Wednesday, 22 April 2009

Isu bahasa dan jalur lebar mengatasi isu blog

Saya menyambut baik penubuhan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan pelantikan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku menterinya. Penggabungan portfolio penerangan dengan komunikasi dan kebudayaan dapat memantapkan lagi pengawalan dan penyeliaan ke atas sektor-sektor seperti penyiaran, penerbitan dan media, komunikasi dan kebudayaan.

Awal-awal lagi Dr Rais memilih untuk 'memberi amaran' kepada penulis-penulis blog atau blogger sedangkan isu-isu lain yang jauh lebih penting seperti kemudahan rangkaian jalur lebar dan penggunaan Bahasa Kebangsaan (bahasa Melayu) yang betul oleh stesen-stesen radio dan tv, tidak disentuhnya.

Malaysia gah dengan Koridor Raya Multimedia (MSC) tetapi kita masih jauh ketinggalan dari segi pewujudan prasarana paling penting iaitu rangkaian jalur lebar. Rangkaian ini amat penting bukan sahaja kepada pelabur-pelabur asing tetapi kepada rakyat.

Kita berada pada zaman teknologi maklumat yang memerlukan sokongan prasarana canggih seperti sistem hubungan jalur lebar. Pengguna Internet di Malaysia masih belum mendapat khidmat dan sokongan prasarana yang sewajarnya sedangkan Malaysia melaung-laungkan hasrat untuk menjadi negara maju bermula pada tahun 2020.

Selain isu jalur lebar, Dr Rais juga perlu menangani isu penggunaan Bahasa Kebangsaan oleh stesen-stesen radio dan tv yang ada kalanya tidak betul dan menjadi bahasa rojak termasuk oleh RTM sendiri.

Selaku stesen milik kerajaan, RTM sepatutnya menjadi stesen yang boleh dicontohi dan diteladani oleh stesen-stesen lain, bukan sebaliknya. RTM tidak boleh mengikut-ikut cara dan kaedah yang diguna pakai oleh stesen-stesen swasta terutama oleh penyampai-penyampai atau juruhebah (mereka digelar DJ) termasuk dari segi pakaian dan penyampaian.

Pada satu ketika dahulu iaitu pada zaman Radio Malaya, kita mendengar juruhebah-juruhebah handalan seperti Abu Bakar Ahmad, Hashim Amir Hamzah, Zulkifli Amin, Siti Hawa Zain dan kemudian (era RTM) kita bangga dengan Ismail Jah, Hashim Embi dan Karim Muhammad.

Tokoh-tokoh penyiaran yang saya sebut itu menggunakan bahasa Melayu yang betul dan memiliki suara yang sedap didengar, iaitu yang disebut orang sebagai halwa telinga.

Malangnya, apabila kita mendengar atau menonton RTM sekarang, kita kadang-kala tertanya-tanya ke mana perginya bahasa Melayu, kenapa RTM sendiri yang nampaknya "membunuh" bahasa Melayu.

Apakah perlu RTM menggunakan tanda pengenalan "Saluran Informasi" sedangkan perkataan maklumat masih terpakai. Selain itu, perkataan yang berkaitan "informasi" digunakan untuk tujuan pengenalan seperti "inforia".

Kenapa RTM menggantikan perkataan maklumat dengan informasi? Perkataan-perkataan lain yang digunakan ialah "berinformasi" untuk bermaklumat, kru (crew), klu (clue), "live" (langsung), "game" (permainan) lokasi (tempat) , "happening" untuk merujuk kepada sesuatu yang semasa bagi golongan muda remaja.

Kita berterima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana tidak mengubah namanya kepada Jabatan Informasi.

Kita tidak mahu RTM mengikuti atau melakukan kesilapan yang dilakukan oleh stesen-stesen swasta kerana RTM, selaku stesen milik kerajaan, mempunyai tanggungjawab dan amanah yang cukup besar.

RTM adalah satu-satunya media elektronik kerajaan dan ia mesti mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu dan tidak boleh mencampur-aduk dengan bahasa Inggeris atau bahasa lain selagi perkataan dalam bahasa Melayu ada.

RTM dan semua stesen penyiaran swasta seharusnya akur dan patuh kepada Garis Panduan Penggunaan Bahasa Di Media Elektronik.

Pemansuhan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia dapat mempermudahkan aspek seliaan dan kawalan ke atas stesen-stesen swasta oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Agensi atau stesen penyiaran swasta dikawal selia melalui Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) yang memberi tumpuan kepada aspek pelesenan, kandungan maklumat dan rangkain komunikasi dan multimedia.

Walau bagaimanapun, penguatkuasaan bahasa tidak disebut dengan jelas. Apa yang disebut hanyalah kehendak supaya diberikan peratusan tertentu kandungan tempatan termasuk kategori kandungan khas seperti kandungan bahasa tertentu.

Kita harus sedar bahawa dasar bahasa negara telah ditetapkan melalui undang-undang, seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Bahasa Kebangsaan semestinyalah menjadi lambang jati diri atau identiti negara, menjadi wahana pemersatu rakyat, dan wahana komunikasi (perhubungan) umum antara pelbagai kelompok masyarakat.

Atas sifatnya sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu sewajarnya menjadi bahasa pengantar utama dalam media penyiaran. Kandungan dan bahasa adalah alat komunikasi yang penting dalam bidang penyiaran.

Media elektronik bukan sekadar penyebar maklumat, berita, ilmu dan hiburan yang berkesan kepada rakyat tetapi berperanan menyebarkan penggunaan Bahasa Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu yang betul.

Saya yakin dan percaya, Dr Rais, selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas industri penyiaran dan kumunikasi serta selaku ahli atau pakar bahasa dan kebudayaan Melayu selain pakar undang-undang, akan melakukan sesuatu yang positif ke arah memartabatkan bahasa Melayu melalui sluran media elektronik.


No comments:

Post a Comment