Tuesday 28 April 2009

Yang terbaik untuk Perkhidmatan Awam

Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuka ruang dalam pengurusan tertinggi Perkhidmatan Awam kepada sektor swasta dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Langkah itu diyakini dapat memperbaiki dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan kepimpinan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam yang selama ini diisi sepenuhnya oleh para pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Jabatan Penyiaran telahpun menyaksikan pelantikan seorang pegawai yang bukan daripada perkhidmatan awam atau PTD selaku Ketua Pengarah. Pelantikan Ibrahim Yahya, walaupun mendapat bantahan, telah membuka jalan ke arah sesuatu yang positif.

Pengisian jawatan-jawatan tertinggi termasuk Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) seperti ketua-ketua setiausaha kementerian dan jabatan serta agensi utama oleh mereka yang benar-benar layak dan mampu daripada sektor swasta dan GLC adalah demi kebaikan negara.

Persatuan PTD tidak seharusnya cemburu dan merasa resah-gelisah kerana langkah yang bakal diambil itu adalah untuk kepentingan negara. Zaman dimana PTD menguasai jawatan-jawatan tertentu dan tertinggi sudahpun berakhir.

Walau bagaimanapun, saya berpendapat kerajaan perlu memberi penjelasan lanjut memandangkan belum ada takrif yang tepat mengenai perkhidmatan awam jika dilihat daripada sudut Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 132.

Perkhidmatan Awam ditakrifkan sebagai:
(a) angkatan tentera;
(b) perkhidmatan kehakiman dan undang-undang;
(c) perkhidmatan awam am persekutuan;
(d) pasukan polis;
(e) perkhidmatan awam bersama yang tersebut dalam Perkara 133;
(f) perkhidmatan awam tiap-tiap satu Negeri; dan
(g) perkhidmatan pelajaran.

Dari senarai di atas, kita percaya jawatan yang berkaitan angkatan tentera dan polis tidak mungkin dibuka kepada "orang luar" atas beberapa faktor terutama keselamatan.

Jawatan lain termasuk untuk perkhidmatan kehakiman dan undang-undang boleh dan telahpun dibuka kepada "orang luar" termasuk bagi jawatan Peguam Negara.

Antara perkhidmatan kerajaan yang seharusnya dibuka kepada "orang luar" selain pentadbiran adalah kesihatan, pelajaran, kejuruteraan (terutama kerja raya), pengangkutan, penerbangan awam, ekonomi dan kewangan, tenaga (elektrik, petrolium dan gas).

Yang perlu diingatkan ialah dalam melaksanakan langkah baru itu, kerajaan harus tidak mengabaikan empat faktor penting iaitu:-

(1) memelihara undang-undang dan keselamatan
(2) penggubalan dasar hasil
(3) pembangunan ekonomi dan
(4) pembangunan modal insan

Dalam pada itu, kerajaan perlu mengkaji semula beberapa aturan dan peraturan yang terkandung dalam Perintah-Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan Arahan Perbendaharaan yang dikeluarkan dari masa ke masa kepada perkhidmatan awam.

Ada antaranya yang ketinggalan zaman dan ada yang sudah tidak sesuai dengan kemajuan dan era kesejagatan sekarang.

Tidak dapat dinafikan ada antara perkara yang terkandung dalam Perintah-Perintah Am, pekeliling dan arahan-arahan pentadbiran itu sendiri yang menyekat para pegawai kerajaan untuk melakukan sesuatu demi kebaikan perkhidmatan.

Kenaikan pangkat dan pelantikan pegawai semestinya dilakukan secara adil dan saksama dengan mementingkan merit selain kelayakan dan pengalaman bekerja.

Tugas dan peranan yang diamanahkan kepada perkhidmatan awam selaku pelaksana dasar pemerintah adalah penting dan perkhidmatan awam yang bersih, cekap dan beramanah telah dan akan terus menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara.


No comments:

Post a Comment