Monday, 21 December 2009

Kecurian enjin jet pejuang cukup mengaibkan

Bukan satu tapi dua buah enjin jet pejuang F5E-Tiger lesap daripada kawalan keselamatan dan diseludup ke luar negara.

Apa nak jadi dengan sistem keselamatan negara dan selepas ini apa pula yang akan lesap... jet pejuang Sukhoi atau kapal selam Scorpene...????

Kehilangan enjin jet pejuang berlaku semasa Kementerian Pertahanan dibawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Pertahanan, iaitu pada tahun 2007 dan hanya disedari hampir setahun kemudian.

Sebuah enjin yang hilang itu bernilai RM50 juta dan ini bermakna jumlah kerugian sebanyak RM100 juta.

Wang ringgit boleh dicari tetapi soal keselamatan negara tiada nilainya dan tidak boleh sama sekali ditolak ansur. Inilah yang membimbangkan kita kerana kecurian itu berlaku dalam kawasan yang tidak sepatutnya berlaku, iaitu di sebuah pangkalan udara yang sudah tentu dikawal ketat.

Dalam laporan yang didedahkan oleh akhbar The New Straits Times, enjin pertama yang hilang dibawa keluar dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth, Pulau Pinang ke Pangkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2007.

Pada 1 November 2007, enjin kedua dibawa keluar dari TUDM Butterworth ke TUDM Sungai Besi untuk kerja-kerja baik pulih dan selenggaraan.

Kehilangan kedua-dua enjin jet pejuang itu disedari pada bulan Mei 2008, iaitu hampir setahun kemudian dan pada 4 Ogos pihak TUDM membuat laporan polis; pada 13 Mei 2009 polis menyerahkan kertas siasatan pertama kepada Jabatan Peguam Negara.

Kehilangan dua buah enjin jet pejuang bukan perkara kecil tetapi ia amat mengaibkan dari segi kawalan keselamatan dan soal keselamatan negara pada keseluruhannya. Jika enjin jet yang bukan satu benda yang kecil dan yang tidak boleh didapati di mana-mana sahaja boleh hilang daripada sebuah tempat yang dikawal ketat, bagaimana pula dengan aspek kawalan keselamatan amnya di semua tempat strategik seperti loji penjanaan tenaga, loji penapisan minyak, prasarana perhubungan dan penyiaran dan sistem pengangkutan termasuk di lapangan-lapangan terbang?

Kehilangan dua buah enjin jet pejuang juga memperlihatkan kelemahan yang amat sangat dari sudut kawalan keselamatan. Sebelum ini negara dikejutkan dengan kehilangan cip mikro bernilai berpuluh juta ringgit yang dibawa dengan lori kontena dari sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang mengakibatkan pemilik kilang dari Amerika Syarikat hilang kepercayaan akan aspek keselamatan di negara ini.

Kita juga sering membaca mengenai kecurian kayu balak yang dikeluarkan dari hutan-hutan simpan oleh berpuluh lori balak dan kecurian pasir yang diseludup ke negara jiran.

Benda yang dicuri bukan benda kecil seperti mancis tetapi kayu balak, cip mikro yang dibawa lari bukan dengan basikal tetapi lori kontena dan pasir yang diseludup bukan dengan perahu kayak tetapi tongkang besar.

Macam mana pihak berkuasa boleh tak nampak dan tidak sedar akan kelilangan dan kecurian tersebut sedangkan benda yang dicuri bukan benda kecil atau kenderaan/pengangkutan yang diguna untuk mencuri atau menyeludup juga bukan kecil.

Kehilangan/kecurian/penyeludupan kayu balak, cip mikro dan pasir adalah serius tetapi apabila dua buah enjin jet pejuang pun boleh hilang dan diseludup ke luar negara.... ia bukan lagi bertahap serius tetapi amat genting dan berbahaya kerana ia melibatkan ancaman kepada keselamatan negara.

Tindakan tegas mesti diambil dan kenyataan Panglima Ankatan Tentera, Jen. Tan Sri Azizan Ariffin supaya mereka yang terlibat yang disifatkannya sebagai pengkhianat itu didakwa sewajarnya selaku pengkhianat negara.