Saturday, 14 November 2009

BERNAMA - Satu Kumpulan Tawar Ambil Alih Bernama TV - Rais

Nampaknya isu Bernama TV masih belum selesai. Walau apapun, kepentingan dan keutamaan Bernama selaku sebuah agensi berita kebangsaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mesti dipertahankan.

Untung nasib para petugas Bernama TV mesti diberi perhatian agar tiada sesiapa yang teraniaya.

Yang penting, mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan Bernama TV berada dalam keadaan sekarang mesti diambil tindakan undang-undang mahupun tatatertib di bawah Perintah-Perintah Am atupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dengar khabar pihak yang berminat nak ambil-alih Bernama TV adalah yang sama yang mengambil-alih The Malay Mail.

(sila klik untuk membaca kenyataan Dr Rais Yatim)
BERNAMA - Satu Kumpulan Tawar Ambil Alih Bernama TV - Rais

Thursday, 12 November 2009

Jika "potong" dikatakan lucah....

Apalah nak jadi dengan segelintir Ahli Dewan Rakyat atau MP kita. Sebegitu banyak masalah dan isu penting yang perlu dibangkitkan di Dewan Rakyat, isu iklan sebuah syarikat pengendali komunikasi jalur lebar tanpa wayar dijadikan topik.

Penggunaan perkataan "potong" yang digunakan dalam iklan tersebut dikatakan "lucah". Jika perkataan itu sudah dikatakan "lucah" bagaimana pula dengan perkataan-perkataan lain yang juga dikaitkan dengan alat kelamin ataupun badan manusia? Tak perlulah diulangi apakah perkataan-perkataan itu walaupun ia ada kaitan dengan makanan, haiwan dan cara mengupas kelapa.

Jika dilihat dari sudut mana sekalipun, perkataan potong tidak sama sekali membawa pengertian lucah atau kurang sopan. Mungkin pemikiran MP berkenaan yang sedemikian rupa.

Kerat, penggal, hiris adalah antara maksud perkataan potong selain ia merujuk kepada kain baju selaku penjodoh bilangan manakala 'tukang potong' ditakrifkan dalam Kamus Dewan sebagai orang yang memotong (menyembelih) ; tukang gunting rambut; dan tukang sunat atau mudin.

Di mana letaknya "kelucahan" dalam perkataan potong? Adakah bersunat, berkhatan atau seperti yang disebut orang sebelah utara Semenanjung 'masuk jawi' itu lucah?

Kepada saya, apa yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Rakyat berkenaan hanya menonjolkan kejanggalan pemikiran yang melihat sesuatu itu dalam pentafsiran sempit.

Apakah tidak boleh dikenakan hukuman 'potong gaji' sekiranya dia terus membangkitkan perkara remeh-temeh dan yang tidak masuk akal.

"Potong, potong, potong sajalah".