meletakkan jawatan jika UMNO dibawa masuk ke dalam kerajaan.

Walau bagaimanapun sekarang bukanlah masanya untuk memandang ke belakang tetapi untuk melangkah ke hadapan dan berusaha untuk mengembalikan keyakinan penuh rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Masanya untuk kembali meletakkan perjuangan memartabatkan rakyat di pentas utama.

Bagi pihak 4 orang Exco yang menurut amalan perlu meletakkan jawatan bersama-sama Tan Sri Khalid, PAS Selangor mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dorongan yang telah diberikan oleh semua pihak.

Iskandar A Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
23 September 2014

Monday 22 September 2014

Kenyataan Media Presiden PKR

KENYATAAN MEDIA
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam reformasi

Saya menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor yang memperkenankan YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri Selangor dari KEADILAN, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal sebagai kerajaan di Selangor. Saya menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan Negeri Selangor ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.

Atas semangat itu, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor. Saya telah mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar YB Tuan Mohamed Azmin Ali, Ahli Dewan Negeri Kawasan Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.

Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya yakin bahawa KEADILAN telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja berpelembagaan. Walaupun proses perlantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.

Oleh itu, saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

22 September 2014