Showing posts with label Penang. Show all posts
Showing posts with label Penang. Show all posts

Friday 9 January 2009

RM1 JUTA UNTUK BAIKI 4 TANDAS DI LTAB BAYAN LEPAS

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membelanjakan RM1 juta untuk membaiki dan mengubah suai empat tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Bayan Lepas di Pulau Pinang.

Ini bermakna RM250,000 dibelanjakan untuk memperbaiki dan mengubah suai sebuah tandas.

Wah! sebuah tandas di LTAB Bayan Lepas sama harganya dengan sebuah rumah banglo di pinggir hampir semua bandar di Malaysia. Hebat sekali!

Bayangkan berapa ramai insan miskin yang boleh dibantu dengan wang sebanyak itu termasuk untuk membeli makanan, pakaian dan meringankan perbelanjaan persekolahan anak mereka.

Sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena dan pihak berkuasa mesi menyiasat terutama sekali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Terima kasih YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang kerana mendedahkan perkara berkenaan.

Monday 29 December 2008

Rumah keluarga Eddy Choong kini pejabat PERKESO



Rumah agam yang merupakan kediaman keluarga jaguh badminton dunia era 1950-an, Datuk Eddy Choong, kini berubah wajah apabila dijadikan pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang.


Rumah agam yang terletak di Jalan Burma (dekat Pulau Tikus) itu dikekalkan dalam bentuk senibina asalnya kerana ia merupakan bangunan yang diikiraf sebagai satu warisan (senibina).


PERKESO mendirikan sebuah bangunan menara bersebelahan rumah agam itu di tapak yang dahulunya menempatkan rumah kediaman pemandu, tukang kebun, tukang masak dan pembantu rumah keluarga Choong.


Eddy Choong menjuarai acara perseorangan badminton All England, iaitu kejuaraan tidak rasmi dunia, sebanyak empat kali antara tahun 1953 dan 1957. Dia juga menjuarai bahagian bergu berpasangan dengan abangnya, David Choong sebanyak tiga kali pada tahun 1951, 52 dan 53.

Eddy Choong juga terpilih dalam senarai Badminton Hall of Fame pada 1997. Pemain badminton negara yang turut tersenarai adalah David Choong, Ng Boon Bee, Ong Poh Lim dan Tan Yee Khan, semuanya pada tahun 1998.

Eddy Choong adalah antara pemain yang mewakili negara mempertahankan Piala Thomas pada tahun 1955.

Baru-baru ini saya menemui salah seorang anak pemandu keluarga itu yang berketurunan Jawa bernama Marzuki, iaitu kawan sepermainan semasa kanak-kanak, di Lorong Kulit. Marzuki adalah antara berpuluh peniaga kecil yang menjual barangan terpakai dan antik di padang letak kereta bersebelahan Stadium Bandar Raya di Lorong Kulit. Penjualan barangan lusuh dan antik itu diadakan pada setiap hujung minggu di situ dan orang Pulau Pinang merujuk tempat itu sebagai "Rope Walk", iaitu tempat asal yang menawarkan penjualan barangan lusuh dan antik. Rope Walk asal atau Jalan Pintal Tali terletak antara Lebuh Chulia dan Jalan Prangin.

Sunday 28 December 2008

Pulau Tikus dan Pulau Tikus


Di Negeri Pulau Pinang terdapat dua tempat berasingan yang mempunyai nama yang sama. Di daratan Pulau Pinang, sebuah pekan yang kini membentuk sebuah kawasan Dewan Undngan Negeri bernama Pulau Tikus. Ia sebenarnya bukan sebuah pulau kerana berada atas darat.

Kira-kira dua kilometer dari pantai Tanjung Bunga, terdapat sebuah pulau batuan yang juga diberi nama Pulau Tikus. Di pulau yang lebih kurang sama besarnya dengan Batu Putih di selatan pantai Johor, terdapat sebuah rumah api dan makam seorang yang dikatakan keramat (Wali). Pulau Tikus tidak berpenghuni.

Pasar Pulau Tikus yang terletak di daratan Pulau Pinang.
Pekan Pulau Tikus di persimpngan Jalan Burma dan Jalan Cantonment

Pulau Tikus yang sebenar terletak kira-kira dua kilometer dari pantai Tanjung Bunga. Pulau ini pada hakikatnya terbentuk daripada batuan sama seperti Batu Putih di luar pantai selatan Johor yang kini menjadi milik Singapura.


Thursday 25 December 2008

Gendang Raya




Sebut saja gendang raya, ramai remaja dan anak muda tidak tahu mengenainya. Penggunaan gendang raya atau beduk kini boleh dikatakan pupus di telan zaman termasuk di kampung mahupun pinggir kota.

Gendang raya begitu sinonim dengan masjid atau surau di semua negeri dalam persekutuan Malaysia.

Di Pulau Pinang, gendang raya bukan sahaja digunakan sebagai alat pengumuman masuk waktu solat tetapi sebagai salah satu alat perhubungan atau pemakluman awam. Pukulan gendang raya mengikut berapa kali dipalu membawa pengertian atau makluman tertentu.

Sayang sekali, peranan gendang raya tidak lagi dihargai setelah masjid dilengkapi alat pembesar suara untuk melaungkan azan. Jika dahulu gendang raya akan dipalu sebelum azan dilaungkan (tanpa pembesar suara), kini azan dilaungkan menerusi pembesar suara tanpa paluan gendang raya.


Apabila berlaku kematian, umpamanya, gendang raya akan dipalu sebagai satu cara memaklumkan kepada orang ramai bahawa ada kematian di qariah itu. Di tempat asal saya, gendang raya akan dipalu mengikut kiraan genap sekiranya si mati adalah seorang lelaki dan paluan bilangan ganjil untuk wanita.


Pada bulan Ramadhan, gendang raya menjadi alat penting untuk mengumumkan telah masuk waktu berbuka puasa. Paluan gendang raya amat dinanti-nantikan terutama oleh kanak-kanak untuk berbuka puasa. Selepas solat maghrib, anak muda akan ke masjid untuk memalu gendang raya sementara menunggu waktu untuk solat isya' dan taraweh. Gendang raya akan dipalu kira-kira pukul 3 pagi untuk mengejutkan umat Islam daripada tidur dan bersahur.


Sebelum penggunaan alat pembesar suara secara meluas, gendang raya berperanan penting dalam kehidupan seharian umat Islam Malaysia. Sayangnya, zaman telah berubah dan amalan juga turut berubah.


Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Baru-baru ini, kenangan saya dikembalikan ke tahun-tahun lewat 50-an dan 60-an apabila ke Masjid Tuan Guru di Jalan Tanjong Tokong Lama, Pulau Pinang. Saya terpegun melihat sebuah gendang raya tergantung megah di dalam masjid itu. Mungkin gendang raya itu tidak dipalu untuk menandakan masuknya waktu solat, tetapi ia sekurang-kurangnya mengingatkan atau memaklumkan kepada generasi yang ada di sekitar perkampungan Melayu itu tentang peranan dan kegunaan gendang raya.



Gendang raya adalah warisan bangsa dan ia seharusnya dipelihara dan dihargai walaupun kita kini berada dalam era kesejagatan dan dunia siber tanpa sempadan. Malangnya, kebanyakan masjid yang baru dibina atau yang menggantikan masjid lama, telah tidak mengekalkan atau menyimpan gendang raya seperti yang dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Qariah Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong.




Gambar gendang raya yang masih dihargai dan dikenangi akan kegunaannya yang menjadi kebanggaan semua anak qariah Tanjong Tokong (Jalan Tanjong Tokong Lama)