Monday, 27 April 2009

Mahathir dapat sambutan hangat pada majlis UMNO Cheras

Buletin khas 15 Tahun UMNO Cheras dibawa masuk dengan menggunakan kapal udara mini kawalan jauh (Remote-control mini air ship)
Mukhriz Mahathir menjadi rebutan ramai untuk bergambar.


UMNO Bahagian Cheras, Kuala Lumpur menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-15 malam tadi. Apa yang amat menarik mengenai majlis samutan itu ialah kehadiran Presiden dan Timbalan Presiden UMNO serta mantan presiden UMNO dan beberapa orang menteri dan timbalan menteri UMNO.

Selain diadakan di hotel ternama bersebelahan KLCC, majlis itu dihadiri 1,200 tetamu jemputan dan beratus-ratus lagi pegawai dan kakitangan bertugas.

Kehadiran Perdana Menteri DS Najib Tun Razak dan isteri, Timbalan PM TS Muhyiddin Yassin dan isteri serta mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah menunjukkan bukan sahaja sokongan tetapi kepercayaan mereka kepada kepimpinan UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Antara menteri dan timbalan menteri UMNO yang hadir ialah Naib Presiden Hishamuddin Hussein, Ketua Penerangan Ahmad Maslan dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi, antranya, Ahmad Shabery Cheek, Rais Yatim, Raja Nong Chik, Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri UMNO.

Apa yang menarik perhatian saya ialah sambutan yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir setiap kali namanya disebut sama ada oleh pengacara majlis, oleh Syed Ali mahupun oleh Najib sendiri.

Tepukan paling banyak dan paling gemuruh diberikan kepada Tun Dr Mahathir oleh para hadirian yang hampir kesemuanya adalah ahli UMNO, sedangkan apabila nama menteri atau timbalan menteri yang disebut tidak pula disambut dengan tepuk tangan. Begitulah hebatnya insan bernama Mahathir bin Mohamad.

Nama besar yang kini bergelar Negarawan itu tidak boleh diketepikan atau dilupakan begitu sahaja kerana pengaruh dan sokongan yang mampu diraihnya cukup hebat dan boleh membuatkan seseorang pemimpin turun takhta.

Kehadiran Tun Mahathir pada majlis yang dihadiri oleh Najib dan Muhyiddin dilihat sebagai tanda sokongan beliau kepada kedua-dua pemimpin UMNO itu dan mereka semestinyalah menghargai dan menghormti sokongan yang amat berharga itu.

Tahniah untuk barisan kepimpinan UMNO Bahagian Cheras atas kejayaan dan kemajuan yang dicatat selama 15 tahun lalu dan semoga kejayaan dan pencapain yang lebih cemerlang akan disusuli untuk tempoh masa depan, walaupun ramai yang berpendapat ianya mungkin tidak tercapai tanpa penerajunya, Syed Ali Alhabshee.


No comments:

Post a Comment