Tuesday, 22 November 2011

Tiada penganugerahan darjah kebesaran oleh Sultan Johor

Saya menjunjung kasih atas kebijaksanaan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Negeri Johor Darul Ta'zim kerana tidak mengurniakan sebarang darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 26 Zulhijjah 1432 Hijrah bersamaan 22 November 2011.

Inilah kali kedua baginda berbuat demikian dan rakyat Johor khasnya dan warga Malaysia amnya, sudah tentu gembira dan menyambut baik keputusan baginda itu.

Mungkin orang politik, ahli-ahli perniagaan dan pegawai perkhidmatan awam yang ternanti-nantikan gelaran 'datuk' dan sebagainya,   kecewa kerana tidak berpeluang mengumpul gelaran dan anugerah. Saya kata mengumpul kerana itulah yang berlaku walaupun bukan di kalangan majoriti tetapi memang berlaku.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang menganugerah terlalu banyak gelaran dan pingat serta bintang kebesaran di dunia. Manakan tidak, setiap negeri berbuat demikian selain Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan. Macam-macam gelaran diwujudkan sehingga ada yang melucukan.

Tindakan Sultan Ibrahim untuk tidak menganugerahi darjah dan bintang kebesaran serta pingat mengingatkan saya kepada tindakan Almarhum ayahanda baginda, Sultan Iskandar semasa menjadi SPB Agong ke-8.

Menurut pegawai yang pernah bekhidmat di Istana Negara ketika itu, setiap kali senarai pencalonan dikemukakan untuk pertimbangan atau perkenan baginda, Almarhum Sultan Iskandar  akan bertanya dua perkara - berapa umur calon dan telah berapa lama berkhidmat (sekiranya calon tersebut pegawai kerajaan).

Baginda hanya akan perkenan penganugerahan kepada pegawai berumur 45 tahun ke atas kerana, menurut baginda, jika seseorang itu telah berumur 45 tahun pastinya beliau telah berkhidmat selama 20 tahun atau lebih.

Almarhum Sultan Iskandar cukup teliti dengan soal penganugerahan darjah atau bintang kebesaran semata-mata untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberi pertimbangan. Ya, mereka yang benar-benar layak.  

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran datuk begitu ramai. Sesetengahnya dua atau tiga kali menerima, cuma grednya berbeza. Ada yang dapat  dua  darjah kebesaran  dalam satu tahun, dari dua  negeri berlainan.

Selain itu, tidak kurang juga yang berumur bawah 40 tahun dan ada yang tidak sampai 30 tahun menerima anugerah tersebut sedangkan khidmat bakti mereka terlalu kecil malahan tiada sama sekali kepada negeri mahupun negara. Yang mereka miliki kekayaan dan wang ringgit. Ada juga yang mendapat atau diberi anugerah  kerana sering bermain badminton dengan anak 'orang besar'  dan ada pula yang menerimanya kerana tidak lokek mengeluar perbelanjaan untuk keluarga pihak berkenaan.

Ada negeri yang setiap  tahun  memberi anugerah yang membawa gelaran datuk kepada mereka yang tidak berjasa kepada negeri berkenaan tetapi atas pertimbangan dan kepentingan politik atau kepentingan media (nak dapat publisiti).

 Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad pernah berkata bahawa penganugerahan pingat dan darjah kebesaran perlu dibuat dengan lebih teliti dan itulah yang diputuskan oleh Kabinet pada mesyuarat mingguannya November 2003. Kabinet meminta PM menyampaikan kepada Majlis Raja-Raja butiran, maklumat, pandangan atau panduan supaya penganugerahan darjah kebesaran lebih tersusun, profesional dan lebih dihormati.

Nampaknya saranan Kabinet pada November 2003 itu tidak lagi dihormati oleh pihak negeri jika dilihat dari sudut bilangan orang yang diberi anugerah yang membawa gelaran datuk. Bak kata orang tua-tua, apa yang diberlaku pada tahun 2003 tidak ubah seperti hangat-hangat tahi ayam.

Oleh itu, apa yang diputuskan oleh Sultan Ibrahim, Sultan Johor,  adalah sesuatu yang bijak dan seharusnya disanjung tinggi oleh rakyat yang semakin muak dengan sikap dan tindakan negeri-negeri yang seolah-olah berlumba-lumba memberi anugerah datuk.

Adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila rakyat sering berjenaka mengenai gelaran datuk, iaitu mengenai balingan sebutir batu yang pasti  menimpa kepala seorang datuk,  dan ada pua kumpulan rock yang mengarang lagu mengenainya.....ala, ala, latuk, ala, ala latuk, tuk, tuk, tuk.



  
  

Ke mana perginya semangat kesukanan?

Temasya sukan sekarang bukan seperti beberapa dekad lalu. Dulu semangat kesukanan begitu tinggi dan dihargai. Temasya sukan, sama ada peringkat serantau, benua atau dunia, dijadikan pelantar untuk menjalin hubungan bukan sahaja antara negara tetapi antara para peserta. Begitulah tingginya semangat kesukanan.

Sekarang, temasya sukan dijadikan sandaran untuk meraih nama dan imej. Lebih banyak pingat emas yang diperolehi, lebih megah dan sombongnya sedangkan semangat kesukanan tidak menjadi ukuran.

Negara yang begitu ghairah untuk menang sesuatu acara sukan akan melakukan apa saja yang dibolehkan, dan ada kalanya membabitkan penipuan dan muslihat tertentu, untuk mencapainya. Sukan tidak lagi dijadikan pelantar atau wadah untuk menjalin silatur-rahim dan setiakawan tetapi sebagai medan perang untuk menang.

Beberapa dekad lalu, dua buah negara di Amerika Selatan hampir berperang ekoran perbalahan membabitkan perlawanan bolasepak. Begitulah hebatnya sukan sehingga dua buah negara sanggup berperang. Walau bagaimanapun, kehebatan itu memperlihatkan kejanggalan dalam memahami apa itu semangat kesukanan dan kemenangan bukanlah segala-galanya.

Di kalangan negara Asia Tenggara,  Sukan SEA menjadi kayu pengukur sejauh mana sesebuah negara itu jaguh dalam arena sukan. Setiap negara yang dipilih bergilir-gilir menjadi tuan rumah, akan mengadakan acara sukan yang mampu membawa kemenangan walaupun ianya tidak popular di negara lain. Yang penting ialah untuk mengumpul sebanyak yang boleh pingat emas.

Pada temasya Sukan SEA semasa di Palembang dan Jakarta, kita dapat lihat ketandusan semangat kesukanan di kalangan penyokong malah pegawai tuan rumah. Bagi mereka, Malaysia adalah 'musuh' utama dan di mana saja atlet Malaysia muncul, akan bergemalah ejekan, sindiran, kata-kata cacian dan penghinaan. Mereka tidak langsung menghormati bendera dan lagu kebangsaan kita. Kebiadaban yang diperlihatkan itu amat memalukan dan jelas tidak menghormati tetamu kerana kita dan negara ASEAN yang lain adalah tetamu mereka.

Apa yang amat menyedihkan ialah cara mereka melayani pasukan bolasepak kita. Keperitan yang dilalui oleh pasukan Harimau Muda tidak pernah dilalui oleh mana-mana pasukan kebangsaan.  Mereka terpaksa berhimpit-himpit dalam kereta perisai milik polis republik itu, mereka dinafikan hak latihan di stadium, mereka di maki hamun dan diperlekehkan.

Namun demikian, segagah  gelaran Harimau Muda, pasukan bolasepak bawah umur 23 tahun Malaysia itu memperlihatkan semangat juang yang tinggi dan tidak gentar menghadapi ancaman dan serangan sang Garuda. Bukan sekali tetapi dua kali Harimau Muda menjinakkan Garuda di gelanggang lawan.  Bukan calang-calang pasukan yang mampu berbuat demikian.

Tahniah kepada Harimau Muda. Tahniah Ong Kim Swee atas kejayaan anda membawa kemenangan walaupun menghadapi 1001 macam dugaan, rintangan dan cemuhan.

Para atlet Malaysia memperlihatkan adab dan sopan santun yang tinggi walaupun tidak dilayan sewajarnya oleh tuan rumah.  Atlet Malaysia menunjukkan bahawa budi bahasa adalah budaya kita. Bukan sebaliknya seperti yang dipertonton oleh penyokong dan sebilangan pegawai penganjur Sukan SEA Jakarta dan Palembang.

Teringat akan saya pepatah Cina yang bermaksud: "Sekeping emas terpelihara kemurniaannya walaupun dicairkan seratus kali. Seorang wira tidak boleh hilang pertimbangan walaupun menempuh bahaya dan kesukaran."

Itulah yang dilalui oleh para atlet Malaysia di Jakarta dan Palembang. Syabas.