Pembentukan sebuah Jemaah Menteri atau Kabinet baru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh sehari dua ini menjadi tajuk perbualan dan ramalan di sana sini termasuk oleh mereka yang tiba-tiba muncul sebagai "penganalisis politik" atau "pemerhati politik" mi segera.
Bermacam-macam andaian dan agakan dibuat. Orang itu akan digugur, orang ini akan dilantik serta saiz Kabinet akan diperkecilkan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Semuanya ini berlaku kerana mereka ingin melihat sebuah Kabinet yang pada pendapat mereka dapat membantu PM menakhodai bahtera dengan cekap dan selamat sampai ke pelabuhan yang ditujui.
Saya turut menerima SMS bertanyakan pendapat mengenai Kabinet Najib. Jawapan saya sama seperti kebanyakan orang iaitu saya hanya mampu agak dan ramal berlandaskan andaian sendiri.
Di kalangan menteri Kabinet yang dilantik oleh mantan PM Tun Abdullah Ahmad, ada yang berpendapat Najib akan melantik mereka yang benar-benar bersih, mereka yang mampu membantu PM dan mereka yang berwibawa. Tak tahu pula saya sama ada DS Najib ada memaklumkan kepada mereka bahawa itulah kriterianya atau mereka menonjolkan diri sendiri sebagai orang yang bakal dikekalkan dalam Kabinet.
Apa yang dapat diperkatakan ialah saya setuju dengan pendapat bahawa DS Najib perlu mengecilkan saiz Kabinet sesuai dengan keperluan dan realiti politik serta ekonomi semasa. Kabinet Malaysia terlalu besar kerana PM perlu mengambil kira soal kuota, soal menjaga hati parti-parti komponan, soal penyertaan wanita dan soal Sabah dan Sarawak.
Oleh itu, saya tidak akan menyentuh tentang kuota parti-parti komponan tetapi menumpukan ulasan kepada penyertaan UMNO. Jumlah wakil UMNO dalam Kabinet perlu dikurangkan kerana kuantiti tidak semestinya mencerminkan kualiti. Perkara ini sudah tentu tidak akan diterima secara waras oleh orang UMNO tetapi dalam mana-mana kerajaan campuran, BN adalah kerajaan campuran 14 buah parti politik, tolak ansur merupakan amalan terpenting.
Dalam Kabinetnya, DS Najib sudah pasti akan mengekalkan ketiga-tiga naib presiden UMNO - Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Afdal dan Hishammudin Hussein - dan memberikan kepada mereka kementerian yang dikatakan "kanan".
DS Najib juga pasti menghormati kemenangan cemerlang Mustapa Mohamad dan Noh Omar dalam senarai Majlis Tertinggi UMNO untuk mengekalkan mereka dalam Kabinet.
Satu persoalan penting ialah sama ada ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin perlu diberi tempat dalam Pentadbiran sedangkan dia didapati bersalah mengamalkan rasuah politik oleh Lembaga Disiplin UMNO. Lazimnya, Pemuda UMNO diwakili dalam Kabinet atau sekurang-kurangnya dalam senarai timbalan menteri yang bukan pada hakikatnya anggota Kabinet.
Saya kira DS Najib melakukan kesilapan besar sekiranya dia melantik Khairy kerana ia akan dilihat sebagai tidak menghormati desakan ramai dalam memerangi amlan rasuah.
Pemuda UMNO boleh disenaraikan dalam Pentadbiran dengan melantik naib ketua Pemuda Razali Ibrahim dan ia tidak semestinya ketua Pemuda. DS Najib juga boleh mempertimbangkan Mukhriz Mahathir walaupun dia gagal dalam perebutan jawatan ketua pemuda.
Apa yang diharapkan, DS Najib dapat mengelakkan "Kabinet Kitar Semula" dengan tidak melantik menteri yang boleh dikatakan gagal atau tidak memperlihatkan pencapaian cemerlang dan yang mempunyai latar belakang yang boleh dipertikaikan atau yang telah ditolak oleh perwakilan parti.
Nama-nama seperti Muhammad Muhammad Taib, Zulhasnan Rafique, Azalina Othman Said, Ahmad Shabery Cheek, Syed Hamid Albar dan Shaziman Abu Mansor mungkin sesuai diketepikan.
Nama-nama seperti Amirsham A Aziz, Nor Mohamed Yakcop dan Rais Yatim boleh dikekalkan kerana mereka memiliki kepakaran yang dapat membantu DS Najib mengharungi kemelut ekonomi dan menghadapi dunia luar yang semakin mencabar.
Dari barisan timbalan menteri, dua nama agak teratas untuk dipertimbangkan sebagai menteri, iaitu Ahmad Husni Hanadzlah dan Saifuddin Abdullah.
Kita hanya mampu membuat agakan atau ramalan berdasarkan andaian dan keadaan semasa tetapi ianya tidak semestinya betul. DS Najib sudah tentu mempunyai cetusan akal yang jauh lebih bijak berdasarkan pengalamannya hampir 33 tahun dalam arena politik.
Apa yang dapat diperkatakan ialah harapan sebahagian besar rakyat yang ingin melihat sebuah Kabinet yang dianggoti oleh mereka yang benar-benar bersih daripada amalan rasuah dan salahguna kuasa, beramanah, berhemah tinggi dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan peribadi, keluarga mahupun kroni.
Ia mungkin sukar tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Yang penting orang itu mestilah seorang yang berpegang teguh dan patuh kepada ajaran agama.
No comments:
Post a Comment