Showing posts with label Sosial. Show all posts
Showing posts with label Sosial. Show all posts

Saturday, 26 January 2013

Gelandangan terus menagih simpati

Kebelakangan ini banyak berita dan cerita yang tersebar sama ada melalui media rasmi, separuh rasmi mahupun media alternatif atas dan dalam talian mengenai nasib yang menimpa masyarakat gelandangan atau yang tiada tempat tinggal (rumah). Banyak pihak  tampil memberi bantuan, khususnya makanan, dan ada yang cuba dapatkan pekerjaan kepada mereka yang kurang bernasib baik itu.

Gelandangan yang menjadi sebahagian kecil warga kota raya atau bandar raya Kuala Lumpur adalah berbilang bangsa dan anutan agama. Pihak yang mengagih bungkusan atau kotak makananpun terdiri daripada berbilang bangsa dan agama. 

Bantuan yang diberikan itu amat dihargai tetapi ia adalah bersikap jangka pendek. Pepatah lama Cina mengingatkan kita bahawa adalah lebih baik mengajar memancing ikan daripada memberi ikan.

Kita tahu bukan semua yang bergelar gelandangan itu benar-benar 'gelandangan' kerana ada yang ambil kesempatan atas keprihatinan masyarakat. Ada yang kaki botol dan 'tahi ganja' atau 'kaki dadah'.

Mereka tidak mahu berusaha atau malas untuk berdikari seperti seorang tua di bawah ini yang berusaha menggali sehingga ke paras pinggang  mencari cacing untuk dijual sebagai umpan kepada pemancing. Orang tua ini ada maruah dan harga diri dan tidak mahu menadah tangan menagih simpati masyarakat untuk sesuap nasi. (Foto dirakam di pantai Persiaran Gurney, Pulau Pinang).


Di Kuala Lumpur, kerajaan menyediakan "Anjung Singgah" sebagai tempat berteduh buat sementara kepada golongan yang tiada tempat tinggal. Selain tempat tidur mereka juga diberi makanan. Tetapi ia bukan satu penyelesaian namun begitu kita hargai usaha dan tindakan kerajaan yang prihatin akan masalah berkaitan kemiskinan dalam bandar.

Bercakap mengenai isu gelandangan, kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda dan anak gadisnya yang merempat selama dua minggu kerana tiada tempat untuk berteduh. Ibu tunggal bernama Rokiah Husin, 32 tahun, dan anak gadisnya Nur Asyikin, 13 tahun, hidup di jalanan sehinggalah sebuah persatuan kemasyarakatan Cina menawar buat sementara tempat yang selamat untuk mereka tinggal. (Lihat laporan akhbar Sunday STAR ms 5  - 27 Januari)

Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada persatuan Cina itu yang membenarkan Rokiah dan Nur Asyikin tumpang berlindung di sebuah stor bangunan persatuan itu. Sesungguhnya sikap dan keprihatinan persatuan Cina itu membuka mata dan hati kita sedangkan agensi dan jabatan kerajaan yang diwujudkan untuk membantu tidak pula berbuat demikian.

Rokiah masih menaruh harapan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantunya mendapatkan rumah pangsa kos rendah. 

Kita berdoa agar JKM dapat membantu kerana kita bimbang akan keselamatan Rokiah, yang masih muda, dan anak gadisnya itu sekiranya mereka terpaksa menjadi penghuni jalanan atau gelandangan. Setiap hari ada saja jenayah berat sama ada yang dilapor atau tidak di kota-kota besar seperti rogol, bunuh dan culik.

Kita juga ingin tahu di mana Lembaga Zakat dan pihak Baitul-mal yang seharusnya membantu insan yang kurang bernasib baik seperti Rokiah.  Kita dimaklumkan bahawa Lembaga Zakat mengutip beratus juta ringgit daripada umat Islam yang membayar sama ada zakat harta, zakat perniagaan atau  zakat fitrah. Apa dah jadi dengan wang yang sebegitu banyak sedangkan kita masih lihat kekafiran dan kemiskinan tegar di kalangan umat Islam.  Kita kagum melihat kehebatan pejabat Lembaga Zakat dan Baitul-mal dan berharap kehebatan itu diterjemahkan dalam tugas yang diamanahkan. 

Kita tidak ingin melihat umat Islam terpaksa menagih simpati daripada pihak lain sedangkan ada pihak yang diamanahkan untuk membantu. 




Tuesday, 22 November 2011

Tiada penganugerahan darjah kebesaran oleh Sultan Johor

Saya menjunjung kasih atas kebijaksanaan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Negeri Johor Darul Ta'zim kerana tidak mengurniakan sebarang darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 26 Zulhijjah 1432 Hijrah bersamaan 22 November 2011.

Inilah kali kedua baginda berbuat demikian dan rakyat Johor khasnya dan warga Malaysia amnya, sudah tentu gembira dan menyambut baik keputusan baginda itu.

Mungkin orang politik, ahli-ahli perniagaan dan pegawai perkhidmatan awam yang ternanti-nantikan gelaran 'datuk' dan sebagainya,   kecewa kerana tidak berpeluang mengumpul gelaran dan anugerah. Saya kata mengumpul kerana itulah yang berlaku walaupun bukan di kalangan majoriti tetapi memang berlaku.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang menganugerah terlalu banyak gelaran dan pingat serta bintang kebesaran di dunia. Manakan tidak, setiap negeri berbuat demikian selain Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan. Macam-macam gelaran diwujudkan sehingga ada yang melucukan.

Tindakan Sultan Ibrahim untuk tidak menganugerahi darjah dan bintang kebesaran serta pingat mengingatkan saya kepada tindakan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Iskandar semasa menjadi SPB Agong ke-8.

Menurut pegawai yang pernah bekhidmat di Istana Negara ketika itu, setiap kali senarai pencalonan dikemukakan untuk pertimbangan atau perkenan baginda, Almarhum Sultan Iskandar  akan bertanya dua perkara - berapa umur calon dan telah berapa lama berkhidmat (sekiranya calon tersebut pegawai kerajaan).

Baginda hanya akan perkenan penganugerahan kepada pegawai berumur 45 tahun ke atas kerana, menurut baginda, jika seseorang itu telah berumur 45 tahun pastinya beliau telah berkhidmat selama 20 tahun atau lebih.

Almarhum Sultan Iskandar cukup teliti dengan soal penganugerahan darjah atau bintang kebesaran semata-mata untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan. Ya, mereka yang benar-benar layak.  

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk begitu ramai. Sesetengahnya dua atau tiga kali menerima, cuma grednya berbeza. Ada yang dapat  dua  darjah kebesaran  dalam satu tahun, dari dua  negeri berlainan.

Selain itu, tidak kurang juga yang berumur bawah 40 tahun dan ada yang tidak sampai 30 tahun menerima anugerah tersebut sedangkan khidmat bakti mereka terlalu kecil malahan tiada sama sekali kepada negeri mahupun negara. Yang mereka miliki kekayaan dan wang ringgit. Ada juga yang mendapat atau diberi anugerah  kerana sering bermain badminton dengan anak 'orang besar'  dan ada pula yang menerimanya kerana tidak lokek mengeluar perbelanjaan untuk keluarga pihak berkenaan.

Ada negeri yang setiap  tahun  memberi anugerah yang membawa gelaran datuk kepada mereka yang tidak berjasa kepada negeri berkenaan tetapi atas pertimbangan dan kepentingan politik atau kepentingan media (nak dapat publisiti).

 Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad pernah berkata bahawa penganugerahan pingat dan darjah kebesaran perlu dibuat dengan lebih teliti dan itulah yang diputuskan oleh Kabinet pada mesyuarat mingguannya November 2003. Kabinet meminta PM menyampaikan kepada Majlis Raja-Raja butiran, maklumat, pandangan atau panduan supaya penganugerahan darjah kebesaran lebih tersusun, profesional dan lebih dihormati.

Nampaknya saranan Kabinet pada November 2003 itu tidak lagi dihormati oleh pihak negeri jika dilihat dari sudut bilangan orang yang diberi anugerah yang membawa gelaran datuk. Bak kata orang tua-tua, apa yang diberlaku pada tahun 2003 tidak ubah seperti hangat-hangat tahi ayam.

Oleh itu, apa yang diputuskan oleh Sultan Ibrahim, Sultan Johor,  adalah sesuatu yang bijak dan seharusnya disanjung tinggi oleh rakyat yang semakin muak dengan sikap dan tindakan negeri-negeri yang seolah-olah berlumba-lumba memberi anugerah datuk.

Adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila rakyat sering berjenaka mengenai gelaran datuk, iaitu mengenai balingan sebutir batu yang pasti  menimpa kepala seorang datuk,  dan ada pua kumpulan rock yang mengarang lagu mengenainya.....ala, ala, latuk, ala, ala latuk, tuk, tuk, tuk.



  
  

Thursday, 11 August 2011

Rusuhan di Britain tak boleh disamakan dengan demonstrasi jalanan

Rusuhan yang tercetus di England tidak boleh disamakan dengan tunjuk perasaan atau demonstrasi jalanan di mana-mana termasuk di Malaysia. Ia adalah dua perkara yang berlainan.

Walaupun demonstrasi boleh mencetus rusuhan, tetapi ia jarang berlaku. Lihat saja demonstrasi yang kerap diadakan di beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat apabila rakyat menyuarakan sama ada bantahan atau penentangan terhadap sesuatu isu, ia tidak pula mencetus rusuhan.

Adalah sesuatu yang tidak tepat apabila ada pihak, termasuk pegawai atasan polis di Malaysia, yang mengaitkan demonstrasi Bersih 2.0 dengan apa yang berlaku di England. Demonstrasi Bersih 2.0 dihebohkan jauh lebih awal daripada tarikhnya manakala rusuhan di bumi Inggeris dilakukan secara mendadak selepas berlaku insiden seorang remaja kulit hitam ditembak mati oleh polis, yang besar kemungkinan berkulit putih.

Pihak polis di Malaysia sudah lebih awal bersiap siaga untuk menangani demonstrasi jalanan itu manakala di England, mereka dikejutkan dengan rusuhan yang tiba-tiba berlaku dan tidak bersedia untuk menghadapinya.

Apa yang boleh dipelajari daripada rusuhan yang berlaku di England ialah penghijrahan bangsa-bangsa yang miskin ke negara yang kaya atau maju boleh mencetus masalah perkauman yang serius. 

Malaysia kini dibanjiri oleh kaum pendatang bukan sahaja dari rantau Asia Tenggara tetapi Asia Selatan dan Afrika. Keberadaan  mereka di Malaysia sudahpun memberi sumbangan kepada peningkatan perangkaan  jenayah termasuk pembunuhan ngeri.

Masalah atau kemungkinan ini telahpun diketengahkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  10 tahun lalu semasa berucap merasmikan Diskusi 'Toleransi - Model Malaysia' di IKIM, Kuala Lumpur.

Tun berkata masalah perkauman di Eropah akan bertambah di masa-masa akan datang kerana mobiliti atau pergerakan masyarakat begitu tinggi. Sempadan tidak boleh dikawal seperti lazimnya dan penyeludupan manusia akan meningkat. 

 Apa yang disuarkan oleh Tun Mahathir 10 tahun lalu kini menjadi kenyataan. Rusuhan yang berlku di England tidak boleh dinafikan sebagai sesuatu yang membabitkan kaum pendatang yang turut dipanaskan oleh samseng-samseng kulit puteh yang ambil kesemptan untuk mengganas.

Dengan bertambahnya bilangan kaum pendatang, ancaman terhadap kaum asli atau rakyat asal akan meningkat ke tahap yang tidak dapat diterima, walaupun ada penduduk tempatan yang akan bersikap liberal dan kerajaan secara rasmi bersikap toleran atau bertolak ansur, kata Tun Mahathir.

Tetapi, tambahnya, golongan bawahan di kalangan penduduk tempatan yang menjadi majoriti akan menyoal hak kaum pendatang dan tidak dapat bersikap toleran terhadap mereka. Sekali sekala rusuhan kaum akan berlaku dan pada masa lain perhubungan antara kaum tetap tegang. Toleransi hanya akan ada di mulut sahaja. 

Bahayanya, semakin ramai kaum pendatang semakin buruk hubungan antara kaum dan semakin sukar bagi masing-masing terutama penduduk asal untuk bersikap toleran.

Oleh itu, apa yang berlaku di England harus dijadikan teladan terutama oleh orang Melayu kerana sejarah bangsa menunjukkan betapa Melayu lebih mengutamakan keselesaan hidup daripada soal-soal keselamatan dan kemajuan bangsa. 




Tuesday, 1 February 2011

HAPPY CHINESE NEW YEAR

H A P P Y   C H I N E S E  N E W  Y E A R
To my Chinese friends - may the year of the rabbit brings peace and prosperity to one and all.

Saturday, 15 January 2011

'Jual beli' anugerah 'datuk' amat mengaibkan

Pengakuan seorang perajurit bersara yang mengetaui sebuah persatuan yang tidak berdaftar bahawa dia membayar RM250 ribu untuk mendapat anugerah gelaran 'datuk' dari sebuah negeri di utara Semenanjung, bukan sahaja mengaibkan tetapi memperlihatkan kegelojohan manusia untuk mendapat gelaran dan anugerah.

Ia bukan perkara baru bahkan dikatakan berlaku sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan beberapa buah negeri.

Isu 'pembelian' gelaran datuk hangat diperkatakan pada tahun 2003 semasa saya bertugas di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Pada waktu itu, hampir semua pentadbiran negeri menafikannya walaupun ianya berlaku. Pengakuan perajurit bersara itu membuktikan kebenaran dakwaan tersebut.

Saya masih ingat betapa pihak kami, iaitu Pejabat Menteri, menerima banyak maklumat dan maklum balas dari seluruh negara berkaitan isu 'jual beli' anugerah datuk yang dibangkitkan dalam akhbar. Hasil daripada maklumat dan maklum balas itulah yang mendedahkan sekurang-kurangnya 10 negeri terlibat.

Jumlah wang yang 'agak besar' dibayar kepada 'kaki' atau ejen untuk mendapatkan gelaran tersebut.

Keghairahan pihak-pihak tertentu, terutama orang politik dan ahli perniagaan,  untuk mendapat gelaran 'datuk' kononnya kerana menerusi gelaran tersebut, mereka berupaya membuka peluang perniagaan yang lebih besar selain daripada membolehkan mereka berada dalam 'kelas tertentu' di kalangan masyarakat 'terhormat'.

Majalah MASSA keluaran 27 Sept-3 Okt 2003 menyiarkan tulisan Ku Seman Ku Hussain mengenai isu penganugerahan gelaran datuk yang banyak. 

Ku Seman membuka tulisannya dengan kata-kata berikut; ''Secara yang sangat sinikal ada orang berkata, di negara ini kalau dilambungkan sebiji batu, batu itu pasti jatuh di atas seorang yang paling kurang bergelar datuk. Ini sebenarnya jenaka  kedai kopi. Walau pun ia bertaraf jenaka kedai kopi mengenai sekian banyak yang mendapat datuk, tetapi memang ada kebenarannya. ''

Mingguan Malaysia bertarikh 9 Nov 2003 pula memuatkan ulasan Awang Selamat yang antara lain menulis ''Menganugerahkan bintang kebesaran serta pingat kepada rakyat jelata yang telah berkhidmat dengan cemerlang kepada bangsa dan negara serta memberi sumbangan terpuji memang baik dan tidak boleh dipertikaikan. Yang dipersoalkan hanyalah tentang betapa mudahnya ia dianugerahkan dan betapa kadangkala ia tidak setimpal dengan sumbangan yang diberikan.''

Tokoh bahasa Dr Awang Sariyan pula dipetik oleh majalah MASSA sebagai berkata; ''Bayangkan apabila beratus ribu rakyat kita mudah mendapat gelaran Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri secara bebas. Ini merupakan
satu perkara yang juga boleh dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records.''

Saya masih ingat akan satu kes di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada tahun 2004 di mana seorang pengarah eksekutif memberitahu mahkamah bahawa dia membayar sejumlah RM150 ribu untuk mendapatkan gelaran 'datuk' bagi ibunya. 

Beliau berkata pembayaran tersebut yang dibuat secara berperingkat kepada seorang pegawai salah seorang pembesar Istana di Perak, adalah untuk gelaran Dato' Paduka Mahkota Perak.

Pengakuan bekas perajurit dan kes mahkamah di Teluk Intan jelas membuktikan wujudnya 'jual beli' gelaran dan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran. Kenyataan itu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri seperti yang dibuat pada tahun 2003.

Dalam hubungan ini, saya menyanjung tinggi pendirian Almarhum Sultan Iskandar, Johor semasa menduduki takhta Kerajaan Malaysia selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  ke-8, yang berpegang kepada dua perkara asas sebelum memperkenankan penganugerahan darjah kebesaran.

Baginda akan bertanya berapa umur calon dan telah berapa lama berkhidmat, sekiranya calon tersebut pegawai kerajaan. Baginda hanya akan memperkenankan mereka yang berumur 45 tahun ke atas untuk menerima anugerah darjah kebesaran/bintang/pingat.

Almarhum berbuat demikian dengan alasan jika seseorang itu telah berumur 45 tahun, pastinya beliau telah 20 tahun atau lebih berkhidmat. Baginda amat teliti dengan perkara tersebut bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan.

Jika dilihat keadaan sekarang, kita yakin kriteria yang dipegang oleh Almarhum Sultan Iskandar sudah tidak diamalkan. Ini dapat dilihat daripada mereka yang masih muda dan berumur 40 tahun ke bawah diberi anugerah yang membawa gelaran sama ada datuk, datuk seri, datuk wira, datuk paduka atau yang lain.

Bak kata orang ramai dalam bahasa percakapan seharian, ada di kalangan mereka yang menerima gelaran -gelaran tersebut masih 'berhingus' atau 'hingus belum kering'. Kita  tidak nampak apakah khidmat bakti, jasa mahupun sumbangan besar mereka sama ada kepada negeri atau negara yang membolehkan mereka dianugerahi gelaran tersebut.

Penetapan kuota untuk anugerah dan bintang kebesaran juga dilihat sebagai sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Pada zaman awal kemerdekaan kuota tersebut tidak wujud dan hanya mereka yang benar-benar telah menabur khidmat bakti dan jasa kepada negeri atau negara, secara sukarela dan bukan atas dasar perkhidmatan yang dibayar gaji, akan dipertimbangkan. Oleh itu, amat jarang untuk kita menemui orang yang bergelar datuk. Jika adapun, dia sudah berusia dan benar-benar telah menabur jasa dan bakti kepada negeri mahupun negara.

Sekarang, antara lain  wujud kuota politik dan kuota perkhidmatan awam. Bagi kuota politik, ia bergantung kepada ketua bahagian atau ketua parti memperakukan calon untuk dipertimbangkan. Lazimnya, kuota politik diberikan kepada penyokong atau pengikut setia ketua berkenaan dan bukan atas dasar khidmat bakti dan jasa kepada parti..  

Kuota perkhidmatan awam pun bergantung kepada ketua jabatan dan pegawai kanan peringkat kementerian. Orang yang menerima atau diperakukan untuk menerima bintang atau pingat tidak semesti yang terbaik dan yang paling layak. Ia adalah sama dengan penganugerahan perkhidmatan cemerlang sama ada melintang, menegak atau mendatar yang ketelusan dan kesaksamaannya sering dipertikaikan.

Oleh kerana orang melihat anugerah darjah kebesaran sebagai sesuatu yang 'ada kelas', maka orang sanggup 'berusaha' untuk mendapatkannya termasuk memberi sumbangan 'derma' untuk yayasan atau badan-badan tertentu.

Jika mereka gagal mendapat gelaran tersebut dari mana-mana negeri di Malaysia, mereka sanggup 'berbelanja' untuk mendapat gelaran tersebut dari sumber-sumber luar yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia seperti dari 'beberapa kesultanan' di selatan Filipina. 

Untuk mengakhiri kalam, saya perturunkan kenyataan berikut. Pada satu ketika yang tidak berapa lama dahulu, saya menemui seorang tauke yang tidak tahu membaca dan menulis, beliau begitu terharu dan amat seronok kerana diberi anugerah yang membawa gelaran datuk. Dia,  yang kini sudah mendiang, sendiri tidak dapat menyebut perkataan datuk dengan betul, tetapi menyebutnya sebagai 'latuk'. Walau apapun, dia jauh lebih layak daripada ramai lagi manusia yang bergelar datuk kerana dia menggunakan kekayaannya untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa. Atas jasanya itu kepada masyarakatlah dia dianugerahi gelaran datuk oleh negeri berkenaan.

Alahai datuk... sana datuk, sini datuk.




Friday, 7 January 2011

Pegawai menteri semestinya peka akan sensitiviti khalayak

Permohonan ma'af oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu pemasangan salib pada majlis sambutan Krismas atau Hari Natal peringkat kebangsaan di Melaka pada 25 Disember lalu, hendaklah dijadikan teladan oleh pegawai-pegawai lain yang dilantik berkhidmat dengan Jemaah Menteri.

Datuk Hardev Kaur, yang juga seorang wartawan berpengalaman, memohon ma'af sekiranya 'permintaan' beliau mengenai penggunaan salib ataupun apa-apa lambang keagamaan pada majlis itu di salah-tafsirkan.

Isu penggunaan salib telah menjadi satu tengkarah hangat bukan sahaja di kalangan penganut Kristian tetapi  masyarakat umum dan Najib sendiri telah dijadikan sasaran cemuhan, kritikan dan hentaman terutama dalam alam maya.

Hardev, mantan editor Business Times, menafikan yang dia memberi arahan supaya unsur-unsur keagamaan Kristian, termasuk salib atau lambangnya, dibuang atau ditiadakan daripada majlis berkenaan.

Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa beliau mencadangkan agar rostrum atau tempat di mana Najib akan berucap tidak mempunyai sebarang lambang keagamaan Kristian.

Hardev berkata ia hanyalah satu permintaan dan bukannya arahan. Sekiranya permintaan itu disalah-tafsirkan, beliau memohon ma'af.

Sebagai seorang yang pernah berkhidmat selaku setiausaha akhbar kepada seorang menteri, saya turut melalui banyak pengalaman yang mengajar supaya sentiasa peka akan perkara-perkara yang boleh mendatangkan tindak balas negatif.

Hardev, yang bertuah kerana dipilih untuk berkhidmt kepada Perdana Menteri, semestinya peka akan soal-soal yang boleh mendatangkan reaksi negatif kepada bosnya terutama yang berkaitan isu keagaman, kebudayaan dan sensitiviti rakyat.

Hardev juga harus sedar bahawa 'permintaan' yang datangnya dari Pejbat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri selalunya tidak dilihat sebagai satu permintaan tetapi 'sesuatu yang perlu dipatuhi.'  Oleh itu, tidak timbul soal salah-tafsir kerana kepada pihak yang menerima 'permintaan' tersebut, ia bukan satu perkara remeh kerana ia datangnya dari Pejabat Perdana Menteri. Hardev sewajarnya sedar  akan hakikat ini.

Tindakan Hardev itu dilihat oleh kebanyakan penganut Kristian dan agama lain yang bukan Islam, sebagai sesuatu yang bercanggah dengan konsep 1 Malaysia yang diketengahkan oleh Najib. Orang yang menjadi sasaran kecaman mereka bukan Hardev, tetapi Perdana Menteri.

Saya tidak lihat beradanya apa-apa lambang keagamaan pada mana-mana majlis yang dihadiri oleh seorang ketua kerajaan, kerana dia adalah pemimpin semua kaum yang berbilang agama, boleh menjatuhkan imej atau pegangan agamanya. Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, kita sedar dan tahu akan kewujudan lambang atau unsur-unsur semua agama yang ada di bumi bertuah ini.

Kita tahu bahawa salib adalah lambang agama Kristian dan kita juga sedar kavadi tidak boleh dipisahkan dengan Thaipusam, patung Gautama Buddha dengan penganut Budis atau 'rangoli' dan 'diya' dengan Deepavali. Kita terima akan kewujudan semua lambang berkaitan agama tertentu dan kita tidak menghadapi apa-apa masalah dengannya.

Inilah hakikat yang harus diterima oleh seluruh rakyat.  

Tindakan Hardev bukan sahaja telah sedikit sebanyak menjejas imej Perdana Menteri tetapi membuatkan konsep 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh pentadbiran Najib itu sendiri, menjadi bahan cemuhan terutama dalam alam maya dan di kalangan penganut agama Kristian dan agama-agama lain.





Thursday, 25 February 2010

TV3 dedah kehidupan daif warga kota

Malam tadi TV3 menyiarkan satu cerita menyayat hati berkaitan kehidupan rakyat marhain di Kuala Lumpur yang sekali gus menimbulkan banyak tanda tanya tentang tanggungjawab pihak yang diamanahkan untuk menanganinya.

Melalui rancangan 'Aduan Rakyat' stesen penyiaran swasta itu bukan sahaja membuka mata warga kota yang menonton rancangan itu tetapi membuatkan pihak yang sepatutnya prihatin dan mengambil tahu serta mengambil berat mengenai masalah kehidupan sedemikian rupa, turun padang.

Kita sedar akan kewujudan golongan miskin dan papa dan segelintir yang ditakrifkan sebagai 'kutu rayau' atau 'vagrant' iaitu istilah yang merujuk kepada mereka yang tiada rumah atau tempat tinggal, tetapi tidak pula menyangka bahawa ramai daripada mereka menyambung hidup dengan mencari makanan dari tong-tong sampah.

Itulah kenyataan atau realiti kehidupan yang dipaparkan oleh TV3 malam tadi, sesuatu yang cukup menyedih dan mengguris perasaan siapa sahaja yang menonton rancangan 'Aduan Rakyat'.

Kita yang menonton rancangan itu malam tadi sudah pasti insaf dan semestinya bersyukur atas nikmat hidup yang diberi oleh Allah kepada kita kerana kita tidak perlu membuka bungkusan-bungkusan plastik hitam di belakang restoran makanan segera untuk mendapatkan sisa-sisa ayam goreng, kentang goreng atupun burger untuk mengisi perut. Sisa buangan orang lain yang tidak menghabiskan makanan mereka rupa-rupanya menjadi rezeki kepada orang lain yang kelaparan.

Ada di antara kita yang mungkin menyatakan bahawa golongan malang itu malas atau tidak mahu bekerja tetapi apa yang dipaparkan oleh TV3 adalah sebaliknya. Mereka yang diwawancara oleh petugas rancangan 'Aduan Rakyat' berkata mereka tiada pilihan, minta kerja tak dapat kerana, antara lain, latar belakang sebagai bekas bantuan, atau pernah menghuni pusat serenti dan tiada kelayakan.

Semua mereka menjadikan kaki lima, bawah jambatan atau jejambat, stesen LRT atau anjung masjid sebagai tempat tidur. Ada pula satu keluarga yang si bapa berpendapatan kecil dan tidak mampu menyewa rumah membawa keluarganya tidur sama ada di kawasan Dataran Merdeka atau kaki lima.

Saya cukup hormat dan menyanjung tinggi usaha TV3 yang jelas jauh lebih berjaya dan berkesan daripada sesetengah wakil rakyat mahupun jabatan dan agensi kerajaan dalam menangani dan membantu menyelesaikan masalah rakyat. SYABAS.

Apabila TV3 mendedahkan masalah rakyat, kepincangan mahupun penyelewengan termasuk perbuatan mencuri kayu balak atau pasir, barulah pihak-pihak yang diamanahkan turun padang dan cuba selesai atau tanganinya. Boleh dikatakan hampir semua perkara yang didedahkan oleh TV3 dapt diselesaikan.

Sekiranya TV3 tidak berbuat demikian, maka masalah, penyelewengan dan perbuatan jenayah seperti mencuri kayu balak dan pasir akan terus berleluasa. Bayangkan kayu balak yang begitu besar dengan menggunakan lori balak untuk mengangkutnya tidak 'dilihat' oleh pihak berkenaan sehinggalah disiarkan oleh TV3!

Berbalik kepada wujudnya rakyat di ibu kota dan saya percaya juga wujud di kota-kota besar dan sederhana besar di seluruh negara, yang terpaksa mencari makanan di tong-tong sampah, kita ingin tahu apa yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, BAITULMAL dan Pusat Urus Zakat...?

Boleh dikatakan hampir semua warga malang yang didekati TV3 adalah orang Melayu, beragama Islam yang sewajar dan selayak-layaknya mendapat bantuan daripada pihak BAITULMAL DAN PUSAT URUS ZAKAT Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Apa dah jadi dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk turun membantu, mereka tidak semestinya duduk di pejabat dan tunggu orang datang minta bantuan, mereka kena buat kerja sikit, iaitu turun padang cari orang yang seharusnya diberi bantuan. Ia adalah tugas yang diamanahkan bukan sahaja oleh pemerintah tetapi oleh Allah.

Malangnya, walaupun wujud BAITULMAL dan institusi zakat yang mempunyai wang dan harta berpuluh malah beratus juta ringgit, masih ada umat Islam yang terpaksa menyambung hidup dengan menggeledah tong-tong sampah di belakang restoran KFC dan A&W di Kuala Lumpur.

Daripada apa yang didedahkan oleh TV3, mereka yang mencari makan dari tong-tong sampah bukan sakit jiwa atau kurang siuman, mereka mengaku terpaksa berbuat demikian kerana itulah saja sumber rezeki untuk terus hidup. Mereka terpaksa menebalkan muka, pedulikan apa orang nak kata asalkan mereka dapat mengisi perut yang lapar sebelum beredar ke kaki-kaki lima, stesen LRT, Dataran Merdeka ataupun masjid untuk tidur.

Salah seorang yang diwawancara oleh TV3 malam tadi menyatakan dia juga terpaksa mendapat makanan daripada sebuah gereja (katanya pihak Kristian, dah tentu gereja) di ibu kota. Apakah pihak gereja lebih prihatin daripada institusi Islam itu sendiri?

Seperkara lagi yang menimbulkan tanda tanya ialah kenapa apabila TV3 turun menyiasat, baru menteri turun padang dengan membawa bersama-samanya sepelatun pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Rakyat, Dewan Bandar Raya KL dan sebagainya.

Menteri seharusnya tidak menunggu pendedahan atau liputan media untuk bertindak seperti yang diperlihatkan dalam rancangan 'Aduan Rakyat' malam tadi. Tetapi itulah realiti di negara bertuah bernama Malaysia.

Kepada TV3 kita rakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas sikap keprihatinan anda akan masalah rakyat. Teruskan kerja dan tugas anda yang murni itu kerana bagi mereka yang terbela dan diselamatkan hasil daripada liputan atau pendedahan anda, tiada ucapan lain yang dapat diberikan melainkan 'terima kasih TV3.'

TV3 adalah 'wakil rakyat' dalam erti kata yang sebenarnya. Tahniah dan syabas.

Thursday, 10 December 2009

Perkataan 'keling' sekali lagi dijadikan isu

Kepada masyarakat India di Malaysia, perkataan 'keling' dianggap sebagai satu penghinaan kepada mereka dan sekiranya ada pihak yang menggunakan perkatan itu, maka ada pula pihak yang membantah dan membuat laporan polis.

Terbaru, tulisan penolong ketua pengarang Utusan Melayu, Zaini Hassan yang menggunakan perkatan keling dibantah oleh pihak tertentu kononnya ia satu penghinaan.

Mengikut fahaman saya, perkataan keling berasal daripada nama sebuah empayar tua di benua kecil India iaitu Kalinga. Itu salah satu punca yang merujuk kepada asal-usul perkataan itu. Satu lagi punca merujuk kepada orang India Muslim.

Di Pulau Pinang dan bahagian utara Semenanjung, perkataan keling merujuk kepada orang India yang beragama Islam dan yang bukan beragama Islam dirujuk sebagai orang Hindu, tak kira sama ada orang berkenaan beragama Hindu atau menganuti agama lain seperti Kristian atau Buddha.

Pada zaman pentadbiran Syarikat Hindia Timur atau East India Company yang diketuai oleh Francis Light di Pulau Pinang, satu jawatan penting diwujudkan, iaitu jawatan Kapitan Keling untuk masyarakat India Muslim, sama seperti jawatan Kapitan Cina untuk masyrakat Cina.

Jawatan itu tidak pula dilihat atau dianggap sebagai satu penghinaan oleh masyarakat India Muslim itu sendiri.

Orang pertama yang diberi gelaran Kapitan Keling ialah Caudeer Mohudeen atau Kader Mydin.

Pada tahun 1801, Kapitan Keling Kader Mydin telah memohon sebidang tanah dan mendapat kelulusan Francis Light untuk mendirikan sebuah masjid khusus untuk kegunaan masyarakat India Muslim.

Masjid yang dibangunkan oleh Kapitan Keling dinamakan sempena jawatan itu, iaitu Masjid Kapitan Keling. Masjid asal yang diperbuat daripada kayu digantikan dengan sebuah masjid konkrit dan lebih besar pada tahun 1916 dan nama Kapitan Keling dikekalkan.

Sekiranya perkatan keling itu jijik dan satu penghinaan, sudah tentu masyarakat India Muslim Pulau Pinang yang dirujuk sebagai masyarakat Keling, tidak sanggup untuk menamakan sebuah masjid sempena perkataan keling.

Oleh itu, saya tidak nampak sedikitpun penghinaan memandangkan masjid adalah rumah ibadat yang suci dan disebut sebagai Rumah Allah.

Thursday, 2 July 2009

Penduduk Kampung Buah Pala tuntut kesaksamaan


Satu isu besar yang menghantui pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang ialah kedudukan sebidang tanah yang bernilai tinggi di mukim Gelugor yang dikenali sebagai Kampung Buah Pala. Pakatan Rakyat mewarisi masalah itu daripada pentadbiran Barisan Nasional pimpinan mantan Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Khoon.

Perkampungan terakhir orang Tamil di Pulau Pinang itu dikelilingi oleh bangunan dan taman perumahan yang pada satu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada ladang atau estet milik keluarga Brown.

Kampung Buah Pala diberi nama sempena ladang pokok pala yang diusahakan oleh David Brown, seorang ahli perniagaan yang kaya yang berhijrah ke Pulau Pinang semasa pentadbiran EIC (East India Company) yang diketuai oleh Francis Light.

Brown membuka ladang yang dikenali sebagai Gelugor Estate atau Periya Thottam kepada orang Tamil, iaitu ladang rempah ratus yang menghasilkan buah pala, cengkih dan lada hitam.

Selain Gelugor Estate, David Brown turut memiliki dua ladang yang tidak kurang luasnya itu Sungai Nibong dan Sungai Dua Estate (Sinna Thottam).

Turut memiliki ladang dan hartanah yang besar pada ketika itu ialah Francis Light sendiri dan James Scott.

Orang Inggeris menguasai hampir 75 peratus tanah di Pulau Pinang yang bermula dari puasat bandar hinggalah ke Sungai Nibong dan Ayer Itam.

Untuk mendapatkan tenaga kerja di ladang dan juga untuk kerja-kerja binaan jalan dan sebagainya, pihak Inggeris membawa masuk pekerja dari India terutamanya banduan. Bermula pada tahun 1790 rakyat India, kebanyaknnya negeri Tamil, berhijrah ke Pulau Pinang.

David Brown turut tidak ketinggalan membawa masuk pekerja dari India untuk bekerja di ladang rempah ratusnya. Tidak seperti tenaga kerja yang pulang ke India selepas mengumpul wang secukupnya, pekerja Brown memilih untuk menetap dan berkeluarga di ladang tempat mereka bekerja.

Apabila David Brown meninggal dunia pada tahun 1825 (iaitu 184 tahun lalu), pentadbiran ladangnya diambil alih oleh anak dan seterusnya oleh waris beliau yang lain. Apabila tanaman getah diperkenalkan di Tanah Melayu, keluarga Brown turut membuka ladang getah sehingga ke Sungai Ara.

Keluarga Brown adalah antara keluarga yang paling kaya di Pulau Pinang dan selain memiliki ladang getah dan rempah ratus, mereka turut memiliki tiga buah rumah di puncak Bukit Bendera.

Sebuah rumah yang dikenali sebagai David Brown's Cottage dibina di Strawberry Hill, yang dinamakan sempena ladang strawberry milik Brown, dan sebuah lagi rumah dikenali sebagai Brown House dan sebuah lagi bernama Mon Craig.

Jika anda ke Pulau Pinang anda akan diberitahu bahawa antara tempat yang menawarkan makanan ala-penjaja yang terbaik ialah di Padang Brown atau Padang Brom bagi sesetengah warga Pulau Pinang.

Padang Brown sudah tentu pada asalnya hartanah milik keluarga Brown yang dihadiahkan kepada rakyat Pulau Pinang sebagai sebuah padang permainan terutama bolasepak. Di Padang Brown atau kemudian dikenali sebagai Padang Datuk Keramat terdapat sebuah tugu peringatan untuk David Brown iaitu Brown Memorial.

Selain Padang Brown, terdapat sebuah taman perumahan yang menempatkan rumah kos rendah hinggalah ke kos sederhana tinggi yang dikenali sebagai Brown Garden. Ia adalah sebahagian daripada tanah Gelugor Estate yang dijadikan kawasan perumahan awam antara yang terawal di Pulau Pinang.

Brown Garden kini bertukar nama kepada Taman Tun Sardon, iaitu semasa orang politik begitu ghairah menukar nama jalan, kampung dan tempat daripada nama Inggeris kepada nama tempatan dan Brown Garden adalah antaranya.

Bertentangan dengan Brown Garden terdapat sebatang jalan yang bernama Jalan Helen Brown, iaitu nama salah seorang waris David Brown yang 'mewakafkan' hartanya kepada penduduk tempatan. Saya tidak tahu sama ada jalan itu masih wujud atau namanya telah ditukar kepada nama tempatan.

Tanah Kampung Buah Pala adalah antara hartanah keluarga Brown yang diamanahkan kepada penduduk atau waris pekerja ladang berkenan.

Hartanah itu berpindah milik kepada Koperasi Pegawai Kanan Kerajaan Pulau Pinang. Saya tidak tahu bagaimana atau bila hartanah itu dipindah milik dan siapa pemiliknya sebelum dipindah milik.

Syarikat yang bakal memajukan Kampung Buah Pala ialah Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd
yang bakal mengubah wajah kampung tradisional itu kepada sebuah projek mega termasuk kediaman mewah.

Waris pekerja Gelugor Estate yang datuk nenek mereka mula menetap di situ hampir 200 tahun lalu kini berdepan dengan masalah paling besar dalam sejarah kehidupan mereka. Tanah yang dikurniakan kepada datuk nenek mereka telah berpindah milik kepada orang lain dan kini mereka menanti masa untuk diusir entah ke mana.

Penghuni Kampung Buah Pala adalah waris insan yang turut memberi sumbangan kepada kemakmuran ekonomi Pulau Pinang, mereka turut memberi sumbangan kepada pembangunan Pulau Pinang dan mereka adalah warga negara yang hanya mengenali Malaysia sebagai tanah tumpah darah mereka.

Mereka bukan seperti sebilangan pekerja dari India yang ke bumi bertuah ini untuk mengumpul wang yang kemudian dibawa pulang ke negara asal, golongan itu dikenali sebagai "Adi Dravidas".

Waris pekerja ladang Gelugor Estate yang menghuni Kampung Buah Pala adalah warga negara yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang. Mereka menuntut kesaksamaan sama seperti orang lain yang berhak berbuat demikian.

Inikah Satu Malaysia?

Sunday, 28 June 2009

Kasih sayang yang merentasi benua

Kasih sayang seorang bapa, datuk dan moyang kepada anak, cucu dan cicitnya tidak mengenali sempadan dan jarak jauhnya. Itulah yang diperlihatkan oleh seorang veteran perang dunia kedua, John McMahon baru-baru ini.

Walaupun sudah berusia 89 tahun, beliau sanggup menaiki pesawat dari United Kingdom ke Malaysia semata-mata untuk menemui anaknya, Mary (Mariam) McMahon, menantunya Abu Bakar, cucunya Adrian Abu Bakar dan isteri Zainab serta dua orang cicitnya Aimar dan Arman.




Aimar, enam tahun, dan adiknya Arman, tiga tahun, begitu gembira menemui "great grandpa John."















John McMahon tetap berpakaian segak. Wajah riang insan berusia 89 tahun dan wajahnya semasa berkhidmat dalam pasukan kereta kebal British ketika perang dunia kedua.

Beliau melalui pengalaman peperangan di Mesir, Denmark dan Belium dan menyaksikan malapetaka yang terpaksa dilalui akibat peperangan.







John McMahon menjejak kaki buat pertama kali ke Malaysia semata-mata untuk menemui anak, cucu dan cicitnya. Usianya yang agak lanjut itu membuatkannya sesekali lupa ingatan dan akibat daripada itu, dalam penerbangan ke Malaysia, dia tertinggal bagasi semasa pesawat yang dinaikinya mendarat untuk transit di Jerman.

Apa yang menarik perhatian saya ialah semangatnya untuk menemui ahli keluargnya yang beragama Islam di Malaysia, yang menurutnya, buat kali terakhir sebelum dia pulang menemui penciptanya.

Sebagai seorang veteran perang dunia kedua, disiplin ketenteraan masih jelas kelihatan pada gerak geri dan tingkah lakunya. Dia berpakaian kemas dan bertali leher ke mana sahaja semasa di Kuala Lumpur. Begitu juga dengan cara dia bertutur dan bertegur sapa dengan orang yang diperkenalkan kepadanya.

John McMahon adalah peminat setia pasukan bolasepak Celtic United, sebuah pasukan yang beraksi dalam liga perdana Scotland.





Thursday, 25 June 2009

Indonesia wajar henti penghantaran pembantu rumah

Pemerintah Indonesia bertindak bijak apabila ia mengarahkan agensi pekerjaannya memberhentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai esok.

Kita turut sedih melihat betapa sesetengah majikan melayan pembanu rumah seolah-olah mereka bukan manusia. Yang lebih menyedihkan ialah mangsa penderaan adalah insan yang beragama Islam dan pendera pula bukan. Ini adalah hakikat daripada majoriti kes yang diketahui umum.

Oleh itu, arahan menteri tenaga kerja Indonesia Erman Suparno adalah wajar. Pemerintah Indonesia akan menarik balik larangan itu sekiranya berpuas hati akan jaminan keselamatan ke atas warganya yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Perwakilan dari kedua-dua negara dijadual bertemu pada 15 Julai untuk membincang pelbagai masalah berkaitan tenaga kerja Indonesia di Malaysia, sudah tentu yang sah bukan yang diseludup atau yang menyeludup masuk ke negara ini.

Setakat ini, lebih 300,000 wanita Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia secara sah dan tidak kurang juga jumlah yang bekerja secara tidak sah. Setiap bulan, kira-kira 3,000 tenaga kerja baru datang ke Malaysia untuk bekerja.

Adalah diharapkan dalam rundingan yang bakal diadakan bulan depan, kedua-dua pihak akan bersetuju agar tenaga kerja beragama Islam hanya boleh dibenar bekerja dengan keluarga Islam.

Selain itu, pihak Indonesia perlu memastikan agar pembantu rumah yang ingin bekerja di Malaysia memiliki taraf pendidikan yang tertentu kerana terdapat ramai pekerja yang datang ke negara ini di dapati buta huruf, iaitu tidak tahu membaca dan menulis. Mereka sering menjadi mangsa penipuan oleh majikan kerana buta huruf.

Walau apa sekalipun, majikan tidak boleh melayan pekerja atau pembantu rumah sebagai hamba abdi. Mereka adalah manusia biasa yang sanggup meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki secara halal dengan membanting tulang empat kerat.

Kita akui ada pembantu rumah yang tidak jujur, tidak amanah dan berkelakuan sumbang. Tetapi, bilangannya sedikit. Perkara ini juga harus ditangani oleh kedua-dua pihak.

Wednesday, 22 April 2009

Isu bahasa dan jalur lebar mengatasi isu blog

Saya menyambut baik penubuhan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan pelantikan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku menterinya. Penggabungan portfolio penerangan dengan komunikasi dan kebudayaan dapat memantapkan lagi pengawalan dan penyeliaan ke atas sektor-sektor seperti penyiaran, penerbitan dan media, komunikasi dan kebudayaan.

Awal-awal lagi Dr Rais memilih untuk 'memberi amaran' kepada penulis-penulis blog atau blogger sedangkan isu-isu lain yang jauh lebih penting seperti kemudahan rangkaian jalur lebar dan penggunaan Bahasa Kebangsaan (bahasa Melayu) yang betul oleh stesen-stesen radio dan tv, tidak disentuhnya.

Malaysia gah dengan Koridor Raya Multimedia (MSC) tetapi kita masih jauh ketinggalan dari segi pewujudan prasarana paling penting iaitu rangkaian jalur lebar. Rangkaian ini amat penting bukan sahaja kepada pelabur-pelabur asing tetapi kepada rakyat.

Kita berada pada zaman teknologi maklumat yang memerlukan sokongan prasarana canggih seperti sistem hubungan jalur lebar. Pengguna Internet di Malaysia masih belum mendapat khidmat dan sokongan prasarana yang sewajarnya sedangkan Malaysia melaung-laungkan hasrat untuk menjadi negara maju bermula pada tahun 2020.

Selain isu jalur lebar, Dr Rais juga perlu menangani isu penggunaan Bahasa Kebangsaan oleh stesen-stesen radio dan tv yang ada kalanya tidak betul dan menjadi bahasa rojak termasuk oleh RTM sendiri.

Selaku stesen milik kerajaan, RTM sepatutnya menjadi stesen yang boleh dicontohi dan diteladani oleh stesen-stesen lain, bukan sebaliknya. RTM tidak boleh mengikut-ikut cara dan kaedah yang diguna pakai oleh stesen-stesen swasta terutama oleh penyampai-penyampai atau juruhebah (mereka digelar DJ) termasuk dari segi pakaian dan penyampaian.

Pada satu ketika dahulu iaitu pada zaman Radio Malaya, kita mendengar juruhebah-juruhebah handalan seperti Abu Bakar Ahmad, Hashim Amir Hamzah, Zulkifli Amin, Siti Hawa Zain dan kemudian (era RTM) kita bangga dengan Ismail Jah, Hashim Embi dan Karim Muhammad.

Tokoh-tokoh penyiaran yang saya sebut itu menggunakan bahasa Melayu yang betul dan memiliki suara yang sedap didengar, iaitu yang disebut orang sebagai halwa telinga.

Malangnya, apabila kita mendengar atau menonton RTM sekarang, kita kadang-kala tertanya-tanya ke mana perginya bahasa Melayu, kenapa RTM sendiri yang nampaknya "membunuh" bahasa Melayu.

Apakah perlu RTM menggunakan tanda pengenalan "Saluran Informasi" sedangkan perkataan maklumat masih terpakai. Selain itu, perkataan yang berkaitan "informasi" digunakan untuk tujuan pengenalan seperti "inforia".

Kenapa RTM menggantikan perkataan maklumat dengan informasi? Perkataan-perkataan lain yang digunakan ialah "berinformasi" untuk bermaklumat, kru (crew), klu (clue), "live" (langsung), "game" (permainan) lokasi (tempat) , "happening" untuk merujuk kepada sesuatu yang semasa bagi golongan muda remaja.

Kita berterima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana tidak mengubah namanya kepada Jabatan Informasi.

Kita tidak mahu RTM mengikuti atau melakukan kesilapan yang dilakukan oleh stesen-stesen swasta kerana RTM, selaku stesen milik kerajaan, mempunyai tanggungjawab dan amanah yang cukup besar.

RTM adalah satu-satunya media elektronik kerajaan dan ia mesti mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu dan tidak boleh mencampur-aduk dengan bahasa Inggeris atau bahasa lain selagi perkataan dalam bahasa Melayu ada.

RTM dan semua stesen penyiaran swasta seharusnya akur dan patuh kepada Garis Panduan Penggunaan Bahasa Di Media Elektronik.

Pemansuhan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia dapat mempermudahkan aspek seliaan dan kawalan ke atas stesen-stesen swasta oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Agensi atau stesen penyiaran swasta dikawal selia melalui Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) yang memberi tumpuan kepada aspek pelesenan, kandungan maklumat dan rangkain komunikasi dan multimedia.

Walau bagaimanapun, penguatkuasaan bahasa tidak disebut dengan jelas. Apa yang disebut hanyalah kehendak supaya diberikan peratusan tertentu kandungan tempatan termasuk kategori kandungan khas seperti kandungan bahasa tertentu.

Kita harus sedar bahawa dasar bahasa negara telah ditetapkan melalui undang-undang, seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Bahasa Kebangsaan semestinyalah menjadi lambang jati diri atau identiti negara, menjadi wahana pemersatu rakyat, dan wahana komunikasi (perhubungan) umum antara pelbagai kelompok masyarakat.

Atas sifatnya sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu sewajarnya menjadi bahasa pengantar utama dalam media penyiaran. Kandungan dan bahasa adalah alat komunikasi yang penting dalam bidang penyiaran.

Media elektronik bukan sekadar penyebar maklumat, berita, ilmu dan hiburan yang berkesan kepada rakyat tetapi berperanan menyebarkan penggunaan Bahasa Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu yang betul.

Saya yakin dan percaya, Dr Rais, selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas industri penyiaran dan kumunikasi serta selaku ahli atau pakar bahasa dan kebudayaan Melayu selain pakar undang-undang, akan melakukan sesuatu yang positif ke arah memartabatkan bahasa Melayu melalui sluran media elektronik.


Tuesday, 2 December 2008

Tiada anugerah datuk untuk orang politik di Selangor

Saya menyanjung tinggi dan menjunjung kasih atas keputusan Sultan Selangor untuk tidak menganugerahkan sebarang bintang dan darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran "dato"' atau "datuk" kepada orang politik sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Baginda yang akan datang.

Sebenarnya, orang politik tidak seharusnya diberi pertimbangan dari sudut keutamaan atas beberapa sebab.

Saya dapati di kebanyakan negeri sebilangan besar orang politik yang diberi penganugerahan tersebut sebenarnya tidak layak dari sudut perkhidmatan cemerlang, kerja-kerja sukarela dan kebajikan dan tempoh lama perkhidmatan.

Kriteria yang diberikan apabila memilih orang politik, oleh pentadbir negeri yang juga orang politik, termasuklah apa sumbangan orang politik berkenaan kepada pemimpin negeri, sama ada dia penyokong pemimpin negeri dan berapa banyak sumbangan yang dihulurkan untuk "perbelanjaan politik" pihak-pihak tertentu.

Jika ditinjau, kita akan dapati ramai orang politik yang berjawatan ketua bahagian parti politik tertentu yang hanya setahun jagung menjadi pemimpin dan tiada pula khidmat lama dalam kerja-kerja kebajikan dan sukarela kepada masyarakat dan negeri dan yang masih muda, menerima bermacam gelaran datuk.

Ini jauh berbeza dengan keadaan antara tahun-tahun awal negara Merdeka hingga lewat tahun 1970-an dimana bukan senang untuk seseorang itu diberi anugerah bintang dan darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk.

Sekarang, gelaran itu diterima oleh hampir setiap lapisan masyarakat dengan agak mudah sehingga ramai yang menganggap gelaran datuk itu tiada makna dan terlalu murah harganya.

Sudah menjadi satu kelaziman bagi pembuka pintu hotel atau "door man" di hotel-hotel utama sekitar Lembah Kelang yang akan menyapa setiap tetamu sebagai "datuk" sekiranya mereka tidak mengenali orang berkenaan. Mereka berbuat demikian atas kesedaran bahawa ramai orang yang bergelar datuk atau yang belum bergelar datuk akan berasa bangga apabila di sapa sebagai "datuk". Inilah "budaya" yang menjalar di negara ini.

Tidak tahu pula saya sama ada gelaran "datuk" yang menjadi hambatan orang politik dan juga orang "berniaga" yang kononnya "orang korporat" itu boleh dijadikan "saham akhirat" sehingga ada yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkannya.

Teringat saya akan perbualan dua orang politik (ketua cawangan sebuah parti politik di KL) pada satu majlis ilmu yang saya hadiri beberapa tahun lalu. Semasa majlis berhenti rehat untuk jamuan ringan, saya mendengar dengan jelas perbualan mereka (saya cukup mengenali kedua-duanya) seperti berikut:

"Sapa dapat?" tanya si A. "Belum tau lagi. Lis belum keluar," jawab si B.

"Bos (ketua bahagian) rekomen sapa untuk datuk," tanya si A dan dijawab oleh si B "timbalan" (bermakna timbalan ketua bahagian) dan memberitahu si A bahawa dia (si B) di rekomen untuk salah satu pingat.

Perbualan antara dua orang ketua cawangan itu dengan jelas memperlihatkan bahawa bagi kebanyakan orang politik, pangkat, bintang kebesaran dan pingat adalah sebahagian daripada "perjuangan" politik. Dahulu, bapa, emak, datuk dan nenek mereka masuk politik untuk menyokong dan menyertai perjuangan tertentu (spesifik) seperti menuntut kemerdekaan dan mempertahankan hak dan kepentingan bangsa. Bukan untuk mengejar jawatan, pangkat, kedudukan dan kekayaan.

Oleh itu, tindakan Sultan Selangor amat tepat dan seharusnya mendapat sokongan rakyat Darul Ehsan. Masanya sudah tiba untuk memberi anugerah bintang dan darjah kebesaran kepada mereka yang benar-benar layak dan patut dihargai berasaskan sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan terutama secara sukarela kepada Negeri dan Negara.