Keributan yang didalangi oleh pihak tertentu termasuk politik dan media di Pulau Pinang mengenai pemilihan jawatankuasa masjid atau sesebuah kariah oleh anak-anak kariah sebenarnya tidak lebih daripada rasa kurang senang yang berkepentingan politik.
Ianya turut ditiup oleh sentimen politik yang begitu sempit semata-mata kerana pentadbiran Negeri Pulau Pinang diterajui oleh DAP/Pakatan Rakyat.
Keributan yang dibangkitkan itu turut mempengaruhi kepimpinan UMNO termasuk menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal Islam dalam Kabinet, Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom, pegawai pesara Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia.
Yang agak aneh, perkara yang sama dilaksanakan di Negeri Selangor tahun lepas membabitkan pemilihan AJK semua masjid di seluruh Selangor. Tidak pula timbul bantahan atau keributan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap pemilihan di Selangor.
Di Selangor, sebelum proses 'pilihan raya' untuk AJK masjid dijalankan, pendaftaran anak-anak kariah dilakukan terlebih dahulu dimana borang pendaftaran diedar oleh semua masjid selepas solat Jumaat. Hanya mereka yang berdaftar boleh menghadiri mesyuarat agung kariah dan mengundi.
Saya sebut 'pilihan raya' kerana proses pemilihan dilaksanakan seperti satu pilihan raya. Anak kariah yang hadir perlu menyemak nama di kaunter yang ditetapkan, umpamanya kaunter A hingga C, atau D hingga F dan seterusnya. Setelah pegawai bertugas mengesahkan nama anak kariah itu wujud, barulah dia dibenar menyertai mesyuarat agung dan diserahkan borang mengundi. Ini adalah pengalaman yang saya lalui dalam kariah Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang.
Proses yang sama tidak dilaksana di Pulau Pinang. Saya diberitahu bahawa seseorang itu layak hadir ke mesyuarat dengan syarat dia mendiami dalam sesebuah kariah sekurang-kurangnya tiga bulan. Dalam hubungan ini, sesiapapun boleh hadir dengan menyatakan yang dia tinggal dalam kawasan kariah sesebuah masjid selama tiga bulan.
Semasa berada di Pulau Pinang baru-baru ini, saya turut ditanya mengenai perkara itu dan hasil daripada perbualan dan cerita yang didengari, ramai yang tidak faham dan tidak tahu tujuan sebenar malah ada yang mendakwa akan berlaku 'rasuah' atau 'politik wang' jika pemilihan itu diadakan.
Mereka telah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja atau cuba membangkitkan sentimen perkauman dan anti-pentadbiran negeri. Dalam pada itu, sebuah parti politik Melayu yang kini bertaraf pembangkang di Pulau Pinang, memberi 'arahan' kepada cawangan-cawangan yang berada dalam 'pentadbiran sesebuah kariah' supaya mencalonkan 'orang mereka' sebagai AJK.
Saya tiada masalah dengan orang politik atau sesiapa sahaja yang ingin menjadi pengerusi atau AJK kariah asalkan mereka benar-benar layak, jujur, ikhlas dan amanah untuk memikul tugas mentadbir Rumah Allah. Mereka harus ingat dan sedar bahawa ia adalah satu amanah yang berat dan perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bukan sahaja kepada kariah masing-masing, kepada agama tetapi kepada Allah.
Kita juga tidak ingin melihat seorang Nazir atau Pengerusi JK Masjid tidak boleh membaca doa apabila diminta atau menjadi imam kerana dia jahil dalam ilmu agama. Oleh itu pemilihan seseorang nazir hendaklah dibuat berasaskan ilmu agama, bukan berkepentingan politik.
Saya difahamkan bahawa sebanyak 193 daripada 200 kariah masjid di Negeri Pulau Pinang telah selesai mencadang nama AJK masjid masing-masing apabila proses tersebut selesai dijalankan. Semua 193 masjid telah menghantar senarai pencalonan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama bagi Negeri Pulau Pinang.
Umat Islam di Pulau Pinang sepatutnya bangga kerana mereka diberi hak untuk mencadang AJK masjid di kariah masing-masing yang sebelum ini dibuat atas perlantikan MAIPP yang tidak telus dan wujud unsur pilih kasih dan pilih kroni politik.
Hak itu diberi berpandukan Seksyen 104(1)(b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid, Negeri Pulau Pinang. Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang dilaksana sesuka hati oleh MAIPP.
Tahniah kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang kerana telah melaksanakan pemilihan AJK Masjid. Semoga mereka yang dipilih akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.