Tuesday, 14 April 2009

Nasihat kepada Wanita UMNO - jangan peralat Al Quran


Pada era Pergerakan Wanita UMNO dipimpin oleh Tan Sri Rafidah Aziz, kita dapat lihat kitab suci Al Qur'an diletak atas rehal di hadapan TS Rafidah. Tak tau pula saya apa tujuan dan faedahnya. Hanya TS Rafidah yang mampu menjawabnya.

Pada saya, perbuatan itu tidak kurang daripada memperalatkan Al Qur'an. Saya katakan demikian kerana Allah turunkan Al Qur'an kepada umat manusia bukan untuk dijadikan perhiasan atas meja, disimpan dalam almari atau diletak atas rak buku.

Penghulu para nabi dan rasul, Muhammad s.a.w. telah bersabda yang maksunya: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al Qur'an dan yang mengajarkannya".



Al Qur'an mengandungi ilmu yang tidak terkira banyaknya untuk dipelajari, dihayati dan diamalkan. Tida guna kita meletak Al Qur'an atas meja mahupun dalam almari atau kabinet tetapi kita tidak membacanya. Itu bukan tujuan kitab suci itu diturunkan kepada kita umat manusia.

Jika dilihat foto TS Rafidah dan penolong setiausaha Wanita UMNO Datuk Faridah Abu Hassan yang duduk berdepan senaskhah Al Qur'an di atas meja, kita juga tertanya-tanya sama ada adab yang sepatutnya diikuti. Kaum wanita terutamanya perlu benar-benar suci dari segi hukum sebelum boleh memegang Al Qur'an, mereka juga perlu menutup aurat termasuk bertudung dengan sempurna mengikut hukum. Daripada foto di atas, saya khuatir ia dipatuhi.

Kepada ketua Wanita UMNO yang baru dipilih, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, saya dengan penuh insaf dan rendah diri ingin menasihatnya agar tidak meletakkan Al Qur'an seperti yang dilakukan oleh TS Rafidah.

Al Qur'an tidak boleh dijadikan alat atau diperalatkan untuk tujuan-tujuan tertentu.

Al Qur'an adalah "Kalam Allah s.w.t. yang merupakan mu'jizat yang diwahyukan (diturunkan) kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan yang ditulis di musyaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah".

Oleh itu, adalah disarankan agar Wanita UMNO pimpinan DS Shahrizat tidak akan melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya dilakukan. Jangan jadikan Al Qur'an sebagai "perhiasan meja" semasa mesyuarat kerana itu bukan tujuannya. Alangkah baiknya jika Wanita UMNO mengadakan majlis tadarus sekurang-kurangnya sekali seminggu daripada hanya meletakkan Al Qur'an di atas meja tetapi tidak membacanya.

HANYA ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI.


Monday, 13 April 2009

Shahidan Oh Shahidan

Agak melucukan apabila membaca kenyataan mantan MB Perlis Shahidan Kassim yang kecewa kerana tiada wakil dari negeri yang mempunyai tiga kawasan undi Parlimen itu dilantik menganggotai Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahidan melahirkan rasa kecewanya kerana, menurut beliau, Perlis menang besar pada pilihan raya umum lepas tetapi kemenangan itu tidak dihargai termasuk melantik salah seorang Ahli Dewan Rakyat dari Perlis sebagai timbalan menteri, sekurang-kurangnya.

Dalam Kabinet Tun Mahathir, Perlis mendapat penghormatan besar kerana dua daripaa tiga ahli Dewan Rakyatnya dilantik menteri penuh, iaitu Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad.

Azmi dan Radzi masih mewakili kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan Padang Besar dan Kangar manakala Arau mempunyai wakil rakyat baru.

Siapakah wakil rakyat (MP) Arau? Tidak lain adik Shahidan sendiri, Ismail Kassim.

Kita boleh membaca kekesalan Shahidan kerana adiknya tidak dilantik sekurang-kurangnya sebagai timbalan menteri kerana tidak masuk akal sekiranya Azmi atau Radzi dilantik kerana mereka pernah menjadi menteri penuh. Saya kata demikian kerana Shahidan sendiri berkata sekurang-kurang seorang wakil Perlis dilantik sebagai timbalan menteri, tentulah Ismail Kassim, masakan Azmi atau Radzi yang pernah jadi menteri nak turun pangkat sebagai timbalan menteri.

Apabila kenyataan Shahidan diulas oleh TPM Muhyiddin Yassin bahawa pelantikan Jemaah Menteri mahupun timbalan menteri bukan berdasarkan negeri, maka Shahidan mempunyai jawapan. Dia mahu Muhyiddin menjadi pengerusi UMNO Perlis.

Shahidan tidak setuju dengan saranan KM Melaka Ali Rustam bahawa MB atau KM seharusnya menjadi pengerusi UMNO Negeri. Di Perlis, MB Isa Sabu bukan pengerusi tetapi Shahidan. Oleh itu, Shahidan termakan cili padi kerana suka atau tidak, kenyataan Ali yang disokong pula oleh Isa Sabu, merujuk kepada keududukannya.

Shahidan memberi alasan bahawa jika Muhyiddin mengetuai UMNO Perlis, maka segala masalah (termasuk perebutan jawatan) dalam UMNO di negeri paling kecil di Malaysia itu akan selesai.

Rakyat perlis, terutama ahli UMNO, cukup matang dengan permainan politik Shahidan. Begitu juga dengan Azmi, Radzi dan YM Syed Radzlan ibni Syed Putra Jamalullail, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan mantan MP Arau.