Tuesday, 23 September 2014

KENYATAAN MEDIA KENYATAAN SETIAUSAHA AGUNG DAP DIKESALI

KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN SETIAUSAHA AGUNG DAP DIKESALI

Saya merujuk kepada kenyataan media Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guan Eng bertarikh 22 September 2014. Bagi pihak PAS, saya ingin merakamkan rasa kesal di atas sikap Setiausaha Agung DAP yang menuduh 4 orang Exco Kerajaan Selangor dari PAS sebagai melakukan pengkhianatan terhadap prinsip solidariti dan setiakawan bersama dengan 6 lagi bekas Exco dari DAP dan PKR apabila 4 Exco tersebut mematuhi arahan PAS Pusat untuk tidak meletakkan jawatan sebagai Exco selepas Exco-Exco lain dipecat oleh Menteri Besar Selangor pada 12 Ogos 2014 yang lalu. Kepimpinan PAS sebelum ini telah beberapa kali memberikan penjelasan di atas tindakan tersebut yang dibuat, namun kelihatan Setiausaha Agung DAP memilih untuk terus menyerang PAS di khalayak ramai.

Setiausaha Agung DAP harus memahami bahawa tindakan PAS mengarahkan keempat anggota Exco tersebut supaya tidak meletakkan jawatan adalah dibuat di atas pertimbangan strategi untuk menyelamatkan Dewan Undangan Negeri Selangor daripada menghadapi risiko dibubarkan akibat ketiadaan sebuah majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk menjalankan fungsi eksekutif pemerintahan di negeri Selangor.

Saya percaya Setiausaha Agung DAP menyedari wujudnya peruntukan di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang mensyaratkan hendaklah terdapat minimum empat orang Exco bagi memastikan Kerajaan Negeri Selangor terus dapat berfungsi seperti biasa. Menuduh Exco PAS sebagai pengkhianat dalam keadaan mereka berusaha untuk menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor adalah suatu tindakan yang amat tidak wajar.

Dengan pelantikan YAB Azmin Ali sebagai Dato Menteri Besar Selangor yang turut disokong sepenuhnya oleh kesemua parti komponen Pakatan Rakyat, maka Kerajaan Negeri Selangor dan seluruh jentera Pakatan Rakyat wajib untuk bergerak kehadapan bagi memastikan agenda pembelaan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Hentikan segala serangan sesama sendiri yang tidak membawa faedah kepada sesiapa. Muafakat Pakatan Rakyat harus diperkukuh dan sebarang perbezaan dan persengketaan yang wujud terutama yang diakibatkan oleh kemelut politik Selangor mestilah diselesaikan menurut kaedah yang harmoni agar keyakinan rakyat tidak terus tergugat.

Yang benar,

YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS
23 September 2014

No comments:

Post a Comment