Ahli Parlimen, terutama dari Majlis Dewan Rakyat, iaitu mereka yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya, tidak boleh menganggap ahli Jemaah Menteri atau Kabinet yang dilantik mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan sebagai "melalui pintu belakang".
Semua Ahli Dewan Rakyat seharus dan semestinya memahami akan cara dan kaedah seseorang Menteri itu dilantik sebelum membuka mulut dan menuduh Menteri yang dilantik daripada kalangan ahli Majlis Dewan Negara itu sebagai "melalui pintu belakang".
Kesilapan inilah yang dilakukan oleh Ahli Dewan Rakyat (MP) dari Sri Gading, Johor Datuk Muhammad Aziz. Tuduhan atau cemuhan MP yang juga orang kuat Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) di Dewan Rakyat itu telah ditempelak oleh Perdana Menteri Datuk Sri Mohamad Najib Tun Abdul Razak.
Antara lain, Najib menegaskan bahawa perlantikan Jemaah Menteri adalah hak beliau dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak termasuk mereka dari BNBBC. Ia adalah satu tamparan hebat terhadap MP dari Sri Gading itu dan memang patut kerana dia tidak memahami isi kandungan Perlembagaan berkaitan Jemaah Menteri.
Untuk pengetahuan terutama mereka yang bergelar MP, Perlembagaan dengan jelas dan dalam bahasa yang mudah difahami menyebut bahawa hanya Perdana Menteri seorang sahaja yang mesti dipilih dari kalangan ahli Dewan Rakyat.
Perdana Menteri kemudian boleh memilih sesiapa sahaja sama ada dari kalangan ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara untuk menganggotai Jemaah Menteri yang diketuainya. Ini bermakna ianya tidak semestinya dari kalangan ahli Dewan Rakyat dan Jemaah Menteri boleh berperanan jika semua anggotanya terdiri daripada ahli Dewan Negara atau Senator.
Datuk Muhammad Aziz dan rakan-rakannya diminta membaca Perkara 43 dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu:
43 (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatkannya dalam hal menjalankan tugas-tugasnya.
(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut, iaitu-
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dari antara ahli-ahli mana-mana Majlis Parlimen;
Nota: Majlis Parlimen terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Perkara 43 (2) (b) dengan jelas menyebut bahawa Menteri boleh dipilih untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada sama ada ahli Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara (Senator) dan ini menunjukkan bahawa perlantikan seorang Senator bukan melalui "pintu belakang" seperti yang didakwa oleh Datuk Muhammad Aziz.
Ahli Majlis Dewan Rakyat mempunyai tugas dan tanggungjawab, begitu juga ahli Majlis Dewan Negara. Kedua-dua ahli Dewan boleh dilantik menganggotai Jemaah Menteri dan ia tidak ekslusif untuk ahli Dewan Rakyat.
Di sesetengah negara, para menteri dilantik bukan dari kalangan orang politik tetapi golongan profesional yang difikirkan dapat membantu dalam urusan pentadbiran negara. Oleh itu, orang politik tidak berebut-rebut untuk menjadi menteri tetapi menjalankan tugas sebagai penggubal undang-undang dan mengawasi pentadbiran agar berjalan dengan betul dan demi keentingan negara.
Di Malaysia, perlantikan golongan profesional sebagai anggota Kabinet jarang dilakukan dan antara mereka yang dilantik termasuk mantan Menteri Pelajaran Tan Sri Musa Muhammad (mantan Naib Canselor USM), mantan Menteri Undang-undang Tan Sri Kadir Yusof, mantan Menteri di JPM Tan Sri Amirsham Abdul Aziz (tokoh perbankan) dan mantan Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamad Yakcop (sekarang dah jadi ahli politik, MP dan Menteri di JPM) dan mantan Pengarah Kor Agama ATM Brig-Jen (B) Jamil Khir Baharom.
Perlantikan golongan profesional membolehkan Perdana Menteri mencungkil bakat dan tenaga fikir yang sesuai untuk membantu dalam pentadbiran negara dan ianya diperaku oleh Perlembagaan melalui Majlis Dewan Negara.
Oleh itu, ahli Dewan Rakyat tidak seharusnya mengungkit-ungkit perlantikan ahli Dewan Negara sebagai anggota Kabinet atau Jemaah Menteri. Jika mereka layak, sudah tentu PM melantik mereka.