Monday, 1 November 2010

Najib sakit ketika dua tetamu penting kunjungi Malaysia

Kita turut bersimpati akan kesihatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika dua orang tetamu penting berada di negara ini atas lawatan rasmi, iaitu Perdana Menteri Australia dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat.

Bagi PM Australia, inilah lawatan rasmi ke luar negara yang pertama dan Malaysia dipilih atas kepentingan dan keutamaan tertentu, khususnya berkaitan isu pemerdagangan manusia.  Pemimpin Australia itu hendak membincang isu berkenaan dengan Najib.

Kedatangan Hillary Clinton juga dilihat penting kerana ia menunjukkan pendirian pentadbiran Presiden Obama dalam usahanya mendekati dunia Islam. Malaysia dilihat sebagai sebuah negara majoriti Islam yang sederhana dan berpengaruh di kalangan negara-negara Islam.

Pertemuan dan perbincangan dengan Najib adalah penting bagi kedua-dua negara dan juga bagi dunia Islam.

Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Sebelum ketibaan kedua-dua tokoh penting itu ke Malaysia, Najib jatuh sakit akibat campak yang menghalang dia daripada menemui atau berjumpa dengan mereka.

Timbalan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili Najib, sesuatu yang betul dari segi protokol dan pentadbiran.  

Pada satu majlis lain di Selangor, Najib diwakili oleh isterinya. Kita tidak tahu rasionalnya. Adakah isteri PM sebahagian daripada pentadbiran negara? Jika, ia maka ia akan membuka pintu seluas-luasnya kepada para isteri menteri untuk mewakili suami mereka pada majlis-majlis rasmi. 

Adalah sesuatu yang bukan rahsia di negara ini bagi isteri anggota pentadbiran  bertindak seolah-olah dia adalah sebahagian daripada pentadbiran. Ada yang suka "ambil tahu" urusan di pejabat, ada yang suka 'memerintah' pegawai di pejabat dan ada yang  berlagak lebih daripada suami sendiri.

Kita tidak mahu melihat sesuatu yang berkaitan urusan pentadbiran ditentukan oleh mereka yang bukan anggota pentadbiran, iaitu para isteri. Mereka seharusnya tahu dan sedar akan peranan selaku isteri anggota pentadbiran.

Kita menghargai dan menyokong isteri anggota pentadbiran yang sering  melakukan kerja-kerja kebajikan dan mengambil berat akan nasib golongan yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya apa yang mereka lakukan adalah satu ibadah yang pasti mendapat ganjaran, bukan di dunia, tetapi di akhirat. Kita juga sedar bahawa bilangan isteri anggota pentadbiran yang berbuat demikian juga banyak, iaitu majoriti. Sikap sedemikian juga membantu menaikkan imej suami mereka  di kalangan rakyat.

Apa yang rakyat tidak mahu lihat ialah sikap sang isteri yang terlampau melebihi tugas dan peranannya sebagai isteri anggota pentadbiran. Jika suami anda seorang menteri, anda harus ingat bahawa anda bukan menteri, tetapi isteri menteri. Isteri menteri ada tugas tersendiri untuk membantu suami tetapi mereka mesti tahu akan batasannya.

Isteri harus sedar akan hakikat bahawa apa yang mereka lakukan memberi kesan kepada kerjaya suami masing-masing, ia tidak semestinya kesan positif tetapi sering kali kesan negatif yang mampu menjatuhkan suami sendiri.

Saya tidak menuju ulasan atau teguran ini kepada isteri Perdana Menteri atau menteri tertentu. Saya menggunakan hak untuk mengulas dan memberi pendapat secara umum seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Jika ada sesiapa yang terasa pedasnya, ia adalah kerana dia yang memakan cili padi. Terserah.